Pages

Friday, June 26, 2020

Tragedi Berdarah 1 Jun 2020

Lama dah tak ada insiden berdarah dalam keluarga kami kecuali Shakir yang selalu berdarah hidungnya. Tak disangka, 1 Jun lepas berlaku tragedi di rumah. Waktu kejadian, yang berada di rumah adalah saya dan anak-anak berempat. Saya sedang mencuci pinggan di dapur ketika itu. Tiba-tiba dengar bunyi kaca berkecai.

Saya toleh. Yang punya angkara dah berlari ke ruang tamu. Takut dimarahi barangkali. Allah. Hati mula rasa panas. Termasuk yang ini, sudah dua kali kaca pecah dikerjakannya. Sebelum ini kaca kabinet di kampung pecah waktu kami terkandas di sana (ada dicatat dalam post sebelum ni: PKP: Terkandas di Kampung #2). Kali ini, tingkap bilik pula menjadi mangsa amarah si anak.

Saya ambil penyapu dan penyodok. Sambil beristighfar, saya sapu serpihan kaca yang berterabur di atas lantai. Saya tahu kalau saya tak kawal diri, bila-bila masa sahaja saya boleh 'meletup'. Tambahan pula sejak pagi badan rasa lemau. Rasa tak bersemangat. Emosi tak menentu. Sambil-sambil menyapu tu gugur juga air mata. Letih. Terkejut. Marah. Sedih. Semuanya menjadi satu.

Menyapu sekadar laluan ke dapur bebas serpihan kaca, saya ke ruang tamu. Niat di hati mahu melampiaskan rasa marah terhadap si anak tapi terbantut akhirnya. Atas sofa, saya terpandangkan darah yang bertakung. Allahuakbar. Sungguh saya tak sangka tangan Safiyyah tercedera ketika memecahkan tingkap. Sikit pun dia tak mengaduh kesakitan. Wajahnya pun nampak tenang. Entah sakit entahkan tidak. Selalunya kalau sakit, dia mesti sebut 'hurt' tapi tidak kali ini.

Kejadian di kampung sebelum ini tiada sebarang kecederaan. Maka, saya fikir kali ini juga dia bernasib baik. Malahan, tiada setitik darah pun dikesan di atas lantai. Menguatkan lagi sangkaan saya yang dia tidak cedera sedikit pun. Terkejut tengok darah yang banyak itu. Saya cari punca pendarahan. Nampak satu luka di lengan kiri dan satu bendasing di bahagian luka tersebut. Saya fikirkan kaca. Tapi bila disentuh, lembut. Aduhai. Isi daging terkeluar sedikit rupanya. Bertambah ketar dibuatnya.

Saya bergegas ke dapur, ambil beberapa keping tisu dapur dan letak di bahagian luka agar pendarahan berhenti. Itu sahaja yang boleh difikirkan. Minta seorang lagi anak ambilkan telefon. Saya telefon suami memaklumkan keadaan Safiyyah. Waktu itu suami berada di Serendah. Kalau tunggu, makan masa. Makanya, sayalah yang terpaksa bawa Safiyyah ke klinik. Mujur jugalah ada klinik swasta yang berdekatan.

Dalam keadaan kelam-kabut dan panik, MyKid Safiyyah pula tak dijumpai. Begitu juga kad OKU-nya. Aduh. Saya hubungi suami saya sekali lagi. Seingat saya, kali terakhir, dua kad tersebut ada padanya. Tapi tiada juga. Merata saya cari. Tak jumpa. Pelik. Saya bukannya jenis letak merata kad pengenalan diri. Masih tak jumpa, saya tawakal ke klinik dengan membawa salinan MyKid Safiyyah. Alhamdulillah staf klinik tak banyak soal.

Di klinik, luka Safiyyah tak boleh dijahit di situ memandangkan ia dah bengkak. Doktor beri saya dua pilihan. Sama ada ke klinik kesihatan atau ke hospital. Waktu itu jam sudah pun pukul 4 lebih. Saya buat keputusan untuk ke hospital. Bimbang klinik dah tak terima pesakit waktu itu. Balik ke rumah semula, saya cari lagi MyKid Safiyyah. Tetap juga tak jumpa. Saya bertambah susah hati sebab polisi hospital kerajaan agak tegas. Salinan pengenalan diri tak boleh diguna. Kena bagi yang asal juga.

Akhirnya saya bawa surat beranak beserta kad kuning (temujanji) hospital milik Safiyyah. 3 orang adik-adik Safiyyah terpaksa ditinggalkan di rumah dengan beberapa pesanan. Jangan dekat dengan kawasan berdekatan tingkap yang pecah. Jangan buka pintu kalau ada orang datang. Duduk diam-diam, kejap lagi papa balik. Itu pesanan saya buat tiga beradik.

Sampai di unit kecemasan hospital, suhu badan kami diambil dan saya tunjukkan lengan Safiyyah yang cedera. Kami terus dibawa ke trauma-line dan luka Safiyyah dibalut sementara. Selepas mendaftar, kami dibawa ke zon kuning untuk prosedur seterusnya. Alhamdulillah, sewaktu mendaftar saya hanya tunjukkan kad kuning sahaja. Rekod Safiyyah memang sudah ada dalam data hospital. Jadi kad itu juga dikira sebagai pengenalan diri.

Masuk ke bilik prosedur di zon kuning, luka Safiyyah diperiksa oleh beberapa orang doktor yang bertugas. Doktor tanya macam mana boleh jadi macam tu? Saya jawab, "Dia pecahkan tingkap." Hairan doktor dengar jawapan saya. Lepas diberitahu yang Safiyyah adalah seorang autistik, barulah doktor mengangguk tanda faham.

Kami diminta buat X-ray bagi memastikan tiada serpihan kaca yang tertinggal. Usai X-ray, terus ke zon kuning semula dan menunggu giliran depan bilik prosedur untuk dijahit. Pukul 5 lebih, suami hubungi saya. Alhamdulillah dia dah sampai rumah. Hilanglah risau terhadap 3 beradik yang ditinggalkan. Saya minta suami tolong cuci sofa dan bersihkan betul-betul sekeliling kawasan berdekatan tingkap termasuk dalam kawasan bilik. 

Waktu menunggu giliran untuk dijahit agak lama. Safiyyah dah mula resah. Risau dia tantrum. Mujurlah dia sekadar menjerit sahaja, tidak lebih daripada itu. Sejam menunggu, barulah nama Safiyyah dipanggil. Mula-mula doktor bersihkan darah pada tangan Safiyyah. Dah bersihkan tu barulah perasan ada satu lagi luka tapi tak dalam dan tak perlu dijahit. Waktu ni pun Safiyyah agak marah sebab proses cuci agak lama.

Tiba masa untuk jahit, saya diminta doktor untuk pegang tangan kanan Safiyyah. Seorang doktor pegang tangan kirinya dan seorang lagi doktor ambil tugas menjahit. Baru nak mula jahit, Safiyyah meronta-ronta. Dia seram tengok peralatan menjahit yang dipegang doktor agaknya. Dengan saya sekali gerun...huhu. 5 jahitan jugalah Safiyyah kena.


Yang kena jahit satu bahagian sahaja yang bawah. Satu lagi tu tak perlu dijahit.


Tingkap tengah yang dah tak bercermin.


3 hari selepas dijahit, saya minta suami bawa Safiyyah ke klinik untuk periksa lukanya sebab saya nampak tangannya semakin bengkak dan plaster pun dipenuhi darah. Tak berani nak buka plaster sendiri. Kebetulan Raihannah perlu ke klinik untuk suntikan imunisasi darjah 1, jadi Safiyyah dibawa bersama. Doktor terus tanggalkan sahaja plaster dan sembur kawasan luka dengan cecair kalis air (spray dressing). 


Ini luka yang satu lagi.


Temujanji untuk buka jahitan.
Doktor di klinik tanya dah berapa hari dijahit? Saya jawab 14 hari.
"14 hari? Dah merah ni. Sepatutnya 7 hari dah buka dah."
Tapi doktor di hospital kata 14 hari. Hmm.


Selepas jahitan dibuka.


Gambar terkini. Hampir 2 minggu selepas jahitan dibuka.


Lepas kejadian ni, Safiyyah dah tak tepuk tingkap bilik tu lagi. Kalau tak, setiap hari ditepuknya. Memang selalu risau tingkap tu pecah sebab dia tepuk bukan acah-acah. Tepuk sekuat hati terutama waktu dia tantrum. Yang ditakuti akhirnya berlaku juga. Sekarang ni dia beralih pada kaca kabinet buku pula. Haih. Diberitahu cermin tu boleh pecah sebagaimana tingkap bilik tu, diketuk pula perlahan-lahan guna hujung jari. Maknanya dia faham tapi bila tengah tantrum, bukannya dia ingat. Alahai anak.

Harapnya ini kali terakhir berlaku kejadian macam ni. Tak sanggup nak lalui lagi. Moga Allah lindunginya setiap masa..ameen.



11 comments:

Unknown said...

Smg Safiyyah sentiasa dlm lindungan dan jagaan Allah swt. Buat Pn Nadiah, ada kekuatan dan kesabaran kurniaan Allah. Smg semuanya dipermudahkan Allah.

Ahmad muda said...

Pakcik doakan Safiyyah sentiasa mendapat kebaikan di dunia dan akhirat serta menjadi anak yg solehah buat ibu dan bapa ya. Aminnn..

Nadiah Sidek said...

unknown & ahmad muda: terima kasih atas doanya

Tirana said...

Semoga Allah sentiasa memelihara Saffiyah.

azimahjais said...

Allah Nad... Akak nangis baca kisah Safiyyah ni sebab sambil baca membayangkan keadaan diri Safiyyah sambil terkenangkan anak sendiri. Anak2 kita memang ada kisah mereka yang tersendiri

dear anies said...

aduhhhh rasa macam x sanggup nk baca smpi habis sbb sy bagaikan terasa sakitnya... mudah2an cpt sembuh ya

Unknown said...

Smg safiyyah sentiasa dlm perlindungan Allah...mg nadiah dikurniakan ketenangan dan kesabaran selalu

Nadiah Sidek said...

kak tirana: ameen. terima kasih atas doanya

kak azimah: saya menaip post ni pun mengalir air mata. Rasa bersalah nak marah dia masa tu

dear anies: memang ngeri sikit post kali ni. terima kasih ya

unknown: ameen. terima kasih ya

Amie said...

Allahu Akbar....
Mahu tak mahu terpaksa juga dilalui. Apa pun yang penting semuanya sudah ok. Syukur Alhamdulillah.

Nadiah Sidek said...

amie: alhamdulillah ala kulli hal

Melbourne Acupuncture said...

Great rreading