Pages

Tuesday, July 7, 2020

Catatan Manis Cikgu

Di kelas dahulu, jika dapat semula buku yang dihantar kepada cikgu, inilah yang ditunggu-tunggu. Terus selak halaman terakhir yang ditanda cikgu. Berharap ada catatan manis yang cikgu titipkan. Senyum seorang diri setiap kali dapat kata-kata begini daripada cikgu. Bersemangat untuk buat yang lebih baik.



Salah seorang daripada cikgu ini adalah cikgu yang saya geruni. Berdebar setiap kali tiba waktu cikgu ini mengajar. Cikgu ini pernah campak buku anak murid di dalam kelas. Hanya kerana anak murid tidak menulis nama penuh berserta nama bapa, buku dilontarkan. Memang kepantangan cikgu jika anak murid tidak tulis nama bapa. Tak ingat pula sama ada salah seorangnya adalah saya sendiri. Nama dah sedia pendek tapi malas tulis nama penuh, memang mencari nahaslah namanya.

Cikgu yang sama juga pernah menjerit dalam kelas marahkan anak murid. Senak perut mendengar suara halilintar cikgu. Dalam keadaan angin ribut cikgu datang seperti ini, sangat berharap masa cikgu segera berakhir. Anehnya, terasa lama pula waktu bergerak. Dalam hati, usah diceritalah. Berdegup kencang macam nak tercabut jantung dibuatnya.

Peliknya, cikgu yang digeruni inilah yang paling saya sayang dan paling diingati. Sentiasa tersemat di hati. Segarang-garang cikgu, dialah yang paling rajin meninggalkan catatan manis dalam buku anak murid, sesuai dengan hasil kerja anak murid itu sendiri. Sebahagian daripada catatan manis yang disertakan itu adalah daripada cikgu yang dimaksudkan. Kemuncaknya, adalah catatan yang di tengah itu.

"Sangat memuaskan. Semoga Tuhan membalas dengan kejayaan cemerlang dalam SPM."

Bukan catatan kebiasaan yang diterima. Catatan luar biasa merangkap sebuah doa. Terharu. Terus rasa bersalah sebab tak berusaha bersungguh-sungguh untuk SPM ketika itu. Maafkan saya, cikgu.

Kini, saya faham satu perkara. Garang cikgu garang bersebab. Marah cikgu bukan kerana benci. Marah cikgu kerana sayangkan anak murid. Mahu anak murid berjaya dan jadi insan bermanfaat kepada manusia sejagat. Mungkin asbab doa guru-guru, saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan sekali gus menggenggam segulung ijazah walaupun keputusan SPM saya tidak termasuk dalam kategori cemerlang.

Terima kasih, cikgu. Saya sayang cikgu.


6 comments:

Ana Jingga said...

kenangan ni zaman sekolah dahulu kalau dapat coretan dari cikgu kan :)

Nadiah Sidek said...

hehe..betul. Seronok kalau dapat :D

Mama Zharfan said...

Salam ziarah...nak ucap tq sbb u sudi singgah kat blog kecik i tu and drop komen :) love it and appreciate it so much ;)

Nadiah Sidek said...

hehe...thanks for dropping by too, mama zhafran :)

dear anies said...

alahaiiii best nya cikgu mcm niiiii👍👍👍

Nadiah Sidek said...

anies: best sangat