Pages

Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Tuesday, July 28, 2020

Majlis Perpisahan GPKPK

Beberapa minggu lepas telah diadakan satu majlis perpisahan di sekolah anak buat Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (GPKPK) yang akan berpindah ke sekolah baru atas kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Jika diikutkan aturcara, majlis bermula pada jam 9.30 pagi tapi jam 10 baru saya dapat gerak ke sekolah. Ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum itu.

Saya sampai beberapa minit sebelum GPKPK berucap. Elok beberapa minit GPKPK berucap, empangan mata tiba-tiba bocor. Sebak sangat dengar ucapan GPKPK. Bersungguh tahan air mata daripada gugur tapi airnya berlinangan juga ke pipi. Sudahlah tak bawa tisu. Aduhai. Kejap-kejap kesat air mata guna tangan. Makin lama, makin laju pula air mata yang mengalir. Memang tak mampu nak tahan dah.

Paling sayu, apabila GPKPK berulang kali sebut:

"Anak-anak kita ni semua ada potensi masing-masing. Tugas kita kena cari dan gilap bakat mereka."

"Anak-anak inilah yang bagi kami pahala setiap pagi."

Ayat ini sebenarnya ayat yang selalu GPKPK ulang hampir setiap kali ada pertemuan antara ibu bapa dan guru-guru PPKI. Setiap kali tu rasa sebak. Ayat ingatan untuk diri sendiri terutamanya. Ada masa memang rasa down fikirkan masa depan anak istimewa. Kata-kata beginilah yang menaikkan balik semangat yang pudar.

GPKPK kami ni tegas orangnya. Seorang yang outspoken. Apa yang terbuku di hati, dia terus sebut sahaja. Yang perlu ditegur, dia tegur sahaja tak kiralah ibu bapa nak berkecil hati atau tidak. GPKPK sendiri pun mengaku hal ni..hehe. Jujurnya, saya memang takut dengannya. Kecut perut nak berdepan..hihi.

TAPI, insan inilah yang banyak fight untuk anak-anak PPKI di sekolah itu. Segala kemudahan untuk anak-anak PPKI sebolehnya disediakan. Tak cukup dana untuk sesuatu projek, dicarinya sumbangan merata tempat. Selama hampir lima tahun anak sulung di sekolah itu memang boleh nampak kesungguhan GPKPK membantu anak-anak PPKI.

Pertemuan terakhir inilah sebenarnya saat pertama saya berbual dengan GPKPK. Hehe..tak patut betul. Itu pun disebabkan GPKPK duduk di sebelah saya. Sembang perihal anak istimewa saya serba sedikit. Al-maklumlah, dah beberapa bulan anak tak dapat ke sekolah asbab COVID-19. Pertemuan terakhir ini pun tak dapat bawa anak bersama sebab tak dapat keizinan daripada Guru Besar. Sebelum balik, sempat minta maaf dengan GPKPK tapi GPKPK pula beriya-iya minta maaf. Huhu...sedih pula.


Gambar kenangan terakhir bersama GPKPK (berbaju kuning)


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Tuesday, July 7, 2020

Catatan Manis Cikgu

Di kelas dahulu, jika dapat semula buku yang dihantar kepada cikgu, inilah yang ditunggu-tunggu. Terus selak halaman terakhir yang ditanda cikgu. Berharap ada catatan manis yang cikgu titipkan. Senyum seorang diri setiap kali dapat kata-kata begini daripada cikgu. Bersemangat untuk buat yang lebih baik.



Salah seorang daripada cikgu ini adalah cikgu yang saya geruni. Berdebar setiap kali tiba waktu cikgu ini mengajar. Cikgu ini pernah campak buku anak murid di dalam kelas. Hanya kerana anak murid tidak menulis nama penuh berserta nama bapa, buku dilontarkan. Memang kepantangan cikgu jika anak murid tidak tulis nama bapa. Tak ingat pula sama ada salah seorangnya adalah saya sendiri. Nama dah sedia pendek tapi malas tulis nama penuh, memang mencari nahaslah namanya.

Cikgu yang sama juga pernah menjerit dalam kelas marahkan anak murid. Senak perut mendengar suara halilintar cikgu. Dalam keadaan angin ribut cikgu datang seperti ini, sangat berharap masa cikgu segera berakhir. Anehnya, terasa lama pula waktu bergerak. Dalam hati, usah diceritalah. Berdegup kencang macam nak tercabut jantung dibuatnya.

Peliknya, cikgu yang digeruni inilah yang paling saya sayang dan paling diingati. Sentiasa tersemat di hati. Segarang-garang cikgu, dialah yang paling rajin meninggalkan catatan manis dalam buku anak murid, sesuai dengan hasil kerja anak murid itu sendiri. Sebahagian daripada catatan manis yang disertakan itu adalah daripada cikgu yang dimaksudkan. Kemuncaknya, adalah catatan yang di tengah itu.

"Sangat memuaskan. Semoga Tuhan membalas dengan kejayaan cemerlang dalam SPM."

Bukan catatan kebiasaan yang diterima. Catatan luar biasa merangkap sebuah doa. Terharu. Terus rasa bersalah sebab tak berusaha bersungguh-sungguh untuk SPM ketika itu. Maafkan saya, cikgu.

Kini, saya faham satu perkara. Garang cikgu garang bersebab. Marah cikgu bukan kerana benci. Marah cikgu kerana sayangkan anak murid. Mahu anak murid berjaya dan jadi insan bermanfaat kepada manusia sejagat. Mungkin asbab doa guru-guru, saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan sekali gus menggenggam segulung ijazah walaupun keputusan SPM saya tidak termasuk dalam kategori cemerlang.

Terima kasih, cikgu. Saya sayang cikgu.


Tuesday, June 16, 2020

Tulisan Siapa Ni?

Dalam beberapa minggu ni saya dalam proses mengemas stor dan barang-barang lama. Ambil masa nak selesaikan sebab saya hanya peruntukkan selama satu ke dua jam sahaja mengemas selepas Subuh. Itu pun bukan setiap hari. Ikut tahap kerajinan juga. Satu lagi sebab, sambil mengemas sambil belek-belek, sambil mengenang memori lalu. Itu yang tak sudah-sudah lagi mengemasnya 😁.

Pagi semalam saya kemas buku-buku lama sejak zaman sekolah lagi. Jumpa buku tulis tingkatan 1. Saya buka secara rawak nak tengok isi di dalamnya. Pelik. Tulisan siapa pula ni? Tengok muka depan, memang nama saya tapi tulisan di dalamnya tak familiar pula. Saya belek-belek lagi. Dari satu muka surat ke muka surat seterusnya.

Ya ampun...tulisan sendiri rupanya! Sungguhlah tak kenal tulisan sendiri. Tak ingat pula tulisan pernah besar suatu masa dahulu. Ingatkan tulisan memang sedia kecil sejak sekolah rendah..hehe. Saya tengok pula buku tingkatan 3. Kecil sedikit saiznya berbanding tulisan tingkatan 1. Tingkatan 5, kurang lagi saiznya. Masuk matrikulasi, sehalus-halus tulisan jadinya! Macam manalah agaknya pensyarah mengadap tulisan bersaiz halus gitu? Stres gamaknya 😂.


 
Inilah tulisan yang diri sendiri tak kenal tu.
Besar dan bulat-bulat...macam tulisan budak-budak..hehe..


Tulisan sewaktu tingkatan 3.


Ini pula dari buku tingkatan 5. Nak buat tulisan sambung kononnya tapi tak jadi..haha..


Ini ketika di matrikulasi. Awatlah pi tulis halus gitu, Nadiah? Isy, isy...naya ke pensyarah je.


Macam-macam jenis dan saiz tulisan boleh jumpa. Itu yang boleh tak kenal tulisan sendiri tu..hihi..