Pages

Friday, June 19, 2020

Kek Marble

Petang semalam saya buat kek marble. Projek yang tertangguh sebenarnya ni. Raya hari tu saya dah buat sebiji kek marble untuk dibawa ke rumah adik ipar. Tapi yang itu tak ingat nak ambil gambar. Disebabkan tak puas hati dengan tekstur kek tu, saya rancang nak buat sekali lagi kek marble guna resipi berlainan. Boleh juga dikongsi dengan jiran-jiran. Beberapa hari tertangguh, akhirnya jadi jugalah dibuat semalam.

Kali ni saya berpuas hati dengan tekstur keknya. Gebu dan lembap. Cuma pada saya, rasa kek ni agak manis. Mungkin disebabkan saya tak guna serbuk koko seperti yang tercatat dalam resipi berkenaan. Lain kali kena kurangkan sedikit sukatan susu pekat tu.

Menurut Puan Azie, ada dua kaedah untuk buat kek marble ni. Kaedah pertama kena asingkan telur putih dan kuning. Kaedah kedua sama caranya macam buat kek biasa. Pendek kata, lebih mudah. Pastinya saya pilih kaedah yang lebih mudah..hehe. Kalau nak tengok kaedah pertama tu, rujuk blog Puan Azie ya. Di sini saya catat kaedah kedua. Senang untuk rujukan sendiri.


Separuh kek dibahagi kepada jiran-jiran. Separuh bahagian lagi jadi habuan kami anak-beranak.


Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
8 oz/227 gm mentega
6 oz/170 gm tepung gandum
6 oz/170 gm gula kaster
5 biji telur
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
3-4 sudu besar serbuk koko -diayak (guna coklat emulco) - saya ganti dengan pewarna makanan sahaja


Cara cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan ovalette, susu pekat dan esen vanila. Pukul rata.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji ke dalam adunan dan pukul lagi hingga rata.
  4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul hingga adunan sebati.
  5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan masukkan warna atau emulco pilihan anda.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci secara selang seli dimulai dengan adunan asal. Lorek dengan menggunakan chopstick.
  7. Bakar pada suhu 180C selama 45 minit atau sehingga masak. Saya guna suhu 170C selama 50 minit. 


Ini rupa bawah kek. Macam corak bola..hehe..


Selamat mencuba!



4 comments:

Amie said...

Seronoknya bila dapat buat kek sendiri. Saya ni jenis tak sabar tunggu sejuk, kalau buat kek, kuar dari oven memang terus nak rasa sepotong heheeee.

Nadiah Sidek said...

hehe...kat rumah ni pun ada yang tak boleh sabar juga. Lagi suka buat kek kalau tak ada sesiapa di rumah :D

Ana Jingga said...

nampak gebu dan lembut sangat , kak ana following sini 660

Nadiah Sidek said...

terima kasih sudi follow, kak ana :)