Pages

Tuesday, July 28, 2020

Majlis Perpisahan GPKPK

Beberapa minggu lepas telah diadakan satu majlis perpisahan di sekolah anak buat Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (GPKPK) yang akan berpindah ke sekolah baru atas kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Jika diikutkan aturcara, majlis bermula pada jam 9.30 pagi tapi jam 10 baru saya dapat gerak ke sekolah. Ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum itu.

Saya sampai beberapa minit sebelum GPKPK berucap. Elok beberapa minit GPKPK berucap, empangan mata tiba-tiba bocor. Sebak sangat dengar ucapan GPKPK. Bersungguh tahan air mata daripada gugur tapi airnya berlinangan juga ke pipi. Sudahlah tak bawa tisu. Aduhai. Kejap-kejap kesat air mata guna tangan. Makin lama, makin laju pula air mata yang mengalir. Memang tak mampu nak tahan dah.

Paling sayu, apabila GPKPK berulang kali sebut:

"Anak-anak kita ni semua ada potensi masing-masing. Tugas kita kena cari dan gilap bakat mereka."

"Anak-anak inilah yang bagi kami pahala setiap pagi."

Ayat ini sebenarnya ayat yang selalu GPKPK ulang hampir setiap kali ada pertemuan antara ibu bapa dan guru-guru PPKI. Setiap kali tu rasa sebak. Ayat ingatan untuk diri sendiri terutamanya. Ada masa memang rasa down fikirkan masa depan anak istimewa. Kata-kata beginilah yang menaikkan balik semangat yang pudar.

GPKPK kami ni tegas orangnya. Seorang yang outspoken. Apa yang terbuku di hati, dia terus sebut sahaja. Yang perlu ditegur, dia tegur sahaja tak kiralah ibu bapa nak berkecil hati atau tidak. GPKPK sendiri pun mengaku hal ni..hehe. Jujurnya, saya memang takut dengannya. Kecut perut nak berdepan..hihi.

TAPI, insan inilah yang banyak fight untuk anak-anak PPKI di sekolah itu. Segala kemudahan untuk anak-anak PPKI sebolehnya disediakan. Tak cukup dana untuk sesuatu projek, dicarinya sumbangan merata tempat. Selama hampir lima tahun anak sulung di sekolah itu memang boleh nampak kesungguhan GPKPK membantu anak-anak PPKI.

Pertemuan terakhir inilah sebenarnya saat pertama saya berbual dengan GPKPK. Hehe..tak patut betul. Itu pun disebabkan GPKPK duduk di sebelah saya. Sembang perihal anak istimewa saya serba sedikit. Al-maklumlah, dah beberapa bulan anak tak dapat ke sekolah asbab COVID-19. Pertemuan terakhir ini pun tak dapat bawa anak bersama sebab tak dapat keizinan daripada Guru Besar. Sebelum balik, sempat minta maaf dengan GPKPK tapi GPKPK pula beriya-iya minta maaf. Huhu...sedih pula.


Gambar kenangan terakhir bersama GPKPK (berbaju kuning)


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Saturday, July 25, 2020

Nilai Kecil Yang Amat Bermakna

Dah 2 minggu rupanya tak update blog. Dari sehari ke sehari nak update tapi tak kesampaian. Tak sempat. Anak-anak dah masuk sekolah balik. Agak terkejar-kejar juga sejak bertukar rutin. Ada satu post yang masih dalam draft pun belum dapat disiapkan lagi. Mengalahkan menteri sibuknya 😁.

Pagi semalam saya bawa Safiyyah (anak sulung) makan di kedai. Antara empat beradik, hanya dia sahaja yang belum kembali ke sekolah. Pihak sekolah cutikan sehingga PKPP berakhir. Kesiankan dia yang asyik terperuk di rumah, saya bawalah dia makan di kedai. Lagipun sarapan yang dimasak awal paginya dah dihabiskan adik-adiknya. 

Mulanya dia agak moody waktu sampai di kedai tu. Kuih buah Melaka kegemaran dia yang saya ambil dan letakkan di depannya pun dia buat tak endah sahaja. Air dah dapat, baru okay sikit. Barulah dia makan sebiji kuih tu. Sampai roti canai, dia makan roti canai pula. Semakin okay mood dia. Barulah nampak ceria dan gembira.

Safiyyah ni kalau dia tengah gembira, dia akan keluarkan bunyi pelik. Tak tahu nak jelaskan macam mana. Dalam keadaan ini, suaranya automatik akan jadi kuat. Satu kedai dengar 😅. Kebiasaannya banyak matalah memandang. Yalah, nampak pelik di pandangan orang.

Daripada dia tantrum, lebih baiklah begini walaupun tetap juga mengundang perhatian orang. Selesai makan dan bayar di kaunter, kami terus menuju ke motosikal. Baru nak pakai topi keledar, dengar satu suara di belakang.

"Nah, ambil ni dik."

Saya toleh. Seorang budak muda dalam lingkungan usia awal 20-an hulurkan duit pada Safiyyah.  Terkejut sebab tak sangka. Lebih terkejut sebab muda lagi orangnya. Muda tapi sangat prihatin. Sebelum adik tu berlalu pergi, sempatlah saya ucapkan terima kasih.

Rasanya adik tu pun baru sudah makan di kedai berkenaan. Tak perasan sebab tak pandang keliling.  Dia nampak agaknya Safiyyah berkelakuan pelik. Terharu sangat. Walaupun nilai yang diberi kecil sahaja tapi ia memberi makna yang cukup besar.

Terima banyak-banyak, dik. Moga sentiasa murah rezeki dan dipermudahkan urusan sehari-hari.


Sunday, July 12, 2020

Nasi Empat Tayar?

Dalam perjalanan ke rumah kakak ipar semalam, tiga daripada empat anak-anak saya bersembang. Mulanya si adik (nombor empat) suruh abang dan kakaknya teka apa yang dia makan di sekolah pagi tu. Bibit-bibit nak mulanya pertengkaran dah mula kedengaran.

Biasalah mereka bertiga tu. Sehari tak bergaduh memang tak sah. Sekecil-kecil perkara boleh jadi bahan pertengkaran. Si kakak dan si abang dah teka macam-macam tapi kesemuanya salah dan si adik pula masih tak mahu berterus-terang, mulalah panas hati mereka. Mula nak marah si adik. Saya biarkan sahaja sebab masih dalam kawalan.

Dalam pada berteka-teki tu, terdengar seorang daripada mereka sebut nasi empat tayar. Termenung sekejap ummi mereka ni. Nasi empat tayar? Apa benda pula tu? Lepas tu barulah dapat pick up. Nasi pataya rupanya!

Macam manalah pataya boleh jadi empat tayar...? Pataya ya, anak-anak. PA-TA-YA. Bukan empat tayar. Huhu. Rupanya, dia tersalah dengar orang sebut. Orang sebut pataya, dia dengar empat tayar. Tu yang jadi nasi empat tayar. Habis kami semua ketawa termasuk yang yang sebut nasi empat tayar tadi tu. Terus hilang kisah nak bertengkar tadi..hehe..



Thursday, July 9, 2020

Papa Zola, Mama Zila?

 "Ala...kenapalah papa tak jadi Papa Zola?"

"Papa jadilah Papa Zola. Ummi jadi Mama Zila."

Jam dah 11 lebih. Waktu malam. 

Ummi yang sebelum tu dah berat mata terus tak jadi nak tidur.

Jenuh menahan gelak dalam keadaan mata tertutup tapi tertawa jua akhirnya!

Ummi nak tidur ni, anak-anak. Yang dua beradik ni tak habis-habislah pot pet pot pet.

Sudahlah suruh ummi jadi Mama Zila, papa pula disuruh jadi Papa Zola.

Terbayang pula papa sebagai Papa Zola. Terus segar biji mata ummi. Ketawa masa tu juga! Sesuai jugalah...sama-sama bercermin mata dan sama-sama dipanggil papa. Haha.

"Papa, peluklah kita sekali," bersuara pula yang nombor empat dalam pada ummi menahan tawa.

Lepas papa peluk, dia sebut "seat belt". Dia anggap tangan papa tu sebagai seat belt pula. Haha. Yang nombor empat ni memang selalu buat orang tak kering gusi. Nama lain dia di rumah ni adalah Pipi Zola 😄.