Pages

Showing posts with label birthday. Show all posts
Showing posts with label birthday. Show all posts

Wednesday, March 19, 2014

Shakir 3 tahun!

Kalau 10 hari lepas ulangtahun kelahiran Raihannah, hari ni giliran Shakir pula ^_^. Ya, dua beradik ni berkongsi bulan kelahiran. Sabagai abang, dia bagi peluang Raihannah sambut hari lahir dulu. Hehe....ye sangatlah tu. Senang nak ingat tarikh lahir mereka berdua. Raihannah 9 Mac, Shakir 19 Mac. Cantik tarikhnya, kan? Macam berpakat pula dengan angka 9 tu :D.

Nak ditulis tentang Shakir, panjang berjela dibuatnya. Sampai esok pun tak habis. Banyak sangat akalnya. Selalu buat darah ummi mendidih...huhu. Tapi, dia jugalah penghibur hati. Dialah pelawak di rumah ni. Ada je perkara yang dibuat mencuit hati. Menyakat kak long dan Raihannah nombor satu.

Satu sikap yang terpuji, dia rajin. Diminta tolong pasti dibuat. Melainkan masa tu dia tengah malas....laju je jawab 'No' :p. Ada masa dia jawab je 'No', tapi dia tetap buat. Kadang-kadang tak disuruh pun dibuat juga. Kalau nampak papa dia angkut barang, dia pun nak tolong sama. Bersungguh-sungguh angkat walaupun berat. Cuci pinggan pun rajin juga. Standard budak 2 tahun lebih cuci pinggan...bukanlah bersih tapi inisiatif yang dilakukan tu yang memberi makna. Harapnya sampai ke besarlah dia rajin. Senang sikit ummi :p.


Dari mukanya pun dah boleh nampak Shakir ni banyak akal :D.


Selamat hari lahir Shakir!


P.S. Doakan Shakir jadi anak yang soleh ya :)


Sunday, March 9, 2014

Raihannah genap setahun

Dua entri berturut-turut berkenaan hari lahir. Dah macam beza sehari je tarikh lahir masing-masing (kalau orang tak tengok tarikh entri la)..hehe. Dari sehari ke sehari nak update blog, sudahnya 2 bulan berlalu begitu sahaja. Semakin parah. Rindu berblog tapi....(banyak sangat alasannya). InsyaAllah satu hari pasti kembali lagi. Positif!

Hari ni; 9 Mac 2014, genaplah setahun usia anakanda ketiga kami. Alhamdulillah. Rasa macam cepat sangat tempoh setahun berlalu. Masih teringat saat kelahirannya yang berlaku dalam tempoh yang singkat. Sakit kontraksi pun sekejap. Segalanya berlaku dengan pantas waktu tu. Hampir-hampir bersalin dalam kereta! Situasi agak kelam-kabut tapi alhamdulillah saya sendiri berada dalam keadaan yang sangat tenang (suamilah yang nampak kelam-kabutnya...hehe..).

Dan sekarang....dah setahun pun cik mek ni! Dah boleh berjalan perlahan-lahan, boleh memanjat (kalau lepaskan ke tangga, memang dah boleh sampai atas!) dan dah mula memunggah.


Setahun pertama Raihannah.


Doakan Raihannah jadi anak yang solehah ya..


nota: Raihannah dah setahun tapi entri kelahirannya tak siap-siap sampai sekarang...hihi..

Thursday, January 9, 2014

Selamat Hari Lahir yang ke-5, Safiyyah!

Hari lahir Safiyyah 2 Januari lepas. Baru hari ni nak buat entri ni...hihi. Tak apalah ya, bulan Januari pun belum berakhir lagi. Tak adalah basi sangat :p. Pejam celik pejam celik, 5 tahun dah berlalu. Macam tak percaya dah 5 tahun usia anakanda kami yang sulung.


Gambar di atas sebahagian daripada gambar-gambar Safiyyah sepanjang tahun lepas. Kesemuanya adalah gambar candid. Safiyyah tak pandai posing (macam ummi dialah :p) dan tak suka sangat bergambar. Di usia 4 tahun, barulah anak dara ni berani menunggang kuda. Tahun-tahun sebelum tu, duduk atas kuda mesti menangis walaupun sekadar kuda patung (carousel).

Sukakan pizza, mac and cheese, yogurt, susu dan spaghetti kosong. Kalau makan roti, hanya kulitnya sahaja yang dimakan. Rotinya dibuang. Budak-budak selalunya tak suka kulit roti. Safiyyah sebaliknya pula. Unik :). Oh, tapi kalau dapat roti Arab, dia makan! Sangat suka makan buah terutamanya berries dan anggur tapi tak gemar buah-buahan tempatan Malaysia terutama durian :p

Kain batik masih menjadi peneman tidur yang setia sampai dah koyak rabak kain tu. Diberi kain batik lain dia tak mahu. Kain batik tu ada nama. Safiyyah namakannya Hoho. Rasanya penangan tengok rancangan Ni Hao Kai Lan ^_^.

Siapa yang mengikuti blog ni pasti tahu Safiyyah suka tidur berdiri tapi sekarang dah tak ada dah aksi tidur berdiri. Rindu pula nak tengok Safiyyah tidur berdiri macam dulu...hihi.

Doakan Safiyyah jadi anak yang solehah ya :).


Tuesday, March 19, 2013

Abe Ngah Shakir genap 2 tahun

Alhamdulillah, hari ni, 19 Mac 2013, genaplah 2 tahun usia Shakir. Rasa macam baru lagi je bersalinkan Shakir padahal dah jadi abang dah pun dia. Awal-awal Raihannah lahir, asyik tersasul je sebut Shakir :p. Terbayangkan Shakir masih baby lagi. Cepat betul dia membesar. Makin banyak akal, makin banyak keletah, juga makin memeningkan kepala ummi dan papa :p.

Gambar yang diambil ketika di hospital waktu saya bersalinkan Raihannah. Duduk di hospital kerjanya asyik ajak papanya berjalan tawaf hospital je :D.


Shakir yang soleh,
Selamat hari lahir sayang! Jadi contoh yang baik pada adik ye. Sayangi dan hormati kak long. Semoga Shakir sentiasa berada dalam pemeliharaan dan kasih sayang Allah SWT, diterangkan hati, dicerdaskan akal dan disihatkan badan hendaknya..ameen..


Sunday, January 20, 2013

Safiyyah's 4th birthday bash

Majlis yang serba sederhana dan ringkas untuk anakanda yang sulung sempena 4 tahun usianya :). Betul-betul ringkas kali ni. Jemputan tak ramai, juadah juga yang ringkas sahaja. Jadilah, janji dapat juga Safiyyah diraikan seperti 3 tahun sebelum ni :). Hari lahir Safiyyah 2 Januari tapi majlisnya hanya dapat dibuat pada 11 Januari; semester baru dah bermula pun masa tu.




Menu yang ringkas. Saya hanya masak bihun goreng dan lasagna sahaja. Yang lain tu dibuat oleh orang lain. Makaroni bakar daripada Kismi, burek/borek (makanan Turki) daripada Husna dan roti jala daripada Elfha. Elfha macam tahu-tahu je saya teringin makan roti jala ^_^. Terfikir juga nak buat roti jala untuk majlis Safiyyah ni tapi difikir-fikir balik, tak jadi. Tak larat nak berdiri lama-lama 'menjala' di dapur. Dapat tahu Elfha nak buat roti jala, gembira rasa hati ^_^.


Birthday girl.


Dua jenis kek lagi yang dicuba kali ni. Caramel praline cheesecake (kanan) dan Coconut-filled nut torte (kiri). Suami saya sukakan kedua-dua kek ni! Dua-dua sedap katanya, alhamdulillah :). Resipi insyaAllah saya kongsikan dalam entri lain :)


Sesi potong kek.


Mereka yang juga diraikan. Raihan (tengah potong kek) dan Alif Roslan (berdiri di kiri) yang sudah pun menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Tahniah Raihan! Tahniah Alif! Di saat ni Raihan dah pun selamat berada di Malaysia. Alif pula insyaAllah akan pulang ke tanahair sebelum hujung bulan ni.






Wednesday, January 2, 2013

Puteri salju genap 4 tahun

2 Januari kembali lagi. Pada tarikh ini, lahirlah permata hati kami yang sulung. Masih terbayang-bayang lagi saat kelahirannya dahulu. Terasa cepat masa berlalu. Genap 4 tahun usianya kini.

Macam tak percaya anak dara ni dah 4 tahun >_<.


Safiyyah yang solehah...
Semoga dirimu terus membesar sihat di bawah pemeliharaan Allah Yang Maha Esa, dikurniakan akal yang cerdas, badan yang cergas serta diterangkan hati dalam menimba ilmu dunia dan akhirat..ameen..



Nota:

  1. Ada masa, tak nak anak-anak besar cepat. Ada masa pula nak anak-anak cepat besar (biasanya waktu mereka meragam atau buat perangai 'comel' :p). Semoga diri ini lebih sabar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
  2. InsyaAllah ulangtahun kelahirannya yang kelima nanti kami sudah berada di Malaysia :).


Thursday, October 4, 2012

Diari Ramadhan 1433H

Baru berkesempatan nak mencatat aktiviti kami di bulan Ramadhan lepas. Bukan setakat Ramadhan, Syawal pun dah berakhir baru dapat dibuat catatan ni. Secebis kenangan di rantau orang :).


11 Ramadhan 1433H (30 Julai 2012)
Iftar MSA pertama

Muslim Student Association (MSA) menganjurkan potluck iftar buat kali pertama bagi Ramadhan 1433H. Ramai yang hadir termasuk beberapa orang non-Muslim. Makanan pun meriah! Majlis dimulakan dengan ceramah berkaitan Ramadhan oleh salah seorang jemputan. Selepas berbuka dengan kurma, kami solat Maghrib berjemaah. Usai solat barulah kami menikmati hidangan yang tersedia.




18 Ramadhan 1433H (6 Ogos 2012)
Iftar MSA kedua

Seminggu berikutnya, MSA sekali lagi menganjurkan potluck iftar. Kali ni tak ramai yang hadir. Kalau potluck iftar pertama dibuat di dewan kuliah, yang kedua ni dibuat dalam kelas sahaja. Kali ni juga tiada ceramah. Berbuka ringkas, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah dan kemudian menjamu selera.




22 Ramadhan 1433H (10 Ogos 2012)
Iftar jama'ie di rumah

Tercapai juga hasrat untuk mengadakan iftar jama'ie di rumah sendiri. Turut hadir, tetamu-tetamu dari Malaysia, juga 2 buah keluarga Muslim (berasal dari Saudi dan Syria) merangkap jiran-jiran kami. Ini pun dibuat secara potluck juga. Seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai begini.



Alang-alang dibuat majlis berbuka, kami raikan sekali adik-adik yang menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Ogos. Juga meraikan adik-adik yang bakal bergraduasi keesokan harinya.

Toasted butter pecan cake yang sarat dengan tulisan bagi meraikan kesemua mereka. Mulanya saya bercadang nak buat dua jenis kek. Satu kek khas untuk yang bakal bergraduasi, satu lagi untuk mereka yang lahir pada bulan Ogos tapi saya tak sempat nak buat sejenis lagi kek. Hanya itu yang termampu.


Adik-adik yang diraikan. 2 orang lagi tak dapat hadir.



23 Ramadhan 1433H (11 Ogos 2012)
Majlis graduasi Fatin dan Irfan

Setelah dua tahun berhempas-pulas, akhirnya Fatin dan Irfan berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Actuarial Science. Tahniah Fatin! Tahniah Irfan!

Di tengah itu adalah kakak sulung Irfan; Rifhan namanya.


Atas: Saya sekeluarga bersama Fatin dan Irfan.
Bawah: Bergambar beramai-ramai sesama Melayu Lincoln.



25 Ramadhan 1433H (13 Ogos 2012)
Iftar MSA terakhir

Buat kali yang ketiganya, MSA menganjurkan potluck iftar. Juga merupakan potluck iftar MSA yang terakhir bagi Ramadhan tahun ini. Kali ni pun tak ramai juga. Jumlah kehadiran lebih kurang sama dengan potluck iftar yang kedua.


Bergambar kenangan beramai-ramai sebelum beredar. Tiada dalam gambar; suami saya merangkap jurugambar dan Safiyyah yang sememangnya susah untuk diajak bergambar.


Jamuan di rumah Fatin

Selepas berakhirnya potluck iftar, kami singgah sebentar ke rumah Fatin. Fatin dan teman-teman serumahnya; Ain dan Firyal mengadakan jamuan perpisahan sebelum Fatin berangkat pulang ke Malaysia 2 hari berikutnya.

Sempat bergambar dengan Fatin dan anak-anak dara yang lainnya. Inilah gambar kenangan terakhir bersama Fatin sebelum Fatin pulang ke Malaysia.



27 Ramadhan 1433H (15 Ogos 2012)
Fatin pulang ke tanahair

Sampai juga saatnya Fatin pulang ke Malaysia setelah 2 tahun berada di bumi Lincoln. Tak dapatlah Fatin beraya dengan kami tahun ni. Dia pun memang tak sabar dah nak balik dan beraya Malaysia. Seperti biasa, saya tak dapat turut sama menghantar Fatin ke lapangan terbang memandangkan flight seawal jam 6 pagi.

InsyaAllah, ketemu lagi suatu hari nanti Fatin!
Semoga Fatin terus cemerlang dan berjaya dunia akhirat, ameen..



30 Ramadhan 1433H (18 Ogos 2012)
Iftar terakhir

Lepas Zohor di hari terakhir Ramadhan, saya mula buat persiapan memerap satay. Beberapa orang adik-adik undergrads turut datang membantu. Tugas utama mereka...potong ayam ^_^. Alhamdulillah, adanya bantuan mereka, cepat je kerja memotong ayam selesai. Lepas kerja-kerja memerap satay siap, terus mula memasak untuk berbuka sambil dibantu oleh Fizah dan Hasanah.

Wajah-wajah pembantu yang berdedikasi ^_^.
Terima kasih Fizah, Hasanah dan Fido. Juga terima kasih buat Alif Sophian yang tolong ke kedai. Jazakumullahu khairan kathira.


Alhamdulillah, berpeluang buat kali terakhir berbuka puasa beramai-ramai. Kali ni tak seramai sebelum ni, hanya beberapa orang sahaja diajak terutama yang menghulurkan bantuan disebabkan lewat petang baru dibuat keputusan untuk berbuka puasa secara berjemaah.



Sekadar itu catatan ringkas aktiviti-aktiviti kami di bulan Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan diizin Allah untuk bertemu dan melalui Ramadhan tahun depan..ameen.

Thursday, September 6, 2012

Kejutan di hari lahir yang ke-30

Setelah 3 tahun hari lahir saya jatuh pada bulan Ramadhan, akhirnya tahun ni 23 Ogos jatuh pada bulan Syawal. Sepanjang 3 tahun berturut-turut tu memang tiada keraian di hari lahir saya cuma pemberian hadiah daripada suami sahaja. Selama ni pun hari lahir saya hanya disambut kecil-kecilan sesama ahli keluarga. Itu pun sekadar makan di luar dan kek biasanya memang ada sekali.

Istimewanya tahun ni, bukan setakat suami yang meraikan, keluarga Irfan yang menjadi tetamu rumah kami turut sama meraikan hari lahir saya yang ke-30. Segan sungguh saya. Saya tak biasa. Nak tunjuk reaksi macam mana pun saya tak tahu. Senyuman saya pun terasa kaku. Saya suka meraikan orang tapi apabila diri sendiri diraikan, saya jadi segan teramat.

24 Ogos lepas, keluarga Irfan ajak saya sekeluarga makan malam di luar sempena malam terakhir mereka bermalam di rumah kami sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Saya macam boleh agak makan malam tu bukan makan malam biasa-biasa, bukan setakat makan malam 'perpisahan', tapi sampai kami semua habis makan, tak ada apa-apa pula yang berlaku :p.





Tak lama lepas tu tiba-tiba je 2 orang pelayan restoran datang bawa kek dan menyanyikan lagu Happy Birthday. Segan saya dibuatnya. Terasa macam budak-budak pun ada juga :p. Memang saya tak jangka kejutan begini. Tak sangka la pula mereka nak berpakat dengan pelayan restoran sampai begitu sekali. Terharu, gembira, segan, semua bercampur menjadi satu!


2 beradik tu pula yang sibuk nak potong kek ^_^. 


Oreo ice cream cake yang sedap! Terima kasih suamiku sayang (suami saya yang beria-ia cari kek ni di kedai sebelum ni lagi...kami pernah makan di majlis hari lahir anak jiran...dialah yang nak makan kek ni sebenarnya :p). 


Sudahlah dibelanja makan, dapat pula hadiah daripada keluarga Irfan. Bertambah segan jadinya. 


Bergambar kenangan sebelum balik.


Keluarga kecil kami :). 


Dah nak balik, Shakir sibuk tunjuk lobster dalam akuarium tu ^_^.



Terima kasih Abang Rahman, Kak Razmah, Irfan, dan Aliff belanja makan dan bagi hadiah!
Terima kasih Raihan yang turut serta!
Terima kasih juga suamiku sayang atas kejutan ini.
InsyaAllah memori manis ni akan tersemat dalam hati :).

Thursday, August 23, 2012

Menginjak usia ke angka 30

30 tahun lalu, Allah izin saya lahir ke dunia. Alhamdulillah, Allah masih izin saya untuk terus menghirup udaraNya sehingga ke hari ini. Ye, hari ini, tanggal 23 Ogos 2012, genaplah usia saya 30 tahun. Secara rasminya, saya sudah menyertai Kelab 3-siri ^_^.



Macam tak percaya umur dah 30. Di usia 30 tahun ni banyak yang perlu dimuhasabah dan banyak amalan perlu diperbaiki. Bila-bila masa sahaja malaikat maut datang menjemput. Hiba pula apabila usia dah menginjak ke angka 30. Terkenangkan beberapa orang sahabat yang dah pergi mengadap Ilahi dalam usia mereka awal 30-an. Suatu hari nanti pasti saya akan menyertai mereka kerana mati itu pasti. Antara cepat dengan lambat sahaja.

Doakan kebaikan buat saya di dunia dan di akhirat ye..

Wednesday, June 27, 2012

Genap 31 tahun

Bukan saya.

Si dia.

Si dia yang dimaksudkan adalah sang suami :).

Tanggal 25 Jun 2012, genaplah 31 tahun usia suami saya.


Tiada majlis yang dibuat. Hanya diraikan dengan kek sahaja. Memandangkan suami saya adalah penggemar cheesecake, saya buatkan Cranberry Orange Cheesecake untuknya. Sedih tengok kek ni. Sebelum sempat saya hias, Safiyyah dah korek kek ni terlebih dahulu..huhu. Habis berlubang-lubang jadinya kek ni >_<.


Malam tadi pula ada kejutan buat suami saya. Daripada 5 orang adik-adik undergrads. Hari sebelum tu Irfan mesej saya. Nak buat surprise untuk abang zaki katanya. Dia beritahu saya supaya saya tak terkejut nantinya. Dah saya tahu, rasa tak sedap pula kalau tak jamu apa-apa untuk adik-adik ni. Saya masak macam biasa cuma dilebihkan kuantitinya. Punya la berdoa supaya suami saya tak perasan yang saya masak banyak :p. Memang mustahillah dia tak perasan. Dah nama pun duduk serumah.

Banyak kali suami saya tanya kenapa masak banyak. Jenuh nak fikir jawapan. Rasanya dia boleh agak sesuatu cuma apabila sampai ke malam tak ada sesiapa yang datang, dia rasa pelik la. Mesti dia ingat saya buang tebiat masak banyak-banyak :p.

Pukul 10 malam baru adik-adik ni sampai. Terjawablah sudah teka-tekinya ^_^.


Yang meraikan dari kanan: Ain, Fatin, Muaz, Alif Roslan dan yang duduk tu Irfan.
Safiyyah tiada dalam gambar sebab dia dah lena sewaktu mereka sampai.


Pada awalnya, saya fikir nak buat kejutan untuk suami tapi memandangkan hari lahir suami saya jatuh pada hari Isnin, saya batalkan sahaja hasrat saya tu. Kalau nak buat juga, saya kena minta tolong daripada adik-adik undergrads untuk masak seorang sedikit untuk dibuat jamuan kecil-kecilan. Kalau saya yang masak, memang takkan jadi kejutan. Hari Isnin adik-adik undergrads ada kelas. Tak sampai hati pula nak minta mereka masak. Macam mementingkan diri pula. Tak sangka pula ada adik-adik undergrads yang nak buat kejutan. Terharu.

Terima kasih Irfan!
Terima kasih Alif!
Terima kasih Muaz!
Terima kasih Ain!
Terima kasih Fatin!

Jazakumullahu khair (Semoga Allah membalas kalian dengan kebaikan). :)



Tuesday, June 19, 2012

BBQ dengan 2 keraian

Tak habis-habis dengan BBQ :p. Selagi musim sejuk tak muncul, selagi tu la ada je aktiviti BBQ. Walaupun selalu buat, tak pula jemu. Kali ni BBQ dibuat di rumah Bonn/Roz pada 15 Jun yang lalu. BBQ ni la yang saya maksudkan di bahagian nota dalam entri 3 perkara, 2 kali seminggu tu tapi tak sangka pula akan ada BBQ terawal di bulan Jun sebelum BBQ ni.

BBQ kali ni sebenarnya dibuat untuk meraikan anak sulung tuan rumah yang dah pun tamat high school dan akan menyambung pengajiannya di University of Nebraska-Lincoln dalam bidang Architecture (fall semester intake kalau tak silap saya).


Aktiviti di halaman belakang rumah. Masa ni kami baru sampai je. Dah pukul 8 lebih masa ni. Masih terang-benderang macam baru pukul 6 petang.


Yang diraikan, Jati: berbaju putih sebelah kanan sekali. Masa ni tuan rumah buat ucapan ringkas dan diikuti dengan bacaan doa selamat.




Makanan! Seperti biasa, potluck.


Ada yang makan di dalam rumah, ada juga yang makan di halaman belakang. Saya makan di luar dengan anak-anak dara. Tiba-tiba terasa macam masih muda remaja dan sebaya dengan adik-adik manis tu je ^_^. Dah la anak-anak tak duduk dengan saya. Safiyyah dengan Hasanah, Shakir pula dengan papa dia. Lagi la rasa macam muda belia..hihi. (Tak sedar diri bulan 8 nanti dah nak masuk angka 3 siri :p).


Murah hati betul Shakir ni. Baju pun diberi makan sekali :p. Sekarang ni Shakir suka nak makan sendiri. Tak mahu disuap langsung. Kalau makan sendiri, macam tu la jadinya. Habis satu badan penuh dengan makanan.


Aktiviti lepas makan di ruang basement.


Sebelum balik, ada kejutan dibuat untuk Sarah dan Raihan (malangnya, Sarah tak jadi datang pula). Surprise birthday party! Kejutan ni perancangan saya dan suami. Sehari sebelum BBQ ni baru terfikir nak buat kejutan ni. Kebetulan hari lahir Sarah dan Raihan jatuh dalam minggu tersebut. Semua orang tak tahu perancangan kami melainkan Irfan dan Rahman sebab bujang berdua tu datang ke rumah kami hari sebelumnya.

Saya pula memang merancang nak buat kek untuk BBQ kali ni. Kena sangat la kalau nak dibuat kejutan. Saya hanya perlu tambah tulisan Happy Birthday je di atas kek. Daripada kek biasa yang tiada makna, jadilah kek hari lahir ^_^.

Masa BBQ tu la baru kami berbincang senyap-senyap dengan yang lain macam mana nak buat kejutan ni. Rancang lain, jadinya lain. Terlalu lama menunggu Raihan mencuci pinggan mangkuk, dan hari pun semakin lewat, akhirnya kami sepakat buat kejutan di dapur ^_^.


Masa ni kami tengah menunggu birthday girl yang tak muncul-muncul.


Lama sangat menunggu Raihan yang masih belum selesai cuci pinggan, kami bawa kek ke dapur la jawabnya ^_^. Kali ni saya buat Chocolate-covered Strawberries Cake.


Birthday girl yang terkejut ^_^.
Yay, misi berjaya!


Kejutan ni pun sebenarnya hampir-hampir digagalkan oleh birthday girl sendiri. Masa kami baru sampai di rumah Bonn/Roz, Raihan ternampak saya bawa sesuatu tapi mujur juga dia tak terdetik nak tengok apa yang ada di tangan saya waktu tu. Lepas tu asyik ditanya je saya bawa apa kali ni. Saya kata saya bawa perut je tapi tak puas hati juga dia :p. Nasib baik menjadi juga kejutan ni ^_^.


Kanan: Raihan bersama teman serumahnya; Elfha.
Kiri: Saya dan Raihan.


Safiyyah yang pantang nampak kek.


Minit-minit terakhir sebelum balik rumah. Masing-masing macam belum nak balik rumah je lagi...bersembang tak henti-henti. Nasib baik tak kena halau dengan tuan rumah :p.



Nota: Rasa gembira dapat menggembirakan orang lain :).


Monday, June 4, 2012

Shakir's 1st birthday bash

2 bulan lebih bertangguh akhirnya dapat juga dibuat majlis hari lahir Shakir yang pertama pada Jumaat lepas (1 Jun 2012) walaupun tanpa perancangan yang rapi. 19 Mac yang lalu Shakir genap setahun usianya tapi masa tu kami tiada di Lincoln (bercuti di bahagian barat USA). Balik bercuti keadaan tak mengizinkan untuk dibuat majlis Shakir. Dari minggu ke minggu bertangguh sehinggalah 2 bulan berlalu.

Majlis hari lahir Shakir ni pun sebenarnya menumpang aktiviti BBQ yang dirancang adik-adik undergrads sebagai meraikan Syafiq yang bakal berangkat pulang ke Malaysia (for good) 2 hari berikutnya. Dah alang-alang berkumpul beramai-ramai tu kami sekalikan je la majlis Shakir. Itu pun 3 hari sebelum BBQ tu baru terlintas nak buat sekali majlis hari lahir Shakir. Persiapan pun hanya ala kadar je la. Tak apalah, janji dapat juga meraikan Shakir. Kalau bertangguh lagi silap-silap langsung tak terbuat.


Sesi potong kek. Semua orang dah kenyang, baru potong kek. Shakir masa tu memanjang moody. Dia baru kebah demam...tu yang moody je tu. Tak mahu diletak langsung. Menangis je dia..huhu. Wrong timing pula buat majlis Shakir ni


Safiyyah sibuk cuit krim kek tu. Saya buat Toasted Butter Pecan Cake. Alhamdulillah ramai yang suka kek ni. Sedap kata mereka. InsyaAllah nanti saya kongsikan resipinya ye :).


Hiasan kek ringkas je. Saya tak pandai dan tak kreatif dalam bab menghias kek..huhu. Buat pertama kalinya saya menulis di atas kek. Sebelum ni saya gunakan kacang (disusun menjadi huruf) atau guna huruf siap yang dibuat daripada telur dan gula tu. Mujur tak comot tulisannya ^_^. Saya pun hanya tulis 'Shakir is 1' je. Nak tulis 'Happy 1st Birthday Shakir' risau krim tu tak cukup sebab saya hanya guna baki frosting. Tak sempat nak buat krim yang baru.


Shakir geram dengan kek ^_^


Sekejap je ok. Lepas tu moody balik :p
(yang ni sedih betul-betul ye...bukan dibuat-buat :p)


Safiyyah tak habis-habis lagi cuit krim kek..huhu. Dah bagi sepotong kek padanya tapi dia tak nak. Nak cuit krim di kek yang besar tu juga..isk..


Peminat-peminat Spongebob :p


Birthday boy tertidur juga akhirnya


Nota: Cerita BBQ insyaAllah saya buat di entri lain