Pages

Showing posts with label activity. Show all posts
Showing posts with label activity. Show all posts

Tuesday, July 28, 2020

Majlis Perpisahan GPKPK

Beberapa minggu lepas telah diadakan satu majlis perpisahan di sekolah anak buat Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (GPKPK) yang akan berpindah ke sekolah baru atas kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Jika diikutkan aturcara, majlis bermula pada jam 9.30 pagi tapi jam 10 baru saya dapat gerak ke sekolah. Ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum itu.

Saya sampai beberapa minit sebelum GPKPK berucap. Elok beberapa minit GPKPK berucap, empangan mata tiba-tiba bocor. Sebak sangat dengar ucapan GPKPK. Bersungguh tahan air mata daripada gugur tapi airnya berlinangan juga ke pipi. Sudahlah tak bawa tisu. Aduhai. Kejap-kejap kesat air mata guna tangan. Makin lama, makin laju pula air mata yang mengalir. Memang tak mampu nak tahan dah.

Paling sayu, apabila GPKPK berulang kali sebut:

"Anak-anak kita ni semua ada potensi masing-masing. Tugas kita kena cari dan gilap bakat mereka."

"Anak-anak inilah yang bagi kami pahala setiap pagi."

Ayat ini sebenarnya ayat yang selalu GPKPK ulang hampir setiap kali ada pertemuan antara ibu bapa dan guru-guru PPKI. Setiap kali tu rasa sebak. Ayat ingatan untuk diri sendiri terutamanya. Ada masa memang rasa down fikirkan masa depan anak istimewa. Kata-kata beginilah yang menaikkan balik semangat yang pudar.

GPKPK kami ni tegas orangnya. Seorang yang outspoken. Apa yang terbuku di hati, dia terus sebut sahaja. Yang perlu ditegur, dia tegur sahaja tak kiralah ibu bapa nak berkecil hati atau tidak. GPKPK sendiri pun mengaku hal ni..hehe. Jujurnya, saya memang takut dengannya. Kecut perut nak berdepan..hihi.

TAPI, insan inilah yang banyak fight untuk anak-anak PPKI di sekolah itu. Segala kemudahan untuk anak-anak PPKI sebolehnya disediakan. Tak cukup dana untuk sesuatu projek, dicarinya sumbangan merata tempat. Selama hampir lima tahun anak sulung di sekolah itu memang boleh nampak kesungguhan GPKPK membantu anak-anak PPKI.

Pertemuan terakhir inilah sebenarnya saat pertama saya berbual dengan GPKPK. Hehe..tak patut betul. Itu pun disebabkan GPKPK duduk di sebelah saya. Sembang perihal anak istimewa saya serba sedikit. Al-maklumlah, dah beberapa bulan anak tak dapat ke sekolah asbab COVID-19. Pertemuan terakhir ini pun tak dapat bawa anak bersama sebab tak dapat keizinan daripada Guru Besar. Sebelum balik, sempat minta maaf dengan GPKPK tapi GPKPK pula beriya-iya minta maaf. Huhu...sedih pula.


Gambar kenangan terakhir bersama GPKPK (berbaju kuning)


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Saturday, July 25, 2020

Nilai Kecil Yang Amat Bermakna

Dah 2 minggu rupanya tak update blog. Dari sehari ke sehari nak update tapi tak kesampaian. Tak sempat. Anak-anak dah masuk sekolah balik. Agak terkejar-kejar juga sejak bertukar rutin. Ada satu post yang masih dalam draft pun belum dapat disiapkan lagi. Mengalahkan menteri sibuknya 😁.

Pagi semalam saya bawa Safiyyah (anak sulung) makan di kedai. Antara empat beradik, hanya dia sahaja yang belum kembali ke sekolah. Pihak sekolah cutikan sehingga PKPP berakhir. Kesiankan dia yang asyik terperuk di rumah, saya bawalah dia makan di kedai. Lagipun sarapan yang dimasak awal paginya dah dihabiskan adik-adiknya. 

Mulanya dia agak moody waktu sampai di kedai tu. Kuih buah Melaka kegemaran dia yang saya ambil dan letakkan di depannya pun dia buat tak endah sahaja. Air dah dapat, baru okay sikit. Barulah dia makan sebiji kuih tu. Sampai roti canai, dia makan roti canai pula. Semakin okay mood dia. Barulah nampak ceria dan gembira.

Safiyyah ni kalau dia tengah gembira, dia akan keluarkan bunyi pelik. Tak tahu nak jelaskan macam mana. Dalam keadaan ini, suaranya automatik akan jadi kuat. Satu kedai dengar 😅. Kebiasaannya banyak matalah memandang. Yalah, nampak pelik di pandangan orang.

Daripada dia tantrum, lebih baiklah begini walaupun tetap juga mengundang perhatian orang. Selesai makan dan bayar di kaunter, kami terus menuju ke motosikal. Baru nak pakai topi keledar, dengar satu suara di belakang.

"Nah, ambil ni dik."

Saya toleh. Seorang budak muda dalam lingkungan usia awal 20-an hulurkan duit pada Safiyyah.  Terkejut sebab tak sangka. Lebih terkejut sebab muda lagi orangnya. Muda tapi sangat prihatin. Sebelum adik tu berlalu pergi, sempatlah saya ucapkan terima kasih.

Rasanya adik tu pun baru sudah makan di kedai berkenaan. Tak perasan sebab tak pandang keliling.  Dia nampak agaknya Safiyyah berkelakuan pelik. Terharu sangat. Walaupun nilai yang diberi kecil sahaja tapi ia memberi makna yang cukup besar.

Terima banyak-banyak, dik. Moga sentiasa murah rezeki dan dipermudahkan urusan sehari-hari.


Tuesday, June 23, 2020

PKP: Terkandas di Kampung #2

Entry ni bukanlah sambungan PKP: Terkandas di Kampung sangat pun. Lebih kepada apa yang berlaku sepanjang kami terkandas selama hampir dua bulan di kampung.

Duduk di kampung selama itu, dua kali nampak babi hutan depan mata. Kali pertama, sikit je lagi haiwan tu nak masuk halaman rumah. Saya tengah main di luar rumah melayan anak dan anak-anak buah. Seorang anak buah yang berumur 7 tahun tiba-tiba bersuara, "Apa tu?"

Saya toleh ke arah yang dimaksudkan. "Babi hutan!" Semua terkejut. Masing-masing tengah ralit, memang tak sedar kehadiran 3 ekor babi hutan tu. Mujurlah lepas tu ketiga-tiga ekor tu terus lari masuk ke hutan semula.

Kali kedua, anak teruna saya yang perasan tapi waktu tu haiwan tu berada di hutan seberang jalan. Depan rumah mentua memang kawasan hutan. Selalu juga mok kata babi hutan rosakkan kebun. Ada sekali tu waktu senja terdengar riuh suara mok di luar (belakang rumah). Rupanya mok tengah halau babi hutan yang masuk kawasan kebun. Berani betul mok. Kalau menantu dia ni, mahunya lari masuk rumah..hihi.


Cari haiwan tersembunyi 😝


***

Vocab Kelate saya pun sah-sahlah bertambah. Hehe. Yang saya ingat, sayur teneh dan kacang mior. Bila mok sebut tu...alamak...sayur apa tu? Tak pernah dengar pula. Bila mok tunjuk, oooooohhhhh (baca dengan 6 harakat) tahulah saya sayur-sayur apa yang mok maksudkan. Sayur teneh tu petola. Kacang mior pula, bendi. Hehe...lain benar namanya dengan nama yang saya tahu selama ni.

***

Waktu terkandas itu jugalah saya ajar anak-anak tengok filem lama. Kebetulan satu malam tu Pendekar Bujang Lapok disiarkan. Mula-mula anak-anak tak berminat nak tengok. Yalah, filem hitam putih...manalah menarik perhatian. Ummi dengan papa tonton sambil tergelak-gelak, barulah mereka menunjukkan minat. "Cobaan...cobaan.." Bahagian inilah yang menjadi kegemaran anak-anak. Sampai sekarang pun mereka ingat bahagian tu. Kadang-kadang mereka siap lakonkan sekali babak cobaan tu 😁.

***

Anak-anak bergilir-gilir demam. Mula-mula Rania. Bangun tengah malam, dia beritahu yang dia demam. PCM tak ada, jadi saya hanya lapkan badannya dengan kain basah sahaja. Pagi esoknya nampak banyak biji-biji merah di badannya. Bawa ke klinik, dijangkiti cacar air (chicken pox) rupanya. Tak tahu berjangkit dari mana. Bukannya kami ada ke mana-mana pun. Antara adik-beradik, dia yang pertama dijangkiti cacar air. Yang lain setakat ni belum kena lagi.


Anak dara ni tak suka disapu calamine lotion. Kena pujuk berkali-kali dulu. Busuk katanya.


Kemudian, Raihannah dan Shakir pula demam. Alhamdulillah demam biasa je. Banyak berjemur tengah panas agaknya. Akhir sekali barulah Safiyyah. Safiyyah ni waktu demam tu dia beritahu yang telinganya sakit. Bawa ke klinik, doktor kata telinganya tak ada masalah. Tapi dah banyak hari demam tak kebah-kebah, papanya bawa ke klinik sekali lagi. Barulah perasan telinganya kena jangkitan. Patutlah tak kebah-kebah demamnya.  Alhamdulillah masing-masing sekali tu je la demam.

***

Dan, waktu terkandas ini jugalah Safiyyah dah pecahkan cermin kabinet..huhu. Saya di dapur ketika kejadian. Manakala suami dan mok tiada di rumah. Saya terdengar bunyi kaca berderai. Terus bergegas ke ruang tamu. Aduhai, cermin kabinet pecah rupanya. Sejak 2-3 tahun kebelakangan ni, Safiyyah memang suka tepuk cermin, meja, kabinet dan segala yang mengeluarkan bunyi. Kalau tengah marah, lagi kuatlah ditepuknya. Alhamdulillah jugalah tiada sebarang kecederaan pada Safiyyah. Mok balik, saya beritahu mok. "Dah sampai masanya tu," tenang sahaja mok jawab. Alangkah bagusnya kalau menantunya ni ada sifat reda dan kesabaran yang sama..huhu..



Tuesday, June 16, 2020

Tulisan Siapa Ni?

Dalam beberapa minggu ni saya dalam proses mengemas stor dan barang-barang lama. Ambil masa nak selesaikan sebab saya hanya peruntukkan selama satu ke dua jam sahaja mengemas selepas Subuh. Itu pun bukan setiap hari. Ikut tahap kerajinan juga. Satu lagi sebab, sambil mengemas sambil belek-belek, sambil mengenang memori lalu. Itu yang tak sudah-sudah lagi mengemasnya 😁.

Pagi semalam saya kemas buku-buku lama sejak zaman sekolah lagi. Jumpa buku tulis tingkatan 1. Saya buka secara rawak nak tengok isi di dalamnya. Pelik. Tulisan siapa pula ni? Tengok muka depan, memang nama saya tapi tulisan di dalamnya tak familiar pula. Saya belek-belek lagi. Dari satu muka surat ke muka surat seterusnya.

Ya ampun...tulisan sendiri rupanya! Sungguhlah tak kenal tulisan sendiri. Tak ingat pula tulisan pernah besar suatu masa dahulu. Ingatkan tulisan memang sedia kecil sejak sekolah rendah..hehe. Saya tengok pula buku tingkatan 3. Kecil sedikit saiznya berbanding tulisan tingkatan 1. Tingkatan 5, kurang lagi saiznya. Masuk matrikulasi, sehalus-halus tulisan jadinya! Macam manalah agaknya pensyarah mengadap tulisan bersaiz halus gitu? Stres gamaknya 😂.


 
Inilah tulisan yang diri sendiri tak kenal tu.
Besar dan bulat-bulat...macam tulisan budak-budak..hehe..


Tulisan sewaktu tingkatan 3.


Ini pula dari buku tingkatan 5. Nak buat tulisan sambung kononnya tapi tak jadi..haha..


Ini ketika di matrikulasi. Awatlah pi tulis halus gitu, Nadiah? Isy, isy...naya ke pensyarah je.


Macam-macam jenis dan saiz tulisan boleh jumpa. Itu yang boleh tak kenal tulisan sendiri tu..hihi..



Wednesday, May 14, 2014

Sebiji atas biskut, 5 biji masuk ke mulut

Aktiviti bulan lepas. Buat pertama kalinya saya beri peluang anak-anak tolong buat biskut (tolong letak coklat atas biskut je pun..hehe..). Konon-kononnya nak bagi anak-anak rasa seronok dapat tolong ummi buat biskut. Rupa-rupanya....dua beradik ni lagi seronok makan coklat! :p

Sebiji coklat letak atas biskut, 5 biji masuk mulut, letak lagi sebiji atas biskut, masuk pula 5 biji dalam mulut. Haha....kerja yang sepatutnya ambil masa sekejap, jadi lama pula. Sudahnya, sayalah yang siapkan.


Bersilang-silang tangan.


Siapa nampak Raihannah, angkat tangan! Hihi...kesian Raihannah tak dapat tolong sekali. Kalau Raihannah join sekali, alamatnya habis biskut sebelum sempat dibakar :p


Rupa biskut sebelum dibakar. Selepas dibakar, tak ambil pun gambar. Buruk sangat rupanya...haha. Semak balik resipi, rupa-rupanya kena letak 6 keping sahaja atas dulang pembakar! Saya pergi letak 12 keping. Biskut jadi sekembang-kembangnya sampai penuh dulang. Bentuk biskut pun dah jadi empat segi. Huhu. Awatlah saya tak perasan arahan tu. Ingatkan biskut ni kembang sikit je macam biskut-biskut yang pernah saya buat >_<


Tak apalah, yang penting biskut tu habis licin dan anak-anak pun seronok (walaupun lebih seronok makan coklat :p)

Tuesday, October 22, 2013

Aidiladha ke-5 di rantau orang

Juga buat yang terakhir kalinya.

InsyaAllah.

Diizin Allah panjang umur, Ramadhan, Aidilfitri dan Aidiladha tahun depan disambut di Malaysia :).

Aidiladha kami buat kali yang ke-5 di Lincoln ni serba sederhana. Sama seperti empat tahun sebelumnya. Tak terasa langsung kemeriahannya. Di Malaysia pun Aidiladha tak semeriah Aidilfitri (kecuali di Kelantan mungkin) tapi sekurang-kurangnya terasa juga auranya. Sini tak rasa apa pun. Tambahan pula raya jatuh bukan pada hujung minggu atau cuti umum. Hanya dibuat majlis ringkas bersama adik-adik undergrads pada petang raya.

Juadah yang disediakan juga turut ringkas :).

Ketupat soto.
Inilah hidangan pembuka selera, ini jugalah hidangan utama ^_^.


Alhamdulillah, sempat juga buat butter cake. Jemput adik-adik undergrads datang ke rumah pukul 5 petang, buat kek ni pukul 3 petang..hihi. Nak buat kek lain sebenarnya tapi tak cukup bahan. Lambat sangat buat keputusan kek apa yang nak dibuat...suami pun malas nak ke kedai lagi. Makanya, dibuat butter cake sahajalah. "Ni kek murah ni", selamba sang suami menuturkan. Lepas dirasa sepotong, "Eh, sedap juga kek ni". Hihi...kesimpulannya, jangan dipandang rendah kek murah :p. Pertama kali buat butter cake. Alhamdulillah menjadi. Suka! Lain kali boleh cuba resipi butter cake yang lain pula, insyaAllah.


Sebahagian tetamu awal. Paling awal sampai pun pukul 6 lebih. Kononnya ajak adik-adik ni semua datang waktu petang sebab fikir mereka tak ada kelas waktu petang. Rupa-rupanya ramai yang ada kelas petang, ada discussion, dan ada pula yang bekerja. Dan...saya tak perasan waktu tu mid term. Adik-adik ni semua sibuk dengan exam. Dahlah beraya dalam kelas, kena berperang dengan exam pula. Itulah namanya pengorbanan. Pengorbanan sebagai pelajar luar negara.


Kalau perasan, tak ada seorang pun berbaju raya kecuali anak-anak syurga. Tak rasa macam buat jamuan raya. Macam jamuan biasa je :p. Tak apalah, janji terasa kemeriahan dengan keriuhan adik-adik undergrads. Terubat hati dengan senda gurau bersama di petang raya. Terhibur juga hati dengan gelagat masing-masing yang saling usik-mengusik sesama sendiri ^_^.

Kegembiraan berganda apabila semua pinggan mangkuk semua dicuci anak dara bertiga; Ann, Fyon dan Nadzirah. Bukan setakat tu, meja turut dikemas, dapur juga dilap. Sesekali begini, seronok rasanya ^_^.


Akhir sekali, tatapan buat yang merindui anakanda bertiga. Susah nak ambil gambar mereka bertiga serentak. Ada sahaja yang tak mahu beri kerjasama. Ikat tiga-tiga baru tahu! :p



Wednesday, October 9, 2013

Ikan tiada mata

.....akibat dikorek Shakir.


Heh. Tak ada kerja cari kerja namanya ni. Lama dia senyap di dapur. Ingatkan tengah buat apa. Mengorek mata ikan rupanya.

Tak apalah, ummi anggap ini permulaan Shakir nak belajar menyiang ikan ^_^.

Dari sudut pandang yang jauh pula, mungkin bakal jadi pakar mata yang bertaqwa ^_^.


Sunday, September 1, 2013

Salam penghujung Syawal

Hampir 2 bulan tak menjengah blog sendiri. Tak sangka masih ada yang masih sudi berkunjung ke sini dan ada juga yang tinggalkan komen dalam entri lama. Terima kasih daun keladi buat semua yang masih mengingati empunya diri ^_^.

Sibuk? Oh, tidak...saya tak sibuk pun. Cumanya momentum untuk berblog yang tiada. Aduhai. Tak tahulah kenapa. Nak menjenguk blog kawan-kawan pun terasa liat. Maaf ya semua. Sejak entri saya yang terakhir, memang saya tak buka langsung blog ni. Blogwalking pun tidak >_<.

Ringkasan aktiviti/perkembangan kami anak-beranak:

  • Raya kami tahun ni tak semeriah tahun lepas. Ramai yang dah tak ada (dah balik for good), ada yang balik bercuti di Malaysia dan tahun ni tak ada tetamu dari Malaysia yang datang bertandang seperti tahun lepas...sob sob.
  • Aidilfitri hanya duduk di rumah sahaja. Tak terasa nak beraya langsung tahun ni. Nak masak juadah raya pun tak ada mood. Biskut raya sejenis pun tak buat tahun ni tapi alhamdulillah dapat juga makan kuih raya yang dipos oleh kakak ipar. Malam raya baru terhegeh-hegeh masak nasi impit dan rendang ayam. Mulanya tak rajin juga nak buat tapi memikirkan adik-adik undergrads yang ada di sini, masak jugalah juadah raya. Kesian pula adik-adik tu...bukan ada tempat lain nak beraya.
  • Akibat masak hampir tengah malam, rendang saya hampir hangit gara-gara terlena! Suami saya pun terlena sama. Heh...eloklah tu suami isteri ni. Jam 4 pagi baru tersedar. Tengok-tengok, rendang dah kering dan ayam di bahagian bawah melekat di kuali. Bila dikacau-kacau...ayam hancur! Huwaaa. Dahlah belum letak garam lagi masa tu. Cepat-cepat telefon mak, mengadu :p. Mak beritahu apa yang boleh dibuat dan alhamdulillah, rendang berjaya diselamatkan walaupun banyak hancur :p. Rasa jugalah rendang walaupun tak sesedap mana. Macamlah selama ni masak rendang sedap sangat setaraf chef ternama :p.
  • Petang Aidilfitri, adik-adik undergrads datang sekali lagi tolong potong ayam untuk dibuat satay. Nak dibawa ke Omaha 2 hari berikutnya. Malam tu baru saya perap ayam yang dah dipotong tu.
  • Pagi 3 Syawal, sesi mencucuk satay pula. Bab mencucuk satay, saya tak masuk campur. Tak rajin. Jadi tukang ambil gambar je :p. Tengahari, kami semua ke Omaha, beraya di sana. Macam-macam juadah kak Ellie masak! Nasi impit, nasi beriani, rendang daging, ayam masak merah, soto, kuah kacang, rojak, air bandung. Heaven! Tu belum masuk lagi juadah yang dibawa tetamu. Barulah rasa raya! ^_^
  • 2 hari tu sahaja kami beraya. Selepas tu, kembali ke rutin biasa. Macam inilah gayanya beraya di perantauan :). Nak berziarah kawan-kawan lain, tak ada harapanlah. Jauh beribu batu. Nak melepasi Nebraska ni sahaja pun makan masa beberapa jam. Inikan pula nak merentasi states.
  • Raihannah dah 5 bulan usianya, alhamdulillah. InsyaAllah lebih kurang seminggu lagi genaplah dia 6 bulan. Dah pandai meniarap dan bergolek-golek sampai jatuh katil >_<. Selalu terhibur dengan gelagat abe ngahnya. Kadang-kadang Shakir tak buat apa pun, sekadar duduk sebelah Raihannah...itu pun Raihannah gelak! Hihi...entah apa yang melucukan hatinya tu.
  • Shakir dah kurang sikit 'membuli' kak longnya sebab nanti dia 'dibuli' balik :p. Safiyyah dah pandai melawan. Sebelum ni bersabar je dia. Dah hari-hari kena, mana nak tahan. Selalulah Shakir menangis kena dengan kak long dia. Malas ummi nak masuk campur :p.
  • 23 Ogos lepas, genaplah 31 tahun usia saya. Alhamdulillah. Muda lagi, kan? :p


Itu sahajalah yang teringat. Gambar-gambar nanti ya. InsyaAllah dalam entri seterusnya :).

Wednesday, June 26, 2013

Sebulan tanpa berita

Tak sedar dah sebulan rupanya tak update blog. Bukan setakat update, jenguk pun tidak. Selalunya kalau tak update sekalipun, jenguk juga dashboard. Baca komen kalau ada dan buang spam. Kali ni memang tak login langsung blog. Aduhai. Kebetulan pula komputer rosak seminggu. Dah dibaik pulih, makin tak rajin pula nak berblog..huhu..

Cerita ringkas mengenai kami anak-beranak selama sebulan menyepikan diri:


  • Musim panas ni kami tak ke mana-mana pun. Jalan dekat-dekat sini sahaja. Tak keluar dari Nebraska.
  • Raihannah dah 3 bulan lebih usianya. Dah pandai senyum, sengih, ketawa apabila diagah dan digelelek (sangat suka geletek dia! :p), pandai mengiring dan baru pertama kali meniarap dengan sendiri semalam. Alhamdulillah.
  • 2 buah keluarga dari Colorado dan Wyoming datang ziarah dan bermalam di rumah kami. Suka! Dah lama tak ada tetamu datang bertandang.
  • Semalam, 25 Jun, genaplah 32 tahun usia suami saya. Hari yang sama juga Raihannah meniarap. Hadiah buat suami sayalah kiranya. Jadinya tak perlulah bagi hadiah lain padanya :p.
  • Antara aktiviti kami...pergi zoo, petik strawberi, juga memetik ceri (kalau saya rajin, adalah entrinya nanti ya)


Tiga beradik dalam kolam tak berair :)


Thursday, May 16, 2013

Salji buatan dua beradik





Ini namanya tak ada kerja, cari kerja. Menambah kerja untuk ummi dan papa juga >_<.

Dah siap hancurkan polisterin tu, dengan girangnya Safiyyah menyebut, "Snow!"

Ia salji yang istimewa...tak sejuk dan tak boleh bertukar menjadi air ^_^.


Thursday, March 21, 2013

3 words: What you want in life


Oleh sebab saya masih tak rajin nak buat entri berkenaan kelahiran Raihannah, kita santai-santai dulu dengan benda ni ye ^_^.

3 perkataan pertama yang saya nampak:

  1. Love
  2. Time
  3. Experience


Kalian bagaimana? :)


Nota:
Selamat berhujung minggu semua! :)


Thursday, February 14, 2013

Impian saat pulang ke Malaysia

Kurang dari setahun kami sekeluarga akan pulang ke Malaysia, insyaAllah. Dalam pada rasa tak sabar nak balik, perasaan sedih tetap juga mengiringi. Adatlah tu. Seronok macam mana pun di tempat orang, manakan sama di tempat sendiri :). Oh, saya dah mula memasang impian (lebih kepada perancangan, mungkin?) yang nak dibuat saat pulang ke Malaysia nanti! ^_^


Tautan ukhuwwah
Balik nanti insyaAllah nak jumpa semula sahabat handai di Malaysia terutama yang sekampus. Rindu! Belek-belek gambar lama, terkenang kembali saat-saat bersama suatu ketika dahulu. Ada masa sampai termimpi-mimpikan mereka. Sekarang ni majoriti dah berumah tangga dan ramai juga dah beranak-pinak. Adik-adik junior pun sama. Nasib baik belum ada yang dah bercucu :p. Harap sangat dapat ziarah mereka. Kalau boleh, sebulan sekali nak buat aktiviti ziarah. Moga Allah lapangkan masa kami untuk ziarah sahabat-sahabat kami. Saudara-mara tak perlu sebutlah...itu semestinya wajib diziarah :).


Kelas kek
Teringin sangat nak pergi kelas kek! Buat kek insyaAllah saya boleh buat tapi nak menjadikan kek cantik...alahai...failed! Tengok kawan-kawan yang dah pergi kelas kek, banyak sangat yang mereka dah perbaiki. Cantik sangat kek yang mereka buat. Tengok pun rasa sayang nak makan ^_^. Mana tahu, suatu hari nanti boleh buat bisnes kek kecil-kecilan dari rumah (berangan dulu siap-siap...hihi..). Harapnya suami izinkan saya menghadiri kelas kek nanti :).


Majlis ilmu
Ini lebih kepada program pengisian rohani. Rindu nak menghadiri majlis ilmu. Tengok atau dengar di media/internet tak sama dengan tengok dan dengar secara langsung. Majlis ilmu terbesar yang saya teringin nak pergi adalah Konvensyen Fiqh (K-Fiqh) dan Seminar Fiqh (S-Fiqh). Hebat ahli-ahli panelnya. Walaupun kami akan menetap di Pulau Pinang balik Malaysia nanti, mudah-mudahan Allah izin saya dan suami menyertai konvensyen yang dibuat di Kuala Lumpur nanti..ameen. Oh, teringin juga nak menghadiri kuliah Ustaz Azhar Idrus! :)

Poster-KFIQHp-30Jan2013

Poster-KFIQH-Solat- 5 Feb 2013
Konvensyen dan Seminar Fiqh yang terdekat. Ada yang bakal pergi tak?


Program Dr. Azizan Osman
Ini satu lagi program yang saya teringin nak pergi...lebih kepada dunia bisnes. Saya jarang percaya dengan program-program sebegini. Selalu fikir negatif dulu :p. Yelah, selalunya program begini bukan murah bayarannya. Nak kena pilih yang betul-betul, barulah duit tak terbazir begitu sahaja. Ada beberapa orang kawan yang dah pergi program Dr. Azizan Osman...semuanya kata sangat berbaloi menyertainya. Kalau setakat testimoni orang lain, saya kurang percaya tapi kawan-kawan yang dah pergi tu memang sangat boleh dipercayai...itu yang membuatkan saya berkobar-kobar nak menyertainya juga. Nak berbisnes, perlu ada ilmu juga ;).



Apa pun, balik Malaysia nanti kena selesaikan dulu perkara yang lebih utama untuk diselesaikan. Rumah pun tak ada lagi...dah sibuk pasang impian macam-macam..hihi. Doakan impian/perancangan saya terlaksana ye! :)


Monday, February 4, 2013

Family Play Space

Salah satu tempat yang 'wajib' pergi sewaktu musim sejuk. Sekurang-kurangnya sekali mesti bawa anak-anak bermain di Family Play Space ni setiap kali musim sejuk. Bagus juga ada tempat begini. Lepas tu boleh terus pergi window shopping :p. Family Play Space ni letaknya dalam bangunan Getaway Mall (sebelum ni dikenali sebagai Westfield Mall) di Lincoln ni.




Safiyyah yang gembira :).


Anak teruna ni dalam suasana bingit pun dia boleh lena. Mengantuk sangat akibat bangun awal di waktu pagi. Lama juga dia tidur :D.


Safiyyah paling suka main gelongsor ni.


Tempat ni dah makin cantik berbanding 2 tahun sudah. Tahun lepas rasanya baru tempat ni direnovasi. Lebih luas, lebih ceria, lebih menarik.


Dah puas main gelongsor, baru Safiyyah main benda lain.


Buat macam rumah sendiri pula dia.


Bangun juga akhirnya Shakir. Dia dapat main sekejap je la.


Lepas tu bawa anak-anak naik carousel ni pula. Ini pun dalam Mall juga. Pernah bawa Safiyyah naik sekali carousel...melalak-lalak dia. Entah apa yang ditakutkan sangat entahlah. Ni saje cuba nak tengok reaksinya kali ni.




Alhamdulillah, dah tak takut! Lepas ni boleh cuba bagi naik kuda betul pula ;).



Nota:
Mood berblog tak tahu dah terbang ke mana..huhu..

Monday, January 21, 2013

Berkenalan dengan si ketam

Salah satu aktiviti si anak teruna bulan lepas. Berkenalan dengan ketam ^_^.


Mula-mula tengok dulu. 


 Lepas tu cuit-cuit sikit.


Dah berani angkat! Bravo! ^_^


Si ketam ni hidup lagi ni cuma dah terlalu lemah...dah tak mampu nak mengetip dah...tu yang berani bagi Shakir pegang. Sengaja nak bagi dia kenal ketam dan nak tengok reaksinya. Safiyyah masa ni baru bangun tidur...buat tak layan je dia apabila ditunjuk ketam padanya..tengah mamai lagi..hihi..


Muka puas hati dapat pegang ketam ^_^.



Selingan:
Ada produk tambahan di Wans Wanz Shop. Jemputlah ke sana :). InsyaAllah lepas ni akan dimasukkan juga beberapa jenis car seat dan breastpump :). Tempahan untuk shipping hujung bulan Februari ni masih diterima. Kalau lambat, kena tunggu shipping seterusnya dalam bulan Jun, insyaAllah.

Sunday, January 20, 2013

Safiyyah's 4th birthday bash

Majlis yang serba sederhana dan ringkas untuk anakanda yang sulung sempena 4 tahun usianya :). Betul-betul ringkas kali ni. Jemputan tak ramai, juadah juga yang ringkas sahaja. Jadilah, janji dapat juga Safiyyah diraikan seperti 3 tahun sebelum ni :). Hari lahir Safiyyah 2 Januari tapi majlisnya hanya dapat dibuat pada 11 Januari; semester baru dah bermula pun masa tu.




Menu yang ringkas. Saya hanya masak bihun goreng dan lasagna sahaja. Yang lain tu dibuat oleh orang lain. Makaroni bakar daripada Kismi, burek/borek (makanan Turki) daripada Husna dan roti jala daripada Elfha. Elfha macam tahu-tahu je saya teringin makan roti jala ^_^. Terfikir juga nak buat roti jala untuk majlis Safiyyah ni tapi difikir-fikir balik, tak jadi. Tak larat nak berdiri lama-lama 'menjala' di dapur. Dapat tahu Elfha nak buat roti jala, gembira rasa hati ^_^.


Birthday girl.


Dua jenis kek lagi yang dicuba kali ni. Caramel praline cheesecake (kanan) dan Coconut-filled nut torte (kiri). Suami saya sukakan kedua-dua kek ni! Dua-dua sedap katanya, alhamdulillah :). Resipi insyaAllah saya kongsikan dalam entri lain :)


Sesi potong kek.


Mereka yang juga diraikan. Raihan (tengah potong kek) dan Alif Roslan (berdiri di kiri) yang sudah pun menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Tahniah Raihan! Tahniah Alif! Di saat ni Raihan dah pun selamat berada di Malaysia. Alif pula insyaAllah akan pulang ke tanahair sebelum hujung bulan ni.






Monday, January 14, 2013

Berpesta pulut durian di musim sejuk

Aktiviti kami bersama adik-adik undergrad di sini penghujung Disember 2012 :).

Bukan main sakan lagi orang di Malaysia tayang durian hujung tahun lepas..siap dengan crepe durian lagi..huhu. Tak patut betul. Mujurlah di Lincoln ni ada jual durian. Walaupun ianya durian Siam, walaupun ianya durian beku (frozen)...jadilah...janji dapat juga melepas kempunan nak makan durian.

Idea nak berpesta pulut durian ni datangnya daripada gambar pulut durian yang suami saya upload di Facebook beberapa minggu sebelumnya.. Adik-adik undergrad di sini terliur tengok gambar pulut durian tu :p. Dari situlah tercetus idea makan pulut durian secara berjemaah ^_^.


Memang berpesta sungguhlah hari tu. 9 biji durian kesemuanya; 5 biji daripada geng bujang, sebiji daripada anak dara, baki 3 biji lagi suami saya beli ^_^. Memang tak habislah 9 biji durian tu tapi 5 biji sekejap je licin.


Pulut durian. Pertama kali saya tahu durian dimakan dengan pulut dan santan adalah sewaktu saya di matrikulasi. Tak ingat saya ada program apa masa tu. Yang saya ingat, juadah yang dihidangkan adalah pulut durian. Aneh bagi saya. Tak boleh nak digambarkan bagaimana rasanya. Durian dahlah berlemak. Makan pula dengan pulut bersama santan. Tidakkah rasanya sangat berlemak??


Tak ramai pun masa ni. Ramai yang pergi makan angin sempena cuti musim sejuk. Kami yang tak ke mana-mana (sob, sob..)...berpesta pulut durianlah di Lincoln ^_^. Ada tetamu juga waktu ni; keluarga Fido yang datang makan angin di US dan seorang adik undergrad dari Wisconsin.


Yum, yum! Sedap juga durian Siam pun. Alhamdulillah kali ni dapat isi yang lembut. Kadang-kadang beli dapat isi yang keras sikit...yang macam tu saya tak minat sangat. Saya seorang sahaja yang makan durian semata-mata. Sehingga ke hari ni masih belum terbuka hati nak rasa pulut durian.


Anak teruna yang baru bangun tidur menikmati durian. Lepas makan durian, makan pulut durian pula. Bab makan, memang ummi kalah dengan dia. Bagus juga dia tak jadi picky eater macam umminya ni :D. Safiyyah? Tak mahu pun dia. Sekali-sekala makan jugalah durian tapi selalunya dia tak mahu.