Pages

Sunday, June 28, 2020

Chocolate Chips Muffin

Seawal 5 pagi semalam gigih masuk dapur semata-mata nak buat Chocolate Chips Muffin. Sekali-sekala bersarapan dengan muffin. Anak-anak tentulah gembira. Resipi ni saya dah banyak kali ulang. Asalnya, ini adalah resipi Vanilla Muffin yang saya ambil dari blog Nina Mirza. Ditambah coklat cip, jadilah Chocolate Chips Muffin. Hehe.

Ada beberapa langkah yang saya langkau. Nak cepat..hehe. Tapi hasilnya sama sahaja. Nak tengok langkah penuh, rujuk blog yang berkenaan ya. Kali ni saya buat 2 adunan sebab nak beri juga pada jiran-jiran yang baik hati. Satu adunan boleh dapat dalam 24 biji untuk bekas muffin saiz kecil.




Bahan-bahannya. Esen vanila tak ada. Tak ingat stok di rumah dah habis.


Chocolate Chips Muffin

Bahan A
1 biji telur
1/4 cawan minyak jagung
1-1/4 cawan susu segar
1 sudu kecil esen vanila

Bahan B
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula (saya guna 3/4 cawan sahaja)
3 sudu kecil baking powder
Secubit garam
1/2 cawan coklat cip

Hiasan: coklat cip (jika suka)

Cara-caranya:
  1. Panaskan ketuhar pada suhu 180'C - 190'C.
  2. Gaulkan bahan B dalam satu mangkuk. Buatkan lubang di tengah-tengahnya.
  3. Dalam mangkuk lain, kacau sebati bahan A.
  4. Tuangkan bahan A ke dalam bahan B. Sebatikan dengan cara kaup balik.
  5. Masukkan adunan ke dalam bekas muffin sehingga 3/4 bekas.
  6. Tabur coklat cip di atasnya.
  7. Bakar selama 15-20 minit atau sehingga keperangan.

Sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.


Siap!


Nota:
  • Suhu tu bergantung pada ketuhar masing-masing ya. Kalau ketuhar di rumah ni, panasnya kuat. Jadi, saya kena turunkan 20-30 'C daripada suhu asal dan saya bakar lebih kurang 25 minit supaya bahagian atas muffin sedikit garing. Ini tekstur yang saya sukalah. Kalau tak suka, cukup sekadar 15-20 minit.
  • Sebelum tabur coklat cip untuk hiasan tu, gaulkan sedikit dengan tepung gandum supaya coklat cip tu tak tenggelam.


Friday, June 26, 2020

Tragedi Berdarah 1 Jun 2020

Lama dah tak ada insiden berdarah dalam keluarga kami kecuali Shakir yang selalu berdarah hidungnya. Tak disangka, 1 Jun lepas berlaku tragedi di rumah. Waktu kejadian, yang berada di rumah adalah saya dan anak-anak berempat. Saya sedang mencuci pinggan di dapur ketika itu. Tiba-tiba dengar bunyi kaca berkecai.

Saya toleh. Yang punya angkara dah berlari ke ruang tamu. Takut dimarahi barangkali. Allah. Hati mula rasa panas. Termasuk yang ini, sudah dua kali kaca pecah dikerjakannya. Sebelum ini kaca kabinet di kampung pecah waktu kami terkandas di sana (ada dicatat dalam post sebelum ni: PKP: Terkandas di Kampung #2). Kali ini, tingkap bilik pula menjadi mangsa amarah si anak.

Saya ambil penyapu dan penyodok. Sambil beristighfar, saya sapu serpihan kaca yang berterabur di atas lantai. Saya tahu kalau saya tak kawal diri, bila-bila masa sahaja saya boleh 'meletup'. Tambahan pula sejak pagi badan rasa lemau. Rasa tak bersemangat. Emosi tak menentu. Sambil-sambil menyapu tu gugur juga air mata. Letih. Terkejut. Marah. Sedih. Semuanya menjadi satu.

Menyapu sekadar laluan ke dapur bebas serpihan kaca, saya ke ruang tamu. Niat di hati mahu melampiaskan rasa marah terhadap si anak tapi terbantut akhirnya. Atas sofa, saya terpandangkan darah yang bertakung. Allahuakbar. Sungguh saya tak sangka tangan Safiyyah tercedera ketika memecahkan tingkap. Sikit pun dia tak mengaduh kesakitan. Wajahnya pun nampak tenang. Entah sakit entahkan tidak. Selalunya kalau sakit, dia mesti sebut 'hurt' tapi tidak kali ini.

Kejadian di kampung sebelum ini tiada sebarang kecederaan. Maka, saya fikir kali ini juga dia bernasib baik. Malahan, tiada setitik darah pun dikesan di atas lantai. Menguatkan lagi sangkaan saya yang dia tidak cedera sedikit pun. Terkejut tengok darah yang banyak itu. Saya cari punca pendarahan. Nampak satu luka di lengan kiri dan satu bendasing di bahagian luka tersebut. Saya fikirkan kaca. Tapi bila disentuh, lembut. Aduhai. Isi daging terkeluar sedikit rupanya. Bertambah ketar dibuatnya.

Saya bergegas ke dapur, ambil beberapa keping tisu dapur dan letak di bahagian luka agar pendarahan berhenti. Itu sahaja yang boleh difikirkan. Minta seorang lagi anak ambilkan telefon. Saya telefon suami memaklumkan keadaan Safiyyah. Waktu itu suami berada di Serendah. Kalau tunggu, makan masa. Makanya, sayalah yang terpaksa bawa Safiyyah ke klinik. Mujur jugalah ada klinik swasta yang berdekatan.

Dalam keadaan kelam-kabut dan panik, MyKid Safiyyah pula tak dijumpai. Begitu juga kad OKU-nya. Aduh. Saya hubungi suami saya sekali lagi. Seingat saya, kali terakhir, dua kad tersebut ada padanya. Tapi tiada juga. Merata saya cari. Tak jumpa. Pelik. Saya bukannya jenis letak merata kad pengenalan diri. Masih tak jumpa, saya tawakal ke klinik dengan membawa salinan MyKid Safiyyah. Alhamdulillah staf klinik tak banyak soal.

Di klinik, luka Safiyyah tak boleh dijahit di situ memandangkan ia dah bengkak. Doktor beri saya dua pilihan. Sama ada ke klinik kesihatan atau ke hospital. Waktu itu jam sudah pun pukul 4 lebih. Saya buat keputusan untuk ke hospital. Bimbang klinik dah tak terima pesakit waktu itu. Balik ke rumah semula, saya cari lagi MyKid Safiyyah. Tetap juga tak jumpa. Saya bertambah susah hati sebab polisi hospital kerajaan agak tegas. Salinan pengenalan diri tak boleh diguna. Kena bagi yang asal juga.

Akhirnya saya bawa surat beranak beserta kad kuning (temujanji) hospital milik Safiyyah. 3 orang adik-adik Safiyyah terpaksa ditinggalkan di rumah dengan beberapa pesanan. Jangan dekat dengan kawasan berdekatan tingkap yang pecah. Jangan buka pintu kalau ada orang datang. Duduk diam-diam, kejap lagi papa balik. Itu pesanan saya buat tiga beradik.

Sampai di unit kecemasan hospital, suhu badan kami diambil dan saya tunjukkan lengan Safiyyah yang cedera. Kami terus dibawa ke trauma-line dan luka Safiyyah dibalut sementara. Selepas mendaftar, kami dibawa ke zon kuning untuk prosedur seterusnya. Alhamdulillah, sewaktu mendaftar saya hanya tunjukkan kad kuning sahaja. Rekod Safiyyah memang sudah ada dalam data hospital. Jadi kad itu juga dikira sebagai pengenalan diri.

Masuk ke bilik prosedur di zon kuning, luka Safiyyah diperiksa oleh beberapa orang doktor yang bertugas. Doktor tanya macam mana boleh jadi macam tu? Saya jawab, "Dia pecahkan tingkap." Hairan doktor dengar jawapan saya. Lepas diberitahu yang Safiyyah adalah seorang autistik, barulah doktor mengangguk tanda faham.

Kami diminta buat X-ray bagi memastikan tiada serpihan kaca yang tertinggal. Usai X-ray, terus ke zon kuning semula dan menunggu giliran depan bilik prosedur untuk dijahit. Pukul 5 lebih, suami hubungi saya. Alhamdulillah dia dah sampai rumah. Hilanglah risau terhadap 3 beradik yang ditinggalkan. Saya minta suami tolong cuci sofa dan bersihkan betul-betul sekeliling kawasan berdekatan tingkap termasuk dalam kawasan bilik. 

Waktu menunggu giliran untuk dijahit agak lama. Safiyyah dah mula resah. Risau dia tantrum. Mujurlah dia sekadar menjerit sahaja, tidak lebih daripada itu. Sejam menunggu, barulah nama Safiyyah dipanggil. Mula-mula doktor bersihkan darah pada tangan Safiyyah. Dah bersihkan tu barulah perasan ada satu lagi luka tapi tak dalam dan tak perlu dijahit. Waktu ni pun Safiyyah agak marah sebab proses cuci agak lama.

Tiba masa untuk jahit, saya diminta doktor untuk pegang tangan kanan Safiyyah. Seorang doktor pegang tangan kirinya dan seorang lagi doktor ambil tugas menjahit. Baru nak mula jahit, Safiyyah meronta-ronta. Dia seram tengok peralatan menjahit yang dipegang doktor agaknya. Dengan saya sekali gerun...huhu. 5 jahitan jugalah Safiyyah kena.


Yang kena jahit satu bahagian sahaja yang bawah. Satu lagi tu tak perlu dijahit.


Tingkap tengah yang dah tak bercermin.


3 hari selepas dijahit, saya minta suami bawa Safiyyah ke klinik untuk periksa lukanya sebab saya nampak tangannya semakin bengkak dan plaster pun dipenuhi darah. Tak berani nak buka plaster sendiri. Kebetulan Raihannah perlu ke klinik untuk suntikan imunisasi darjah 1, jadi Safiyyah dibawa bersama. Doktor terus tanggalkan sahaja plaster dan sembur kawasan luka dengan cecair kalis air (spray dressing). 


Ini luka yang satu lagi.


Temujanji untuk buka jahitan.
Doktor di klinik tanya dah berapa hari dijahit? Saya jawab 14 hari.
"14 hari? Dah merah ni. Sepatutnya 7 hari dah buka dah."
Tapi doktor di hospital kata 14 hari. Hmm.


Selepas jahitan dibuka.


Gambar terkini. Hampir 2 minggu selepas jahitan dibuka.


Lepas kejadian ni, Safiyyah dah tak tepuk tingkap bilik tu lagi. Kalau tak, setiap hari ditepuknya. Memang selalu risau tingkap tu pecah sebab dia tepuk bukan acah-acah. Tepuk sekuat hati terutama waktu dia tantrum. Yang ditakuti akhirnya berlaku juga. Sekarang ni dia beralih pada kaca kabinet buku pula. Haih. Diberitahu cermin tu boleh pecah sebagaimana tingkap bilik tu, diketuk pula perlahan-lahan guna hujung jari. Maknanya dia faham tapi bila tengah tantrum, bukannya dia ingat. Alahai anak.

Harapnya ini kali terakhir berlaku kejadian macam ni. Tak sanggup nak lalui lagi. Moga Allah lindunginya setiap masa..ameen.



Tuesday, June 23, 2020

PKP: Terkandas di Kampung #2

Entry ni bukanlah sambungan PKP: Terkandas di Kampung sangat pun. Lebih kepada apa yang berlaku sepanjang kami terkandas selama hampir dua bulan di kampung.

Duduk di kampung selama itu, dua kali nampak babi hutan depan mata. Kali pertama, sikit je lagi haiwan tu nak masuk halaman rumah. Saya tengah main di luar rumah melayan anak dan anak-anak buah. Seorang anak buah yang berumur 7 tahun tiba-tiba bersuara, "Apa tu?"

Saya toleh ke arah yang dimaksudkan. "Babi hutan!" Semua terkejut. Masing-masing tengah ralit, memang tak sedar kehadiran 3 ekor babi hutan tu. Mujurlah lepas tu ketiga-tiga ekor tu terus lari masuk ke hutan semula.

Kali kedua, anak teruna saya yang perasan tapi waktu tu haiwan tu berada di hutan seberang jalan. Depan rumah mentua memang kawasan hutan. Selalu juga mok kata babi hutan rosakkan kebun. Ada sekali tu waktu senja terdengar riuh suara mok di luar (belakang rumah). Rupanya mok tengah halau babi hutan yang masuk kawasan kebun. Berani betul mok. Kalau menantu dia ni, mahunya lari masuk rumah..hihi.


Cari haiwan tersembunyi 😝


***

Vocab Kelate saya pun sah-sahlah bertambah. Hehe. Yang saya ingat, sayur teneh dan kacang mior. Bila mok sebut tu...alamak...sayur apa tu? Tak pernah dengar pula. Bila mok tunjuk, oooooohhhhh (baca dengan 6 harakat) tahulah saya sayur-sayur apa yang mok maksudkan. Sayur teneh tu petola. Kacang mior pula, bendi. Hehe...lain benar namanya dengan nama yang saya tahu selama ni.

***

Waktu terkandas itu jugalah saya ajar anak-anak tengok filem lama. Kebetulan satu malam tu Pendekar Bujang Lapok disiarkan. Mula-mula anak-anak tak berminat nak tengok. Yalah, filem hitam putih...manalah menarik perhatian. Ummi dengan papa tonton sambil tergelak-gelak, barulah mereka menunjukkan minat. "Cobaan...cobaan.." Bahagian inilah yang menjadi kegemaran anak-anak. Sampai sekarang pun mereka ingat bahagian tu. Kadang-kadang mereka siap lakonkan sekali babak cobaan tu 😁.

***

Anak-anak bergilir-gilir demam. Mula-mula Rania. Bangun tengah malam, dia beritahu yang dia demam. PCM tak ada, jadi saya hanya lapkan badannya dengan kain basah sahaja. Pagi esoknya nampak banyak biji-biji merah di badannya. Bawa ke klinik, dijangkiti cacar air (chicken pox) rupanya. Tak tahu berjangkit dari mana. Bukannya kami ada ke mana-mana pun. Antara adik-beradik, dia yang pertama dijangkiti cacar air. Yang lain setakat ni belum kena lagi.


Anak dara ni tak suka disapu calamine lotion. Kena pujuk berkali-kali dulu. Busuk katanya.


Kemudian, Raihannah dan Shakir pula demam. Alhamdulillah demam biasa je. Banyak berjemur tengah panas agaknya. Akhir sekali barulah Safiyyah. Safiyyah ni waktu demam tu dia beritahu yang telinganya sakit. Bawa ke klinik, doktor kata telinganya tak ada masalah. Tapi dah banyak hari demam tak kebah-kebah, papanya bawa ke klinik sekali lagi. Barulah perasan telinganya kena jangkitan. Patutlah tak kebah-kebah demamnya.  Alhamdulillah masing-masing sekali tu je la demam.

***

Dan, waktu terkandas ini jugalah Safiyyah dah pecahkan cermin kabinet..huhu. Saya di dapur ketika kejadian. Manakala suami dan mok tiada di rumah. Saya terdengar bunyi kaca berderai. Terus bergegas ke ruang tamu. Aduhai, cermin kabinet pecah rupanya. Sejak 2-3 tahun kebelakangan ni, Safiyyah memang suka tepuk cermin, meja, kabinet dan segala yang mengeluarkan bunyi. Kalau tengah marah, lagi kuatlah ditepuknya. Alhamdulillah jugalah tiada sebarang kecederaan pada Safiyyah. Mok balik, saya beritahu mok. "Dah sampai masanya tu," tenang sahaja mok jawab. Alangkah bagusnya kalau menantunya ni ada sifat reda dan kesabaran yang sama..huhu..



Monday, June 22, 2020

Anak Diserang Sawan. Apa Perlu Dibuat?

Waktu scroll Twitter beberapa hari lepas, terbaca perkongsian Dr. Nimelesh tentang perkara yang perlu dibuat jika anak tiba-tiba diserang sawan. Sebut pasal sawan, fikiran automatik teringatkan anakanda ketiga dan keempat yang pernah diserang sawan. Ketar satu badan tengok anak dalam keadaan sawan. Walaupun dah banyak kali lalui, masih tetap menggigil setiap kali tengok anak kena sawan. Bezanya, diri lebih tenang dan tahu tindakan yang sewajarnya diambil jika anak diserang sawan berbanding awal-awal dulu.
 
Masih jelas di ingatan saat pertama Raihannah (anak ketiga) diserang sawan. Umurnya belum dua tahun pun masa tu. Dia demam dan tengah tidur di atas katil. Saya baring di sebelahnya. Tiba-tiba terasa ada pergerakan di sebelah. Saya tengok Raihannah. Nampak pelik. Saya panggil suami.

"Ya Allah, sawan ni!" Dalam keadaan panik dan cemas, suami terus dukung Raihannah dan berlari ke klinik berdekatan. Waktu itu kami tiada pengalaman dan ilmu mengenai sawan. Semuanya dibuat secara spontan.

Balik dari klinik, Raihannah dah sedar kembali dan suami maklumkan yang doktor suruh bawa anak ke hospital. Ditahanlah dia di wad malam itu untuk pantauan doktor. Saya tidak ikut ke hospital disebabkan saya dalam keadaan sarat mengandungkan Rania. Tak ingat pula berapa malam dia ditahan di wad tapi rasanya 2-3 malam juga sebab demamnya on off.

Itulah permulaan siri sawan Raihannah. Setiap kali dia demam, runsing hati. Sudahlah dia jenis susah makan ubat. Risau episod sawan berulang. Sekali kena sawan, memang berisiko untuk diserang sawan lagi. Dalam tempoh 3-4 tahun, ada beberapa kali dia kena sawan. Alhamdulillah lepas daripada tu tiada lagi sawan menyerang.

Rania juga pertama kali diserang sawan ketika umurnya setahun lebih. Kebetulan, dia dan Raihannah demam ketika itu. Saya berikan perhatian lebih sedikit pada Raihannah memandangkan dia ada sejarah sawan. Tak disangka, Rania pula yang diserang sawan. Allah...risaukan yang lain, lain pula yang kena. Sudahlah masa tu dia tengah menyusu. Sambil-sambil menyusu tu saya lap kepalanya dengan kain basah. Tu yang tak sangka dia akan diserang sawan. Seingat saya, dua kali dia diserang sawan dalam tempoh 5 tahun ni.




Di sini saya copy paste perkongsian Dr. Nimelesh. Moga membantu.

  1. Mak ayah jangan sesekali panik. Guna telefon bimbit untuk rakam sawan tersebut. Ini amat berguna untuk pengamal perubatan nanti untuk mengenal pasti jenis sawan dan tempoh sawan tersebut.
  2. Longgarkan baju anak. Jangan beri air atau ubat dalam mulut ketika anak sawan. Jangan masukkan apa-apa benda keras ke dalam mulut sebab anak boleh tercekik atau dapat luka dalam mulut.
  3. Sentiasa bersama anak sehingga sawan tamat.
  4. Baringkan anak mengiring ke kiri untuk mengelakkan muntah atau lendir masuk ke dalam paru paru.
  5. Sekiranya sawan berterusan selama 5 minit, jangan tunggu. Bawa ke klinik atau hospital dengan segera. Besar kemungkinan sawan tersebut tidak akan berhenti sendiri. Dan sekiranya diperlukan anak akan dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut. 
  6. Untuk sawan yang berhenti sendiri sebelum tempoh 5 minit, tolong bawa juga anak ke klinik/Hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


Tindakan pertama tu sangat penting ya. Dulu saya tak terfikir nak rakam. Jika rakam mudah sikit nak tunjuk pada doktor sebab nanti doktor akan tanya beberapa perkara.

  • Berapa minit anak kena sawan?
  • Waktu sawan, adakah kedua-dua kaki dan tangan bergerak?
  • Ada keluar buih dari mulut ke tidak? 

Tiga soalan ni antara soalan yang akan ditanya doktor terutamanya soalan pertama dan kedua tu. Sebab tu penting sangat perhatikan anak dengan teliti ketika anak diserang sawan.



Friday, June 19, 2020

Kek Marble

Petang semalam saya buat kek marble. Projek yang tertangguh sebenarnya ni. Raya hari tu saya dah buat sebiji kek marble untuk dibawa ke rumah adik ipar. Tapi yang itu tak ingat nak ambil gambar. Disebabkan tak puas hati dengan tekstur kek tu, saya rancang nak buat sekali lagi kek marble guna resipi berlainan. Boleh juga dikongsi dengan jiran-jiran. Beberapa hari tertangguh, akhirnya jadi jugalah dibuat semalam.

Kali ni saya berpuas hati dengan tekstur keknya. Gebu dan lembap. Cuma pada saya, rasa kek ni agak manis. Mungkin disebabkan saya tak guna serbuk koko seperti yang tercatat dalam resipi berkenaan. Lain kali kena kurangkan sedikit sukatan susu pekat tu.

Menurut Puan Azie, ada dua kaedah untuk buat kek marble ni. Kaedah pertama kena asingkan telur putih dan kuning. Kaedah kedua sama caranya macam buat kek biasa. Pendek kata, lebih mudah. Pastinya saya pilih kaedah yang lebih mudah..hehe. Kalau nak tengok kaedah pertama tu, rujuk blog Puan Azie ya. Di sini saya catat kaedah kedua. Senang untuk rujukan sendiri.


Separuh kek dibahagi kepada jiran-jiran. Separuh bahagian lagi jadi habuan kami anak-beranak.


Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
8 oz/227 gm mentega
6 oz/170 gm tepung gandum
6 oz/170 gm gula kaster
5 biji telur
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
3-4 sudu besar serbuk koko -diayak (guna coklat emulco) - saya ganti dengan pewarna makanan sahaja


Cara cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan ovalette, susu pekat dan esen vanila. Pukul rata.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji ke dalam adunan dan pukul lagi hingga rata.
  4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul hingga adunan sebati.
  5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan masukkan warna atau emulco pilihan anda.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci secara selang seli dimulai dengan adunan asal. Lorek dengan menggunakan chopstick.
  7. Bakar pada suhu 180C selama 45 minit atau sehingga masak. Saya guna suhu 170C selama 50 minit. 


Ini rupa bawah kek. Macam corak bola..hehe..


Selamat mencuba!



Tuesday, June 16, 2020

Tulisan Siapa Ni?

Dalam beberapa minggu ni saya dalam proses mengemas stor dan barang-barang lama. Ambil masa nak selesaikan sebab saya hanya peruntukkan selama satu ke dua jam sahaja mengemas selepas Subuh. Itu pun bukan setiap hari. Ikut tahap kerajinan juga. Satu lagi sebab, sambil mengemas sambil belek-belek, sambil mengenang memori lalu. Itu yang tak sudah-sudah lagi mengemasnya 😁.

Pagi semalam saya kemas buku-buku lama sejak zaman sekolah lagi. Jumpa buku tulis tingkatan 1. Saya buka secara rawak nak tengok isi di dalamnya. Pelik. Tulisan siapa pula ni? Tengok muka depan, memang nama saya tapi tulisan di dalamnya tak familiar pula. Saya belek-belek lagi. Dari satu muka surat ke muka surat seterusnya.

Ya ampun...tulisan sendiri rupanya! Sungguhlah tak kenal tulisan sendiri. Tak ingat pula tulisan pernah besar suatu masa dahulu. Ingatkan tulisan memang sedia kecil sejak sekolah rendah..hehe. Saya tengok pula buku tingkatan 3. Kecil sedikit saiznya berbanding tulisan tingkatan 1. Tingkatan 5, kurang lagi saiznya. Masuk matrikulasi, sehalus-halus tulisan jadinya! Macam manalah agaknya pensyarah mengadap tulisan bersaiz halus gitu? Stres gamaknya 😂.


 
Inilah tulisan yang diri sendiri tak kenal tu.
Besar dan bulat-bulat...macam tulisan budak-budak..hehe..


Tulisan sewaktu tingkatan 3.


Ini pula dari buku tingkatan 5. Nak buat tulisan sambung kononnya tapi tak jadi..haha..


Ini ketika di matrikulasi. Awatlah pi tulis halus gitu, Nadiah? Isy, isy...naya ke pensyarah je.


Macam-macam jenis dan saiz tulisan boleh jumpa. Itu yang boleh tak kenal tulisan sendiri tu..hihi..



Monday, June 15, 2020

PKP: Terkandas di Kampung

Lumrah setiap kali cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Rumah mentua saya. Itu pun bukan setiap cuti sekolah dapat pulang ke sana. Jika suami ada urusan yang tak boleh ditangguh, maka duduk di rumah sahajalah jawabnya. Anak-anak kalau dapat tahu yang kami tak dapat balik kampung, masam mencukalah muka mereka.

Alhamdulillah bulan Mac lepas sempena cuti pertengahan penggal pertama persekolahan, Allah beri ruang pada kami untuk pulang ke kampung. Pagi Sabtu 14 Mac 2020, kami mulakan perjalanan ke Kelantan. Sampai sana dalam pukul 2 petang kalau tak silap. Waktu tu yang ada di rumah hanyalah Wan (bapa mentua saya) dan seorang anak buah. Mok (mak mentua) keluar dengan adik ipar sekeluarga.

Anak-anak seperti biasalah gembira dapat jejakkan kaki di kampung. Lebar senyuman masing-masing. Kalau ada sepupu-sepapat, lagilah berganda keseronokan mereka. Ummi dengan papa pun macam tak wujud bila berada di kampung 😏. Tapi aman sikit sebenarnya. Anak-anak kurang sikit buat perangai.  Kurang jugalah sakit kepala ummi..hehe.

Pagi Isnin dah siap-siap berkemas nak pulang ke Kuala Lumpur semula. Tak dapat nak berlama-lama sebab suami ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Dapat balik sekejap pun dah satu rahmat dah. Sebelum bertolak balik, suami ke hospital. Dah dua hari pening kepalanya tak hilang. Nak bernafas pun agak kurang selesa.  Bimbang dijangkiti COVID-19 je masa tu.

Suami balik dari hospital dalam pukul 2 petang. Alhamdulillah, doktor kata bukan disebabkan COVID-19. Tak lama lepas tu pula suami dapat panggilan yang memaklumkan urusan yang patut diselesaikan segera tu terpaksa ditunda akibat penularan COVID-19. Makanya suami buat keputusan untuk bermalam di kampung untuk beberapa hari lagi. Anak-anak dapat tahu je terus bersorak.

Tak disangka pula pada 16 Mac tu Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Susulan tu suami rancang nak mohon permit di balai polis untuk pulang ke KL pada hari Khamis tapi tak jadi akhirnya sebab anak-anak belum nak balik rumah. Hmmm...kalau dah 
balik kampung, tak ingat rumah dah ya, anak-anak? Akibat menangguh-nangguh, akhirnya terkandaslah kami di sana selepas pengumuman baru larangan rentas negeri dikuatkuasa.

Saya berlapang dada je masa tu. Lagipun, waktu tu hanya tinggal kami sekeluarga je di kampung bersama mentua. Ipar-duai yang lain dah selamat balik ke rumah masing-masing.  Makna kata, tak perlulah saya tutup aurat sepanjang masa di sana. Rezeki juga tu. Hehe.

Itulah kisahnya bagaimana kami terkandas di kampung. Asalnya nak balik ke kampung 3 hari sahaja. Sudahnya, hampir 2 bulan kami berada di sana. Lebih tepat lagi, genap 55 malam di sana. Pecah satu rekod...hehe. Betullah, kita ni hanya mampu merancang, yang tentukan hanyalah Allah.

Alhamdulillah, awal Mei kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri bagi yang terkandas di kampung.  Giliran dari Kelantan adalah pada 8 Mei. Serba-salah masa tu untuk buat keputusan. Separuh hati rasa nak balik, separuh lagi kata jangan balik. Kalau balik, kesian pula mok dan wan. Hampir 2 bulan rumah tu riuh-rendah dengan suara anak-anak. Tiba-tiba jadi sunyi-sepi. Raya pun dah tak lama lagi. Tapi kalau tak balik, susah anak-anak nak buat kerja sekolah. Nak dapat kebenaran rentas negeri lagi entah bila pula. Berat hati, kami buat keputusan untuk balik juga.

Saya paling tak suka jadi yang terakhir tinggalkan kampung. Tak sanggup tengok wajah sedih mok. Air mata mok. Hari nak balik tu mujurlah keluarga kakak ipar ada di sana. Kurang sikitlah sedih mok tapi tetap juga air mata mok menitik 😭....




Friday, June 12, 2020

Selempang Tudung



Kata-kata ini membuatkan saya teringat kenangan sewaktu zaman remaja dahulu. Ayah saya cukup tak suka tengok satu-satunya anak perempuan dia ni selempangkan tudung ke bahu. Bab aurat memang tiada kompromi.

"Kenapa pakai tudung macam ni? Pakai elok-eloklah."

Itulah teguran ayah suatu ketika dahulu. Saya tahu apa yang ayah maksudkan. Ayah tak mahu saya selempang tudung ke bahu sekaligus mendedahkan bahagian yang sepatutnya ditutup. Hanya sekali teguran tapi tersimpan kemas dalam kotak memori.
 
Tapi itulah, zaman remaja...pengaruh kawan lebih kuat. Kawan-kawan ramai yang selempang tudung. Kita pun ikutlah. Depan ayah pandai pula turunkan tudung ke dada. Perangai sangat 😔.

Seingat saya, waktu di matrikulasi barulah saya berhenti sepenuhnya selempangkan tudung. Waktu tu saya suka tengok penampilan seorang kawan yang cukup menjaga auratnya. Bukan setakat bertudung labuh, berstoking juga. Bayangkan, nak ke kafe bawah sahaja pun dia pakai sarung kaki. MasyaAllah, kagum sungguh dengan dia masa tu.

Dari situlah saya mula perbaiki aurat saya. Perkara pertama yang saya betulkan adalah pemakaian tudung. Saya tidak lagi selempangkan tudung seperti kebiasaan. Tudung dilepaskan menutupi dada dan dipin di bahagian hujung tudung. Tak lama lepas tu barulah saya berjinak-jinak dengan pemakaian stoking. Mula-mula rasa kurang selesa. Lama-lama baru rasi. Bak kata, alah bisa tegal biasa.

Masuk universiti pula, saya berjinak-jinak mengenakan sarung lengan, dan diikuti dengan tudung labuh. Ada rezeki nanti insyaAllah saya buat entry baru untuk berkongsi pengalaman ni pula. Perasan tak betapa kuatnya pengaruh kawan? Dapat kawan yang sentiasa mendorong ke arah kebaikan, maka beruntunglah kita.

Buat adik-adik dan kakak-kakak yang sedang atau baru berniat untuk menutup aurat, bolehlah mula sikit-sikit. Sikit tapi konsisten. Kalau belum bertudung, belajarlah bertudung. Kalau masih pakai baju lengan pendek, biasakan pula berlengan panjang. Kalau dah terbiasa pakai pakaian ketat, biasa-biasakan pula dengan pakaian longgar. Kalau selalu bertudung singkat, labuhkan pula menutup dada. Tak mudah tapi tak mustahil untuk berubah. Semua ini untuk kebaikan dunia akhirat kita juga. 💖 


Wednesday, June 10, 2020

Kenapa Kembali Berblog?

Kawan-kawan yang mengenali saya kebanyakannya bertanya kenapa lama menyepi. Bukan setakat di blog, malah di akaun Facebook dan Instagram milik saya juga dah lama tak update. Yang menjuarai carta, pastinya blog ini. Dua lagi akaun media sosial kepunyaan saya baru masuk tahun kedua tiada update. Saya login setiap hari tapi sekadar baca perkongsian kawan-kawan dan tinggalkan komen sekali-sekala. Ramai yang tak tahu saya juga ada akaun Twitter. Rasa nak membebel, di situlah tempatnya sebab follower tak ramai..hehe.

Apa sebabnya menyepikan diri? Susah nak kata. Ada beberapa sebab tapi semuanya bersifat peribadi. Cumanya beberapa hari lepas ada beberapa posts yang melintas di timeline Facebook saya yang mencetus kembali perasaan untuk kembali aktif menulis. Kemuncaknya adalah di saat saya membaca perkongsian ustaz Hasrizal. Walaupun perkongsian tersebut berkisar anak ustaz tapi mesejnya menusuk di hati saya.

Hidup berpendirian, jangan peduli apa orang kata. Banyak kata-kata ustaz dalam artikel ini bagai dituju pada saya, Jujurnya, saya selalu risau apa kata orang pada saya. Apa persepsi orang tatkala membaca catatan saya? Meluat? Bosan? Entah apa-apa? Perasan bagus? Sungguh, ini adalah sebab terbesar yang menghalang saya daripada menulis dan berkongsi sebarang catatan di media sosial. Menitis air mata sebaik sahaja saya selesai membaca catatan ustaz.

“But… this is where I want to make my point clear. Think, how did I go to sleep when people are bad mouthing about me? I put my trust in Allah. Even if the entire world leave me, I am alone, but never lonely, as long as Allah is with me. That is where I want you to think. Stop caring about what people said about you. Of course we might feel sad, we are human. But we won’t stop doing the right thing simple because people talk bad against you. Got it?”

Betul, saya takkan mampu buat semua orang suka pada saya, pada penulisan saya. Jika ia perkongsian yang baik dan tidak melanggar syarak, kenapa perlu saya berhenti? Mana tahu, mungkin penulisan saya ada manfaatnya buat segelintir insan. Perlu diingatkan, hidup saya jauh dari kesempurnaan. Tak terlepas dari kesilapan. Ada sisi negatif yang orang tak nampak. Ada aib yang perlu dijaga. Andai ada catatan saya yang melampaui batas atau yang tidak patut dikongsi, tergurlah saya secara hikmah. Moga ada antara catatan saya yang menjadi asbab urusan saya di akhirat kelak dipermudahkanNya.


 


Terharu baca kata-kata mereka.
Terima kasih banyak-banyak beri semangat pada saya. Doakan saya, ya!



Tuesday, June 9, 2020

Sambal Bilis

Dah jemu dengan sumber protein yang lain, makanya beralih pada ikan bilis pula. Kalau ikan bilis, inilah juadah yang saya akan buat. Kebetulan tempe dah beberapa hari dalam peti sejuk, saya campur sekali dalam sambal bilis ni. Nikmat!

Oh ya, saya memang suka sambal bilis kering begini. Kalau jenis yang berkuah, tambahan pula jika ikan bilisnya tak rangup, saya kurang gemar. Nak buat sambal kering macam ni, ambil masa sikitlah. Sambal ditumis dengan api kecil sehingga pecah minyak dan garing. Baru ummph!


Makan ni kena berhati-hati...kalau tak, sedar-sedar je habis tiga pinggan nasi 😁


p/s: Maaf, tiada resipi. Main agak-agak je..

Sunday, June 7, 2020

Dari PKPB ke PKPP

Semalam Perdana Menteri dah umumkan peralihan daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini kepada fasa pemulihan (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan - PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. Lebih banyak sektor akan dibuka sepanjang PKPP nanti.

Yang paling menggembirakan ramai orang pastilah kebenaran merentas negeri yang bermula Rabu ini. Bukan main seronok lagi masing-masing dengar pengumuman tersebut. Jadi terhibur baca status Facebook masing-masing 😂. Rata-rata yang saya baca, semuanya tak sabar nak balik kampung berjumpa mak ayah dan adik-beradik. Yalah, berbulan-bulan tak dapat balik ke kampung, pastilah rindu sarat di dada.

Saya pun turut tumpang gembira walaupun rentas negeri tidak memberi kesan besar buat kami sekeluarga. PKP atau tidak, memang tak ke mana-mana pun. Paling tinggi pun balik ke rumah mentua. Itu pun bukannya setiap bulan boleh balik..hehe.
 
Doa saya, yang berhajat mahu pulang ke kampung dilindungi Allah sepanjang perjalanan dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Amalkan kebersihan diri dan patuhi segala SOP yang telah ditetapkan. Mudah-mudahan wabak COVID-19 ini segera berlalu pergi..ameen.

Saturday, June 6, 2020

Kembali Setelah 6 tahun?

Ya Allah, dah 6 tahun blog ni terabai rupanya. Mujurlah masih ingat password. Sungguh, perasaan rindu berblog tu sentiasa ada cuma itulah, entah ke mana entah menghilangnya mood untuk kembali aktif menulis. Sekali-sekala lawat juga blog ni. Terimbau kenangan lalu. Banyak kenangan manis sejak mula melibatkan diri dalam dunia blog.

Harapnya lepas ni dapatlah menulis secara konsisten. Tadi pun baru selesai mengemas blog. Buang segala gadget yang tak perlu, susun layout dan tambah apa yang patut. Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah...hehe..