Pages

Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Thursday, October 8, 2020

Kemalangan: U-turn Sesuka Hati

Sewaktu scroll Twitter semalam, saya tertengok video kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta. Penunggang motosikal tu terlanggar kereta di hadapan yang sedang buat pusingan-U di tempat yang tak sesuai. 

Betul-betul mengembalikan memori saya sekeluarga kemalangan hujung tahun lepas. Lebih kurang begitulah punca kami terlibat dalam kemalangan. 

Kami dalam perjalanan pulang ke rumah masa tu daripada program anak. Saya tak perasan apa yang berlaku sebab duduk di belakang bersama 3 orang anak. Anak kedua duduk di depan, sebelah tempat duduk pemandu.

Yang saya perasan, kereta depan kami bagi signal kiri. Mungkin nak berhenti seketika di bahu jalan. Lepas tu memang saya tak tengok dah. Tahu-tahu je bunyi berdentum. Kereta kami berlanggar dengan kereta tadi tu!

Rupanya, kereta tu bukannya nak berhenti. Pemandu tu buat pusingan-U! Suami saya tak sempat nak brake sebab situ keadaannya menuruni bukit. Nak elak pun tak sempat. 

Allah. Ketar satu badan. Suami berhentikan kereta di bahu jalan. Kereta kemek bahagian sisi hampir dengan pintu penumpang di hadapan. Pintu tu pun tak boleh dibuka. Ya Allah, mujurlah anak yang di depan tu tak cedera.

Geram jugalah. Disebabkan kecuaian orang lain, kami terkena tempiasnya. Entah apalah yang pemandu tu fikir sampai buat pusingan-U sesuka hati begitu. 

Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan cuma agak trauma. Alhamdulillah juga kereta belakang kami agak jauh jaraknya. Jadi dia sempat brake dan dia pun nampak kereta depan kami tadi tu buat pusingan-U tak tentu hala.

Lepas tu suamilah yang settle dengan pemandu cuai tadi tu. Saya duduk dalam kereta sahaja dengan anak-anak. Kaki ni tak rasa macam jejak tanah. Ketar badan pun ambil masa nak hilang...huhu..


Monday, August 10, 2020

mIRC, YM, Friendster


mIRC, Yahoo Messenger (YM) dan Friendster adalah tiga media sosial terawal yang saya pernah guna. Saya mula akses mIRC sewaktu sekolah menengah. Tak ingat sama ada Tingkatan 4 atau Tingkatan 5. Lama juga saya gunakan mIRC. Macam mana boleh tersangkut dengan mIRC pun tak tahulah. Pengaruh rakan sebaya agaknya.

Padahal waktu itu nak buat emel pun tak tahu. Adik yang tolong buatkan. Haha. Ingat lagi username emel tu; nad_36. Punyalah tak puas hati. Nombor 36 tu tak ada kaitan dengan diri sendiri pun tapi guna jugalah sebab tak tahu nak buat.

Katanya, nombor yang ada kaitan dengan saya (tahun kelahiran, tarikh lahir...) semua dah ada orang guna. Jadi, dia klik sahaja mana yang ada. Pasrah sahajalah. Dia buat tu pun bukan depan mata saya. Dalam tak puas hati tu lama juga saya gunakan emel tu. Dah jadi pelajar matrikulasi baru tukar.

Dari situlah saya mula melibatkan diri dengan dunia internet. Godek sana, godek sini, akhirnya jumpalah mIRC. Gigih pergi cyber cafe. Waktu tu belum ada komputer lagi di rumah. Sampai dah masuk universiti pun masih tetap layan mIRC.

Tak ingat dah nickname apa yang saya guna. Rasanya awal-awal terjebak dengan mIRC, guna nickname lain. Lepas tu tukar pula. Nickname yang kemudian tu saya ingat lagilah sebab sama dengan emel yang saya buat sewaktu di matrikulasi.

'ASL pls...'. Haha...awal-awal tu terpinga-pinga apa maksud asl tu. Setiap kali ada yang tegur, mesti tulis ASL pls. Rupanya A tu merujuk kepada umur (age), S tu untuk jantina (sex) dan L adalah location. Lepas-lepas tu pro dahlah guna mIRC 😝.

Dalam melayan mIRC, terjebak dengan Yahoo Messenger (YM) pula! Haha...lepas satu, satu. Tak ingat bila mula guna YM. Seingat saya, sejak ada YM rasanya saya dah mula kurang layan mIRC sehinggalah saya berhenti terus daripada melayari mIRC.

Friendster adalah media sosial ketiga yang saya guna. Saya mula berblog pun guna Friendster. Walaupun dah ada akaun Blogger yang kawan saya, Adyani, bantu setup, saya tetap guna blog Friendster. Zaman tu Blogger tak semudah sekarang. Kena main coding. Saya 'buta' dalam hal-hal begitu.  

Jadinya, saya abaikan sahaja Blogger. Blog Friendster lebih mudah digunakan. Sayangnya, bila Friendster tak ada, blognya sekali turut terbenam. Banyak juga yang saya dah tulis di situ. Tak terfikir nak save tempat lain sebelum tu. Kisah kelahiran Safiyyah pun saya tulis di situ...huhu...sayang sangat.

Dalam tahun 2008 kalau tak silap, baru berjinak-jinak dengan Facebook. Dan rasanya dalam tahun yang sama juga saya mula menulis blog di Blogger. Waktu tu Blogger dah mula mesra pengguna dan sehingga sekarang saya masih guna blog yang sama.


Tuesday, July 7, 2020

Catatan Manis Cikgu

Di kelas dahulu, jika dapat semula buku yang dihantar kepada cikgu, inilah yang ditunggu-tunggu. Terus selak halaman terakhir yang ditanda cikgu. Berharap ada catatan manis yang cikgu titipkan. Senyum seorang diri setiap kali dapat kata-kata begini daripada cikgu. Bersemangat untuk buat yang lebih baik.



Salah seorang daripada cikgu ini adalah cikgu yang saya geruni. Berdebar setiap kali tiba waktu cikgu ini mengajar. Cikgu ini pernah campak buku anak murid di dalam kelas. Hanya kerana anak murid tidak menulis nama penuh berserta nama bapa, buku dilontarkan. Memang kepantangan cikgu jika anak murid tidak tulis nama bapa. Tak ingat pula sama ada salah seorangnya adalah saya sendiri. Nama dah sedia pendek tapi malas tulis nama penuh, memang mencari nahaslah namanya.

Cikgu yang sama juga pernah menjerit dalam kelas marahkan anak murid. Senak perut mendengar suara halilintar cikgu. Dalam keadaan angin ribut cikgu datang seperti ini, sangat berharap masa cikgu segera berakhir. Anehnya, terasa lama pula waktu bergerak. Dalam hati, usah diceritalah. Berdegup kencang macam nak tercabut jantung dibuatnya.

Peliknya, cikgu yang digeruni inilah yang paling saya sayang dan paling diingati. Sentiasa tersemat di hati. Segarang-garang cikgu, dialah yang paling rajin meninggalkan catatan manis dalam buku anak murid, sesuai dengan hasil kerja anak murid itu sendiri. Sebahagian daripada catatan manis yang disertakan itu adalah daripada cikgu yang dimaksudkan. Kemuncaknya, adalah catatan yang di tengah itu.

"Sangat memuaskan. Semoga Tuhan membalas dengan kejayaan cemerlang dalam SPM."

Bukan catatan kebiasaan yang diterima. Catatan luar biasa merangkap sebuah doa. Terharu. Terus rasa bersalah sebab tak berusaha bersungguh-sungguh untuk SPM ketika itu. Maafkan saya, cikgu.

Kini, saya faham satu perkara. Garang cikgu garang bersebab. Marah cikgu bukan kerana benci. Marah cikgu kerana sayangkan anak murid. Mahu anak murid berjaya dan jadi insan bermanfaat kepada manusia sejagat. Mungkin asbab doa guru-guru, saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan sekali gus menggenggam segulung ijazah walaupun keputusan SPM saya tidak termasuk dalam kategori cemerlang.

Terima kasih, cikgu. Saya sayang cikgu.


Friday, July 3, 2020

Kadet Matrikulasi

Selagi tak habis mengemas, selagi itulah banyak 'harta karun' yang dijumpai. Hehe. Kali ni jumpa baju seragam kadet sewaktu menjadi pelajar matrikulasi 20 tahun dahulu. Elok lagi baju ni. Macam baru. Nak buang sayang. Itu yang tersimpan sampai sekarang.




Ketika di matrikulasi inilah buat pertama kalinya saya sarung pakaian seragam. Lengkap dengan kasutnya sekali. Kasut tu tak ingat pula ke mana perginya. Setakat ni tak jumpa. Mungkin dah dijual atau diberi pada orang agaknya. Wallahua'lam. Memang tak ingat langsung.

Dah cuba, terjatuh cintalah pula dengan pakaian seragam. Nampak segak. Setiap kali kena pakai baju kadet ni, memang suka. Benda dah suka, tentulah tiada rungutan yang kedengaran..hehe. Tambah-tambah bila pakai lengkap dengan kasutnya. Rasa lebih yakin dengan diri sendiri.

Ingat lagi dulu kena berkawad petang-petang. Awal-awal berlatih kawad, kami ada jurulatih. Lepas tu tiada seorang jurulatih pun yang bantu kami. Saya tak ingat sangat apa puncanya. Jadinya, ketua komander kamilah kena ambil alih tugas jurulatih.

Ketua kami ni tegas orangnya. Stress jugalah asyik kena marah waktu latihan kawad..hehe. Tapi kesian juga dengan dia. Dia pun stress. Jurulatih sudahlah tak ada. Bukan ada pengalaman sangat pun nak mengendalikan barisan kawad. Kami ni pula acuh tak acuh sahaja dalam latihan, lagi tertekanlah kawan tu. Macam manalah dia tak marah?

Semakin hampir dengan hari pertandingan, bertambah tegaslah ketua kami. Kecut perut jugalah dibuatnya. Pantang salah sikit, habis dijeritnya. Haha. Disebabkan ketegasannya itulah kumpulan kami berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam pertandingan kawad kaki. Sesuatu yang boleh dibaggakan jugalah dengan keadaan kami yang tiada jurulatih untuk membimbing.

Sayangnya, sewaktu pertandingan tu saya tak dapat sertai. Saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur menghadiri temujanji di hospital (atas masalah peribadi).


Antara gambar kenangan sebagai kadet matrikulasi.



Tuesday, June 16, 2020

Tulisan Siapa Ni?

Dalam beberapa minggu ni saya dalam proses mengemas stor dan barang-barang lama. Ambil masa nak selesaikan sebab saya hanya peruntukkan selama satu ke dua jam sahaja mengemas selepas Subuh. Itu pun bukan setiap hari. Ikut tahap kerajinan juga. Satu lagi sebab, sambil mengemas sambil belek-belek, sambil mengenang memori lalu. Itu yang tak sudah-sudah lagi mengemasnya 😁.

Pagi semalam saya kemas buku-buku lama sejak zaman sekolah lagi. Jumpa buku tulis tingkatan 1. Saya buka secara rawak nak tengok isi di dalamnya. Pelik. Tulisan siapa pula ni? Tengok muka depan, memang nama saya tapi tulisan di dalamnya tak familiar pula. Saya belek-belek lagi. Dari satu muka surat ke muka surat seterusnya.

Ya ampun...tulisan sendiri rupanya! Sungguhlah tak kenal tulisan sendiri. Tak ingat pula tulisan pernah besar suatu masa dahulu. Ingatkan tulisan memang sedia kecil sejak sekolah rendah..hehe. Saya tengok pula buku tingkatan 3. Kecil sedikit saiznya berbanding tulisan tingkatan 1. Tingkatan 5, kurang lagi saiznya. Masuk matrikulasi, sehalus-halus tulisan jadinya! Macam manalah agaknya pensyarah mengadap tulisan bersaiz halus gitu? Stres gamaknya 😂.


 
Inilah tulisan yang diri sendiri tak kenal tu.
Besar dan bulat-bulat...macam tulisan budak-budak..hehe..


Tulisan sewaktu tingkatan 3.


Ini pula dari buku tingkatan 5. Nak buat tulisan sambung kononnya tapi tak jadi..haha..


Ini ketika di matrikulasi. Awatlah pi tulis halus gitu, Nadiah? Isy, isy...naya ke pensyarah je.


Macam-macam jenis dan saiz tulisan boleh jumpa. Itu yang boleh tak kenal tulisan sendiri tu..hihi..



Friday, June 12, 2020

Selempang Tudung



Kata-kata ini membuatkan saya teringat kenangan sewaktu zaman remaja dahulu. Ayah saya cukup tak suka tengok satu-satunya anak perempuan dia ni selempangkan tudung ke bahu. Bab aurat memang tiada kompromi.

"Kenapa pakai tudung macam ni? Pakai elok-eloklah."

Itulah teguran ayah suatu ketika dahulu. Saya tahu apa yang ayah maksudkan. Ayah tak mahu saya selempang tudung ke bahu sekaligus mendedahkan bahagian yang sepatutnya ditutup. Hanya sekali teguran tapi tersimpan kemas dalam kotak memori.
 
Tapi itulah, zaman remaja...pengaruh kawan lebih kuat. Kawan-kawan ramai yang selempang tudung. Kita pun ikutlah. Depan ayah pandai pula turunkan tudung ke dada. Perangai sangat 😔.

Seingat saya, waktu di matrikulasi barulah saya berhenti sepenuhnya selempangkan tudung. Waktu tu saya suka tengok penampilan seorang kawan yang cukup menjaga auratnya. Bukan setakat bertudung labuh, berstoking juga. Bayangkan, nak ke kafe bawah sahaja pun dia pakai sarung kaki. MasyaAllah, kagum sungguh dengan dia masa tu.

Dari situlah saya mula perbaiki aurat saya. Perkara pertama yang saya betulkan adalah pemakaian tudung. Saya tidak lagi selempangkan tudung seperti kebiasaan. Tudung dilepaskan menutupi dada dan dipin di bahagian hujung tudung. Tak lama lepas tu barulah saya berjinak-jinak dengan pemakaian stoking. Mula-mula rasa kurang selesa. Lama-lama baru rasi. Bak kata, alah bisa tegal biasa.

Masuk universiti pula, saya berjinak-jinak mengenakan sarung lengan, dan diikuti dengan tudung labuh. Ada rezeki nanti insyaAllah saya buat entry baru untuk berkongsi pengalaman ni pula. Perasan tak betapa kuatnya pengaruh kawan? Dapat kawan yang sentiasa mendorong ke arah kebaikan, maka beruntunglah kita.

Buat adik-adik dan kakak-kakak yang sedang atau baru berniat untuk menutup aurat, bolehlah mula sikit-sikit. Sikit tapi konsisten. Kalau belum bertudung, belajarlah bertudung. Kalau masih pakai baju lengan pendek, biasakan pula berlengan panjang. Kalau dah terbiasa pakai pakaian ketat, biasa-biasakan pula dengan pakaian longgar. Kalau selalu bertudung singkat, labuhkan pula menutup dada. Tak mudah tapi tak mustahil untuk berubah. Semua ini untuk kebaikan dunia akhirat kita juga. 💖 


Thursday, April 4, 2013

Macam nak raya!

Kelmarin FB timeline penuh dengan status pembubaran parlimen. Ramai yang excited. Dah macam nak raya dah gayanya ^_^. Saya yang jauh ni pun turut teruja. Lama sangat agaknya menanti tarikh pembubaran parlimen sampai masing-masing rasa gembira dan kelegaan. Sekarang ni saya yakin ramai pula ternanti-nanti tarikh pengundian :).

Nak diikutkan, tahun ni sepatutnya kali ketiga saya mengundi tapi sayangnya buat kali pertama tak dapat mengundi :(. Ruginya rasa tak dapat mengundi kali ni. Setiap kali pilihanraya umum saya mesti teruja. Tak sabar-sabar nak memangkah calon pilihan. Bertambah tak sabar menunggu keputusannya. Teringat dulu sanggup bersengkang mata mengadap TV dengan mak ayah semata-mata menunggu keputusan penuh diumumkan. Sejak dah boleh mengundi, lagilah bersemangat nak tahu keputusan pilihanraya.

Pertama kali mengundi rasa excited. Masa tu saya masih lagi seorang penuntut universiti. Rasa macam dah dewasa sangat dah bila dapat mengundi ^_^. Walaupun di kampus juga ada pilihanraya, perasaan tu tak sama. Rasa lebih berkobar-kobar. Punyalah berhati-hati sewaktu mengundi supaya undi saya tak jadi undi rosak. Sebelum pangkah tu pun baca nama calon berkali-kali, takut tersalah pangkah calon lawan.

Tahun kedua pula saya dapat satu lagi pengalaman. Bertugas jaga 'pondok panas' ^_^. Nama je pondok panas, tapi tak panas pun...hihi. Saya masih ingat lagi. Waktu tu tahun 2008. Ayah tanya boleh ke kalau saya tolong jaga pondok panas waktu pagi sebab pagi hari pengundian tu tak ada siapa yang boleh jaga. Saya setuju je. Sambil-sambil tu boleh tengok suasana di hari mengundi.

Hampir tengahari jugalah saya duduk di pondok panas tu. Dah ada orang datang ganti, baru saya pergi mengundi. Tempat saya membuang undi betul-betul depan pondok panas yang saya jaga je ;). Check nama, nama saya tak ada pula! Padahal dah check sebelum tu lagi, itulah tempat saya mengundi, sama je tempatnya waktu saya mengundi bagi pilihanraya umum tahun 2004. Kecewa betul masa tu. Geram pun ada. Entah macam mana nama saya boleh tercicir.

Balik rumah, mengadu pada mak. Kebetulan mak pun baru balik dari mengundi. Saya, mak dan ayah masing-masing tak sama tempat mengundi. Pelik. Padahal di bawah alamat yang sama. Mak ayah saya kena mengundi tempat yang jauh dari rumah. Saya mujurlah dapat tempat yang dekat dengan rumah. Nak pergi mengundi jalan kaki je.

Mak saya cadangkan pergi ke tempat pengundian satu lagi. Dekat juga dengan rumah. Kiranya rumah saya di tengah-tengah antara 2 tempat pengundian tu. Mulanya saya malas. Buat penat je pergi kalau nama saya tiada juga di situ tapi mak suruh pergi juga. Rugi undi nanti katanya. Betul pun apa yang mak kata tu. Beza satu undi sekalipun, besar maknanya.

Alhamdulillah, tak sia-sia saya pergi! Nama saya tersenarai di tempat pengundian tu. Dapat juga mengundi bagi kali kedua tapi rasa geram masih bersisa lagi. Rupanya, ramai lagi alami nasib yang sama seperti saya pada pilihanraya umum kali tu. Ramai juga yang marah, lebih-lebih lagi yang tak dapat mengundi langsung. Entah ke mana-mana je nama pengundi dicampak...huhu.

Itulah pengalaman saya sebagai pengundi berdaftar :). Kalian bagaimana? Ada pengalaman menarik atau yang tak dapat dilupakan sebagai pengundi? :)


Nota:
Bulan yang sama waktu pilihanraya umum 2008 itu jugalah saya menikah ^_^. Mujur tarikh pengundian jatuh pada awal bulan Mac, bukan penghujung Mac ^_^.


Thursday, December 13, 2012

Kisah air putih

Teringat pula kenangan suatu waktu dulu. Kenangan ketika kecil bersama arwah opah :). Dah tak ingat berapa usia saya ketika tu. Rasanya masa zaman sekolah rendah. Menjenguk arwah opah dan arwah atuk di hujung minggu kalau tak silap saya.

Tekak rasa haus, mintalah air putih pada opah. Tak ingat sama ada saya atau pun adik saya yang minta. Dah cucu nak air, opah pun ke dapur la.

Duk tunggu la air putih tu. Terasa lama pula nak dapat air putih daripada opah. Tunggu punya tunggu, opah pun keluar dari dapur bawakan air putih.

Saya dan adik saling berpandangan sewaktu opah menghulurkan cawan berisi air putih.

"Opah, nak air masak...bukan susu".

Patutlah opah ambil masa nak bagi kami air putih. Rupanya opah buat susu! Hihi. Memang tak bolehlah nak salahkan opah. Betul dah tu opah bagi tu. Susu warnanya putih, air masak mana ada warna :p. Istilah kami yang tak betul. Tak tahu kenapa kami panggil air masak sebagai air putih waktu kecil dulu. Lepas tu memang tak sebut dah air putih. Nanti dapat susu lagi ^_^.



Wednesday, October 31, 2012

Evening walk

Sengaja menggunakan 'Evening walk' sebagai tajuk entri kali ni. Terkenang memori lalu dengan arwah atuk. Sewaktu hayatnya, arwah atuk rajin berjalan waktu pagi. Balik dari surau, dia akan bersiap-siap untuk 'bersenam'. Bersenam cara orang tualah...berjalan perlahan-lahan sekitar kawasan perumahan sendiri dan kejiranan. Kalau tanya dia nak ke mana pagi-pagi begitu, pasti dijawab, "Atuk nak pergi morning walk". Itulah istilah yang arwah atuk gunakan..morning walk :).

Pernah juga saya ikut sekali atuk pergi morning walk. Boleh tahan jauh jugalah dia berjalan. Masa tu barulah tahu seronok rupanya berjalan waktu pagi. Udara nyaman dan menyegarkan. Patutlah arwah suka sangat berjalan waktu pagi.

Berbalik pada tajuk entri. Antara aktiviti saya dengan anak-anak...bersiar-siar di waktu petang. Dah nama pun berjalan waktu petang, makanya evening walk la jadinya :). Suami selalu suruh bawa anak-anak main di luar. Saya ni punyalah liat nak teman anak-anak main di belakang rumah. Bukan apa, 'letih' melangut seorang diri memerhatikan anak-anak.

Solusinya, saya akan bawa anak-anak berjalan sehingga ke UNL East Campus. Saya seronok mengambil gambar sepanjang jalan, anak-anak pula seronok bermain dan meneroka. Win-win situation kata omputih. Kata ahli biologi pula, simbiosis...kedua-dua pihak dapat faedah ^_^. (Sewenang-wenangnya guna perkataan simbiosis :p).

Kena fikir panjang jugalah sebelum nak bawa anak-anak berjalan ke east campus tu sebab kena melintas jalan besar. Tu yang paling saya risaukan. Takut tak terkawal kedua-duanya. Waktu Shakir kecil dulu tak ada masalah bersiar-siar bertiga. Safiyyah saya letakkan di stroller, manakala Shakir saya dukung guna carrier atau ring sling. Ni Shakir dah besar, tak mampu dahlah dukung walaupun dibantu carrier/ring sling.

Alhamdulillah, dah 3 kali berjaya bawa anak-anak berjalan ke east campus. Gambar-gambar ni pun kali terakhir (buat masa ni) berjalan bertiga ke east campus (10 Oktober). Hanya ketika nak melintas jalan besar je saya dukung Shakir. Selainnya, saya pimpin tangannya. Ada masa, Shakir tak mahu dipimpin. Terasa dia dah besar sangatlah tu. Safiyyah masa baya Shakir pun macam tu juga. Sekarang ni Safiyyah sendiri hulur tangannya untuk dipimpin :).


Macam budak besar je. Dah masuk kawasan kampus, dah tak risau dah. Saya lepaskan je kedua-duanya. Nak berlari ke, nak main rumput ke, nak bergolek-golek atas tanah/rumput ke...ikut sukalah ;).








Bukan main seronok dua beradik ni dapat lepas bebas begini.





Setiap kali jumpa bunga, Safiyyah mesti cium. Macam tengah mengkaji bau bunga. Umminya ni jarang sekali nak cium bunga. Kalau orang tanya bunga tu bau wangi ke tidak, pasti tak boleh jawab >_<.


Shakir tunjuk perasaan. Nak berdukung pula dia. Manalah larat nak dukung dia lama-lama lagi dah. Selalunya mendukung ni kerja papa dia. Ni papa dia tak ikut sekali...jenuh kalau buat perangai macam ni. Mujur juga tak ada orang masa dia melalak ni. Saya biarkan je, sudahnya bangun juga dia :D. Err...tapi lepas tu terpaksa juga dukung dia sampai balik rumah...dah tak mahu berjalan langsung...nak patah pinggang ummi dibuatnya! Huhu..







Thursday, October 4, 2012

Diari Ramadhan 1433H

Baru berkesempatan nak mencatat aktiviti kami di bulan Ramadhan lepas. Bukan setakat Ramadhan, Syawal pun dah berakhir baru dapat dibuat catatan ni. Secebis kenangan di rantau orang :).


11 Ramadhan 1433H (30 Julai 2012)
Iftar MSA pertama

Muslim Student Association (MSA) menganjurkan potluck iftar buat kali pertama bagi Ramadhan 1433H. Ramai yang hadir termasuk beberapa orang non-Muslim. Makanan pun meriah! Majlis dimulakan dengan ceramah berkaitan Ramadhan oleh salah seorang jemputan. Selepas berbuka dengan kurma, kami solat Maghrib berjemaah. Usai solat barulah kami menikmati hidangan yang tersedia.




18 Ramadhan 1433H (6 Ogos 2012)
Iftar MSA kedua

Seminggu berikutnya, MSA sekali lagi menganjurkan potluck iftar. Kali ni tak ramai yang hadir. Kalau potluck iftar pertama dibuat di dewan kuliah, yang kedua ni dibuat dalam kelas sahaja. Kali ni juga tiada ceramah. Berbuka ringkas, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah dan kemudian menjamu selera.




22 Ramadhan 1433H (10 Ogos 2012)
Iftar jama'ie di rumah

Tercapai juga hasrat untuk mengadakan iftar jama'ie di rumah sendiri. Turut hadir, tetamu-tetamu dari Malaysia, juga 2 buah keluarga Muslim (berasal dari Saudi dan Syria) merangkap jiran-jiran kami. Ini pun dibuat secara potluck juga. Seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai begini.



Alang-alang dibuat majlis berbuka, kami raikan sekali adik-adik yang menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Ogos. Juga meraikan adik-adik yang bakal bergraduasi keesokan harinya.

Toasted butter pecan cake yang sarat dengan tulisan bagi meraikan kesemua mereka. Mulanya saya bercadang nak buat dua jenis kek. Satu kek khas untuk yang bakal bergraduasi, satu lagi untuk mereka yang lahir pada bulan Ogos tapi saya tak sempat nak buat sejenis lagi kek. Hanya itu yang termampu.


Adik-adik yang diraikan. 2 orang lagi tak dapat hadir.



23 Ramadhan 1433H (11 Ogos 2012)
Majlis graduasi Fatin dan Irfan

Setelah dua tahun berhempas-pulas, akhirnya Fatin dan Irfan berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Actuarial Science. Tahniah Fatin! Tahniah Irfan!

Di tengah itu adalah kakak sulung Irfan; Rifhan namanya.


Atas: Saya sekeluarga bersama Fatin dan Irfan.
Bawah: Bergambar beramai-ramai sesama Melayu Lincoln.



25 Ramadhan 1433H (13 Ogos 2012)
Iftar MSA terakhir

Buat kali yang ketiganya, MSA menganjurkan potluck iftar. Juga merupakan potluck iftar MSA yang terakhir bagi Ramadhan tahun ini. Kali ni pun tak ramai juga. Jumlah kehadiran lebih kurang sama dengan potluck iftar yang kedua.


Bergambar kenangan beramai-ramai sebelum beredar. Tiada dalam gambar; suami saya merangkap jurugambar dan Safiyyah yang sememangnya susah untuk diajak bergambar.


Jamuan di rumah Fatin

Selepas berakhirnya potluck iftar, kami singgah sebentar ke rumah Fatin. Fatin dan teman-teman serumahnya; Ain dan Firyal mengadakan jamuan perpisahan sebelum Fatin berangkat pulang ke Malaysia 2 hari berikutnya.

Sempat bergambar dengan Fatin dan anak-anak dara yang lainnya. Inilah gambar kenangan terakhir bersama Fatin sebelum Fatin pulang ke Malaysia.



27 Ramadhan 1433H (15 Ogos 2012)
Fatin pulang ke tanahair

Sampai juga saatnya Fatin pulang ke Malaysia setelah 2 tahun berada di bumi Lincoln. Tak dapatlah Fatin beraya dengan kami tahun ni. Dia pun memang tak sabar dah nak balik dan beraya Malaysia. Seperti biasa, saya tak dapat turut sama menghantar Fatin ke lapangan terbang memandangkan flight seawal jam 6 pagi.

InsyaAllah, ketemu lagi suatu hari nanti Fatin!
Semoga Fatin terus cemerlang dan berjaya dunia akhirat, ameen..



30 Ramadhan 1433H (18 Ogos 2012)
Iftar terakhir

Lepas Zohor di hari terakhir Ramadhan, saya mula buat persiapan memerap satay. Beberapa orang adik-adik undergrads turut datang membantu. Tugas utama mereka...potong ayam ^_^. Alhamdulillah, adanya bantuan mereka, cepat je kerja memotong ayam selesai. Lepas kerja-kerja memerap satay siap, terus mula memasak untuk berbuka sambil dibantu oleh Fizah dan Hasanah.

Wajah-wajah pembantu yang berdedikasi ^_^.
Terima kasih Fizah, Hasanah dan Fido. Juga terima kasih buat Alif Sophian yang tolong ke kedai. Jazakumullahu khairan kathira.


Alhamdulillah, berpeluang buat kali terakhir berbuka puasa beramai-ramai. Kali ni tak seramai sebelum ni, hanya beberapa orang sahaja diajak terutama yang menghulurkan bantuan disebabkan lewat petang baru dibuat keputusan untuk berbuka puasa secara berjemaah.



Sekadar itu catatan ringkas aktiviti-aktiviti kami di bulan Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan diizin Allah untuk bertemu dan melalui Ramadhan tahun depan..ameen.

Sunday, May 27, 2012

Salji di musim panas

Err...salji di musim panas???


Bukan salji ini yang saya maksudkan.


Ini yang sebenar-benarnya yang mahu saya ceritakan...

Pelik ye macam tak ada kaitan dengan tajuk entri? :)


snow-in-summer
Snow-in-summer. Jika diterjemahkan, jadilah salji-di-musim-panas ^_^.
Ye, nama bunga tersebut adalah snow-in-summer. Selepas 2 tahun sejak saya jumpa bunga ni buat pertama kali, baru saya tahu namanya. Unik. Senang nak ingat.


Safiyyah dengan bunga snow-in-summer. Gambar atas diambil pada 2 tahun lepas (18 Mei 2010) dan yang bawah diambil pada 23 April 2012.


Close-up


Nota:
Andainya salji benar-benar turun ketika ini, sayalah orang pertama yang paling gembira. Nak diikutkan, belum masuk musim panas secara rasmi pun lagi tapi panasnya ya Allah...tak tahan rasanya. Jam 6 petang pun terasa macam waktu tengahari. Panas sangat. Ini baru panas dunia. Tak dapat nak dibayangkan panasnya api neraka yang berganda tahap kepanasannya. Allahu rabbi. Mudah-mudahan hendaknya kita semua dijauhkan daripada azab api neraka..ameen..

Monday, March 26, 2012

Shakir: Setahun pertama

19 Mac lepas genaplah usia Shakir setahun. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Saya tak sempat nak buat entri khas sempena ulangtahun kelahiran Shakir yang pertama. Entri ni pun hanya dapat disiapkan separuh jalan sebelum pergi makan angin ke California..huhu.

Macam tak percaya Shakir dah setahun tapi itulah realitinya. Tak perasan masa bergerak pantas. Tahu-tahu je anak-anak dah besar!


2 hari pertama selepas dilahirkan


1 bulan
Mula belajar menghisap jari, pertama kali senyum/sengih dan bersembang di usia 45 hari


2 dan 3 bulan
2 bulan: Semakin mahir menghisap jari :p
(kebanyakan gambarnya sejak berusia 2 bulan mesti tengah menghisap jari)


4 dan 5 bulan
4 bulan: Baru pandai gelak, mula meniarap


6 dan 7 bulan
6 bulan: Mula makan (solid food), merangkak
7 bulan: Berhenti hisap jari dengan sendirinya (yay..tak perlu pening kepala fikir macam mana nak berhentikan Shakir daripada menghisap jari ^_^)


8 dan 9 bulan
8 bulan: Berdiri dengan bantuan dan mula meniti (berjalan sambil berpaut pada objek)
9 bulan: Boleh duduk dengan sendiri


10 dan 11 bulan
10 bulan: Mula menapak dan bertatih
11 bulan: Berjalan tanpa bantuan, potong rambut buat pertama kali, tumbuh gigi sulung, demam kali pertama, dah pandai cium pipi ummi dan papa (cium dengan mulut ternganga sampai basah pipi ummi/papa dengan air liurnya ^_^)


Genap setahun!

Semoga Shakir membesar menjadi anak yang soleh dengan akal yang pintar dan cerdas serta badan yang sihat dan cergas..ameen..