Pages

Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Monday, July 6, 2020

Ujian Kita Berbeza-beza

Saya ini di luar tidaklah banyak bercakap. Jenis pendiam. Gelaran 'berat mulut' tu sejak kecil lagi dah terima. Mulut banyak emas, kata orang lain pula. Tak kisah pun sebab memang begitulah sifat diri. Dengan orang tertentu sahaja boleh bercakap banyak. Dalam pendiam saya, saya suka memerhati. Perhati keliling, perhati gelagat orang. Banyak perkara saya belajar melalui pemerhatian.

Makin lama makin saya sedar yang ujian setiap orang itu berbeza-beza. Sesuailah dengan tahap kemampuan setiap individu. Saat diri sendiri diuji, dirasakan itulah ujian paling berat di dunia. Hakikatnya, ujian orang lain lagi berganda beratnya. Tak terbanding pun dengan ujian sendiri.

Ada orang, diuji dengan kematian pasangan. Benar, mati itu pasti tapi pemergian dalam keadaan mengejut, yang tak disangka, pasti luluh hati. Lemah longlai tubuh dibuatnya.

Ada orang, diuji dengan ketiadaan zuriat. Berbelas tahun mencuba, berbelas tahun tak berhenti mengharap. Namun, masih belum direzekikan memiliki zuriat sendiri.

Ada orang yang masih belum bertemu jodoh sehingga usia sudah semakin menginjak sedangkan rakan-rakan sebaya sudah punya anak berderet.

Ada orang, diuji dengan penyakit. Penyakit yang bukan calang-calang. Ada yang kena kanser. Ada yang kena strok. Allah. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ada orang, diuji memiliki anak istimewa lebih daripada seorang. Lebih berat lagi, anak-anak itu tidak mampu menguruskan diri sendiri. Serba-serbi perlu dibantu.

Ada orang pula diuji dengan pemergian anak yang disayangi buat selama-lamanya. Siapa sangka, anak yang diharap doanya dan diharap mengurus jenazah ibu bapa, ditakdirkan pergi dahulu. Benarlah, mati itu tidak mengenal usia.

Luaran, kita nampak ketenangan di wajah mereka. Dalam hati, siapa yang tahu? Saat kita diuji, pandanglah sekeliling. Pasti kita akan sedar betapa ujian yang dikirim Allah buat kita tidaklah sebesar mana. Boleh jadi, ujian itu adalah sebagai penghapus dosa. Boleh jadi juga, Allah mahu menaikkan darjat kita sebagai hambaNya jika kita bersabar dan reda dengan ujian tersebut.

Moga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi segala ujian yang diterima.


Thursday, August 23, 2012

Menginjak usia ke angka 30

30 tahun lalu, Allah izin saya lahir ke dunia. Alhamdulillah, Allah masih izin saya untuk terus menghirup udaraNya sehingga ke hari ini. Ye, hari ini, tanggal 23 Ogos 2012, genaplah usia saya 30 tahun. Secara rasminya, saya sudah menyertai Kelab 3-siri ^_^.



Macam tak percaya umur dah 30. Di usia 30 tahun ni banyak yang perlu dimuhasabah dan banyak amalan perlu diperbaiki. Bila-bila masa sahaja malaikat maut datang menjemput. Hiba pula apabila usia dah menginjak ke angka 30. Terkenangkan beberapa orang sahabat yang dah pergi mengadap Ilahi dalam usia mereka awal 30-an. Suatu hari nanti pasti saya akan menyertai mereka kerana mati itu pasti. Antara cepat dengan lambat sahaja.

Doakan kebaikan buat saya di dunia dan di akhirat ye..

Thursday, July 26, 2012

Motivasi berpuasa di musim panas

Membaca tulisan Ustaz Hasrizal dalam entri blognya yang bertajuk Puasa Zama' al-Hawajir dan Olimpik 2012!, secara tak langsung menyuntik motivasi dalam mengharungi puasa di musim panas ni. Seperti tahun lepas, Ramadhan di US kali ni juga jatuh pada musim panas. Lebih mencabar, siang di musim panas adalah panjang waktunya

Cumanya, saya kira kami sedikit bertuah kerana hanya perlu berpuasa selama 16 jam lebih jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang berpuasa di antara tempoh 18-20 jam. 20 jam! Tak dapat saya bayangkan bagaimana keadaannya berpuasa dalam tempoh sepanjang itu. Pasti mereka yang terpilih untuk melalui puasa dalam tempoh yang panjang begitu bukan calang-calang orang. Mereka pasti manusia hebat yang dipilih Allah!



Kalau nak diikutkan, saya tak terasa sangat cabaran berpuasa di musim panas sebab saya hanya duduk di rumah sahaja. Rasa panas sikit, pasang penghawa dingin. Aduhai, rendahnya tahap kesabaran saya menghadapi cuaca panas dalam keadaan berpuasa.

Buat teman-teman yang juga turut berpuasa di musim panas termasuk suami saya sendiri yang terpaksa berpanas di ladang demi research, semoga terus tabah meneruskan ibadah puasa sehingga ke akhir Ramadhan. InsyaAllah, kalian adalah manusia hebat dan luar biasa pilihan Allah. Saya sarankan kalian baca sendiri tulisan Ustaz Hasrizal yang berkenaan.

Saya akhiri dengan petikan ayat yang saya ambil dari blog Ustaz Hasrizal...


Abu Darda’ sendiri pernah berpesan:

صوموا يوما شديدا حره لحر يوم النشور وصلوا ركعتين في ظلمة الليل لظلمة القبور

Berpuasalah kamu pada hari yang panas, pada memikirkan panasnya Mahsyar itu nanti. Dirikanlah solat dua rakaat pada malam yang gelap, dek memikirkan gelapnya liang lahad di alam kubur nanti



Nota: Sekejap je seminggu Ramadhan berlalu.

Tuesday, July 24, 2012

Bersederhanalah



Tak salah nak ke bazar Ramadhan.
Tak salah juga nak makan makanan yang sedap.




Cuma...
Berpada-padalah.
Bersederhanalah.

Jangan diturut sangat hawa nafsu yang menggoda :).

Sama-sama kita kenangkan nasib orang susah yang tak cukup makan. Juga nasib saudara-saudara seIslam kita di Palestin, Syria dan Myammar. Entah apa yang mereka makan sewaktu berbuka agaknya ye?


Pejuang pembebasan Syria hanya berbuka dengan kurma dan air kosong sahaja.
Kita yang tak perlu berjuang sebegitu, berusahalah untuk berjuang mengawal/melawan nafsu sendiri.


Imam Malik bin Anas menangis ketika hendak berbuka puasa. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."
--> Imam Malik rasa amalannya sedikit. Amalan sendiri apatah lagi :(.


Sunday, May 13, 2012

Hari Ibu 2012

Sempena Hari Ibu 2012, saya dedikasikan lagu ni buat semua yang bergelar ibu/mak/mama/ummi. Ini lagu kegemaran saya buat masa ni. Harap kalian pun suka :)




Video ni buat saya insaf dan memuhasabah diri kembali. Jadi ibu memang kena banyak bersabar dengan ragam dan karenah anak-anak, kan? Adakalanya rasa geram sangat dengan anak-anak. Rasa nak gigit-gigit je :p. Waktu sweet memang la tersangat sweet. Tapi....waktu buat perangai....boleh mendidih darah dibuatnya :p.

Lepas tengok video ni, saya terfikir macam mana la ragam saya masa kecil dulu. Mesti banyak menguji kesabaran mak. Mungkin juga banyak buat mak menangis. Huhu. Sekarang ni saya dah jadi seorang ummi, tahulah saya betapa perlunya saya mendidik diri menjadi seorang yang betul-betul penyabar. Bukan senang. Dah la bersama dengan anak-anak 24 jam. Lagi la kena banyak bersabar :p.

Tak apa. Bersabarlah sedikit masa lagi sementara mereka masih kecil lagi ni. Nanti la mereka dah ada anak sendiri....haaa baru tahu macam mana kita rasa dalam menghadapi karenah mereka ketika kecil sebagaimana yang kita rasa sekarang. ^_^.

Selamat Hari Ibu semua! :)



Nota 1: Setiap kali tengok video ni, tak sah kalau air mata tak mengalir :p

Nota 2: Hari Ibu ada, Hari Bapa pun ada. Hari Atuk dan Hari Nenek tak ada ke? :p


Monday, February 27, 2012

2 video yang menusuk jiwa

Video pertama: Insan yang tak punya tangan dan kaki



Berlinang air mata saya tengok video ni. Malu rasanya dengan diri sendiri. Berbeza sungguh dengan insan yang tak punya tangan dan kaki dalam video tersebut :(. Walaupun anggota fizikalnya tak lengkap, fikiran dan hatinya sangat positif. Sentiasa tersenyum. Tak kisah langsung dengan 'kekurangan' diri sendiri. Malah, dia boleh melakukan banyak aktiviti tanpa tangan dan kaki! Allahuakbar!

"Be thankful". MasyaAllah...rasa terpukul dengan kata-kata yang keluar dari mulut insan tersebut. Dia mengingatkan orang lain bersyukur dengan apa yang dimiliki sedangkan dirinya sendiri tak punya kaki dan tangan. Allah, malunya rasa. Kita yang dilahirkan sempurna terlalu banyak keluh-kesah. Terlalu banyak mengeluh. Sentiasa memikirkan benda yang tak dimiliki padahal nikmat yang Allah kurniakan buat kita terlalu banyak. Terlalu banyak sehingga tak mampu kita menghitungnya. Mudah-mudahan selepas ini kita jadi hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmat kurniaanNya.


Video kedua: Rakyat Syria bersumpah untuk syahid



Berderai juga air mata saya menonton video ni. Kagumnya dengan semangat juang mereka menentang kezaliman regim Basyar al-Assad. Betapa dambanya mereka terhadap syahid. Betapa kuatnya pergantungan mereka terhadap Allah. Terfikir sejenak...sejauh mana dan seutuh mana pergantungan saya terhadap Allah? Adakah pergantungan terhadap manusia melebihi pergantungan terhahap Allah? Siapa yang saya cari dahulu ketika ditimpa masalah? Manusia lainnya atau Allah? Allahurabbi. Semoga Allah mengampunkan saya atas kelalaian dan kedhaifan diri sendiri..ameen.

Marilah sama-sama kita doakan saudara-saudara kita di Syria yang berjuang menegakkan keadilan dengan menumbangkan regim Basyar al-Assad. Sekalipun tidak beroleh syahid, mudah-mudahan Allah nilai ia sebagai usaha tak seberapa kita dalam membantu mereka di sana...