Pages

Showing posts with label dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label dunia Islam. Show all posts

Sunday, October 25, 2020

Kisah Khabib Nurmagomedov

Tular sekali lagi kisah Khabib Nurmagomedov kali ini. Nama ini pertama kali saya tahu ketika tularnya berita kematian ayahnya beberapa bulan yang lepas. 

Hari ini, nama Khabib sekali lagi tular di media sosial atas kemenangannya sebagai juara bertahan yang ke-29. Ia juga merupakan perlawanannya yang terakhir dan bersara dengan mengekalkan rekod kejuaraan tanpa kekalahan.

Saya bukanlah peminat sukan. Tidak pernah mengikuti mana-mana acara sukan lebih-lebih lagi acara gusti. Cuma cerita Khabib mencuri perhatian saya.


Gambar sumber Google


Saya belajar sesuatu daripada kisah Khabib.

1. Dakwah itu luas pengertiannya. Dengan bersukan pun boleh berdakwah. Jika baca cerita Khabib, beliau adalah seorang yang sentiasa menjaga solatnya dan sentiasa solat berjemaah di masjid. Setiap kali kemenangan, pasti ucapan Alhamdulillah yang meniti di bibirnya.

2. Betapa pentingnya menjaga akhlak dan dan budi pekerti yang baik. Akhlak yang baik pasti disenangi kawan dan dihormati lawan. Dengan akhlak yang baik juga mampu buat orang tertarik dengan Islam.

3. Sentiasa bersikap merendah diri sekalipun telah berada di puncak kejayaan.

4. Peranan ibu bapa sangat penting dalam mencorakkan keperibadian anak. Saya cukup senang membaca kisah Khabib dengan ayahnya. Betapa rapatnya hubungan mereka berdua. Betapa hormatnya Khabib terhadap ibu bapanya. Perlawanan yang terakhir ini juga adalah demi menghormati permintaan ibunya yang tidak mahu lagi Khabib berlawan tanpa ayahnya di sisi.


"When ALLAH with you, nobody can broke you, nobody", Khabib.


 Selamat bersara, sang juara! Moga terus memberi inspirasi buat semua.


Wednesday, November 14, 2012

Ketiga: Trimester pertama

Dah masuk tahun baru 1434H dah. Sekejap sahaja tahun demi tahun berlalu. Salam Maal Hijrah buat semua umat Islam!


Sedikit catatan bagi trimester pertama untuk kehamilan yang ketiga...

13 Julai 2012
Buat urine pregnancy test (UPT) sendiri di rumah. Seperti yang dijangka, keputusan positif. Jelas kelihatan double lines. Alhamdulillah, betul-betul seminggu sebelum Ramadhan dapat tahu yang saya hamil buat kali ketiga. Itu pun suami yang 'desak' saya buat UPT. 5 hari sebelum tu keluar sedikit darah yang saya sangka adalah darah haid. Anehnya, darah yang keluar hanya sedikit. Hari keesokannya, tiada lagi darah yang keluar.

Saya dah mula syak yang saya mengandung. Dalam hati sedikit risau memandangkan saya tak pernah ada pengalaman keluar darah (spotting) di awal tempoh kehamilan. Cuma, masa mengandungkan Shakir, keluar sedikit darah ketika usia kandungan mencecah 13 minggu. Ingat nak buat UPT senyap-senyap tanpa pengetahuan suami tapi tak ada stok home-pregnancy test di rumah. Dalam pada tu saya cari maklumat di internet. Rupanya, spotting adalah salah satu tanda awal kehamilan. Sedikit kelegaan di situ.


Bermulanya Ramadhan 1433H
Dua kali kehamilan sebelum ni Allah izin saya dapat berpuasa penuh di bulan Ramadhan. Bagi kehamilan ketiga ini juga saya mengharapkan saya dapat berpuasa penuh tapi baru 1 Ramadhan, saya hampir tewas. Badan rasa tak berdaya sangat pagi tu. Saya hanya lebih banyak berbaring. Alhamdulillah, melepasi tengahari, saya rasa sedikit bertenaga dan mampu untuk meneruskan ibadah puasa.

Beberapa hari selepas tu, saya mula demam di waktu pagi. Bermula jam 10 pagi, mula rasa tak sedap badan tapi selepas jam 2 atau 3 petang, badan saya kembali normal. Keadaan ni berterusan sehingga pertengahan Ramadhan. Dalam tempoh tu, setiap hari jam 10 pagi saya akan berselimut di atas katil sehingga tengahari. Demam pun ada timing :p. Awal Ramadhan ni juga saya mula tak boleh gosok gigi di awal pagi, rasa nak muntah; sama halnya macam mengandungkan Safiyyah dulu.

23 Ramadhan, balik dari majlis graduasi Fatin dan Irfan, saya rasa sangat tak berdaya. Terbaring je dalam bilik. Suami saya pula terus pergi ladang (field work). Mujur juga tetamu yang ada di rumah waktu tu turut sama keletihan dan berehat dalam bilik. Saya tak masak pun untuk berbuka. Kebetulan pula tetamu dapat jemputan berbuka di tempat lain. Saya dan anak-anak, suami bawa makan di luar.

Pada 28 Ramadhan pula, badan saya tiba-tiba rasa lemah, menggigil dan berpeluh. Tanda-tanda kekurangan gula dalam darah. Setiap kali keadaan ni berlaku, saya cepat-cepat makan makanan manis (kebiasaannya coklat) dan beberapa minit selepas tu badan saya pulih seperti sediakala. Saya cuba untuk bertahan. Rasa sayang pula nak berbuka. Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi Ramadhan berbaki. Saya baring dan tenangkan diri. Alhamdulillah, tak lama lepas tu hilang rasa menggigil dan saya dapat berpuasa penuh untuk hari tu.

Puasa dalam keadaan diri berbadan dua kali ni benar-benar menguji diri. Namun, alhamdulillah, dapat juga saya berpuasa penuh sebulan Ramadhan 1433H.


4 September 2012
Prenatal check up untuk kali pertama. Kalau sewaktu mengandungkan Shakir dulu, check up dibuat di People's Health Center, kali ni dibuat di Heart and Hands Womancare. Kandungan sudah berusia 11 minggu. Sengaja tunggu Ramadhan berakhir baru buat check up. Lagi pun, memang kena tunggu sehingga kandungan 8 minggu baru boleh mendaftar untuk prenatal check up. Untuk kali pertama ni, midwife Jearlyn yang in-charged.

Sebelum masuk ke bilik pemeriksaan, berat ditimbang; 94.6 lbs (42.9 kg). Seperti biasa, check up kali pertama hanya banyak bersoal jawab sahaja. Mula-mula, nurse yang masuk dulu; ambil dan rekod segala maklumat yang diperlukan. Kemudian, masuk pula student di bawah seliaan Jearlyn. Juga bersoal jawab. Ada juga soalan-soalan yang sama ditanyakan nurse, ditanya sekali lagi. Letih nak menjawab! Akhir sekali, barulah Jearlyn masuk. Bersembang serba sedikit dan degupan jantung bayi dikesan menggunakan Doppler fetal monitor. Suatu kelegaan dapat mendengar degupan jantung si kecil. Alhamdulillah, si kecil dalam keadaan baik kata Jearlyn.



Nota:
Gaza diserang lagi oleh tentera Zionis. Sama-sama doakan saudara-saudara seIslam kita di sana. Bagi yang ada Facebook, boleh ikuti perkembangan yang berlaku di Gaza di page Mini-Pavilion 'From Palestine With Love'(MAP)


Tuesday, July 24, 2012

Bersederhanalah



Tak salah nak ke bazar Ramadhan.
Tak salah juga nak makan makanan yang sedap.




Cuma...
Berpada-padalah.
Bersederhanalah.

Jangan diturut sangat hawa nafsu yang menggoda :).

Sama-sama kita kenangkan nasib orang susah yang tak cukup makan. Juga nasib saudara-saudara seIslam kita di Palestin, Syria dan Myammar. Entah apa yang mereka makan sewaktu berbuka agaknya ye?


Pejuang pembebasan Syria hanya berbuka dengan kurma dan air kosong sahaja.
Kita yang tak perlu berjuang sebegitu, berusahalah untuk berjuang mengawal/melawan nafsu sendiri.


Imam Malik bin Anas menangis ketika hendak berbuka puasa. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."
--> Imam Malik rasa amalannya sedikit. Amalan sendiri apatah lagi :(.


Sunday, July 1, 2012

Ada apa dengan 1 Julai?






Memperingati As Syahidah Dr Marwah Al Syarbini


Dunia dikejutkan dengan pembunuhan kejam pada 1 Julai 2009 terhadap Dr. Marwah as-Syarbini kerana tudungnya. Tidak banyak liputan TV mengenai Marwah as-Syarbini, seorang ibu yang mempunyai seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti islam dan anti muslim. Tidak ramai pula di kalangan orang islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian raja pop. Itu pun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari bahkan berminggu-minggu masih belum reda isunya.

Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwah ke tempat pengebumiaanya. Beliau tidak sepopular artis tersohor dunia, Micheal Jackson, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya.

Marwah ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberi keterangan ke atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman Alex W yang kerap menyebutnya "terroris" hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwah dan berusaha melepaskan jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwah, kali ini ia menikam Marwah berkali-kali. Suami Marwah yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembah suami Marwah yang kini berada dalam keadaan kritikal di hospital Dresden.

Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman khalifah Mu'tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata "waa Mu'tasimah". Mu'tasim yang berada jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Umat islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengebumian raja pop Micheal Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwah melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk memperingati peristiwa ini, hari jilbab sedunia dicadangkan bagi mengenangkan Marwah as-syarbini.


[sumber]


Nota: Kisah yang sangat menyayat hati :'(. InsyaAllah, syurga Allah buatnya..

Sunday, June 24, 2012

Alhamdulillah, menang!

Pagi tadi sedang saya melayari Facebook, ada sahabat yang memaklumkan tentang pengumuman Presiden Mesir yang baru. Terus saya klik link Al-Jazeera yang diberi. Tak sabar nak tahu keputusannya! Makin ditunggu, makin berdebar rasanya. Banyak pula analisa yang dibentangkan. Saya tak fokus pada analisa berkenaan, yang saya mahu tahu di saat itu hanyalah keputusannya.

Akhirnya, keputusan diumumkan jua. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Dr. Muhammad Mursi menang! Secara rasminya, beliau ditabalkan sebagai Presiden Mesir bagi tahun 2012-2017. Allahuakbar. Ia adalah perkhabaran yang menggembirakan di awal Syaaban ini. Bergenang air mata saya tatkala mendengar sendiri berita kemenangan Dr. Mursi. Sebak dan gembira bercampur menjadi satu!


Mursi menang!


Aneh. Seolah-olahnya Mesir adalah tanahair saya sedangkan hakikatnya, belum pernah sekali pun saya jejaki bumi Mesir. Kemenangan Dr. Mursi adalah kemenangan buat Islam. Maka seharusnya saya juga turut merasa gembira dengan berita ini.


Jutaan rakyat Mesir sujud syukur di atas kemenangan Dr. Mursi.
MasyaAllah, indahnya suasana begini.


Sebahagian penduduk Mesir yang turut sujud syukur di tepi-tepi jalan.
Fenomena luar biasa yang mengagumkan.


Dr. Mursi solat sunat sebagai tanda syukur pada Yang Maha Esa atas kemenangan beliau.
Tenang rasa hati mendapat pemimpin begini.


Tahniah Dr. Mursi! Tahniah rakyat Mesir! Semoga Allah merahmati kalian. Semoga dengan kemenangan ini, Mesir bebas daripada cengkaman regim yang zalim sampai bila-bila dan Islam kembali dijulang tinggi di bumi Mesir..ameen.


Nota: Kesemua gambar saya ambil dari Facebook yang dikongsikan sahabat-sahabat lain.

Monday, February 27, 2012

2 video yang menusuk jiwa

Video pertama: Insan yang tak punya tangan dan kaki



Berlinang air mata saya tengok video ni. Malu rasanya dengan diri sendiri. Berbeza sungguh dengan insan yang tak punya tangan dan kaki dalam video tersebut :(. Walaupun anggota fizikalnya tak lengkap, fikiran dan hatinya sangat positif. Sentiasa tersenyum. Tak kisah langsung dengan 'kekurangan' diri sendiri. Malah, dia boleh melakukan banyak aktiviti tanpa tangan dan kaki! Allahuakbar!

"Be thankful". MasyaAllah...rasa terpukul dengan kata-kata yang keluar dari mulut insan tersebut. Dia mengingatkan orang lain bersyukur dengan apa yang dimiliki sedangkan dirinya sendiri tak punya kaki dan tangan. Allah, malunya rasa. Kita yang dilahirkan sempurna terlalu banyak keluh-kesah. Terlalu banyak mengeluh. Sentiasa memikirkan benda yang tak dimiliki padahal nikmat yang Allah kurniakan buat kita terlalu banyak. Terlalu banyak sehingga tak mampu kita menghitungnya. Mudah-mudahan selepas ini kita jadi hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmat kurniaanNya.


Video kedua: Rakyat Syria bersumpah untuk syahid



Berderai juga air mata saya menonton video ni. Kagumnya dengan semangat juang mereka menentang kezaliman regim Basyar al-Assad. Betapa dambanya mereka terhadap syahid. Betapa kuatnya pergantungan mereka terhadap Allah. Terfikir sejenak...sejauh mana dan seutuh mana pergantungan saya terhadap Allah? Adakah pergantungan terhadap manusia melebihi pergantungan terhahap Allah? Siapa yang saya cari dahulu ketika ditimpa masalah? Manusia lainnya atau Allah? Allahurabbi. Semoga Allah mengampunkan saya atas kelalaian dan kedhaifan diri sendiri..ameen.

Marilah sama-sama kita doakan saudara-saudara kita di Syria yang berjuang menegakkan keadilan dengan menumbangkan regim Basyar al-Assad. Sekalipun tidak beroleh syahid, mudah-mudahan Allah nilai ia sebagai usaha tak seberapa kita dalam membantu mereka di sana...