Pages

Showing posts with label breastfeeding. Show all posts
Showing posts with label breastfeeding. Show all posts

Monday, September 9, 2013

Enam bulan

9 September 2013; Raihannah genap 6 bulan. Alhamdulillah. Dengan izin Allah, saya berjaya menyusukan Raihannah secara eksklusif (tanpa susu formula, tanpa air, juga tanpa sebarang makanan) selama 6 bulan. Semoga terus diizin Allah untuk menyusukan Raihannah sepenuhnya sehingga usianya 2 tahun seperti Kak Long dan Abe Ngahnya..ameen.

Makanya, bermula jugalah suatu lagi episod baru buat Raihannah. Dah boleh makan! ^_^

InsyaAllah, saya akan aplikasikan cara Baby Led Weaning (BLW) dalam memperkenalkan solid food pada Raihannah. Hari pertama boleh kata tak berjaya..hihi. Tak apa, nanti tengok perkembangannya macam mana. Baru hari pertama pun cuba makan :).

Berkerut-kerut kening Raihannah disuap pisang..hihi. Dia rasa pelik agaknya. Selama ni minum susu semata-mata, tiba-tiba hari ni dapat pisang :D. 


Disuap lagi, dah mula merengek-rengek tanda tak mahu. Ummi suap juga lagi...menangis! Macam dipaksa makan ubat pula :p. Tak apalah, esok kita cuba lagi ya sayang.
Bagi juga Raihannah pegang sendiri pisang tu tapi hancur dibuatnya..hihi. Itu yang kata BLW hari pertama tak jadi :D. 4 hari pertama ni bagi pisang sahaja dulu (4 day rule), senang nak pastikan kalau-kalau Raihannah allergik terhadap sesuatu makanan.



Thursday, February 28, 2013

Genap 2 tahun dan bercerai susu

Alhamdulillah, 14 Rabi'ul akhir 1434 lepas (bersamaan 24 Februari 2013), genaplah usia Shakir 2 tahun mengikut kalendar hijrah. Alhamdulillah juga Shakir dah pun bercerai susu. Dengan izin Allah, dapat juga saya menyusukan Shakir sehingga genap 2 tahun usianya. Alhamdulillah.

Sewaktu Safiyyah bercerai susu, saya tak pernah cerita di blog. Bukan apa, ianya berlaku secara pantas. Sedar-sedar je ketika Safiyyah genap 2 tahun, dia dah pun berhenti menyusu. Prosesnya terlalu mudah. Mungkin disebabkan Safiyyah tak kuat sangat menyusu, jadinya proses bercerai susu menjadi mudah. Tambahan pula waktu itu saya mengandungkan Shakir, dia boleh faham agaknya yang masanya untuk berhenti menyusu dah tiba :).

Lain pula halnya dengan adiknya, Shakir. Sejak di bulan Januari lagi saya dah mulakan proses bercerai susu sebab melihatkan gayanya, prosesnya tidak akan semudah Safiyyah. Pantang nampak umminya tak buat apa-apa, pasti minta susu padahal saya tahu bukannya dia nak menyusu sangat pun waktu tu. Nak melepas gian sahaja. Hobi pun ya juga kot :p.

Mulanya saya kurangkan bagi Shakir susu pada waktu siang. Alhamdulillah, tak ada masalah sangat. Waktu siang saya selalu mengelat kalau Shakir minta susu. "Kejap lagi ye". "Later, ok?". "Not now, please". Itulah ayat yang selalu saya guna apabila Shakir minta susu di waktu siang...hihi. Sambil-sambil tu saya ajak dia main atau bagi dia mengunyah atau minum fresh milk untuk buat dia lupa seketika tentang susu.

Cabarannya adalah di waktu malam. Saya memang dah jangka dari awal lagi sebab Shakir terlalu bergantung pada susu untuk melelapkan mata. Selagi tak menyusu, selagi itulah dia takkan tidur dan akan melalak-lalak sehinggalah dia dapat susu. Susu umpama ubat tidur buat Shakir :).

Ada satu asbab yang mempercepatkan proses Shakir bercerai susu. Masuk ke pertengahan bulan Januari, setiap kali menyusukan Shakir, pasti perut saya mengeras. Istilah yang diguna pakai adalah Braxton Hicks contractions (practice contractions). Sekejap je Shakir boleh menyusu. Perut mengeras je, saya terus berhentikan dia daripada menyusu. Melalak-lalaklah dia tak puas menyusu. Tertekan jugalah waktu tu dengar dia meraung tapi tak ada pilihan :(. Tak berani nak teruskan juga...bimbang terbersalin awal. Terpaksa buat-buat tak dengar raungannya tu.

Setiap kali menyusu begitulah keadaannya. Memang tak boleh nak bagi Shakir menyusu sampai dia puas. Berhari-hari jugalah dia mengamuk tak puas menyusu. Setiap kali tu saya cakap pada dia, "Ummi sakit perut sayang...tak boleh bagi Shakir menyusu lama-lama. I'm sorry, ok". Berulang-ulang kali saya sebut ayat tu. Dah selalu dengar ayat yang sama, nampak macam dia faham sikit. Tak puas menyusu sekalipun, dia hanya merengek sahaja. Dah tak meraung dan mengamuk seperti sebelumnya.

Sejak tu saya semakin kurangkan waktu penyusuan. Daripada 3 kali sehari kepada sehari sekali. Sehari sekali kepada 2-3 hari sekali, dan daripada 2-3 hari sekali kepada seminggu sekali sehinggalah Shakir berhenti menyusu terus pada usianya 2 tahun. Alhamdulillah. Kelmarin ada jugalah dia minta susu tapi saya buat tak tahu je..hihi. Dia minta pun bukan beria sangat. Teringat agaknya :).

Tidur malam sekarang pun dah tak menjadi masalah. Tiba sahaja waktu tidurnya, mudah sahaja dia lelapkan mata dalam pelukan ummi :).


Monday, September 26, 2011

Aktiviti Shakir di suatu pagi...


Hisap jari kak long dia!
Tak cukup jari sendiri, jari kak long dia pula yang dihisap :p. Kak long dia tengah tidur tu. Adik dah bangun, kak long masih lena lagi :D


Muka tak bersalah


Suka kacau kak long dia tidur. Ni bukan kali pertama Shakir kacau kak long dia tidur. Nak ajak main sama la tu :D


Nota: Alhamdulillah, 19 September lepas Shakir genap 6 bulan...dah mula makan! ^_^

Nota 2: Berjaya menyusukan Shakir selama 6 bulan. Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan untuk terus menyusukan Shakir sehingga usianya 2 tahun. Doakan saya ye...


Wednesday, August 4, 2010

Kad dari ibu untuk ibu..

Kad ni saya terima dari Ummu Mishkah. Terima kasih Ummu Mishkah!


Saya nak kongsi juga kad ni buat semua ibu-ibu yang menyusukan anak dengan susu badan. Ambillah ye...tak terlarat nak list semua sekali...ramai sangat..


p/s: masih belum terlambat lagi saya ucapkan 'Happy World Breastfeeding Week to all breastfeeding mom'! Moga azam kita semua nak menyusukan anak sampai 2 tahun tercapai..ameen..

Sunday, July 25, 2010

Breastfeeding: Kolostrum?

Ilmu tentang kolostrum (susu pertama bayi) ni antara yang terpenting yang BF mom perlu tahu sebab ia antara permulaan bagi kejayaan menyusukan anak secara eksklusif. Saya copy artikel di bawah ni dari SusuIbu.Com, yang ditulis oleh Kaunselor Laktasi; Dr Nazatul Shiha Bachtiar, MBBS, MMedSci...


“Engkau dah beranak nanti, mesti buang susu awal yang basi tu tau, nanti anak kau pula yang sakit”, pesan Halimah kepada anaknya yang bakal melahirkan anak sulung kelak.

“Eh, hari pertama tu kau dah ada susu ke? Aku sampai hari ketiga baru susu keluar. Terpaksalah aku bagi anak aku susu tepung sementara menunggu tu…” keluh Aina pula kepada rakan karibnya Maryam.


“Kenapa ye, hari kedua bayi aku lahir, aku perah susu tu warna kuning? Bukan susu patut warna putih ke? Elok ke bagi kat bayi aku tu?” Soal Lina bertalu-talu kepada Husna. Risau benar dia.


Sesungguhnya, apa yang dibualkan di atas adalah persoalan-persoalan yang sering diajukan oleh ibu-ibu muda. Malah, terdapat pelbagai lagi mitos yang diutarakan mengenai cecair kuning yang pekat dan melekit ini.
Cecair yang dimaksudkan adalah kolostrum atau susu yang dihasilkan oleh seorang ibu pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayinya. Kolostrum merupakan cecair yang istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini. Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.


Apakah sifat-sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak-kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.

Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning).

Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi. Ini amat bersesuaian sekali dengan firman Allah yang bermaksud:

"Pada kejadian kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang melata yang bertebaran, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), bagi kaum yang meyakininya.” (Al-Jathiyah: 4).

Begitu juga dengan firman Allah swt dalam surah az-Zariyat ayat 20 dan 21 yang bermaksud, “Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”.

Di antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA). Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi di dalam badan manusia. Ia digunakan di dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imuniti) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus. SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira-kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Sebaliknya, disebabkan proses-proses yang perlu dilakukan ke atas, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA.

Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mendapat kira-kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan. Walaupun kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran, tetapi dalam pada masa yang sama jumlah susu ibu turut meningkat dengan tingginya. Oleh itu jumlah total SIgA adalah hampir kekal sepertimana di awal kelahiran.

Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan bayi pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan bayi matang. Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit – penyakit yang berbahaya seperti Necrotizing Enterocolitis (NEC), sepsis, meningitis dan jangkitan virus. Kandungan antimikrob seperti immunoglobulin yang tinggi di dalam susu pramatang akan membantu untuk melindungi bayi pramatang daripada penyakit-penyakit tersebut.

Para saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi. SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain. Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob-mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus). Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel-sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi. Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus. Maha Suci Allah, ciptaanNya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana-mana ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud:

"Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'la : 2)

Kajian-kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia. Kuman – kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit-birit yang disebabkan oleh kuman-kuman tersebut. Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu.

Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman dan jangkitan.

Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel-sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain-lain). Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (surah at-tin: 4)

Fisiologi jumlah isipadu kolostrum
Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Riordan, 2005), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 37 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur-ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.

Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (37 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Itulah sejumlah yang kecil untuk keperluan dan saiz perut yang kecil. Sesungguhnya persoalan susu tidak cukup pada hari-hari pertama kelahiran adalah tidak wajar diutarakan. Jika ibu itu mengharapkan susunya mengalir mencurah-curah sehingga 500ml pada hari pertama, memanglah mustahil. Ini kerana bayi yang masih kecil itu tidak memerlukan jumlah susu yang banyak pada mulanya. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini? Sedangkan Kau juga telah berfirman yang maksudnya:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". (surah Luqman: 14).

Maka yakinlah, jika seseorang ibu itu mampu mengandung dan melahirkan anaknya, maka mengapa pula dia tidak mampu menyusukan anak itu dengan susunya sendiri?

Antara tips-tips yang penting untuk memastikan bayi mendapat kolostrum dengan secukupnya pada hari-hari awal kelahiran adalah dengan meletakkan bayi kepada ibu dengan sentuhan kulit ke kulit sebaik sahaja bayi dilahirkan. Seterusnya, usahakan agar bayi dapat menyusu dengan baik dan melekap dengan betul di payudara. Ini penting agar proses stimulasi dapat berlaku dengan lancar di samping dapat mengeluarkan kolostrum dari payudara dengan efektif. Jika ibu tidak mahir, maka segera dapatkan bantuan dari doktor, bidan ataupun jururawat yang bertugas. Antara tips-tips lain yang tidak kurang pentingnya adalah, sentiasa susukan bayi pada bila-bila masa sahaja yang dia mahu. Biarkan bayi bersama ibu sepanjang masa (‘rooming in’) dan elakkan dari bayi dibiarkan di bilik bayi atau ‘nursery’ ketika berada di hospital. ‘Rooming in’ amat penting agar ibu sentiasa memantau keadaan bayi dan segera menyusukannya bila bayi menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu. Ia juga penting untuk mengelakkan kes jangkitan silang (‘cross infection’) yang mungkin berlaku kepada jika bayi ditinggalkan di bilik bayi. Susukan bayi dengan susu ibu sahaja dan elakkan pemberian air lain seperti air kosong, air teh, air glukos mahupun susu formula. Dengan itu, bayi akan mendapat kebaikan susu ibu sepenuhnya tanpa dicemari oleh alternatif lain.

Sewajarnya setiap ibu haruslah memberikan bayi mereka kolostrum yang sangat berkhasiat itu demi kesihatan dan pertumbuhan bayi yang tercinta. Sesungguhnya kasih ibu sentiasa padu dan salah satu caranya untuk membuktikan kasih itu adalah dengan memberikan nutrisi yang terbaik untuk anak-anak. Dan sesungguhnya, tiada nutrisi lain yang sebaik dan seistimewa susu ibu. Hapuskanlah kerisauan mengenai mitos-mitos yang menyelubungi kolostrum ini kerana sesungguhnya setiap ciptaan yang Allah jadikan itu adalah yang sebaiknya untuk umat manusia.

Rujukan:
1. Lars A. Hanson. Immunobiology of Human Milk: How Breastfeeding Protects Babies. Texas: Pharmasoft Publishing, 2004.
2. Riordan J. Breastfeeding and human lactation. Massachusetts: Jones & Bartlett Publishers, 2005.
3. Lawrence RA, Lawrence RM. Breastfeeding: A Guide for the Medical Profession. 6th edition. St Louis, MO: Mosby, 2005.


Oleh:
Dr Nazatul Shiha Bachtiar, MBBS, MMedSci

Sunday, July 11, 2010

Breastfeeding: Panduan untuk ibu yang bekerja

Entry ni sekadar panduan ringkas untuk BF mom yang bekerja. Rasanya banyak lagi yang perlu saya tulis pasal BF sebelum mula topik ibu yang bekerja ni tapi atas permintaan, saya buat ni dulu. Kebanyakan yang saya tulis ni berdasarkan ilmu dan pengalaman BF mom yang bekerja yang saya kutip (setakat yang saya ingat la). Moga dapat membantu sedikit sebanyak.


Breast pump
Pada saya, breast pump is a must bagi BF mom yang bekerja. Senang nak perah susu dan buat stok EBM (expressed breast milk). Tapi ada juga BF mom yang memilih untuk perah dengan tangan je. Saya ada juga breast pump tapi yang murah punya la; single pump & pakai bateri. Dan saya jugak pernah perah guna tangan. Letih la jugak perah guna tangan tapi bila dah mahir, ok je. Alah bisa tegal biasa ;).

Saya sarankan beli electric breast pump. Lebih efektif berbanding yang pakai bateri macam saya. Kalau pakai bateri, kejap je bateri habis. Sekarang ni saya tak guna le dah breast pump, tersimpan je dalam kotak sebab takde keperluan untuk saya buat stok EBM. Nak lebih efektif lagi, beli double pump. Ikut la budget masing-masing macam mana. Breast pump memang mahal sikit (kecuali jenis macam saya, harganya berpuluh ringgit je) tapi ia pelaburan yang baik la. Belinya sekali je tapi banyak kali boleh guna. Kalau dijaga dengan elok dan tak rosak, untuk anak seterusnya pun boleh guna lagi.


Ni jenis double pump. Yang saya pernah terbaca, double pump lebih bagus daripada single pump sebab kedua-dua breast dikosongkan serentak dan pastinya lebih cepat selesai urusan memerah tapi mahal la sikit. Ni brand Medela. Kat Malaysia, harganya 1000 lebih


Ni pulak single pump; Spectra 3 (kalau tak silap, Spectra 3 ni boleh dijadikan double pump..kena tambah gadget sikit rasanya). Murah la sikit, dalam 300 lebih


Manual breast pump. Guna ni rasanya kurang sikit la letih berbanding perah guna tangan. Harganya dalam 200 lebih. Nak tahu breast pump mana yang lebih baik/bagus Google sendiri ye. Ramai je yang buat review pasal breast pump


EBM storage
Yang ni pun perlu ada juga untuk simpan susu yang dah diperah. Ada yang pakai botol, ada yang pakai liner je. Botol mudah sikit berbanding liner tapi yang liner lebih jimat ruang bila nak simpan.


Yang ni jenis botol. Guna botol macam ni senang sikit, hanya gantikan penutup tu dengan yang berputing bila nak bagi kat anak. Tak perlu dah transfer ke dalam botol susu dah


Boleh juga pakai bekas macam ni


Ni liner (sekali guna je, disposable) tapi yang ni leceh la sikit sebab kena ikat


Liner jenis ni mudah sikit, tak perlu diikat..dah ada ziploc


Expressed breast milk (EBM)
EBM adalah susu ibu yang diperah untuk dijadikan stok bagi ibu-ibu yang terpaksa berjauhan dengan anak (i.e. bekerja, berkursus). Masa dalam pantang lagi dah kena buat stok EBM, sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum mula bekerja. Lebih awal lebih bagus la sebab lebih banyak stok boleh dikumpul tapi biarlah masa tu badan dah betul-betul sihat, segar dan selesa untuk memerah susu.

Jangan letak sekali banyak dalam 1 botol/liner, takut nanti membazir kalau anak tak habiskan susu tu. Agak-agak la sekali minum berapa auns anak boleh habiskan. Kalau 3 auns, 3 auns la dalam 1 botol/liner. Sebelum mula bekerja tu kena ajar anak minum susu ibu guna botol, takde la nanti anak terkejut tiba-tiba bertukar puting. Masa tu boleh la tahu berapa auns habis untuk sekali minum.


Tempoh EBM boleh bertahan:
  • Suhu bilik: 8-10 jam
  • Bawah sikit dari suhu bilik (i.e. cooler with ice packs): 24 jam
  • Peti ais (belah bawah): 7-8 hari
  • Freezer (belah atas): 3 bulan (yang ni kalau peti ais 2 pintu, kalau 1 pintu tu lain rasanya tempohnya)
  • Deep freezer: 6 bulan

Note: Setiap kali buat stok, letakkan label (tarikh dan masa) pada setiap botol/liner, supaya boleh tahu sampai bila susu tu boleh diguna. Guna EBM yang bertarikh paling awal dulu takut nanti tak terperasan susu tu expired


Cara nyahbeku EBM:
  1. Malam sebelum nak pergi kerja, pindahkan EBM (bergantung pada jumlah yang nak dibawa ke tempat pengasuh anak) dari freezer ke peti ais belah bawah. Selalunya 12 jam baru defrost bila dipindahkan ke peti ais bawah. Masukkan dalam cooler bag untuk dibawa ke tempat pengasuh
  2. Esoknya bila dah nak bagi susu kat anak, rendam botol EBM dalam air suam atau alirkan botol tu bawah air suam (jangan guna air panas) sampai hilang sejuk. Kalau simpan EBM dalam plastik, transfer dulu dalam botol susu. Atau boleh juga guna warmer (jangan sesekali panaskan guna microwave atau atas dapur). Jangan goncangkan susu tu ye..susu ibu memang akan ada 2 lapisan. Swirl je botol tu perlahan-lahan

Perhatian: EBM yang dah dinyahbeku tak boleh dibekukan semula

Perhatian #2: susu ibu (EBM) tak boleh digoncang


Warmer


Berapa kali perlu perah susu?

Kebanyakan yang saya baca:
  • Hari bekerja: 3 kali di tempat kerja (atau bila-bila masa susu penuh) dan 3 kali (sekurang-kurangnya) bila berada di rumah
  • Hari cuti: Seberapa kerap yang boleh

Note: Kalau kat tempat kerja ada peti ais, boleh la tumpang simpan situ sementara tunggu habis waktu bekerja. Kalau takde, simpan dalam cooler bag yang diletakkan ice pack di dalamnya


Credit pictures to Google


BF = breastfeed/breastfeeding
EBM = expressed breast milk


p/s: kalau ada tambahan, insyaAllah nanti saya buat di entry lain

p/p/s: mana-mana BF mom yang nak tambah, amat saya alu-alukan :). Nanti saya boleh compile buat dalam 1 entry

p/p/s: saya sangat kagum dengan ibu-ibu yang bekerja tapi masih nak menyusukan anak dengan susu badan. Tanpa azam, tanpa disiplin, tanpa kerajinan...ia bukan sesuatu yang mudah

Tuesday, July 6, 2010

Ibu susuan

Dalam entry pasal breastfeeding yang lepas saya ada tinggalkan persoalan di situ. Apa agaknya yang terbaik kita nak bagi pada anak kita sebagai alternatif seandainya kita tak mampu menyusukan anak sendiri atas sebab-sebab tertentu?

Jawapan saya: susu ibu juga. Bezanya, bukan dari kita tapi dari ibu yang lain. Dengan kata lain, ibu susuan. Zaman sekarang ni memang rasa janggal bila disebut pasal ibu/anak susuan. Saya sendiri pun tak terfikir pasal ni sehinggalah saya 'terjumpa' beberapa orang blogger yang merupakan ibu susuan. Dah la diorang muda-muda lagi dari saya. Memang respect la!

Hari tu pulak saya terbaca di blog Radieah berkaitan ibu susuan ni. Saya petik sikit ayat dari entry Radieah:

"Melihat kepada situasi tersebut menurut Ustaz Hassan Din al-Hafiz, beliau menyarankan supaya dihidupkan kembali konsep ibu susuan kerana adalah tidak layak seorang bayi yang diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sebaik-baik kejadian diberikan susu binatang."

Klik link yang saya bagi tu untuk baca keseluruhan entry.



Bawah ni pulak saya copy dari blog Noriza. Noriza dan Radieah ni kedua-duanya 'adik' saya :). Noriza ni anak dara lagi (jangan marah akak naa Ija..ehe..) tapi apa salahnya cedok sikit ilmu yang dia ada..

Baru-baru ini saya menyertai talkshow Nisa' Wilayah yang bertajuk "Nilai setitis Susu Ibu". Di antara panel jemputan yang hadir ialah Ustazah Teh Izanuri yang merupakan seorang kolumnis Majalah Muslimah dan Puan Rita Rahayu yang merupakan Pakar Laktasi. 2 input penting yang paling saya ingati daripada kedua-dua panel tersebut ialah:

1. Menyusukan anak adalah merupakan hak seorang ibu
.-Ustazah Teh

Ya, ia hak seorang ibu. baru saya tahu bahawa seorang bapa juga tidak mempunyai hak untuk memaksa isteri menyusukan anak sekiranya isterinya tidak mahu. Bahkan wajib bagi sang suami mencarikan ibu susuan anak2nya sekiranya keadaan isteri tersebut tidak mengizinkan (tidak mempunyai susu) sedangkan dirinya mahukan anak2nya mendapat susu ibu. Walaupun hak mutlak memberi susu jatuh ke tangan sang ibu, namun seorang isteri dan ibu yang baik tidak akan mensia-siakan hak seorang anak untuk disusukan..



2. Susu ibu mempunyai rasa yang berbeza-beza bergantung kepada apa yg dimakannya.
- Puan Rita

Andaikata si ibu menyusukan anaknya selepas menikmati kelazatan durian, maka si anak dapatlah merasa susu perasa durian. Hal ini tidak akan dapat dinikmati oleh anak-anak yang minum susu tepung kerana rasa susu tepung tersebut adalah sama dan tidak akan berubah. Selain menimbulkan kejemuan, ia juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan otak bayi.


Ustazah juga turut menceritakan perbezaan kecerdasan menghafal bagi 2 orang anaknya. Yang seorang diberikan susu badan secara penuh dan seorang lagi dicampur susu badan dan susu tepung. Al-hasil anak yang diberikan susu badan secara penuh lebih cepat menghafal berbanding yang seorang lagi
.



p/s: hmm..mungkin perlu dibuat kempen juga agaknya untuk menggalakkan dan mengembalikan konsep ibu susuan ni sekali dengan kempen breastfeeding..

Monday, July 5, 2010

How long do you breastfeed?

Itu adalah tajuk perbincangan dalam kalangan breastfeeding mom yang saya terbaca 2-3 hari lepas. Sebelum ni saya ada kata nak cerita serba sedikit tentang breastfeeding (selepas ni akan ditulis sebagai BF) tapi saya tak tahu di mana nak mula dan apa yang nak diceritakan. Jadinya, saya guna la tajuk perbincangan tu sebagai permulaan cerita BF di sini.

InsyaAllah saya tulis setakat yang saya tahu pasal BF. Bukan nak tunjuk pandai, hanya sekadar berkongsi ilmu. Pernah terdetik di hati saya sebelum ni nak tulis pasal BF tapi niat saya tu terpadam macam tu je sebab fikir ilmu saya pasal BF bukannya banyak sangat dan banyak juga BF mom yang dah cerita pasal BF ni. Lagipun, saya sendiri baru menyusukan sorang anak je, itu pun belum sampai 2 tahun pun lagi. Tapi bila ada yang request saya cerita pasal BF, baru saya sedar masih ada lagi yang tercari-cari ilmu BF macam yang pernah saya alami 1 ketika dulu (sampai sekarang pun sebenarnya saya masih mencari dan mengutip ilmu BF)..




How long do you breastfeed? Saya tukar sikit la persoalan tu kepada 'How long should we breastfeed our baby?'. Atau dengan kata lainnya, berapa lama sepatutnya kita menyusukan anak dengan susu ibu? Kalau dalam kalangan mat salleh, kebanyakannya kata minimum setahun. Dalam Islam pulak, ada dah tercatat dalam al-Quran...


"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan."
(al-Baqarah: 233)


Jelas tercatat di situ...2 tahun adalah tempoh untuk melengkapkan/menyempurnakan penyusuan. Kenapa 2 tahun? Wallahua'lam. Pastinya ada hikmah di sebaliknya. Allah yang menciptakan kita, Dia yang lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Nak melanjutkan tempoh BF? Takde masalah...dengan syarat ada persetujuan daripada suami (",).

Hanya tinggal kita je untuk berusaha (berusaha ni termasuklah mencari ilmu tentang BF), berdoa supaya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk menyusukan anak dan seterusnya tawakkal padaNya yang satu. Azam pun penting juga. Sejak mengandung lagi perlu tanam azam dalam diri nak menyusukan anak selama 2 tahun. InsyaAllah bila ada azam yang kuat, kita takkan mudah putus asa tatkala berhadapan dengan cabaran BF.

Kalau takde ilmu tentang BF memang payah. Bendanya nampak mudah. Yup, nak BF anak memang mudah tapi jika takde ilmu hatta sedikit pun pasal BF, memang akan menjadi masalah. Apa itu kolostrum? Kenapa susu kurang? Kenapa nip*le sakit bila menyusukan anak? Apa itu exclusive breastfeeding? Macam mana nak tambahkan susu badan? Itu semua perlukan ilmu.

Saya tahu ramai juga tak dapat menyusukan anak sampai 2 tahun disebabkan pelbagai cabaran yang mendatang. Sekurang-kurangnya diorang dah berusaha sedaya mungkin untuk menyusukan anak diorang dengan susu ibu, yakni susu yang paling berkhasiat dan terbaik untuk anak-anak. Saya ni pun tak sangka juga dapat menyusukan Safiyyah sehingga ke hari ini, di usianya setahun setengah (18 bulan), alhamdulillah. Mudah-mudahan dipermudahkan sehingga tempoh 6 bulan lagi hendaknya..ameen..

Tak mampu menyusukan anak sendiri disebabkan masalah kesihatan atau takde susu walaupun dah cuba macam-macam cara? Agak-agaknya apa yang terbaik ye kita nak bagi pada anak kita sebagai alternatif? Susu lembu? Susu kambing? Susu formula? Susu berasaskan soya? Mari kita fikir sama-sama..


Nanti saya sambung kat entry lain ye! Hee..