Pages

Showing posts with label hospital. Show all posts
Showing posts with label hospital. Show all posts

Friday, June 26, 2020

Tragedi Berdarah 1 Jun 2020

Lama dah tak ada insiden berdarah dalam keluarga kami kecuali Shakir yang selalu berdarah hidungnya. Tak disangka, 1 Jun lepas berlaku tragedi di rumah. Waktu kejadian, yang berada di rumah adalah saya dan anak-anak berempat. Saya sedang mencuci pinggan di dapur ketika itu. Tiba-tiba dengar bunyi kaca berkecai.

Saya toleh. Yang punya angkara dah berlari ke ruang tamu. Takut dimarahi barangkali. Allah. Hati mula rasa panas. Termasuk yang ini, sudah dua kali kaca pecah dikerjakannya. Sebelum ini kaca kabinet di kampung pecah waktu kami terkandas di sana (ada dicatat dalam post sebelum ni: PKP: Terkandas di Kampung #2). Kali ini, tingkap bilik pula menjadi mangsa amarah si anak.

Saya ambil penyapu dan penyodok. Sambil beristighfar, saya sapu serpihan kaca yang berterabur di atas lantai. Saya tahu kalau saya tak kawal diri, bila-bila masa sahaja saya boleh 'meletup'. Tambahan pula sejak pagi badan rasa lemau. Rasa tak bersemangat. Emosi tak menentu. Sambil-sambil menyapu tu gugur juga air mata. Letih. Terkejut. Marah. Sedih. Semuanya menjadi satu.

Menyapu sekadar laluan ke dapur bebas serpihan kaca, saya ke ruang tamu. Niat di hati mahu melampiaskan rasa marah terhadap si anak tapi terbantut akhirnya. Atas sofa, saya terpandangkan darah yang bertakung. Allahuakbar. Sungguh saya tak sangka tangan Safiyyah tercedera ketika memecahkan tingkap. Sikit pun dia tak mengaduh kesakitan. Wajahnya pun nampak tenang. Entah sakit entahkan tidak. Selalunya kalau sakit, dia mesti sebut 'hurt' tapi tidak kali ini.

Kejadian di kampung sebelum ini tiada sebarang kecederaan. Maka, saya fikir kali ini juga dia bernasib baik. Malahan, tiada setitik darah pun dikesan di atas lantai. Menguatkan lagi sangkaan saya yang dia tidak cedera sedikit pun. Terkejut tengok darah yang banyak itu. Saya cari punca pendarahan. Nampak satu luka di lengan kiri dan satu bendasing di bahagian luka tersebut. Saya fikirkan kaca. Tapi bila disentuh, lembut. Aduhai. Isi daging terkeluar sedikit rupanya. Bertambah ketar dibuatnya.

Saya bergegas ke dapur, ambil beberapa keping tisu dapur dan letak di bahagian luka agar pendarahan berhenti. Itu sahaja yang boleh difikirkan. Minta seorang lagi anak ambilkan telefon. Saya telefon suami memaklumkan keadaan Safiyyah. Waktu itu suami berada di Serendah. Kalau tunggu, makan masa. Makanya, sayalah yang terpaksa bawa Safiyyah ke klinik. Mujur jugalah ada klinik swasta yang berdekatan.

Dalam keadaan kelam-kabut dan panik, MyKid Safiyyah pula tak dijumpai. Begitu juga kad OKU-nya. Aduh. Saya hubungi suami saya sekali lagi. Seingat saya, kali terakhir, dua kad tersebut ada padanya. Tapi tiada juga. Merata saya cari. Tak jumpa. Pelik. Saya bukannya jenis letak merata kad pengenalan diri. Masih tak jumpa, saya tawakal ke klinik dengan membawa salinan MyKid Safiyyah. Alhamdulillah staf klinik tak banyak soal.

Di klinik, luka Safiyyah tak boleh dijahit di situ memandangkan ia dah bengkak. Doktor beri saya dua pilihan. Sama ada ke klinik kesihatan atau ke hospital. Waktu itu jam sudah pun pukul 4 lebih. Saya buat keputusan untuk ke hospital. Bimbang klinik dah tak terima pesakit waktu itu. Balik ke rumah semula, saya cari lagi MyKid Safiyyah. Tetap juga tak jumpa. Saya bertambah susah hati sebab polisi hospital kerajaan agak tegas. Salinan pengenalan diri tak boleh diguna. Kena bagi yang asal juga.

Akhirnya saya bawa surat beranak beserta kad kuning (temujanji) hospital milik Safiyyah. 3 orang adik-adik Safiyyah terpaksa ditinggalkan di rumah dengan beberapa pesanan. Jangan dekat dengan kawasan berdekatan tingkap yang pecah. Jangan buka pintu kalau ada orang datang. Duduk diam-diam, kejap lagi papa balik. Itu pesanan saya buat tiga beradik.

Sampai di unit kecemasan hospital, suhu badan kami diambil dan saya tunjukkan lengan Safiyyah yang cedera. Kami terus dibawa ke trauma-line dan luka Safiyyah dibalut sementara. Selepas mendaftar, kami dibawa ke zon kuning untuk prosedur seterusnya. Alhamdulillah, sewaktu mendaftar saya hanya tunjukkan kad kuning sahaja. Rekod Safiyyah memang sudah ada dalam data hospital. Jadi kad itu juga dikira sebagai pengenalan diri.

Masuk ke bilik prosedur di zon kuning, luka Safiyyah diperiksa oleh beberapa orang doktor yang bertugas. Doktor tanya macam mana boleh jadi macam tu? Saya jawab, "Dia pecahkan tingkap." Hairan doktor dengar jawapan saya. Lepas diberitahu yang Safiyyah adalah seorang autistik, barulah doktor mengangguk tanda faham.

Kami diminta buat X-ray bagi memastikan tiada serpihan kaca yang tertinggal. Usai X-ray, terus ke zon kuning semula dan menunggu giliran depan bilik prosedur untuk dijahit. Pukul 5 lebih, suami hubungi saya. Alhamdulillah dia dah sampai rumah. Hilanglah risau terhadap 3 beradik yang ditinggalkan. Saya minta suami tolong cuci sofa dan bersihkan betul-betul sekeliling kawasan berdekatan tingkap termasuk dalam kawasan bilik. 

Waktu menunggu giliran untuk dijahit agak lama. Safiyyah dah mula resah. Risau dia tantrum. Mujurlah dia sekadar menjerit sahaja, tidak lebih daripada itu. Sejam menunggu, barulah nama Safiyyah dipanggil. Mula-mula doktor bersihkan darah pada tangan Safiyyah. Dah bersihkan tu barulah perasan ada satu lagi luka tapi tak dalam dan tak perlu dijahit. Waktu ni pun Safiyyah agak marah sebab proses cuci agak lama.

Tiba masa untuk jahit, saya diminta doktor untuk pegang tangan kanan Safiyyah. Seorang doktor pegang tangan kirinya dan seorang lagi doktor ambil tugas menjahit. Baru nak mula jahit, Safiyyah meronta-ronta. Dia seram tengok peralatan menjahit yang dipegang doktor agaknya. Dengan saya sekali gerun...huhu. 5 jahitan jugalah Safiyyah kena.


Yang kena jahit satu bahagian sahaja yang bawah. Satu lagi tu tak perlu dijahit.


Tingkap tengah yang dah tak bercermin.


3 hari selepas dijahit, saya minta suami bawa Safiyyah ke klinik untuk periksa lukanya sebab saya nampak tangannya semakin bengkak dan plaster pun dipenuhi darah. Tak berani nak buka plaster sendiri. Kebetulan Raihannah perlu ke klinik untuk suntikan imunisasi darjah 1, jadi Safiyyah dibawa bersama. Doktor terus tanggalkan sahaja plaster dan sembur kawasan luka dengan cecair kalis air (spray dressing). 


Ini luka yang satu lagi.


Temujanji untuk buka jahitan.
Doktor di klinik tanya dah berapa hari dijahit? Saya jawab 14 hari.
"14 hari? Dah merah ni. Sepatutnya 7 hari dah buka dah."
Tapi doktor di hospital kata 14 hari. Hmm.


Selepas jahitan dibuka.


Gambar terkini. Hampir 2 minggu selepas jahitan dibuka.


Lepas kejadian ni, Safiyyah dah tak tepuk tingkap bilik tu lagi. Kalau tak, setiap hari ditepuknya. Memang selalu risau tingkap tu pecah sebab dia tepuk bukan acah-acah. Tepuk sekuat hati terutama waktu dia tantrum. Yang ditakuti akhirnya berlaku juga. Sekarang ni dia beralih pada kaca kabinet buku pula. Haih. Diberitahu cermin tu boleh pecah sebagaimana tingkap bilik tu, diketuk pula perlahan-lahan guna hujung jari. Maknanya dia faham tapi bila tengah tantrum, bukannya dia ingat. Alahai anak.

Harapnya ini kali terakhir berlaku kejadian macam ni. Tak sanggup nak lalui lagi. Moga Allah lindunginya setiap masa..ameen.



Thursday, March 7, 2013

Ketiga: Penghujung kehamilan

25 Februari 2013
Pemeriksaan prenatal dua-minggu-sekali yang terakhir. Berat masa ni 118 lbs (53.5 kg). Selepas degupan jantung bayi dalam kandungan diperiksa, ujian Group B Strep (GBS) terus dilakukan. Sekejap sahaja prosesnya dan yang paling penting, ujiannya tak menyakitkan. Dalam hati berdoa agar keputusannya nanti negatif. Dalam masa yang sama, saya menerima berita baik daripada Jearlyn. Tiada lagi nitrite dikesan dalam urine saya. Alhamdulillah. Pengkulturan kali kedua yang dilakukan pun masih tiada apa yang terbentuk dalam sampel urine. Kata Jearlyn, kes saya ni pelik. Belum pernah lagi dia jumpa kes macam ni. Kebiasaannya, kalau nitrite terdapat dalam urine, pasti ada bakteria yang dikesan menandakan seseorang itu alami jangkitan pundi kencing. Kes saya, nitrite ada tapi bakterianya tiada. Apa pun, syukur semuanya kembali normal.


27 Februari 2013
Temujanji buat kali yang keempat dengan Dr. Kenney. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Kandungan pun membesar dengan jayanya. Berat baby dah mencecah 6 lbs 3 oz (2.81 kg). Hmm...2.81 kg tu berat Shakir ketika lahir. Nampak gayanya, lebih berat daripada Shakir ketika lahirlah nantinya ni. Memandangkan tiada apa-apa masalah pada kandungan, lepas ni dah tak perlu buat temujanji dengan Dr. Kenney lagi.


4 Mac 2013
Bermulanya pemeriksaan prenatal seminggu sekali. Seperti biasa, Jearlyn memeriksa degupan jantung bayi. Selalunya sekejap je. Kali ni lama pula Jearlyn ambil masa mendengar degupan jantung bayi. Macam ada sesuatu yang tak kena ditambah melihatkan air muka Jearlyn yang kelihatan tidak gembira. Tiba-tiba baby dalam perut menendang dan barulah Jearlyn tersenyum. Rupanya, degupan jantung bayi sedikit aneh (tak normal). Bacaannya sekitar 105-107 sahaja. Mulanya Jearlyn suspek fetal distress tapi dia tunggu sikit masa lagi nak pastikan betul-betul. Elok je baby menendang, terus bacaan kembali normal. 150 per minit. Alhamdulillah. Haih...pandai baby menyakat >_<. Sebelum balik, saya tanyakan keputusan GBS saya. Alhamdulillah, keputusannya negatif.


Sekarang ni menunggu hari sahaja. Dah lega sebab dah masuk full term. Baby nak keluar bila-bila masa daripada sekarang pun tak apa tapi harap-harap baby dapat bersabar seminggu lagi. Minggu depan papanya banyak test dan assignment yang perlu dijalani dan disiapkan.

Mohon doa semua agar saya dipermudahkan bersalin secara normal, natural dan gentle ye.

Sunday, February 17, 2013

Ketiga: Pertengahan trimester ketiga

Ikut kiraan minggu, kandungan saya dah pun melepasi pertengahan trimester terakhir. Alhamdulillah. InsyaAllah hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum bermulanya proses kelahiran.

Alhamdulillah, masuk sahaja trimester ketiga, sakit-sakit yang saya alami di trimester kedua mulai reda. Namun, kelegaan nampaknya tak berpanjangan. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari :p. Hampir sahaja masuk ke pertengahan trimester terakhir ni, lain pula ujian buat diri. Kandungan dah terasa ke bawah sangat dah sampai rasa terlalu sakit di bahagian pelvis.

Masa mengandungkan Safiyyah dan Shakir, tak pula saya rasa begitu. Mereka dah 'turun' ke bawah pun saya tak perasan sehinggalah diberitahu orang yang perut saya dah 'jatuh'. Rasa macam baby ni tak sabar-sabar nak keluar dah. Asyik menekan-nekan je ke bawah. Risau je bersalin awal. Selalu pujuk baby supaya tunggu sekurang-kurangnya awal bulan Mac nanti. Masa tu insyaAllah baby dah full term.

"Pelvic pressure during pregnancy in the third trimester may occur due to lightening. This is when the baby moves into the pelvic area in preparation for birth. The baby’s head may press against the bladder, hips and pelvic and this can lead to pressure and pain. Extreme pelvic pressure during pregnancy may occur in the last couple of weeks, as the time for delivery approaches." [pregnancy baby care]

"...once your baby descends in preparation for birth, you may feel both pressure in your pelvis and sharp, stabbing pains in your pelvic and groin area. This is caused by a shifting in your pelvic bones, as your body opens a bit to deliver your baby, and by ligaments stretching to allow these bones to shift. You may feel these sharp pains in the middle of your pelvic bone, in your lower back, or even down your thighs. The discomfort might be constant, or you might notice it most when you cough, sneeze, or laugh." [parents.com]

Pelvic pressure yang saya alami dalam trimester ketiga ni tak sama macam pelvic pain yang saya rasakan sewaktu trimester kedua. Berbeza. Tak tahu nak terangkan dengan kata-kata. Kalau sakitnya datang, terasa macam bengkak je di bahagian pelvis. Nak melangkah dari bilik ke bilik air yang terletak bersebelahan dengan bilik ni pun seksa sungguh rasanya. Boleh kata hampir tak boleh nak melangkah langsung kalau tengah sakit.

Seminggu yang lepas, demam pula menjengah. Bermula dengan sakit tekak. Keesokan harinya mula tak sedap badan. Begitulah kebiasaannya Kalau sakit tekak, mesti demam mengiringi. Sengal sangat badan masa tu. Rasa tak larat nak buat apa-apa tapi kena gagahkan juga diri memasak, mengemas rumah sekadar termampu dan menguruskan anak-anak.

Catatan pemeriksaan prenatal dari awal sehingga pertengahan trimester ketiga:


4 Januari 2013
Pemeriksaan prenatal buat kesekian kalinya. Berat mencecah 112.6 lbs (51.1 kg).


15 Januari 2013
Pertemuan dengan Dr. Kenney buat kali yang ketiga. Alhamdulillah, hasil scan semuanya normal. Berat bayi dalam kandungan 3 lbs 12 oz (1.7 kg).


16 Januari 2013
Bacaan timbang pada pemeriksaan prenatal kali ni adalah 114.2 lbs (51.8kg). Jearlyn maklumkan bacaan Hb saya yang lepas adalah 7.6 (buat pembaca blog ini yang masih belum mengetahui, saya adalah pembawa talasemia...jadinya tidak hairanlah bacaan Hb saya serendah itu ketika mengandung). Jearlyn pun nampaknya lebih tenang melihat nilai Hb saya berbanding sebelum ni :). Kalau tak, cepat-cepat sahaja dia hubungi Dr. Kenney menyuarakan kebimbangannya terhadap Hb saya yang rendah :D. Alhamdulillah, saya juga 'lulus' dalam glucose screening test (GST) dengan bacaan 117 mg/dL. Tak perlu minum air gula buat kali yang keduanya ;). Dengan kata lain, bebas daripada diabetes ketika mengandung. Alhamdulillah.


30 Januari 2013
Kali ni berat saya mencecah 115.4 lbs (52.3 kg). Dalam pemeriksaan prenatal kali ni, Jearlyn khabarkan nitrite dikesan dalam sampel urine saya [the presence of nitrite is an indication to the presence of bacteria in the urine - helium]. Macam-macam dugaan mengandung kali ni. Cumanya kata Jearlyn, lepas dilakukan proses pengkulturan, tiada apa yang terbentuk pada sampel urine. Maknanya, tiada bakteria yang dikesan dalam urine. Alhamdulillah, lega sikit mendengarnya.


11 Februari 2013
Berat 116.6 lbs (52.9 kg). Nitrite masih lagi dikesan dalam sampel urine..huhu. Proses pengkulturan akan dilakukan lagi. Jika ada bakteria dalam urine, saya akan diberi antibiotik. Harap-harapnya tak adalah bakteria tu. Doakan saya ye.



InsyaAllah pemeriksaan prenatal seterusnya adalah pemeriksaan-dua-minggu-sekali yang terakhir dan satu lagi ujian perlu dijalani; Group B strep (GBS) [Group B strep (GBS) is a kind of bacteria that many people harbor in their intestinal tracts. The bacteria may also inhabit (or "colonize") your vagina as well, and be passed on to your baby during labor and birth. - babycenter]. Sewaktu mengandungkan Shakir dulu, keputusan GBS saya negatif. Mohon doa kalian agar keputusan GBS saya kali ni juga negatif. Doakan ye..


Monday, January 7, 2013

Ketiga: Pemeriksaan prenatal bagi trimester kedua

Catatan pemeriksaan prenatal bagi trimester kedua:


21 September 2012
Prenatal check up kali kedua. Usia kandungan 14 minggu. Berat = 98.4 lbs (44.6 kg). Kali ni midwife Nancy Peterson yang in-charged. Selepas pemeriksaan fizikal dilakukan, Nancy terus buat ujian pap smear. Aduh, tak bersedia rasanya sebab saya tak dimaklumkan terlebih dahulu yang ujian pap smear akan dilakukan. Memanglah tak sakit tapi emosi perlukan persediaan juga...huhu.



Selesai check up, terus bergegas ke bangunan lain yang menempatkan bahagian Lab and Radiology untuk diambil sampel darah dan urine. Di Heart and Hands Womancare tiada makmal sendiri. Jadinya, terpaksalah ke makmal khas. Leceh sikitlah.




25 September 2012
Temujanji pertama dengan Dr. Sean Kenney; Maternal-Fetal Medicine Specialist di Saint Elizabeth Regional Medical Center (nota: saya dirujuk jumpa pakar disebabkan saya pembawa talassemia). Ultrasound pertama dibuat bagi kehamilan kali ni. Hasil scan, alhamdulillah semuanya ok. Berat baby masa ni 5 oz (141.7 g).

Dalam bilik ultrasound ni ada TV. Nak bagi budak-budak ralit daripada mengusik macam-macam benda dalam bilik tu dan tak mengganggu sewaktu ultrasound dijalankan, dipasanglah rancangan kartun ^_^.



19 Oktober 2012
Check up kali ketiga, usia kandungan masuk 18 minggu. Berat = 99.6 lbs (45.2 kg). Check up kali ni sehingga check up kelima, Jearlyn yang in-charged. Ini merupakan kali terakhir buat prenatal check up di Heart and Hands Womancare.




19 November 2012
Bermulanya check up di tempat baru. Masih midwife yang sama cuma bangunan berbeza. Namanya pun bukan lagi Heart and Hands Womancare. Dah jadi Physicians for Women. Bukan midwife sahaja yang ditempatkan di sini. OB/GYN dan semua pakar yang melibatkan hal kesihatan wanita duduk di bawah bumbung yang sama. Senang, semuanya di satu tempat. Tempat baru ni lebih besar, selesa serta ada makmal sendiri. Dah tak perlu ke Lab and Radiology lagi.



Masa ni usia kandungan 22 minggu. Di tempat baru ni kena tinggalkan sampel urine sebelum bertemu dengan midwife. Sepatutnya memang macam tu cuma sewaktu di Heart and Hands Womancare tu sahaja yang berbeza disebabkan ketiadaan makmal sendiri. Berat kali ni = 105.6 lbs (47.9 kg) Naik hampir 3 kg dalam masa sebulan! >_<

Sebelum balik, saya dibekalkan dengan minuman berperisa fruit punch ini. Bukan sebarang minuman. Ianya air gula untuk glucose-screening test ;). Diminta minum setengah jam sebelum datang check up seterusnya (lagi sebulan). Saya rasa kalau air gula di Malaysia diberi bawa balik, alamatnya ibu-ibu mengandung tak minumlah gamaknya :p.



20 November 2012
Bertemu Dr. Kenney buat kali yang kedua. Juga di tempat baru. Dr. Kenney telah berpindah ke Bryan Medical Center pula. Pertama kali menjejak kaki di Bryan Medical Center. Lebih cantik berbanding Saint Elizabeth Regional Medical Center sampaikan terasa nak bersalin di situ :p. Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik dan berat baby pun dah cecah 1 lbs 4 oz (567 g).

Menunggu giliran sambil menemani anak-anak di play area.


Sebelum sonographer masuk, sempat ambil gambar dalam bilik ultrasound ^_^. Bilik ultrasound di sini lebih besar berbanding di hospital satu lagi.


17 Disember 2012
Prenatal visit yang terakhir untuk trimester kedua. Usia kandungan 26 minggu. Sebelum keluar rumah, minum air gula yang diberi sebulan lepas. Berat badan masa ni = 110.4 lbs (50 kg). Dua kali hamil sebelum ni, lebih kurang itulah berat akhir saya sebelum bersalin tapi ni kandungan baru 6 bulan! Huhu. Selesai check up, saya dipanggil ke makmal untuk diambil sampel darah bagi glucose-screening test.




Berakhirnya trimester kedua, berakhir jugalah check up sebulan sekali dan bermulalah check up 2 minggu sekali :).



Nota:

  1. Bagi kehamilan ketiga ni, saya mula merasakan pergerakan baby ketika usia kandungan 15 minggu.
  2. Mudah bawa anak-anak sekali sewaktu check up di sini...anak-anak tak mengamuk kebosanan...ada buku dan mainan yang disediakan untuk budak-budak termasuk di Lab and Radiology tu. Malah di beberapa tempat disediakan ruang khas (play area) untuk kanak-kanak. Dalam bilik pemeriksaan pun turut disediakan buku atau mainan kecuali dalam bilik ultrasound :).



Tuesday, June 12, 2012

Bersantai di Leadership Garden

Leadership Garden ni letaknya dalam kawasan hospital (Saint Elizabeth Regional Medical Center). Betul-betul bersebelahan kafetaria hospital. Kecil je taman ni. Disediakan juga meja dan kerusi. Ada pilihan la untuk makan dalam kafetaria atau makan di luar (di taman ni) sambil menghirup udara segar.

2 kali ke hospital menghantar Shakir berjumpa pakar kulit, hati saya terpaut dengan keindahan bunga di taman ni tapi masa tu hanya memandang dari jauh sahaja. Dari tingkat atas boleh nampak taman kecil ni. Kali ke-3 (juga merupakan kali terakhir) ke hospital barulah kami berkesempatan bersantai di taman ni.


Bunga ni la yang membuatkan hati saya terpikat. Dari jauh terserlah keindahannya.




Close-up. Bunga ni ada pelbagai warna. Merah jambu ada, ungu ada, biru pun ada!


Hydrangea namanya. Saya tahu nama bunga ni pun sebab pernah terbaca dalam majalah. Tak tahu macam mana saya boleh ingat nama bunga ni. Agaknya sebab bunga ni cantik padahal masa tu tengok dalam majalah je. Tak sangka boleh tengok dengan mata sendiri.


Selain bunga hydrangea, ada bunga ni juga. Tak tahu bunga apa. Spesies ros ke?


Tapi bunga hydrangea ni juga yang menjadi pujaan hati saya. Tak jemu mata memandang.


Taman kecil yang mendamaikan.


Saya suka gambar ni! Kebetulan pula Safiyyah dan Shakir bertentang mata. Sweet je ^_^. Susah nak ambil gambar 2 beradik ni macam ni. Kebetulan juga kami 4 beranak pakai baju biru. Dah sampai hospital baru perasan kami semua pakai baju biru tapi sayangnya tak ada gambar berempat.


Shakir main batu. Masa ni la saya ambil gambar tangan Shakir yang dah pulih tu.


Ok, jom balik rumah!



Thursday, June 7, 2012

Melecur: Keadaan tangan Shakir

Saya terlupa je nak update tentang keadaan tangan Shakir. Ada yang bertanya tangan Shakir dah sembuh atau belum. Terima kasih banyak atas keprihatinan kalian :). Alhamdulillah, tangan Shakir dah pun sembuh sepenuhnya lepas melecur lebih kurang sebulan yang lalu. Satu lagi perkara baik, Shakir dah tak perlu bertemu pakar lagi dah :).


16 Mei 2012
Kami bertemu pakar buat kali kedua.

Sementara menunggu giliran bertemu pakar


Lepas tengok tangan Shakir, pakar tu puji saya. "You did a good job". Dia tak tahu setiap kali nak cuci tangan Shakir tu perut saya jadi senak. Huhu. Kali ni pun pakar cuci juga tangan Shakir. Menangis lagi Shakir. Huhu. Kalau saya yang cucikan, Shakir tak pernah menangis. Mungkin pakar tu gosok kuat agaknya.

"Yes, I know, I know. I know I mean. I know you don't wanna see me again". Hihi..tergelak saya dengar ayat pakar ni. Masa tu dia tengah cuci tangan Shakir. Shakir menangis sikit tapi dalam masa yang sama dia tenung pakar tu. Tu yang pakar tu cakap macam tu dengan Shakir ^_^.

Pakar masih suruh saya ulangi rutin yang sama pada tangan Shakir cuma kali ni dia pesan supaya gosok dengan lebih kuat supaya kulit lapisan atas tertanggal sepenuhnya. Perlu berjumpa dalam tempoh seminggu lagi untuk tengok perkembangan selanjutnya.


23 Mei 2012
Bertemu pakar lagi buat kali yang ketiga. Tersenyum lebar pakar tengok keadaan tangan Shakir. Kali ni pakar tak perlu buat apa-apa dah. Dia hanya ambil gambar tangan Shakir je. Masa jumpa kali pertama pun dia ada ambil gambar tangan Shakir. Mungkin untuk rekod agaknya. Shakir tengok pakar tu terus dia takut. Mula bunyi dia macam nak menangis padahal sebelum tu dia ok je. Ingat sungguh dia muka pakar tu.

Alhamdulillah saya dah tak perlu cuci tangan Shakir dah. Lega! Sepanjang 2 minggu ni, hanya sekali je suami saya cucikan tangan Shakir. Dia tak sanggup nak buat. Ngeri katanya. Dia yang lelaki pun rasa ngeri...saya apatah lagi. Huhu. Nak tak nak kena buat juga la. Itu pun saya paksa juga dia buat supaya dia tahu macam mana saya rasa tiap kali nak cuci tangan Shakir :p.

Tangan Shakir juga dah tak perlu disapu krim aitibiotik lagi. Juga tak perlu dibalut. Pakar cuma suruh sapukan losyen di bahagian yang melecur tu dan disuruh sapu sunblock kalau nak keluar rumah. Yang paling penting, dah tak perlu jumpa pakar tu lagi. Alhamdulillah :)

Kata pakar, sekurang-kurangnya 6 bulan diperlukan untuk kulit tu menjadi seperti keadaan asal




Tuesday, May 15, 2012

Insiden tangan Shakir melecur

Masih ingat keadaan tangan Shakir yang melecur dalam entri WW: Melecur? Dalam entri tu saya tak cerita pun apa yang berlaku. Dah nama pun Wordless Wednesday ^_^. Tangan Shakir melecur terkena seterika panas. Insiden tu berlaku pada hari Sabtu (5 Mei 2012).

Saya dah selesai menggosok baju masa tu. Saya letak seterika tu di tempat biasa yang saya letak (Shakir jarang main di situ) dan terus ke bilik sebelah. Waktu tu Shakir tak ada di bilik tempat saya menggosok tu. Tak lama lepas tu tiba-tiba dengar Shakir menangis. Bunyi dia menangis tu macam sakit. Tengok-tengok tangan Shakir dah melecur :(.

Terketar-ketar saya masa tu. Dah la panik tak tahu nak buat apa. Sudahnya saya ikut je naluri saya. Saya dukung Shakir dan terus bawa Shakir ke bilik air. Saya alirkan air paip yang sejuk di tangan Shakir. Alhamdulillah, Shakir terus berhenti menangis. Dalam masa yang sama, saya risau kalau tindakan saya tu salah dan mengakibatkan tangan Shakir jadi lebih teruk. Huhu..

Lepas tu saya cari maklumat pasal kulit terbakar. Mujur cara saya tu betul. Alhamdulillah. Lega la sikit perasaan saya masa tu tapi mungkin saya alirkan air tu dalam tempoh yang sekejap, bahagian yang melecur tu jadi gelembung macam dalam gambar di entri WW: Melecur.

Suami saya bawa Shakir ke hospital melalui emergency room. Hari Sabtu hanya emergency room je yang dibuka. Saya tak ikut sekali. Balik dari hospital, tengok-tengok tangan Shakir berbalut. Doktor suruh buat appointment hari Isnin untuk jumpa pakar kulit.

Keesokan harinya gelembung di tangan Shakir tu pecah. Satu tu pecah dengan sendirinya. Satu lagi tu terpecah. Shakir terjatuh masa tengah main, terkena bahagian gelembung tu.


9 Mei 2012 (Rabu)


Kami ke hospital, jumpa pakar kulit. Doktor cuci bahagian melecur tu. Sebelum tu doktor bagitau mungkin akan berdarah dan sakit sikit bila dicuci dan Shakir mungkin menangis. Dengar macam tu terus bergenang air mata saya. Dah la tu doktor macam tahu-tahu je yang saya nak menangis. Dia cakap saya kena kuat. Tak boleh menangis dan tak boleh tunjuk rasa takut pada Shakir. Lagipun saya kena buat prosedur yang sama bila dah balik rumah nanti. Huhu. Masa tu punya la saya tahan air mata daripada mengalir. Tak nak bagi doktor perasan. Eh, ke sebenarnya dia memang perasan air mata saya dah bergenang? :p

Shakir duduk di pangkuan saya masa doktor cuci tu. Saya hanya pegang tangan Shakir tapi kalih kepala tempat lain. Saya memang tak sanggup nak tengok masa doktor cuci tangan Shakir. Ngeri. Menangis Shakir bila doktor cuci tangannya tu. Huhu...kesian Shakir. Berdarah tangan dia. Nasib baik la sekejap je dia menangis.

Setiap hari bahagian melecur tu perlu dicuci 2 kali sehari. Ya Allah...tak sanggup nak buat! Saya hanya gosok perlahan-lahan je. Tak tergamak nak gosok kuat sikit macam doktor ajar. Terasa macam daging sendiri disiat-siat tiap kali saya cuci tangan Shakir tu. Huhu. 2-3 hari lepas baru saya beranikan diri cuci tangan Shakir ikut cara doktor. Shakir tenang je...macam tak sakit pun. Saya yang terasa ngilu.

Keadaan tangan Shakir yang terkini


Esok insyaAllah akan ke hospital lagi, temujanji kali kedua dengan pakar. Tengok la apa doktor nak kata nanti. Sejak tangan Shakir melecur, hanya 2 kali je Shakir menangis kesakitan. Kali pertama; sebaik sahaja tangannya melecur dan kali kedua; sewaktu doktor pakar cuci tangannya tu. Tengok Shakir kuat, saya pun turut rasa kuat juga. Kalau tak, mahunya sama-sama menangis dengan dia...huhu..


Nota: Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik!


Monday, October 10, 2011

Safiyyah dijangkiti HFMD

HFMD = Hand, foot and mouth disease (Penyakit tangan, kaki dan mulut)

3 hari lepas dapat tahu Safiyyah dijangkiti HFMD lepas dibawa ke hospital. Rabu malam dia demam panas tiba-tiba tapi tak suspek apa-apa yang pelik. Bagi makan ubat, lap kepala dan badan dia dengan tuala lembap je malam tu. Pagi esoknya turun sikit dah suhu badannya tapi lewat petang mula panas balik. Nak ke klinik, klinik dah tutup.

Pagi berikutnya (Jumaat) demam Safiyyah kebah dah tapi dalam waktu tengahari saya perasan ada ulser dalam mulut dia dan ada bintik-bintik macam ruam di kakinya. Petang tu dia demam balik. Papa dia takde di rumah pula masa tu. Ke ladang. Dah malam baru dapat bawa Safiyyah ke hospital. Satu masalah kat sini...klinik hanya dibuka hari Isnin-Jumaat ikut waktu pejabat. Sabtu Ahad tutup. Takde pilihan, kena ke hospital dan masuk melalui Emergency Room.

Di hospital

Doktor sahkan Safiyyah dijangkiti HFMD. Baru saya tahu penyakit ni takde ubat khusus dan akan sembuh dengan sendirinya. Alhamdulillah Safiyyah tak demam dah sekarang ni cuma ulser dalam mulutnya tu je yang tak hilang lagi. Kesian kat dia nak makan pun susah. Sikit je dia makan. Yang saya perasan, ada 3 biji ulser dalam mulutnya. Tu pun nampak bila dia menangis. Susah nak tengok betul-betul sebab dia tak nak buka mulut. Harapnya cepat la hilang ulser tu...

Thursday, April 28, 2011

Shakir ke emergency room

Dah sebulan dah kes Shakir ke emergency room ni. Masa tu umur Shakir baru 8 hari. 1-2 hari sebelum tu Shakir muntah susu. Antara 5 - 30 minit lepas menyusu mesti Shakir muntah. Bukan muak ye..muak lain..ni memang muntah. Susu yang diminum keluar balik. Risau juga la masa tu. Nak bawa ke klinik pun klinik tak buka hari Sabtu. Kebetulannya pulak hari Selasa berikutnya (29 Mac) ada temujanji dengan pediatrician. Saya fikir takpe la..nanti masa jumpa Dr Paulus (pediatrician) nanti boleh tanya dia pasal keadaan Shakir.

Tapi lewat petang hari Ahad (27 Mac) makin kerap dan banyak pulak Shakir muntah susu. Ada ketikanya susu keluar dari hidung Shakir! Saya dah mula panik dah. Sampai malam pun macam tu jugak keadaannya. Suami saya call hospital dan bagitau staf yang berkenaan pasal Shakir. Lepas bersoal jawab, staf tu suruh pergi emergency room malam tu jugak.

Hampir tengah malam juga la masa kami ke hospital. Punya la lama tunggu doktor datang..mata dah makin berat..rasa nak terlelap je..huhu. Lepas doktor check, Shakir diberi minum Pedialyte (sejenis electrolyte) sebanyak 1 ounce nak tengok tindak balas Shakir terhadap electrolyte tu. Takde apa-apa kesan, 1 ounce lagi diberi lepas 15-20 minit berikutnya dan diberi lagi 1 ounce lepas 15-20 minit seterusnya.

Shakir diberi minum electrolyte


Ni la electrolyte yang diberi pada Shakir. Lega bila nampak perkataan halal tu


Macam dia pulak yang sakit :p


Masih tiada apa-apa tindak balas, kami pun dibenarkan pulang tapi disuruh bagi Shakir minum electrolyte tu setiap 20 minit dan perlu jumpa Dr Paulus pagi tu. Kami sampai di rumah dah pukul 3 pagi dah pun. Mengantuk takleh nak kata la..rasa nak melekat je dah mata ni tapi terpaksa bersengkang mata juga sebab kena bagi Shakir electrolyte tu. Saya tak dibenarkan menyusukan Shakir sampai la jumpa pediatrician nantinya :(

Dalam pukul 9 pagi suami saya call klinik nak buat temujanji, malangnya Dr Paulus hanya lapang waktu petang je. Akhirnya jumpa dengan pediatrician yang lain sebabnya kesian kat Shakir yang tak minum susu berjam-jam lamanya dan saya pulak dah rasa sakit akibat bengkak susu. Suami saya pergi ke klinik berdua je dengan Shakir sebab masa tu Safiyyah belum bangun tidur.

Balik dari klinik, suami saya bagitau yang pediatrician suruh bawa Shakir ke hospital untuk buat x-ray pulak. Baru seminggu lebih umurnya dah kena buat x-ray..huhu. Saya masih tak dibenarkan menyusukan Shakir dan tak boleh bagi electrolyte tu lagi. Shakir kena puasa! Kesian Shakir :(. Lepas x-ray baru Shakir dapat menyusu.

Keesokan harinya kami ke klinik lagi, ada temujanji dengan Dr Paulus. Dr Paulus bagitau hasil keputusan x-ray...dia kata takde mana-mana salur yang tersumbat. Alhamdulillah. Dr Paulus kata Shakir mungkin alami masalah reflux. Katanya lagi reflux tak bahaya asalkan berat baby bertambah setiap minggu dan reflux akan hilang dengan sendirinya.

What is gastroesophageal reflux (GER)?

Gastroesophageal reflux (GER) occurs when stomach contents reflux, or back up, into the esophagus during or after a meal. The esophagus is the tube that connects the mouth to the stomach. A ring of muscle at the bottom of the esophagus opens and closes to allow food to enter the stomach. This ring of muscle is called the lower esophageal sphincter (LES). The LES normally opens to release gas after meals. With infants, when the LES opens, stomach contents often reflux into the esophagus and out the mouth, resulting in regurgitation, or spitting up, and vomiting. GER can also occur when babies cough, cry, or strain.


What are the symptoms of GER?

GER is common in healthy infants. More than half of all babies experience reflux in the first 3 months of life, but most stop spitting up between the ages of 12 to 24 months. Only a small number of infants have severe symptoms. An infant with GER may experience

  • spitting up
  • vomiting
  • coughing
  • irritability
  • poor feeding
  • blood in the stools

Digestive system noting the mouth, esophagus, lower esophageal sphincter (LES), stomach, and small intestine

Specific Instructions for Infants with GER

  • If you feed your baby with a bottle, add up to 1 tablespoon of rice cereal to 2 ounces of infant milk. You can add cereal to expressed milk if you are breastfeeding. If the mixture is too thick for your baby you can change the nipple size or cut a little “x” in the nipple.

  • Burp your baby after he’s consumed 1 or 2 ounces of formula. For breast-fed infants, burp after feeding on each side.

  • Do not overfeed. Talk with your infant’s doctor or nurse about the amount of formula or breast milk that your baby is consuming.

  • When possible, hold your infant upright in your arms for 30 minutes after feedings.

  • Infants with GER should usually sleep on their backs, as is suggested for all infants. Rarely, a physician may suggest alternative sleep positions. [sumber]



Minggu berikutnya (5 April) kami jumpa Dr Paulus sekali lagi...Dr Paulus nak tengok sama ada berat Shakir naik atau pun tidak. Alhamdulillah, berat Shakir ada sedikit peningkatan...naik 0.3 kg dalam masa seminggu (3 kg ke 3.3 kg). 19 April lepas sekali lagi kami berjumpa dengan Dr Paulus...berat Shakir masa tu 3.97 kg. Masih naik juga berat Shakir..alhamdulillah. Dr Paulus puas hati dengan kenaikan berat Shakir. Ok sangat la berat Shakir tu dengan keadaan dia yang muntah-muntah. Dia kata takde apa la yang perlu dirisaukan..lambat-laun akan hilang juga masalah reflux tu.

Shakir masih lagi muntah susu sampai sekarang tapi takde la sekerap 2 minggu sudah. Walaupun tak bahaya, rasa kesian tiap kali tengok dia muntah. Entah berapa peratus je susu yang dihadam dan diserap dalam badan dia tu tapi alhamdulillah la masih naik juga berat badan dia walaupun sikit. Harapnya cepat la masalah reflux tu hilang...doakan ye..

Sunday, April 24, 2011

Cerita di postpartum room

Detik-detik kelahiran Shakir dalam air
Detik-detik kelahiran Shakir dalam air #2


Saya dipindahkan dari labor room ke postpartum room lepas semua urusan dalam labor room selesai (sejam lebih lepas saya bersalin) termasuk menyusukan Shakir buat pertama kalinya :).


Dah masuk dalam postpartum room pun Safiyyah masih tak tidur! Lebih kurang jam 3 pagi baru dia tidur TAPI...belum pun pukul 6 pagi dia dah bangun! Bangun tersengih-sengih pulak tu. Kalau tak cukup tidur biasanya dia akan mengamuk. Ni pelik pulak. Excited dapat adik agaknya :)

Muka ceria baru bangun tidur ^_^


Takde gaya macam tak cukup tidur je, kan?


'Pengsan' juga akhirnya! Masa ni Safiyyah tidur dari pukul 8 pagi sampai pukul 3 petang! Memang lena sungguh dia tidur, tak sedar apa dah


Petang-petang 'baca' buku. Bagus anak ummi ni :)


Ni la buku yang Safiyyah 'baca' ;). Papa dia belikan beberapa minggu sebelum saya bersalin tapi tak bagi Safiyyah awal-awal..takut dia koyakkan buku tu sebab dalamnya kertas biasa je, bukan jenis kadbod tu. Dah rancang bawa buku ni masa saya bersalin. Bila bagi buku ni kat Safiyyah, dia nampak macam faham je. Dah jadi buku kegemaran dia pun. Ke hulu ke hilir dibawanya. Nak tidur pun duk angkut sekali buku tu. Kadang-kadang bila dia tengok buku tu...dia tengok adik dia. Sweet sangat ^_^. 'Mesej' pada gambar cover buku tu macam sampai je kat dia. Sampai sekarang masih elok buku tu..sikit pun Safiyyah tak koyakkan. Tak sia-sia papa dia belikan :)


Ni la biliknya. Oleh sebab suami saya dan Safiyyah bermalam sekali di hospital, kami diberi bilik dengan queen size bed. Komputer tu pulak bukan untuk diguna pesakit mahupun pelawat ye. Itu untuk kegunaan nurse. Tiap kali saya diberi ubat, nurse akan catit terus dalam komputer tu. Oh, saya diberi sejenis ubat, Ibuprofen namanya..nak kurangkan rasa sakit di perut. Nurse tawar ubat tu pada saya masa di labor room lagi tapi saya tolak. Dah berjam-jam sakit tu masih tak berkurang dan makin sakit waktu saya menyusukan Shakir, saya minta juga la Ibuprofen tu. Setiap 8 jam la saya diberi Ibuprofen


Antara menu yang disediakan di hospital. Saya tunjuk sebahagiannya je la. Burger ada, pizza ada, steak ada, muffin ada, puding ada, pasta ada, sup ada, isy..banyak la! Kalau nak makan, call je room service nanti diorang hantar ke bilik. Dah macam kat hotel pulak..hihi. Err..yang tak seronoknya...bukannya semua menu boleh dimakan..banyak yang tak boleh makan pun..uhuk!


Belah kiri tu antara makanan saya di hospital. Lebih kurang sama je pun menu yang saya mintak selama 3 hari 2 malam di hospital :p. Yang paling tak tahan kek coklat tu la. Menggiurkan sungguh la. Saya tak makan pun..tak berani..huhu. Duk teringat kek mesti ada telur. Telur kan tak boleh makan masa pantang. Tak tau le pulak kalau kek tu eggless. Tergugat iman :p. Tapi sebelum tu sedap je makan blueberry muffin. Dah licin baru teringat...eh, muffin kan ada telur! :p


Silvana dan anaknya Mariana (jiran kami, Brazilian) datang melawat waktu petang. Sebelum tu anak-anak dara undergrad pun datang juga tapi terlupa nak ambil gambar. Hafiz dan Izza datang melawat waktu pagi pun tak ingat nak ambil gambar


20 Mac 2011

Geng-geng bujang pulak datang melawat. Raihan, Ain dan Hasanah datang buat kali ke-2 :). Terima kasih banyak-banyak pada semua yang datang melawat! :)


Paparazzi ^_^


Tag-tag yang dipakaikan di kiri kanan tangan saya. Tag atas tu siap ada bar code lagi. Nurse akan scan bar code tu bila saya diberi ubat dan terus masukkan datanya dalam komputer. Tag yang bawah tu pulak diberi pada saya, suami dan Shakir...sama sebijik termasuk nombor yang belah kanan tu (58012) cuma tag Shakir kecik saiznya. Nombor tu dirujuk supaya tak tertukar baby. Nak elak baby kena culik pun ye jugak kot. N Peterson tu nama midwife yang sambut Shakir. Nancy Peterson namanya :)


Shakir lagi banyak tag. 2 kat kaki, 1 lagi kat tangan kiri :D


Hasil seni yang Safiyyah tinggalkan di dinding bilik tu :p. Ingat nak cuci sebelum balik tapi terlupa. Harapnya nurse tak marah la. Safiyyah lukis guna washable crayon je pun


Saya dibenarkan keluar hospital pada 21 Mac 2011 waktu tengahari. Itu la sedikit sebanyak pengalaman bersalin di rantau orang :)

Sunday, April 17, 2011

Safiyyah di labor room

Detik-detik kelahiran Shakir dalam air
Detik-detik kelahiran Shakir dalam air #2


Dalam 2 entry atas tu saya belum cerita lagi macam mana keadaan Safiyyah masa saya bersalinkan Shakir. Dalam perjalanan ke hospital saya memang risaukan Safiyyah sebab dia dah mula meragam. Mengantuk punya pasal. Saya duk berharap yang Safiyyah tertidur dalam kereta dan lena selena-lenanya sampai saya bersalin. Tapi harapan tinggal harapan je la. Dah sampai hospital pun dia tak tidur-tidur padahal dah mengantuk sangat dah dia masa tu. Saya tak dapat nak bayangkan situasi dalam labor room nantinya bagaimana. Kalut gamaknya..

Masa tengah register di hospital, suami saya lepaskan Safiyyah, biar dia bebas ke sana ke mari. 'Cerah' balik biji mata Safiyyah. Hilang dah kisah nak tidur. Seronok dapat bebas. Dalam hati duk berharap...sekalipun dia tak tidur, jangan la dia meragam dan jangan la dia sibuk nak explore setiap ceruk labor room pulak masa saya nak bersalin nanti.

Masuk ke labor room Safiyyah meragam juga la. Dia sibuk nak keluar, tak nak berkurung dalam bilik tu. Tapi alhamdulillah sekejap je dia meragam. Letak atas sofa, diam je dia kat situ buat hal sendiri. Kejap dia tengok TV, kejap dia melukis, kejap dia belek-belek buku. Tak turun-turun dari sofa tu. Kebiasaannya kalau ke tempat baru, dia la paling sibuk sekali. Usik itu, usik ini, bukak tutup laci dan kabinet.

Sampai saat saya masuk dalam tub pun macam tu la dia. Duduk je dia atas sofa. Macam tahu-tahu pulak yang adik dia dah nak keluar. Suami saya sebelum tu tanya nurse boleh ke dia masuk sekali dalam bilik air. Nurse kata boleh tapi diorang tak bertanggungjawab jaga Safiyyah. Suami saya masuk juga ke bilik air tapi kejap-kejap mata dia terarah pada Safiyyah (pintu bilik air memang dibiar terbuka).

Atas sofa tu je la Safiyyah duduk. Tak berganjak dia dari situ. Kat situ la dia tengok TV, situ juga la dia melukis dan situ juga la dia belek buku. Buku-buku dan crayon dia memang dah masuk dalam checklist barang-barang yang nak dibawa ke hospital :)


Saya dibawa ke katil semula pun Safiyyah masih tak berganjak dari sofa tu. Behave sangat dia masa tu. Nurse pun duk puji Safiyyah :). Alhamdulillah..Allah permudah sangat-sangat urusan kami sekeluarga di labor room.

15 minit lepas Shakir keluar. Safiyyah masih di atas sofa :)


Oh, kat sini memang boleh bawak anak masuk dalam labor room. Takde la pening kepala kami nak fikir mana nak letak Safiyyah masa saya dalam labor. Faham-faham je la hidup di bumi asing..bukan ada saudara-mara kat sini. Bukan setakat anak je tau...kaum kerabat dan kawan-kawan pun boleh masuk labor room. Takde had berapa orang boleh masuk. Had masa pun takde. Nak tunggu di hospital dari pagi sampai tengah malam pun takpe. Takkan kena halau punya ;)


Masa nurse uruskan Shakir, Safiyyah sibuk nak tengok sekali. Menjerit-jerit dia nak tengok Shakir. Papa dia angkat dia, terus senyap. Bila papa dia letak semula ke bawah, mengamuk balik. Dia nak tengok sampai nurse habis jalankan tugas ke atas Shakir. Terkejut juga saya dengan reaksi Safiyyah sebab sebelum ni kalau tunjuk baby kat dia...dia buat tak tahu je..macam takde perasaan :p. Mak saya kata sesetengah budak memang macam tu..dia tahu tu bukan adik dia..dia buat tak tahu je la. Safiyyah tergolong dalam kategori tu la ;)