Pages

Showing posts with label Syawal. Show all posts
Showing posts with label Syawal. Show all posts

Friday, June 19, 2020

Kek Marble

Petang semalam saya buat kek marble. Projek yang tertangguh sebenarnya ni. Raya hari tu saya dah buat sebiji kek marble untuk dibawa ke rumah adik ipar. Tapi yang itu tak ingat nak ambil gambar. Disebabkan tak puas hati dengan tekstur kek tu, saya rancang nak buat sekali lagi kek marble guna resipi berlainan. Boleh juga dikongsi dengan jiran-jiran. Beberapa hari tertangguh, akhirnya jadi jugalah dibuat semalam.

Kali ni saya berpuas hati dengan tekstur keknya. Gebu dan lembap. Cuma pada saya, rasa kek ni agak manis. Mungkin disebabkan saya tak guna serbuk koko seperti yang tercatat dalam resipi berkenaan. Lain kali kena kurangkan sedikit sukatan susu pekat tu.

Menurut Puan Azie, ada dua kaedah untuk buat kek marble ni. Kaedah pertama kena asingkan telur putih dan kuning. Kaedah kedua sama caranya macam buat kek biasa. Pendek kata, lebih mudah. Pastinya saya pilih kaedah yang lebih mudah..hehe. Kalau nak tengok kaedah pertama tu, rujuk blog Puan Azie ya. Di sini saya catat kaedah kedua. Senang untuk rujukan sendiri.


Separuh kek dibahagi kepada jiran-jiran. Separuh bahagian lagi jadi habuan kami anak-beranak.


Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
8 oz/227 gm mentega
6 oz/170 gm tepung gandum
6 oz/170 gm gula kaster
5 biji telur
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
3-4 sudu besar serbuk koko -diayak (guna coklat emulco) - saya ganti dengan pewarna makanan sahaja


Cara cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan ovalette, susu pekat dan esen vanila. Pukul rata.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji ke dalam adunan dan pukul lagi hingga rata.
  4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul hingga adunan sebati.
  5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan masukkan warna atau emulco pilihan anda.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci secara selang seli dimulai dengan adunan asal. Lorek dengan menggunakan chopstick.
  7. Bakar pada suhu 180C selama 45 minit atau sehingga masak. Saya guna suhu 170C selama 50 minit. 


Ini rupa bawah kek. Macam corak bola..hehe..


Selamat mencuba!



Monday, September 2, 2013

1 dan 3 Syawal 1434H

Pekerja berdedikasi Satay Lincoln :p. Aktiviti pada petang 1 Syawal. Tak ada rupa raya, kan? Kalau di Malaysia, dari pagi sampai ke malam berbaju raya. Sini takat tengahari sahajalah berbaju raya :D.


Sesi mencucuk satay pada pagi 3 Syawal sebelum bertolak ke Omaha tengaharinya. 


Sebahagian juadah di rumah kak Ellie. Yum!


Kami berlima pada 1 Syawal (gambar atas) di Lincoln dan 3 Syawal (bawah) di Omaha.
Jubah kuning yang saya pakai tu baju kahwin saya yang dipakai sewaktu majlis resepsi di rumah saya (tiba-tiba teringin pakai balik baju kahwin tu. Memang dibawa dari Malaysia dulu. Kalau tak pakai, sia-sia je bawa ^_^).
Baju raya hijau tu baju raya kami tahun lepas tapi belum dipakai. Rezeki tahun lepas dapat 2 pasang baju raya (pemberian adik ipar dan mak ayah saya). Disebabkan tahun lepas sehari sahaja beraya, makanya baju raya tu pun tersimpan dalam almari. Forward sahaja ke tahun ni...jimat ^_^.



Sekian sahaja cerita raya kami ^_^.

Sunday, September 1, 2013

Salam penghujung Syawal

Hampir 2 bulan tak menjengah blog sendiri. Tak sangka masih ada yang masih sudi berkunjung ke sini dan ada juga yang tinggalkan komen dalam entri lama. Terima kasih daun keladi buat semua yang masih mengingati empunya diri ^_^.

Sibuk? Oh, tidak...saya tak sibuk pun. Cumanya momentum untuk berblog yang tiada. Aduhai. Tak tahulah kenapa. Nak menjenguk blog kawan-kawan pun terasa liat. Maaf ya semua. Sejak entri saya yang terakhir, memang saya tak buka langsung blog ni. Blogwalking pun tidak >_<.

Ringkasan aktiviti/perkembangan kami anak-beranak:

  • Raya kami tahun ni tak semeriah tahun lepas. Ramai yang dah tak ada (dah balik for good), ada yang balik bercuti di Malaysia dan tahun ni tak ada tetamu dari Malaysia yang datang bertandang seperti tahun lepas...sob sob.
  • Aidilfitri hanya duduk di rumah sahaja. Tak terasa nak beraya langsung tahun ni. Nak masak juadah raya pun tak ada mood. Biskut raya sejenis pun tak buat tahun ni tapi alhamdulillah dapat juga makan kuih raya yang dipos oleh kakak ipar. Malam raya baru terhegeh-hegeh masak nasi impit dan rendang ayam. Mulanya tak rajin juga nak buat tapi memikirkan adik-adik undergrads yang ada di sini, masak jugalah juadah raya. Kesian pula adik-adik tu...bukan ada tempat lain nak beraya.
  • Akibat masak hampir tengah malam, rendang saya hampir hangit gara-gara terlena! Suami saya pun terlena sama. Heh...eloklah tu suami isteri ni. Jam 4 pagi baru tersedar. Tengok-tengok, rendang dah kering dan ayam di bahagian bawah melekat di kuali. Bila dikacau-kacau...ayam hancur! Huwaaa. Dahlah belum letak garam lagi masa tu. Cepat-cepat telefon mak, mengadu :p. Mak beritahu apa yang boleh dibuat dan alhamdulillah, rendang berjaya diselamatkan walaupun banyak hancur :p. Rasa jugalah rendang walaupun tak sesedap mana. Macamlah selama ni masak rendang sedap sangat setaraf chef ternama :p.
  • Petang Aidilfitri, adik-adik undergrads datang sekali lagi tolong potong ayam untuk dibuat satay. Nak dibawa ke Omaha 2 hari berikutnya. Malam tu baru saya perap ayam yang dah dipotong tu.
  • Pagi 3 Syawal, sesi mencucuk satay pula. Bab mencucuk satay, saya tak masuk campur. Tak rajin. Jadi tukang ambil gambar je :p. Tengahari, kami semua ke Omaha, beraya di sana. Macam-macam juadah kak Ellie masak! Nasi impit, nasi beriani, rendang daging, ayam masak merah, soto, kuah kacang, rojak, air bandung. Heaven! Tu belum masuk lagi juadah yang dibawa tetamu. Barulah rasa raya! ^_^
  • 2 hari tu sahaja kami beraya. Selepas tu, kembali ke rutin biasa. Macam inilah gayanya beraya di perantauan :). Nak berziarah kawan-kawan lain, tak ada harapanlah. Jauh beribu batu. Nak melepasi Nebraska ni sahaja pun makan masa beberapa jam. Inikan pula nak merentasi states.
  • Raihannah dah 5 bulan usianya, alhamdulillah. InsyaAllah lebih kurang seminggu lagi genaplah dia 6 bulan. Dah pandai meniarap dan bergolek-golek sampai jatuh katil >_<. Selalu terhibur dengan gelagat abe ngahnya. Kadang-kadang Shakir tak buat apa pun, sekadar duduk sebelah Raihannah...itu pun Raihannah gelak! Hihi...entah apa yang melucukan hatinya tu.
  • Shakir dah kurang sikit 'membuli' kak longnya sebab nanti dia 'dibuli' balik :p. Safiyyah dah pandai melawan. Sebelum ni bersabar je dia. Dah hari-hari kena, mana nak tahan. Selalulah Shakir menangis kena dengan kak long dia. Malas ummi nak masuk campur :p.
  • 23 Ogos lepas, genaplah 31 tahun usia saya. Alhamdulillah. Muda lagi, kan? :p


Itu sahajalah yang teringat. Gambar-gambar nanti ya. InsyaAllah dalam entri seterusnya :).

Thursday, September 6, 2012

Kejutan di hari lahir yang ke-30

Setelah 3 tahun hari lahir saya jatuh pada bulan Ramadhan, akhirnya tahun ni 23 Ogos jatuh pada bulan Syawal. Sepanjang 3 tahun berturut-turut tu memang tiada keraian di hari lahir saya cuma pemberian hadiah daripada suami sahaja. Selama ni pun hari lahir saya hanya disambut kecil-kecilan sesama ahli keluarga. Itu pun sekadar makan di luar dan kek biasanya memang ada sekali.

Istimewanya tahun ni, bukan setakat suami yang meraikan, keluarga Irfan yang menjadi tetamu rumah kami turut sama meraikan hari lahir saya yang ke-30. Segan sungguh saya. Saya tak biasa. Nak tunjuk reaksi macam mana pun saya tak tahu. Senyuman saya pun terasa kaku. Saya suka meraikan orang tapi apabila diri sendiri diraikan, saya jadi segan teramat.

24 Ogos lepas, keluarga Irfan ajak saya sekeluarga makan malam di luar sempena malam terakhir mereka bermalam di rumah kami sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Saya macam boleh agak makan malam tu bukan makan malam biasa-biasa, bukan setakat makan malam 'perpisahan', tapi sampai kami semua habis makan, tak ada apa-apa pula yang berlaku :p.





Tak lama lepas tu tiba-tiba je 2 orang pelayan restoran datang bawa kek dan menyanyikan lagu Happy Birthday. Segan saya dibuatnya. Terasa macam budak-budak pun ada juga :p. Memang saya tak jangka kejutan begini. Tak sangka la pula mereka nak berpakat dengan pelayan restoran sampai begitu sekali. Terharu, gembira, segan, semua bercampur menjadi satu!


2 beradik tu pula yang sibuk nak potong kek ^_^. 


Oreo ice cream cake yang sedap! Terima kasih suamiku sayang (suami saya yang beria-ia cari kek ni di kedai sebelum ni lagi...kami pernah makan di majlis hari lahir anak jiran...dialah yang nak makan kek ni sebenarnya :p). 


Sudahlah dibelanja makan, dapat pula hadiah daripada keluarga Irfan. Bertambah segan jadinya. 


Bergambar kenangan sebelum balik.


Keluarga kecil kami :). 


Dah nak balik, Shakir sibuk tunjuk lobster dalam akuarium tu ^_^.



Terima kasih Abang Rahman, Kak Razmah, Irfan, dan Aliff belanja makan dan bagi hadiah!
Terima kasih Raihan yang turut serta!
Terima kasih juga suamiku sayang atas kejutan ini.
InsyaAllah memori manis ni akan tersemat dalam hati :).

Wednesday, September 5, 2012

Friday, August 31, 2012

Kemeriahan Aidilfitri di Omaha

Kalau pada pagi 1 Syawal kami hanya beraya di Lincoln, petangnya pula kami beraya di Omaha. Lebih tepatnya lagi, di rumah Kak Ellie. Omaha ni je destinasi yang paling dekat dengan Lincoln yang boleh jumpa keluarga Melayu lainnya. Mujur juga la ada beberapa keluarga Melayu di sana, merasa jugalah peluang beraya selain di Lincoln. Jamuan raya ni dibuat secara potluck. Jadinya, masing-masing bawa juadah masing-masing. Kami bawa satay mentah sahaja.

Majlis bermula jam 2.30 petang. Perancangan asal, kami nak bertolak awal ke sana sebab nak kena bakar satay. Merancang nak bertolak dalam pukul 12 tengahari supaya dapat sampai di rumah Kak Ellie dalam pukul 1 petang (lebih kurang sejam perjalanan) tapi akhirnya hampir pukul 1.30 petang baru kami dapat keluar rumah. Kerja-kerja menyucuk satay pagi tu lambat siap dan masih ada adik-adik undergrads yang datang beraya di rumah kami waktu tengahari tu.


Alhamdulillah, cuaca cantik sangat hari tu. Macam dalam perjalanan balik kampung je ambil gambar macam ni (padahalnya diri sendiri tak ada kampung) ^_^.


Waktu kami sampai di rumah Kak Ellie, belum ramai pun lagi. Saya yang dah siap berwudhu' dari rumah, terus solat Zohor. Dah ramai nanti leka pula bersembang.


Senarai menu yang disediakan oleh tuan rumah.



Sebahagian juadah yang ada. Ini sahaja yang sempat saya ambil gambar. Banyak sangat juadah yang ada. Tak pasti ada berapa puluh jenis. Bahagian pencuci mulut je pun dah cukup banyak. Saya tengok makanan banyak-banyak macam tu terus rasa kenyang. Orang lain sibuk beratur ambil makanan, saya sibuk ambil gambar. Sungguh rasa kenyang tiba-tiba tengok makanan terhidang sebanyak tu. Lagipun tak rajin nak beratur :p.


Satay! Kerja saya hanyalah memerap satay. Bab menyucuk dan membakar satay, saya lari siap-siap..hihi..




Yang Melayu kebanyakannya duduk dalam rumah. Tipikal Melayu yang tak suka berpanas, mungkin? :p


Ini bahagian luar rumah. Dah macam restoran pula tengok gambar ni ^_^. Ramai sangat jemputan Kak Ellie. Meriah!


Saya bersama 2 orang tetamu dari Malaysia (saya ada sebut dalam entri lepas). Di tengah itulah Kak Mashitah dan yang bertudung ungu itulah Kak Razmah; 'chef import' yang saya maksudkan ^_^.


Ada peluang bergambar, memang tak dilepaskan!


Bergambar dengan Kak Ellie sekeluarga lepas kerja mengemas selesai. Kami je yang tinggal waktu ni. Dah alang-alang hampir masuk waktu Maghrib, kami tunggu sekejap lagi untuk menunaikan solat Maghrib. Nasib baik tak kena halau dengan tuan rumah :p.
Oh ye, waktu ni jugalah kami ambil kesempatan bergambar 4 beranak :).


Nota:
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-55!

Tuesday, August 28, 2012

1 Syawal: Pagi di Lincoln

Pagi 1 Syawal kami habiskan di Lincoln sahaja. Adik-adik undergrads datang beraya dan seperti yang saya katakan sebelum ni, Aidilfitri kami kali ni meriah dengan kedatangan tetamu-tetamu dari Malaysia. Pertama kali mereka beraya di perantauan. Komen mereka? Tak rasa macam raya pun. Hihi...

Nak bandingkan dengan kemeriahan Aidilfitri di Malaysia memang tak bolehlah tapi bagi kami yang dah melalui beberapa kali Aidilfitri dan Aidiladha di rantau orang, dah cukup meriah dah bagi kami begini. Tambahan pula dengan kehadiran tetamu-tetamu dari Malaysia, perasaan seronok tu sukar digambarkan. Bukan senang nak menerima kedatangan tetamu dari Malaysia terutama di musim perayaan begini. Kehadiran mereka menceriakan Aidilfitri kami di sini :).


Juadah pagi raya hasil air tangan 'chef' Razmah ^_^.


Suami saya dan keluarga Irfan sempat bergambar sebelum bertolak menunaikan solat sunat Aidilfitri.



Sebahagian gambar yang sempat diambil. Ada beberapa orang datang lewat, terlupa saya nak ambil gambar mereka. Masa tu dah sibuk nak bersiap ke Omaha.


Anak-anak bermanja dengan keluarga Irfan. Yang bersongkok tu ayah Irfan dan yang seorang lagi tu Aliff; satu-satunya adik Irfan.


Sunday, August 26, 2012

Istimewa Aidilfitri 1433H

Daripada 2, jadi 7
Tahun ni punyalah saya tak rajin buat kuih raya. Saya rasa raya macam lambat lagi. Sudahnya, 4 hari sebelum raya barulah terhegeh-hegeh buat kuih raya. Selang sehari lepas tu buat lagi sejenis. Kedua-duanya resipi yang mudah. Memang sengaja pilih resipi mudah. Dah nama pun tak rajin. Janji ada kata orang :p.

Ni je yang saya buat. Kanan biskut cornflakes madu, kiri snowball cookies. Kedua-duanya pertama kali saya buat. Sebelum ni pernah buat cornflakes madu tapi resipi lain. Resipi yang saya guna ni lebih sedap!

Biskut raya yang asalnya ada 2 jenis je...ada pertambahan lagi 5 jenis menjadikan 7 jenis kuih raya saya tahun ni ^_^. Kelima-limanya pemberian tetamu-tetamu dari Malaysia (4 jenis daripada keluarga Irfan, sejenis lagi pemberian kak Mashitah). Mereka macam tahu-tahu je tahun ni saya tak rajin buat kuih raya..hihi..

Masa ni sejenis dah habis. Sejenis lagi saya terlupa ambil gambarnya.


Kehadiran tetamu dari Malaysia
Menariknya Aidilfitri tahun ni, rumah kami meriah dengan kehadiran tetamu-tetamu dari Malaysia; keluarga Irfan dan kak Mashitah. Keluarga Irfan datang ke US untuk menghadiri majlis konvo Irfan sambil makan angin di US. Kak Mashitah pula datang ke Lincoln semata-mata menghantar satu-satunya anak daranya belajar di sini. Dapatlah mereka merasa beraya di perantauan. Alhamdulillah juga tahun ni 1 Syawal jatuh pada hari Ahad. Terasa juga kemeriahan berhari raya pada 1 Syawal. Kalau tak alamatnya, kena tunggu hujung minggu baru dapat beraya betul-betul. Sini bukannya ada cuti raya...sob sob..


Chef import
Tahun ni juga saya tak masak apa-apa juadah untuk dihidang di pagi raya tapi hidangan penuh atas meja! Semuanya hasil air tangan 'chef import' yang datang nun jauh dari Malaysia. Kak Razmah (mak kepada Irfan) yang masak kesemuanya. Tetamu masak, tuan rumah goyang kaki. Bagus betul tuan rumah -_-". Kak Razmah yang tawarkan diri untuk masak juadah raya. Saya nak tolong pun dia tak bagi. Dia kesiankan saya yang ada anak kecil.


Macam-macam yang kak Razmah masak! Nasi beriani lauk kambing, dalca, rendang ayam, kuah lodeh, kuah kacang, sambal udang. Kagum betul! Kalau saya, belum tentu lagi dapat siapkan kesemua hidangan tu dalam satu malam. Lepas tu barulah saya tahu yang kak Razmah memang dah biasa masak banyak-banyak. Kalau buat rumah terbuka, dia masak sendiri untuk 300 orang tetamu. Saya nak masak untuk 20 orang pun terkial-kial :(.


Rendang minang
Dah lama saya teringin nak makan rendang minang. Nak buat tak pandai. Pernah juga cari resipi di internet tapi tak tahu resipi mana yang betul. Lain-lain resipinya. Sudahnya, memang saya tak buatlah rendang minang. Alhamdulillah, Aidilfitri kali ni saya dapat makan rendang minang yang dimasak oleh kak Razmah. Ye, rendang ayam yang kak Razmah masak bukan rendang biasa tapi rendang minang kegemaran saya. Aidilfitri kali keempat di perantauan baru dapat makan rendang minang. Alhamdulillah, rezeki :).


Wednesday, August 22, 2012

WW: Petang 1 Syawal




Lewat petang baru keluarga kecil kami dapat bergambar bersama >_<



Nota:
Baju raya kami sekeluarga ni ditaja oleh adik ipar (adik suami) ^_^. Terima kasih Rosni!


Saturday, August 18, 2012

30 Ramadhan dan Aidilfitri 1433H

Ramadhan akhirnya tiba ke penghujungnya. Kalau di Malaysia dan beberapa negara lain sudah mula takbir raya, di US masih ada beberapa jam lagi sebelum Ramadhan benar-benar melabuhkan tirainya. Dengan izin Allah, kami di sini dikurniakan 30 hari genap Ramadhan. Allah beri peluang pada kami sehari lagi untuk terus merebut tawaran hebat yang hanya datang setahun sekali. Semoga keluarnya kami dari bulan Ramadhan ini, kami beroleh keampunan daripada Allah SWT. Janganlah hendaknya kami tergolong sebagai golongan celaka yang tidak mendapat keampunan Allah sebelum Ramadhan berakhir. Na'uzubillahi min zalik.

Mudah-mudahan Ramadhan ini bukan Ramadhan terakhir buat saya. Semoga Allah izinkan saya bertemu dan melalui Ramadhan yang akan datang. Doakan saya ye. InsyaAllah, doa yang sama juga saya pohon untuk kalian.

InsyaAllah, tahun ini tahun keempat saya sekeluarga beraya di perantauan. Cukup untuk membuatkan kami terlalu rindukan suasana berhari raya di Malaysia. Rindu kemeriahannya. Walaupun raya di sini boleh dikatakan meriah, tetap tak sama dengan kemeriahan Aidilfitri di tanahair tercinta. Rindu juga dengan suasana takbir dari rumah ke rumah. Rindu aktiviti ziarah dari rumah ke rumah yang bermula seusai menunaikan solat sunat Aidilfitri. Oh, rindunya!

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat terutama pembaca blog ini. Andainya ada di antara tulisan saya mengguris hati kalian, maafkan saya. Mohon maaf atas segala khilaf dan salah silap kami sekeluarga. Taqabballahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu..ameen. Semoga Aidilfitri tahun ni memberi seribu makna buat kita semua, insyaAllah.




Thursday, October 27, 2011

Jamuan di rumah teruna dan dara

Sebetulnya ni cerita sambungan 'Beraya di rumah teruna dan dara'. Sengaja ubah sikit tajuk supaya tak ketara sangat yang cerita ni dah berkulat..ngeee. Rasa dah basi sangat-sangat cerita ni (tak lama lagi masuk Raya Haji dah pun! :p) tapi dah kata nak sambung...saya taip juga la. Jangan muntah pula ye baca cerita ni..uhuhu..


19 Syawal 1432 H
Menghadiri majlis rumah terbuka Fizah, Hasanah, Fido dan Alif Sophian pula! Disebabkan berjiran...diorang sekalikan je majlis rumah terbuka ni. Senang.

Tuan rumah. Majlis diorang ni dibuat di rumah anak dara :)


Safiyyah makan spaghetti kosong. Dah jadi makanan kegemaran dia sekarang ni. Sebelum ni tak suka langsung makanan-makanan 'bertali' macam bihun, mee, spaghetti





Anak dara yang rajin nak tolong menghidang :)





Shakir baca kad raya yang dikirim Irma dari Malaysia ;)


Giliran Safiyyah pula baca kad raya ;)


Diapit 2 orang cewek Indonesia; Sarah dan Husna :)







28 Syawal 1432 H
Sebagai penutup, beraya di rumah teruna bertiga pula; Irfan, Alif Roslan dan Muaz. Diorang tak sempat nak buat majlis rumah terbuka tapi sanggup menerima tetamu yang mengada-ngada nak datang beraya..hihi.





Juadah yang dihidangkan. Nak rasa air tangan teruna dan dara Lincoln...meh datang sini ;)


Safiyyah tolong study untuk Ain :p



Nota: Maaf ye dah berkurun baru dapat siapkan sambungan cerita ni...keinginan saya untuk berblog makin pudar..huhu..