Pages

Showing posts with label travel. Show all posts
Showing posts with label travel. Show all posts

Tuesday, July 17, 2012

SL: Garden of the Gods, Illinois



Hari kedua yang juga merupakan hari terakhir di Carbondale, Abang Syam dan Kak Chah bawa kami ke Garden of the Gods - Shawnee National Forest. Sebelum ni yang kami tahu, Garden of the Gods hanya ada di Colorado Springs, Colorado sahaja. Tak sangka pula di Illinois pun ada Garden of the Gods. Kedua-duanya ada daya tarikan dan keunikan tersendiri.

Oh ye, dari Blueberry Hill Farm, kami ada singgah satu tempat lagi tapi cerita yang itu saya skip la. Gambar yang diambil di sana pun banyak yang gelap.




Beza utama kedua-dua Garden of the Gods, adalah ini. Garden of the Gods di Colorado tak perlu didaki bukit-bukitnya tapi di sini perlu mendaki (atau lebih tepatnya, memanjat batu) untuk sampai ke puncak. Saya yang dah lama meninggalkan aktiviti hiking, terasa juga lelahnya walaupun bukan sepanjang masa di sana kena mendaki.




Seperti yang saya katakan, bukan dari awal hingga ke akhir kena mendaki. Ada juga laluan begini. Lega sikit rasa masa tu. Ingatkan memanjang kena mendaki. Mahu pengsan dibuatnya. Itu pun, alhamdulillah Abang Syam tawar untuk kendong Shakir. Kalau tak alamatnya, tak terdaki agaknya saya.










Yay, berjaya sampai di puncak! Ada banyak puncak bukit yang boleh didaki tapi disebabkan kami kesuntukan masa, ini sahaja yang dapat kami tawan. Jadilah, janji dah ada kenangan di sini dan sekurang-kurangnya juga kami dapat lihat sendiri perbezaan antara kedua-dua Garden of the Gods.








Aksi Safiyyah di atas bukit. Kena berjaga-jaga sentiasa kalau bawa anak kecil di sini.


Dari Garden of the Gods,sempat juga kami ronda sekitar SIUC (Southern Illinois University Carbondale).

Hanya kami berdua sahaja bergambar. Anak-anak lena dalam kereta.


Bergambar kenangan di hadapan rumah Abang Syam dan Kak Chah sebelum memulakan perjalanan balik ke Lincoln.



Nota:

  1. Gambar-gambar di Garden of the Gods, Colorado Springs boleh ditengok dalam entri Winter Trip 2010: Colorado & Wyoming #4.
  2. Tak puas rasanya pergi Carbondale. Banyak lagi tempat menarik di sana yang kami belum pergi. Kalau ada rezeki, insyaAllah nak ke sana lagi.



Thursday, July 12, 2012

Setahun lalu: Berries picking

Dari Flamm Orchards, kami terus ke Blueberry Hill Farm yang juga terletak di Cobden, Illinois. Walaupun namanya Blueberry Hill Farm, bukan hanya blueberry yang ada di sini. Strawberry, raspberry dan blackberry pun ada tapi masa kami pergi ni musim strawberry dah berakhir. Punyalah jauh beratus batu kami pergi petik berries :p. Di Nebraska ni bukan tak ada cuma tak berkesempatan nak pergi.




Bersiap sedia untuk memetik berries!


Dah sedia!


Safiyyah diajar papanya memetik blueberry.


Safiyyah dah boleh petik sendiri.


Dah kutip, masukkan pula dalam bekas yang diberi.


Ni berlakon je ni..hihi. Nak juga ada gambar kenang-kenangan petik blueberries ^_^.


Tak banyak pun yang kami petik, sekadar suka-suka sahaja. Sekurang-kurangnya dah pernah tengok sendiri pokok blueberry dan ada pengalaman memetiknya :). Lepas tu kami ke ladang sebelah pula...ladang blackberries! Bersebelahan je ladangnya cuma kena menuruni bukit sedikit.




blackberries
Blackberries! Yang merah tu belum masak lagi. Barulah saya tahu pokok blackberries berduri. Kena hati-hati nak memetik buahnya.


Nampak Safiyyah seronok petik berries. Rasanya tangannya tu kena juga duri tapi tenang je dia...tak nampak macam sakit pun terkena duri. Sebelum tu panik juga saya tengok tangan Safiyyah merah. Penuh di tapak tangannya. Ingatkan berdarah. Tengok betul-betul, alhamdulillah bukan darah.


Saya tengok je Safiyyah petik. Saya tak petik pun. Tengah menyusukan Shakir sambil berdukung. Lepas tu rasa nak tercabut tangan sebab lama sangat dia menyusu >_<. Nak menyusukan sambil duduk, Shakir tak mahu...dia sedang alami nursing strike masa ni. InsyaAllah saya ceritakan dalam entri lain.


Sebahagian hasil yang Safiyyah dapat. Yang belum masak pun dia ambil juga..hehe. Tak apalah, bukannya dia tahu yang mana dah masak, yang mana belum. Janji dia gembira :).




Masa untuk menimbang dan membayar. Murah sangat kalau nak dibanding dengan yang dijual di kedai. Segar dari ladang pula tu.


blueberries and blackberries
Inilah hasil blueberries dan blackberries yang kami dapat ^_^.


Macam nilah keadaan tangan Safiyyah yang membuatkan saya panik seketika.


Sampai tertidur pegang blackberries tu. Dia yang nak pegang sendiri. Saya nak ambil dari tangannya, dia marah. Sudahnya, tertidur dengan blackberries ^_^.


Hajat di hati, tahun ni nak petik strawberry di Roca Berry Farm yang terletak di Nebraska ni tapi hampa selepas terbaca maklumat di bawah ni:

Huhu...punah harapan nak petik strawberry.


Tuesday, July 10, 2012

Setahun lalu: Flamm Orchards

Ini merupakan kesinambungan entri 'Setahun lalu: Lincoln - Kansas City - Carbondale'. Pagi 3 Julai 2011, Abang Syam dan Kak Chah bawa kami ke Flamm Orchards yang terletak di Cobden, hampir setengah jam dari Carbondale.


Masa ni tengah musim buah peach.


Belakang kami tu kilangnya. Kilang buat jem kalau tak silap saya. Sayangnya, kilang tak beroperasi pula waktu tu. Dah nama pun hari Ahad :p.


Membelakangi buah peach.


Safiyyah pening nak pilih yang mana satu :p.


Lepas tu kami makan aiskrim pula.


Sempat juga ambil gambar bunga yang ada di kawasan sekitar ^_^.


Bunga lagi.


Selesai petik buah peach! 'Petik' di kedainya je :p. Tak pasti pula sama ada di sini boleh petik buah atau tidak.



Nota: Dari Flamm Orchards, kami ke Blueberry Hill Farm pula...petik berries! Nantikan ceritanya ye ;).

Sunday, July 8, 2012

Setahun lalu: Lincoln - Kansas City - Carbondale

Dah setahun berlalu baru nak buat entri ni! Termasuk trip ni, ada 3 trip yang saya belum kongsikan ceritanya di blog. Tak rajin nak pilih gambar punya pasal. Kali ni kena rajinkan juga. Sayang la pula, ini antara memori kami di perantauan yang pastinya akan dikenang saat pulang ke Malaysia nanti. Bermula daripada entri ni, insyaAllah akan ada banyak lagi entri 'Setahun lalu' yang akan menyusul ^_^.

Kami bertolak ke Kansas City waktu petang (1 Julai 2011). Pagi tu selepas Subuh kami menerima tetamu; Ku Ila sekeluarga. Dah berhari-hari sebelum tu lagi kami tunggu mereka. Akhirnya, hari yang kami nak bertolak ke Kansas City baru mereka sampai. Sekejap je la pun mereka di rumah kami. Sampai tengahari sahaja. Lepas tu mereka ziarah sebuah lagi keluarga di sini sebelum berangkat pulang ke Laramie, Wyoming.


Ku Ila dan anak-anak; Afif dan Fiaa. Shakir masih baby masa ni ^_^.


Sebelum Asar, kami sekeluarga bertolak ke Kansas City, Missouri.

Singgah solat Asar di Islamic Center of Topeka, Kansas. Berkunci pula Islamic Center masa ni. Kami solat di luar je la. Ambil wudhu' pun dengan air mineral je.


Selalunya kami ke Kansas City ikut jalan lain yang lebih dekat tapi waktu tu jalan yang biasa dilalui tu ditutup akibat banjir. Berbulan-bulan juga la jalan tu ditutup. Terpaksa guna jalan lain yang jauh sedikit. Kebiasaannya, perjalanan dari Lincoln ke Kansas City hanya memakan masa sekitar 3-4 jam tapi kali ni 5 jam baru sampai!


Dah malam pun waktu kami sampai di rumah Kak Emi - Abang Sabri. Ramai tetamu di rumah mereka masa ni.


Anak-anak dengan dunia mereka.


Tujuan utama kami ke Kansas City adalah untuk berjumpa dengan kawan kami, Amaliza (bertudung biru) yang datang nun jauh dari UK. Saya, suami dan Amaliza sama-sama jadi penuntut di USM dulu. Amaliza ada conference di Kansas City. Memandangkan Kansas City tak jauh mana, kami ambil la kesempatan ni berjumpa dengannya di sana.
Yang bertudung hijau itulah Kak Emi. Suaminya berbaju kelabu di tengah. Suami Amaliza pula berbaju kelabu sebelah kiri.


Malam tu kami bermalam di rumah Kak Emi. Pagi esoknya, kami ke rumah Kak Niza - Abang Imrat pula. Dekat je rumah Kak Emi dengan Kak Niza. Boleh jalan kaki je. Dah dekat sangat, tak sedap pula kalau tak singgah. Lagipun, kedua-dua keluarga ni kami kenal dan memang mereka je keluarga Melayu yang ada di sana.


Kak Emi dan Kak Niza masing-masing punya 3 orang anak dan ketiga-tiganya puteri.


Eh, tiba-tiba saya ada 4 orang anak! :p


Safiyyah tengah panaskan makanan dalam microwave ^_^. Di rumah Kak Niza ni ada dapur mainan. Saya terperasankan gelagat Safiyyah masa ni dan terus ambil gambarnya. Macam betul-betul je gayanya tu. Mula-mula dia buka pintu microwave tu. Lepas tu masukkan 'makanan' dalam tu. Ditutup semula pintu microwave. Tunggu beberapa saat, dibuka semula. Dah siap panas la tu ^_^. Berkali-kali dia ulang benda yang sama. Terkejut juga saya masa ni sebab tak sangka dia boleh buat macam tu. Mungkin agaknya dia perhati kami guna microwave di rumah agaknya.


Dari rumah Kak Niza tu, kami ronda sekejap di University of Missouri - Kansas City (UMKC) dengan ditemani oleh Kak Emi sekeluarga.



Lepas tu kami teruskan perjalanan ke Carbondale, Illinois yang memakan masa 6-7 jam perjalanan dari Kansas City. Perancangan asal kami, hanya nak ke Kansas City je tapi beberapa hari sebelum bertolak ke Kansas City, datang idea nak lajak sikit ke Carbondale. Kebetulannya hari Isnin (4 Julai 2011) tu cuti umum sempena US Independence Day.


Sedap je Safiyyah bergolek-golek atas rumput. Dah macam aksi hindustan je :p. Letih agaknya dia duduk atas car seat dalam tempoh yang lama, dapat peluang bergolek memang tak dilepaskanlah ^_^. Tak ingat dah ni di Rest Area mana. Seingat saya, lama juga kami berehat di Rest Area ni. Dalam sejam rasanya kami di sini. Bagi Safiyyah puas main dulu. Kalau tak, memang mengamuk la nanti dalam kereta.


Shakir yang ceria walaupun hanya duduk dalam stroller ^_^.


Akhirnya, hampir tengah malam, sampai juga kami di rumah Kak Chah - Abang Syam di Carbondale. Sampai je rumah mereka terus makan :p.

Dijamu nasi tomato ;).



Nota: Nantikan pula cerita di Carbondale ;).