Pages

Showing posts with label keletah anak-anak. Show all posts
Showing posts with label keletah anak-anak. Show all posts

Saturday, June 12, 2021

Makan Germs?

"Makan tak gosok gigi dulu ya? Eiii...makan dengan germs." Tegur opahnya.

.

"Malam tadi sebelum tidur kita dah gosok gigi dah." Jawab pula si anakanda.

.

Ummi tengah siang ikan. Pasang telinga je la nak dengar apa jawapan si anakanda. Akal yang seorang ni memang boleh tahan.

.

"Itu semalam. Ini pagi ni. Kan dah tidur, ada air liur basi. Banyak germs." Tambah opahnya lagi.

.

"Nyum, nyum, nyum." Ringkas jawapannya. Opahnya tak terkata apa dah.

.

Dalam 4 beradik, dia seorang sahaja yang berani menjawab dan respons macam tu. Tepuk dahi dibuatnya!

Monday, November 9, 2020

Bujang Lapok

 "Ummi! Ummi! Ada cerita Ali Baba Bujang Lapok!" Bukan main bersemangat lagi anak ketiga bersuara sebaik sahaja masuk ke bilik ummi malam tadi.

"A'ah ummi, dekat TV2." Sambung abangnya pula dan terus meluru ke depan kaca TV semula.

Teruja betul masing-masing beritahu ummi padahal dari dalam bilik lagi ummi dah dengar riuh mulut masing-masing sebut Ali Baba Bujang Lapok.

Kelakar pun ada.

Mana taknya. Dulu ummi ajak tengok salah satu cerita lagenda ni masing-masing buat muka. Hitam putihlah katakan. Manalah menarik perhatian anak-anak bertuah. 

Sewaktu terkandas di kampung ketika PKP bulan Mac lepas,  kebetulan satu malam tu ditayangkan cerita Pendekar Bujang Lapok.

Menggunakan kuasa veto, ummi 'paksa' anak-anak tengok Pendekar Bujang Lapok. Kelat muka masing-masing. Tapi tak boleh nak buat apa sebab remote TV di tangan ummi 😆.

"Tengok dulu. Best cerita ni walaupun warnanya tak menarik." Percubaan ummi memujuk.

"Papa pun suka cerita ni. Best. Kelakar", tambah papa mereka.

Tiada pilihan, tiga beradik terpaksa juga akur tengok cerita hitam putih tu. 

Lepas beberapa ketika, mereka pun jadi seronok sama tengok Pendekar Bujang Lapok. Mengekek masing-masing. 

Babak yang paling disukai, pastilah babak pendekar bertiga tu pergi bertapa.

"Cobaan..."

"Cobaan..."

"Cobaan..."

Berpuluh kali anak-anak bertuah ulang ayat tu 😂.

Itu yang masing-masing teruja bila ada cerita Ali Baba Bujang Lapok malam tadi. Berdekah-dekah tiga beradik tu ketawa.

Misi ummi selesai dengan jayanya 😁.


Wednesday, October 28, 2020

Kuat Macam Popeye

"Pernah tengok Popeye tak? Popeye makan bayamlah dia jadi kuat."



Percubaan nak bagi anak rasa dan suka bayam.

Lupa pula anak-anak tak pernah tengok kartun Popeye. Papanya pun Google Popeye dan tunjuk pada anak-anak.

"Betul ke kalau makan bayam nanti jadi kuat? Ke dalam kartun je?" Tanya anakanda kedua.

Ah, sudah. Nak jawab apa ni? Rasa terperangkap pula dengan pertanyaan si anakanda.

"Dalam bayam ada vitamin." Jawab ummi ringkas dengan jawapan yang tidak menjawab soalan 😆.

Nasib baik dia terima jawapan ummi. Lepas tu berangan jadi kuat. Padahal baru makan sedikit sahaja bayam tu. Nama pun budak lelaki. Cukup seronok dan teruja nak jadi kuat.

Kira berjaya jugalah taktik ummi. Mahu juga dia jamah. Kalau tidak, pandang sebelah mata pun tidak. Waktu nak makan nasi tadi pun dia minta letakkan bayam dalam pinggannya.

Alhamdulillah selesai satu perkara. Anakanda ketiga sahaja yang tak terpengaruh. Dia memang menurun ummi yang tak suka sayur. Tapi bayam adalah sayur kegemaran ummi! Tak apa, nanti cari taktik lain pula.


Sunday, July 12, 2020

Nasi Empat Tayar?

Dalam perjalanan ke rumah kakak ipar semalam, tiga daripada empat anak-anak saya bersembang. Mulanya si adik (nombor empat) suruh abang dan kakaknya teka apa yang dia makan di sekolah pagi tu. Bibit-bibit nak mulanya pertengkaran dah mula kedengaran.

Biasalah mereka bertiga tu. Sehari tak bergaduh memang tak sah. Sekecil-kecil perkara boleh jadi bahan pertengkaran. Si kakak dan si abang dah teka macam-macam tapi kesemuanya salah dan si adik pula masih tak mahu berterus-terang, mulalah panas hati mereka. Mula nak marah si adik. Saya biarkan sahaja sebab masih dalam kawalan.

Dalam pada berteka-teki tu, terdengar seorang daripada mereka sebut nasi empat tayar. Termenung sekejap ummi mereka ni. Nasi empat tayar? Apa benda pula tu? Lepas tu barulah dapat pick up. Nasi pataya rupanya!

Macam manalah pataya boleh jadi empat tayar...? Pataya ya, anak-anak. PA-TA-YA. Bukan empat tayar. Huhu. Rupanya, dia tersalah dengar orang sebut. Orang sebut pataya, dia dengar empat tayar. Tu yang jadi nasi empat tayar. Habis kami semua ketawa termasuk yang yang sebut nasi empat tayar tadi tu. Terus hilang kisah nak bertengkar tadi..hehe..



Thursday, July 9, 2020

Papa Zola, Mama Zila?

 "Ala...kenapalah papa tak jadi Papa Zola?"

"Papa jadilah Papa Zola. Ummi jadi Mama Zila."

Jam dah 11 lebih. Waktu malam. 

Ummi yang sebelum tu dah berat mata terus tak jadi nak tidur.

Jenuh menahan gelak dalam keadaan mata tertutup tapi tertawa jua akhirnya!

Ummi nak tidur ni, anak-anak. Yang dua beradik ni tak habis-habislah pot pet pot pet.

Sudahlah suruh ummi jadi Mama Zila, papa pula disuruh jadi Papa Zola.

Terbayang pula papa sebagai Papa Zola. Terus segar biji mata ummi. Ketawa masa tu juga! Sesuai jugalah...sama-sama bercermin mata dan sama-sama dipanggil papa. Haha.

"Papa, peluklah kita sekali," bersuara pula yang nombor empat dalam pada ummi menahan tawa.

Lepas papa peluk, dia sebut "seat belt". Dia anggap tangan papa tu sebagai seat belt pula. Haha. Yang nombor empat ni memang selalu buat orang tak kering gusi. Nama lain dia di rumah ni adalah Pipi Zola 😄.


Tuesday, June 23, 2020

PKP: Terkandas di Kampung #2

Entry ni bukanlah sambungan PKP: Terkandas di Kampung sangat pun. Lebih kepada apa yang berlaku sepanjang kami terkandas selama hampir dua bulan di kampung.

Duduk di kampung selama itu, dua kali nampak babi hutan depan mata. Kali pertama, sikit je lagi haiwan tu nak masuk halaman rumah. Saya tengah main di luar rumah melayan anak dan anak-anak buah. Seorang anak buah yang berumur 7 tahun tiba-tiba bersuara, "Apa tu?"

Saya toleh ke arah yang dimaksudkan. "Babi hutan!" Semua terkejut. Masing-masing tengah ralit, memang tak sedar kehadiran 3 ekor babi hutan tu. Mujurlah lepas tu ketiga-tiga ekor tu terus lari masuk ke hutan semula.

Kali kedua, anak teruna saya yang perasan tapi waktu tu haiwan tu berada di hutan seberang jalan. Depan rumah mentua memang kawasan hutan. Selalu juga mok kata babi hutan rosakkan kebun. Ada sekali tu waktu senja terdengar riuh suara mok di luar (belakang rumah). Rupanya mok tengah halau babi hutan yang masuk kawasan kebun. Berani betul mok. Kalau menantu dia ni, mahunya lari masuk rumah..hihi.


Cari haiwan tersembunyi 😝


***

Vocab Kelate saya pun sah-sahlah bertambah. Hehe. Yang saya ingat, sayur teneh dan kacang mior. Bila mok sebut tu...alamak...sayur apa tu? Tak pernah dengar pula. Bila mok tunjuk, oooooohhhhh (baca dengan 6 harakat) tahulah saya sayur-sayur apa yang mok maksudkan. Sayur teneh tu petola. Kacang mior pula, bendi. Hehe...lain benar namanya dengan nama yang saya tahu selama ni.

***

Waktu terkandas itu jugalah saya ajar anak-anak tengok filem lama. Kebetulan satu malam tu Pendekar Bujang Lapok disiarkan. Mula-mula anak-anak tak berminat nak tengok. Yalah, filem hitam putih...manalah menarik perhatian. Ummi dengan papa tonton sambil tergelak-gelak, barulah mereka menunjukkan minat. "Cobaan...cobaan.." Bahagian inilah yang menjadi kegemaran anak-anak. Sampai sekarang pun mereka ingat bahagian tu. Kadang-kadang mereka siap lakonkan sekali babak cobaan tu 😁.

***

Anak-anak bergilir-gilir demam. Mula-mula Rania. Bangun tengah malam, dia beritahu yang dia demam. PCM tak ada, jadi saya hanya lapkan badannya dengan kain basah sahaja. Pagi esoknya nampak banyak biji-biji merah di badannya. Bawa ke klinik, dijangkiti cacar air (chicken pox) rupanya. Tak tahu berjangkit dari mana. Bukannya kami ada ke mana-mana pun. Antara adik-beradik, dia yang pertama dijangkiti cacar air. Yang lain setakat ni belum kena lagi.


Anak dara ni tak suka disapu calamine lotion. Kena pujuk berkali-kali dulu. Busuk katanya.


Kemudian, Raihannah dan Shakir pula demam. Alhamdulillah demam biasa je. Banyak berjemur tengah panas agaknya. Akhir sekali barulah Safiyyah. Safiyyah ni waktu demam tu dia beritahu yang telinganya sakit. Bawa ke klinik, doktor kata telinganya tak ada masalah. Tapi dah banyak hari demam tak kebah-kebah, papanya bawa ke klinik sekali lagi. Barulah perasan telinganya kena jangkitan. Patutlah tak kebah-kebah demamnya.  Alhamdulillah masing-masing sekali tu je la demam.

***

Dan, waktu terkandas ini jugalah Safiyyah dah pecahkan cermin kabinet..huhu. Saya di dapur ketika kejadian. Manakala suami dan mok tiada di rumah. Saya terdengar bunyi kaca berderai. Terus bergegas ke ruang tamu. Aduhai, cermin kabinet pecah rupanya. Sejak 2-3 tahun kebelakangan ni, Safiyyah memang suka tepuk cermin, meja, kabinet dan segala yang mengeluarkan bunyi. Kalau tengah marah, lagi kuatlah ditepuknya. Alhamdulillah jugalah tiada sebarang kecederaan pada Safiyyah. Mok balik, saya beritahu mok. "Dah sampai masanya tu," tenang sahaja mok jawab. Alangkah bagusnya kalau menantunya ni ada sifat reda dan kesabaran yang sama..huhu..



Wednesday, May 14, 2014

Sebiji atas biskut, 5 biji masuk ke mulut

Aktiviti bulan lepas. Buat pertama kalinya saya beri peluang anak-anak tolong buat biskut (tolong letak coklat atas biskut je pun..hehe..). Konon-kononnya nak bagi anak-anak rasa seronok dapat tolong ummi buat biskut. Rupa-rupanya....dua beradik ni lagi seronok makan coklat! :p

Sebiji coklat letak atas biskut, 5 biji masuk mulut, letak lagi sebiji atas biskut, masuk pula 5 biji dalam mulut. Haha....kerja yang sepatutnya ambil masa sekejap, jadi lama pula. Sudahnya, sayalah yang siapkan.


Bersilang-silang tangan.


Siapa nampak Raihannah, angkat tangan! Hihi...kesian Raihannah tak dapat tolong sekali. Kalau Raihannah join sekali, alamatnya habis biskut sebelum sempat dibakar :p


Rupa biskut sebelum dibakar. Selepas dibakar, tak ambil pun gambar. Buruk sangat rupanya...haha. Semak balik resipi, rupa-rupanya kena letak 6 keping sahaja atas dulang pembakar! Saya pergi letak 12 keping. Biskut jadi sekembang-kembangnya sampai penuh dulang. Bentuk biskut pun dah jadi empat segi. Huhu. Awatlah saya tak perasan arahan tu. Ingatkan biskut ni kembang sikit je macam biskut-biskut yang pernah saya buat >_<


Tak apalah, yang penting biskut tu habis licin dan anak-anak pun seronok (walaupun lebih seronok makan coklat :p)

Wednesday, March 19, 2014

Shakir 3 tahun!

Kalau 10 hari lepas ulangtahun kelahiran Raihannah, hari ni giliran Shakir pula ^_^. Ya, dua beradik ni berkongsi bulan kelahiran. Sabagai abang, dia bagi peluang Raihannah sambut hari lahir dulu. Hehe....ye sangatlah tu. Senang nak ingat tarikh lahir mereka berdua. Raihannah 9 Mac, Shakir 19 Mac. Cantik tarikhnya, kan? Macam berpakat pula dengan angka 9 tu :D.

Nak ditulis tentang Shakir, panjang berjela dibuatnya. Sampai esok pun tak habis. Banyak sangat akalnya. Selalu buat darah ummi mendidih...huhu. Tapi, dia jugalah penghibur hati. Dialah pelawak di rumah ni. Ada je perkara yang dibuat mencuit hati. Menyakat kak long dan Raihannah nombor satu.

Satu sikap yang terpuji, dia rajin. Diminta tolong pasti dibuat. Melainkan masa tu dia tengah malas....laju je jawab 'No' :p. Ada masa dia jawab je 'No', tapi dia tetap buat. Kadang-kadang tak disuruh pun dibuat juga. Kalau nampak papa dia angkut barang, dia pun nak tolong sama. Bersungguh-sungguh angkat walaupun berat. Cuci pinggan pun rajin juga. Standard budak 2 tahun lebih cuci pinggan...bukanlah bersih tapi inisiatif yang dilakukan tu yang memberi makna. Harapnya sampai ke besarlah dia rajin. Senang sikit ummi :p.


Dari mukanya pun dah boleh nampak Shakir ni banyak akal :D.


Selamat hari lahir Shakir!


P.S. Doakan Shakir jadi anak yang soleh ya :)


Sunday, March 9, 2014

Raihannah genap setahun

Dua entri berturut-turut berkenaan hari lahir. Dah macam beza sehari je tarikh lahir masing-masing (kalau orang tak tengok tarikh entri la)..hehe. Dari sehari ke sehari nak update blog, sudahnya 2 bulan berlalu begitu sahaja. Semakin parah. Rindu berblog tapi....(banyak sangat alasannya). InsyaAllah satu hari pasti kembali lagi. Positif!

Hari ni; 9 Mac 2014, genaplah setahun usia anakanda ketiga kami. Alhamdulillah. Rasa macam cepat sangat tempoh setahun berlalu. Masih teringat saat kelahirannya yang berlaku dalam tempoh yang singkat. Sakit kontraksi pun sekejap. Segalanya berlaku dengan pantas waktu tu. Hampir-hampir bersalin dalam kereta! Situasi agak kelam-kabut tapi alhamdulillah saya sendiri berada dalam keadaan yang sangat tenang (suamilah yang nampak kelam-kabutnya...hehe..).

Dan sekarang....dah setahun pun cik mek ni! Dah boleh berjalan perlahan-lahan, boleh memanjat (kalau lepaskan ke tangga, memang dah boleh sampai atas!) dan dah mula memunggah.


Setahun pertama Raihannah.


Doakan Raihannah jadi anak yang solehah ya..


nota: Raihannah dah setahun tapi entri kelahirannya tak siap-siap sampai sekarang...hihi..

Thursday, January 9, 2014

Selamat Hari Lahir yang ke-5, Safiyyah!

Hari lahir Safiyyah 2 Januari lepas. Baru hari ni nak buat entri ni...hihi. Tak apalah ya, bulan Januari pun belum berakhir lagi. Tak adalah basi sangat :p. Pejam celik pejam celik, 5 tahun dah berlalu. Macam tak percaya dah 5 tahun usia anakanda kami yang sulung.


Gambar di atas sebahagian daripada gambar-gambar Safiyyah sepanjang tahun lepas. Kesemuanya adalah gambar candid. Safiyyah tak pandai posing (macam ummi dialah :p) dan tak suka sangat bergambar. Di usia 4 tahun, barulah anak dara ni berani menunggang kuda. Tahun-tahun sebelum tu, duduk atas kuda mesti menangis walaupun sekadar kuda patung (carousel).

Sukakan pizza, mac and cheese, yogurt, susu dan spaghetti kosong. Kalau makan roti, hanya kulitnya sahaja yang dimakan. Rotinya dibuang. Budak-budak selalunya tak suka kulit roti. Safiyyah sebaliknya pula. Unik :). Oh, tapi kalau dapat roti Arab, dia makan! Sangat suka makan buah terutamanya berries dan anggur tapi tak gemar buah-buahan tempatan Malaysia terutama durian :p

Kain batik masih menjadi peneman tidur yang setia sampai dah koyak rabak kain tu. Diberi kain batik lain dia tak mahu. Kain batik tu ada nama. Safiyyah namakannya Hoho. Rasanya penangan tengok rancangan Ni Hao Kai Lan ^_^.

Siapa yang mengikuti blog ni pasti tahu Safiyyah suka tidur berdiri tapi sekarang dah tak ada dah aksi tidur berdiri. Rindu pula nak tengok Safiyyah tidur berdiri macam dulu...hihi.

Doakan Safiyyah jadi anak yang solehah ya :).


Wednesday, October 9, 2013

Ikan tiada mata

.....akibat dikorek Shakir.


Heh. Tak ada kerja cari kerja namanya ni. Lama dia senyap di dapur. Ingatkan tengah buat apa. Mengorek mata ikan rupanya.

Tak apalah, ummi anggap ini permulaan Shakir nak belajar menyiang ikan ^_^.

Dari sudut pandang yang jauh pula, mungkin bakal jadi pakar mata yang bertaqwa ^_^.


Sunday, October 6, 2013

Mine!

Gambar ni mengingatkan kenangan 4 bulan lepas. Jalan-jalan di mall, anak-anak nak naik carousel ni. Suami pun bawalah mereka naik. Win-win situation. Ummi papa seronok berjalan, bagilah peluang anak-anak pula berseronok. Carousel ni dah berhenti berpusing, Shakir tak mahu turun pula.

"No!"

"Mine!"

Teriak Shakir apabila diajak turun.

Wah, tak tahu pula ummi carousel ni milik Shakir. Kaya-rayanya papa Shakir sampai mampu beli carousel ni untuk Shakir :p.


Pusingan kedua. Shakir bertukar tempat. Dah habis pusingan ni pun tetap tak mahu turun. Tetap juga pertahankan carousel ni miliknya..hihi. Pusingan ketiga tak berlaku sebab papanya dah tak ada cash untuk dapatkan token lagi.


Babak drama seterusnya tak perlu diceritakan.
Kalian pasti tahu bagaimana jalan cerita seterusnya :p.


Monday, September 9, 2013

Enam bulan

9 September 2013; Raihannah genap 6 bulan. Alhamdulillah. Dengan izin Allah, saya berjaya menyusukan Raihannah secara eksklusif (tanpa susu formula, tanpa air, juga tanpa sebarang makanan) selama 6 bulan. Semoga terus diizin Allah untuk menyusukan Raihannah sepenuhnya sehingga usianya 2 tahun seperti Kak Long dan Abe Ngahnya..ameen.

Makanya, bermula jugalah suatu lagi episod baru buat Raihannah. Dah boleh makan! ^_^

InsyaAllah, saya akan aplikasikan cara Baby Led Weaning (BLW) dalam memperkenalkan solid food pada Raihannah. Hari pertama boleh kata tak berjaya..hihi. Tak apa, nanti tengok perkembangannya macam mana. Baru hari pertama pun cuba makan :).

Berkerut-kerut kening Raihannah disuap pisang..hihi. Dia rasa pelik agaknya. Selama ni minum susu semata-mata, tiba-tiba hari ni dapat pisang :D. 


Disuap lagi, dah mula merengek-rengek tanda tak mahu. Ummi suap juga lagi...menangis! Macam dipaksa makan ubat pula :p. Tak apalah, esok kita cuba lagi ya sayang.
Bagi juga Raihannah pegang sendiri pisang tu tapi hancur dibuatnya..hihi. Itu yang kata BLW hari pertama tak jadi :D. 4 hari pertama ni bagi pisang sahaja dulu (4 day rule), senang nak pastikan kalau-kalau Raihannah allergik terhadap sesuatu makanan.



Thursday, September 5, 2013

Patutlah tiba-tiba senyap...

...ini rupanya kerja anak dara ni!
Sebelum tu punyalah riuh mulutnya. Tiba-tiba senyap. Ingatkan tertidur balik. Ada kerja lain rupanya. Tak cukup jari tangan dan kaki sendiri nak dihisap, lengan abe ngah jadi mangsa :p.



Shakir tersedar masa ni, terus dia peluk Raihannah ^_^.


Sunday, September 1, 2013

Salam penghujung Syawal

Hampir 2 bulan tak menjengah blog sendiri. Tak sangka masih ada yang masih sudi berkunjung ke sini dan ada juga yang tinggalkan komen dalam entri lama. Terima kasih daun keladi buat semua yang masih mengingati empunya diri ^_^.

Sibuk? Oh, tidak...saya tak sibuk pun. Cumanya momentum untuk berblog yang tiada. Aduhai. Tak tahulah kenapa. Nak menjenguk blog kawan-kawan pun terasa liat. Maaf ya semua. Sejak entri saya yang terakhir, memang saya tak buka langsung blog ni. Blogwalking pun tidak >_<.

Ringkasan aktiviti/perkembangan kami anak-beranak:

  • Raya kami tahun ni tak semeriah tahun lepas. Ramai yang dah tak ada (dah balik for good), ada yang balik bercuti di Malaysia dan tahun ni tak ada tetamu dari Malaysia yang datang bertandang seperti tahun lepas...sob sob.
  • Aidilfitri hanya duduk di rumah sahaja. Tak terasa nak beraya langsung tahun ni. Nak masak juadah raya pun tak ada mood. Biskut raya sejenis pun tak buat tahun ni tapi alhamdulillah dapat juga makan kuih raya yang dipos oleh kakak ipar. Malam raya baru terhegeh-hegeh masak nasi impit dan rendang ayam. Mulanya tak rajin juga nak buat tapi memikirkan adik-adik undergrads yang ada di sini, masak jugalah juadah raya. Kesian pula adik-adik tu...bukan ada tempat lain nak beraya.
  • Akibat masak hampir tengah malam, rendang saya hampir hangit gara-gara terlena! Suami saya pun terlena sama. Heh...eloklah tu suami isteri ni. Jam 4 pagi baru tersedar. Tengok-tengok, rendang dah kering dan ayam di bahagian bawah melekat di kuali. Bila dikacau-kacau...ayam hancur! Huwaaa. Dahlah belum letak garam lagi masa tu. Cepat-cepat telefon mak, mengadu :p. Mak beritahu apa yang boleh dibuat dan alhamdulillah, rendang berjaya diselamatkan walaupun banyak hancur :p. Rasa jugalah rendang walaupun tak sesedap mana. Macamlah selama ni masak rendang sedap sangat setaraf chef ternama :p.
  • Petang Aidilfitri, adik-adik undergrads datang sekali lagi tolong potong ayam untuk dibuat satay. Nak dibawa ke Omaha 2 hari berikutnya. Malam tu baru saya perap ayam yang dah dipotong tu.
  • Pagi 3 Syawal, sesi mencucuk satay pula. Bab mencucuk satay, saya tak masuk campur. Tak rajin. Jadi tukang ambil gambar je :p. Tengahari, kami semua ke Omaha, beraya di sana. Macam-macam juadah kak Ellie masak! Nasi impit, nasi beriani, rendang daging, ayam masak merah, soto, kuah kacang, rojak, air bandung. Heaven! Tu belum masuk lagi juadah yang dibawa tetamu. Barulah rasa raya! ^_^
  • 2 hari tu sahaja kami beraya. Selepas tu, kembali ke rutin biasa. Macam inilah gayanya beraya di perantauan :). Nak berziarah kawan-kawan lain, tak ada harapanlah. Jauh beribu batu. Nak melepasi Nebraska ni sahaja pun makan masa beberapa jam. Inikan pula nak merentasi states.
  • Raihannah dah 5 bulan usianya, alhamdulillah. InsyaAllah lebih kurang seminggu lagi genaplah dia 6 bulan. Dah pandai meniarap dan bergolek-golek sampai jatuh katil >_<. Selalu terhibur dengan gelagat abe ngahnya. Kadang-kadang Shakir tak buat apa pun, sekadar duduk sebelah Raihannah...itu pun Raihannah gelak! Hihi...entah apa yang melucukan hatinya tu.
  • Shakir dah kurang sikit 'membuli' kak longnya sebab nanti dia 'dibuli' balik :p. Safiyyah dah pandai melawan. Sebelum ni bersabar je dia. Dah hari-hari kena, mana nak tahan. Selalulah Shakir menangis kena dengan kak long dia. Malas ummi nak masuk campur :p.
  • 23 Ogos lepas, genaplah 31 tahun usia saya. Alhamdulillah. Muda lagi, kan? :p


Itu sahajalah yang teringat. Gambar-gambar nanti ya. InsyaAllah dalam entri seterusnya :).

Wednesday, July 3, 2013

WW: Manis senyumannya




Nota:

  1. Gambar diambil sewaktu Raihannah baru pandai sengih :).
  2. Semua mak ayah rasa anak dialah paling comel, punya senyuman yang paling manis ^_^.



Thursday, May 16, 2013

Salji buatan dua beradik





Ini namanya tak ada kerja, cari kerja. Menambah kerja untuk ummi dan papa juga >_<.

Dah siap hancurkan polisterin tu, dengan girangnya Safiyyah menyebut, "Snow!"

Ia salji yang istimewa...tak sejuk dan tak boleh bertukar menjadi air ^_^.


Tuesday, May 14, 2013

Raihannah kesedihan



Raihannah sedih sebab ummi tak siap-siapkan lagi entri kelahiran Raihannah ye...?

Yalah, yalah...nanti ummi siapkan ye...

:p


Nota:

  1. Setiap kali tengok video ni mesti tergelak :p. Comel sangat tengok mimik muka Raihannah yang tengah sedih. Nampak bersungguh dia nak cerita kenapa dia tengah sedih ^_^.
  2. Budak-budak buat mimik muka macam mana pun, nampak comel je. Mencebik pun nampak comel ^_^.
  3. Raihannah dah 2 bulan tapi entri kelahirannya tak siap-siap lagi. Kurang rajin nak menaip dan mengarang panjang-panjang sekarang ni...huhu..



Wednesday, April 17, 2013

WW: Tidur berjemaah


Situasi yang jarang berlaku di waktu siang.
Aman sekejap dunia apabila tiga beradik ni tidur serentak ^_^.




Tuesday, March 19, 2013

Abe Ngah Shakir genap 2 tahun

Alhamdulillah, hari ni, 19 Mac 2013, genaplah 2 tahun usia Shakir. Rasa macam baru lagi je bersalinkan Shakir padahal dah jadi abang dah pun dia. Awal-awal Raihannah lahir, asyik tersasul je sebut Shakir :p. Terbayangkan Shakir masih baby lagi. Cepat betul dia membesar. Makin banyak akal, makin banyak keletah, juga makin memeningkan kepala ummi dan papa :p.

Gambar yang diambil ketika di hospital waktu saya bersalinkan Raihannah. Duduk di hospital kerjanya asyik ajak papanya berjalan tawaf hospital je :D.


Shakir yang soleh,
Selamat hari lahir sayang! Jadi contoh yang baik pada adik ye. Sayangi dan hormati kak long. Semoga Shakir sentiasa berada dalam pemeliharaan dan kasih sayang Allah SWT, diterangkan hati, dicerdaskan akal dan disihatkan badan hendaknya..ameen..