Pages

Showing posts with label tetamu. Show all posts
Showing posts with label tetamu. Show all posts

Monday, September 30, 2013

Tetamu-tetamu musim panas

30 Mei 2013. Tetamu pertama kami di musim panas tahun ni. Abang Khalid, Siti dan putera puteri mereka datang dari Fort Collins, Colorado. Dah pernah ke rumah mereka di Fort Collins sewaktu musim sejuk penghujung tahun 2011 (baru teringat sampai sekarang tak terbuat entrinya..ish..). Akhirnya, sampai juga giliran mereka bertandang ke teratak kecil kami :). Sampainya pun dah nak malam, ada hati nak minta diri. Haruslah kena tahan bermalam di sini ^_^. Esoknya kami bawa mereka sekeluarga bersiar-siar di sekitar Lincoln.


16 Jun 2013. Sekeluarga dari Laramie, Wyoming datang menziarah. Tak ingat dah kali ke berapa kami bertemu. Dah beberapa kali juga mereka ke rumah kami. Ada masa mereka bermalam di sini, ada masa pula hanya menumpang solat dan merehatkan badan sebelum meneruskan perjalanan panjang. Ini juga merupakan kali terakhir mereka ke sini. Isa, Ku dan anak-anak dah pun pulang ke Malaysia bulan Julai lalu. Kedua-dua pasangan suami isteri yang sama hebat. Sama-sama berjuang menuntut ilmu di bumi asing dan sama-sama berjaya menggenggam ijazah kedoktoran (Ph.D). Kagum!


6 Julai 2013, si kenit berbaju biru ni pula datang bertandang. Sudah tentulah datangnya tidak bersendirian :D.. Ditemani mak ayahnya serta kakaknya si cantik manis. Geram sangat dengan si comel ni. Dah macam anak kacukan! Safiya Alhana namanya. Beza 3 bulan sahaja dengan Raihannah tapi lahir mereka pada tahun yang berbeza. Hana lahir pada penghujung tahun 2012, Raihannah pula lahir pada bulan Mac tahun 2013. Suka tengok gambar ni...elok berpegangan tangan berdua...macam sahabat karib padahal baru pertama kali berjumpa ^_^.


Esoknya, sekeluarga berangkat pulang ke Fort Collins. Ya, mereka 'sekampung' dengan Siti sekeluarga di Colorado :D.



Wednesday, June 26, 2013

Sebulan tanpa berita

Tak sedar dah sebulan rupanya tak update blog. Bukan setakat update, jenguk pun tidak. Selalunya kalau tak update sekalipun, jenguk juga dashboard. Baca komen kalau ada dan buang spam. Kali ni memang tak login langsung blog. Aduhai. Kebetulan pula komputer rosak seminggu. Dah dibaik pulih, makin tak rajin pula nak berblog..huhu..

Cerita ringkas mengenai kami anak-beranak selama sebulan menyepikan diri:


  • Musim panas ni kami tak ke mana-mana pun. Jalan dekat-dekat sini sahaja. Tak keluar dari Nebraska.
  • Raihannah dah 3 bulan lebih usianya. Dah pandai senyum, sengih, ketawa apabila diagah dan digelelek (sangat suka geletek dia! :p), pandai mengiring dan baru pertama kali meniarap dengan sendiri semalam. Alhamdulillah.
  • 2 buah keluarga dari Colorado dan Wyoming datang ziarah dan bermalam di rumah kami. Suka! Dah lama tak ada tetamu datang bertandang.
  • Semalam, 25 Jun, genaplah 32 tahun usia suami saya. Hari yang sama juga Raihannah meniarap. Hadiah buat suami sayalah kiranya. Jadinya tak perlulah bagi hadiah lain padanya :p.
  • Antara aktiviti kami...pergi zoo, petik strawberi, juga memetik ceri (kalau saya rajin, adalah entrinya nanti ya)


Tiga beradik dalam kolam tak berair :)


Sunday, January 20, 2013

Safiyyah's 4th birthday bash

Majlis yang serba sederhana dan ringkas untuk anakanda yang sulung sempena 4 tahun usianya :). Betul-betul ringkas kali ni. Jemputan tak ramai, juadah juga yang ringkas sahaja. Jadilah, janji dapat juga Safiyyah diraikan seperti 3 tahun sebelum ni :). Hari lahir Safiyyah 2 Januari tapi majlisnya hanya dapat dibuat pada 11 Januari; semester baru dah bermula pun masa tu.




Menu yang ringkas. Saya hanya masak bihun goreng dan lasagna sahaja. Yang lain tu dibuat oleh orang lain. Makaroni bakar daripada Kismi, burek/borek (makanan Turki) daripada Husna dan roti jala daripada Elfha. Elfha macam tahu-tahu je saya teringin makan roti jala ^_^. Terfikir juga nak buat roti jala untuk majlis Safiyyah ni tapi difikir-fikir balik, tak jadi. Tak larat nak berdiri lama-lama 'menjala' di dapur. Dapat tahu Elfha nak buat roti jala, gembira rasa hati ^_^.


Birthday girl.


Dua jenis kek lagi yang dicuba kali ni. Caramel praline cheesecake (kanan) dan Coconut-filled nut torte (kiri). Suami saya sukakan kedua-dua kek ni! Dua-dua sedap katanya, alhamdulillah :). Resipi insyaAllah saya kongsikan dalam entri lain :)


Sesi potong kek.


Mereka yang juga diraikan. Raihan (tengah potong kek) dan Alif Roslan (berdiri di kiri) yang sudah pun menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Tahniah Raihan! Tahniah Alif! Di saat ni Raihan dah pun selamat berada di Malaysia. Alif pula insyaAllah akan pulang ke tanahair sebelum hujung bulan ni.






Monday, January 14, 2013

Berpesta pulut durian di musim sejuk

Aktiviti kami bersama adik-adik undergrad di sini penghujung Disember 2012 :).

Bukan main sakan lagi orang di Malaysia tayang durian hujung tahun lepas..siap dengan crepe durian lagi..huhu. Tak patut betul. Mujurlah di Lincoln ni ada jual durian. Walaupun ianya durian Siam, walaupun ianya durian beku (frozen)...jadilah...janji dapat juga melepas kempunan nak makan durian.

Idea nak berpesta pulut durian ni datangnya daripada gambar pulut durian yang suami saya upload di Facebook beberapa minggu sebelumnya.. Adik-adik undergrad di sini terliur tengok gambar pulut durian tu :p. Dari situlah tercetus idea makan pulut durian secara berjemaah ^_^.


Memang berpesta sungguhlah hari tu. 9 biji durian kesemuanya; 5 biji daripada geng bujang, sebiji daripada anak dara, baki 3 biji lagi suami saya beli ^_^. Memang tak habislah 9 biji durian tu tapi 5 biji sekejap je licin.


Pulut durian. Pertama kali saya tahu durian dimakan dengan pulut dan santan adalah sewaktu saya di matrikulasi. Tak ingat saya ada program apa masa tu. Yang saya ingat, juadah yang dihidangkan adalah pulut durian. Aneh bagi saya. Tak boleh nak digambarkan bagaimana rasanya. Durian dahlah berlemak. Makan pula dengan pulut bersama santan. Tidakkah rasanya sangat berlemak??


Tak ramai pun masa ni. Ramai yang pergi makan angin sempena cuti musim sejuk. Kami yang tak ke mana-mana (sob, sob..)...berpesta pulut durianlah di Lincoln ^_^. Ada tetamu juga waktu ni; keluarga Fido yang datang makan angin di US dan seorang adik undergrad dari Wisconsin.


Yum, yum! Sedap juga durian Siam pun. Alhamdulillah kali ni dapat isi yang lembut. Kadang-kadang beli dapat isi yang keras sikit...yang macam tu saya tak minat sangat. Saya seorang sahaja yang makan durian semata-mata. Sehingga ke hari ni masih belum terbuka hati nak rasa pulut durian.


Anak teruna yang baru bangun tidur menikmati durian. Lepas makan durian, makan pulut durian pula. Bab makan, memang ummi kalah dengan dia. Bagus juga dia tak jadi picky eater macam umminya ni :D. Safiyyah? Tak mahu pun dia. Sekali-sekala makan jugalah durian tapi selalunya dia tak mahu.



Wednesday, November 14, 2012

Ketiga: Trimester pertama

Dah masuk tahun baru 1434H dah. Sekejap sahaja tahun demi tahun berlalu. Salam Maal Hijrah buat semua umat Islam!


Sedikit catatan bagi trimester pertama untuk kehamilan yang ketiga...

13 Julai 2012
Buat urine pregnancy test (UPT) sendiri di rumah. Seperti yang dijangka, keputusan positif. Jelas kelihatan double lines. Alhamdulillah, betul-betul seminggu sebelum Ramadhan dapat tahu yang saya hamil buat kali ketiga. Itu pun suami yang 'desak' saya buat UPT. 5 hari sebelum tu keluar sedikit darah yang saya sangka adalah darah haid. Anehnya, darah yang keluar hanya sedikit. Hari keesokannya, tiada lagi darah yang keluar.

Saya dah mula syak yang saya mengandung. Dalam hati sedikit risau memandangkan saya tak pernah ada pengalaman keluar darah (spotting) di awal tempoh kehamilan. Cuma, masa mengandungkan Shakir, keluar sedikit darah ketika usia kandungan mencecah 13 minggu. Ingat nak buat UPT senyap-senyap tanpa pengetahuan suami tapi tak ada stok home-pregnancy test di rumah. Dalam pada tu saya cari maklumat di internet. Rupanya, spotting adalah salah satu tanda awal kehamilan. Sedikit kelegaan di situ.


Bermulanya Ramadhan 1433H
Dua kali kehamilan sebelum ni Allah izin saya dapat berpuasa penuh di bulan Ramadhan. Bagi kehamilan ketiga ini juga saya mengharapkan saya dapat berpuasa penuh tapi baru 1 Ramadhan, saya hampir tewas. Badan rasa tak berdaya sangat pagi tu. Saya hanya lebih banyak berbaring. Alhamdulillah, melepasi tengahari, saya rasa sedikit bertenaga dan mampu untuk meneruskan ibadah puasa.

Beberapa hari selepas tu, saya mula demam di waktu pagi. Bermula jam 10 pagi, mula rasa tak sedap badan tapi selepas jam 2 atau 3 petang, badan saya kembali normal. Keadaan ni berterusan sehingga pertengahan Ramadhan. Dalam tempoh tu, setiap hari jam 10 pagi saya akan berselimut di atas katil sehingga tengahari. Demam pun ada timing :p. Awal Ramadhan ni juga saya mula tak boleh gosok gigi di awal pagi, rasa nak muntah; sama halnya macam mengandungkan Safiyyah dulu.

23 Ramadhan, balik dari majlis graduasi Fatin dan Irfan, saya rasa sangat tak berdaya. Terbaring je dalam bilik. Suami saya pula terus pergi ladang (field work). Mujur juga tetamu yang ada di rumah waktu tu turut sama keletihan dan berehat dalam bilik. Saya tak masak pun untuk berbuka. Kebetulan pula tetamu dapat jemputan berbuka di tempat lain. Saya dan anak-anak, suami bawa makan di luar.

Pada 28 Ramadhan pula, badan saya tiba-tiba rasa lemah, menggigil dan berpeluh. Tanda-tanda kekurangan gula dalam darah. Setiap kali keadaan ni berlaku, saya cepat-cepat makan makanan manis (kebiasaannya coklat) dan beberapa minit selepas tu badan saya pulih seperti sediakala. Saya cuba untuk bertahan. Rasa sayang pula nak berbuka. Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi Ramadhan berbaki. Saya baring dan tenangkan diri. Alhamdulillah, tak lama lepas tu hilang rasa menggigil dan saya dapat berpuasa penuh untuk hari tu.

Puasa dalam keadaan diri berbadan dua kali ni benar-benar menguji diri. Namun, alhamdulillah, dapat juga saya berpuasa penuh sebulan Ramadhan 1433H.


4 September 2012
Prenatal check up untuk kali pertama. Kalau sewaktu mengandungkan Shakir dulu, check up dibuat di People's Health Center, kali ni dibuat di Heart and Hands Womancare. Kandungan sudah berusia 11 minggu. Sengaja tunggu Ramadhan berakhir baru buat check up. Lagi pun, memang kena tunggu sehingga kandungan 8 minggu baru boleh mendaftar untuk prenatal check up. Untuk kali pertama ni, midwife Jearlyn yang in-charged.

Sebelum masuk ke bilik pemeriksaan, berat ditimbang; 94.6 lbs (42.9 kg). Seperti biasa, check up kali pertama hanya banyak bersoal jawab sahaja. Mula-mula, nurse yang masuk dulu; ambil dan rekod segala maklumat yang diperlukan. Kemudian, masuk pula student di bawah seliaan Jearlyn. Juga bersoal jawab. Ada juga soalan-soalan yang sama ditanyakan nurse, ditanya sekali lagi. Letih nak menjawab! Akhir sekali, barulah Jearlyn masuk. Bersembang serba sedikit dan degupan jantung bayi dikesan menggunakan Doppler fetal monitor. Suatu kelegaan dapat mendengar degupan jantung si kecil. Alhamdulillah, si kecil dalam keadaan baik kata Jearlyn.



Nota:
Gaza diserang lagi oleh tentera Zionis. Sama-sama doakan saudara-saudara seIslam kita di sana. Bagi yang ada Facebook, boleh ikuti perkembangan yang berlaku di Gaza di page Mini-Pavilion 'From Palestine With Love'(MAP)


Thursday, October 4, 2012

Diari Ramadhan 1433H

Baru berkesempatan nak mencatat aktiviti kami di bulan Ramadhan lepas. Bukan setakat Ramadhan, Syawal pun dah berakhir baru dapat dibuat catatan ni. Secebis kenangan di rantau orang :).


11 Ramadhan 1433H (30 Julai 2012)
Iftar MSA pertama

Muslim Student Association (MSA) menganjurkan potluck iftar buat kali pertama bagi Ramadhan 1433H. Ramai yang hadir termasuk beberapa orang non-Muslim. Makanan pun meriah! Majlis dimulakan dengan ceramah berkaitan Ramadhan oleh salah seorang jemputan. Selepas berbuka dengan kurma, kami solat Maghrib berjemaah. Usai solat barulah kami menikmati hidangan yang tersedia.




18 Ramadhan 1433H (6 Ogos 2012)
Iftar MSA kedua

Seminggu berikutnya, MSA sekali lagi menganjurkan potluck iftar. Kali ni tak ramai yang hadir. Kalau potluck iftar pertama dibuat di dewan kuliah, yang kedua ni dibuat dalam kelas sahaja. Kali ni juga tiada ceramah. Berbuka ringkas, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah dan kemudian menjamu selera.




22 Ramadhan 1433H (10 Ogos 2012)
Iftar jama'ie di rumah

Tercapai juga hasrat untuk mengadakan iftar jama'ie di rumah sendiri. Turut hadir, tetamu-tetamu dari Malaysia, juga 2 buah keluarga Muslim (berasal dari Saudi dan Syria) merangkap jiran-jiran kami. Ini pun dibuat secara potluck juga. Seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai begini.



Alang-alang dibuat majlis berbuka, kami raikan sekali adik-adik yang menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Ogos. Juga meraikan adik-adik yang bakal bergraduasi keesokan harinya.

Toasted butter pecan cake yang sarat dengan tulisan bagi meraikan kesemua mereka. Mulanya saya bercadang nak buat dua jenis kek. Satu kek khas untuk yang bakal bergraduasi, satu lagi untuk mereka yang lahir pada bulan Ogos tapi saya tak sempat nak buat sejenis lagi kek. Hanya itu yang termampu.


Adik-adik yang diraikan. 2 orang lagi tak dapat hadir.



23 Ramadhan 1433H (11 Ogos 2012)
Majlis graduasi Fatin dan Irfan

Setelah dua tahun berhempas-pulas, akhirnya Fatin dan Irfan berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Actuarial Science. Tahniah Fatin! Tahniah Irfan!

Di tengah itu adalah kakak sulung Irfan; Rifhan namanya.


Atas: Saya sekeluarga bersama Fatin dan Irfan.
Bawah: Bergambar beramai-ramai sesama Melayu Lincoln.



25 Ramadhan 1433H (13 Ogos 2012)
Iftar MSA terakhir

Buat kali yang ketiganya, MSA menganjurkan potluck iftar. Juga merupakan potluck iftar MSA yang terakhir bagi Ramadhan tahun ini. Kali ni pun tak ramai juga. Jumlah kehadiran lebih kurang sama dengan potluck iftar yang kedua.


Bergambar kenangan beramai-ramai sebelum beredar. Tiada dalam gambar; suami saya merangkap jurugambar dan Safiyyah yang sememangnya susah untuk diajak bergambar.


Jamuan di rumah Fatin

Selepas berakhirnya potluck iftar, kami singgah sebentar ke rumah Fatin. Fatin dan teman-teman serumahnya; Ain dan Firyal mengadakan jamuan perpisahan sebelum Fatin berangkat pulang ke Malaysia 2 hari berikutnya.

Sempat bergambar dengan Fatin dan anak-anak dara yang lainnya. Inilah gambar kenangan terakhir bersama Fatin sebelum Fatin pulang ke Malaysia.



27 Ramadhan 1433H (15 Ogos 2012)
Fatin pulang ke tanahair

Sampai juga saatnya Fatin pulang ke Malaysia setelah 2 tahun berada di bumi Lincoln. Tak dapatlah Fatin beraya dengan kami tahun ni. Dia pun memang tak sabar dah nak balik dan beraya Malaysia. Seperti biasa, saya tak dapat turut sama menghantar Fatin ke lapangan terbang memandangkan flight seawal jam 6 pagi.

InsyaAllah, ketemu lagi suatu hari nanti Fatin!
Semoga Fatin terus cemerlang dan berjaya dunia akhirat, ameen..



30 Ramadhan 1433H (18 Ogos 2012)
Iftar terakhir

Lepas Zohor di hari terakhir Ramadhan, saya mula buat persiapan memerap satay. Beberapa orang adik-adik undergrads turut datang membantu. Tugas utama mereka...potong ayam ^_^. Alhamdulillah, adanya bantuan mereka, cepat je kerja memotong ayam selesai. Lepas kerja-kerja memerap satay siap, terus mula memasak untuk berbuka sambil dibantu oleh Fizah dan Hasanah.

Wajah-wajah pembantu yang berdedikasi ^_^.
Terima kasih Fizah, Hasanah dan Fido. Juga terima kasih buat Alif Sophian yang tolong ke kedai. Jazakumullahu khairan kathira.


Alhamdulillah, berpeluang buat kali terakhir berbuka puasa beramai-ramai. Kali ni tak seramai sebelum ni, hanya beberapa orang sahaja diajak terutama yang menghulurkan bantuan disebabkan lewat petang baru dibuat keputusan untuk berbuka puasa secara berjemaah.



Sekadar itu catatan ringkas aktiviti-aktiviti kami di bulan Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan diizin Allah untuk bertemu dan melalui Ramadhan tahun depan..ameen.

Sunday, September 23, 2012

Ziarah yang bermakna


Terharu melihat gambar ni di Facebook kenalan kami sekeluarga. Gambar berkenaan diambil di rumah mertua saya di Temalir, Kuala Krai. Tetamu yang datang berkunjung tu asalnya hanya kami kenali melalui Facebook sahaja. Allah izin, daripada perkenalan di alam maya, akhirnya dapat juga kami bersua muka di alam nyata.

Walaupun kami sama-sama warganegara Malaysia, pertemuan pertama kami Allah atur di bumi Amerika Syarikat. Lebih tepat lagi, di Fort Collins, Colorado. Yang menariknya, Abang Rozi (saya dan suami panggilnya Abe Jie) dan suami saya sama-sama anak jati Kuala Krai. Di Kuala Krai, masing-masing tak pernah kenal pun. Tak sangka boleh kenal di Amerika Syarikat ni.

Abe Jie sekeluarga dah pun pulang ke Malaysia beberapa bulan lepas setelah berjaya menggenggam ijazah PhD di sini. Sewaktu Abe Jie sekeluarga masih di Fort Collins, sudah beberapa kali kami ke rumah mereka dan mereka juga telah beberapa kali menziarahi kami di Lincoln ni. Entah kenapa kami cukup suka ke rumah Abe Jie sekeluarga.

Jumaat lepas, Abe Jie hantar SMS pada suami saya. Katanya, dia dan keluarganya berada di Kg Temalir dan nak singgah ke rumah keluarga suami saya. Ingatkan Abe Jie bergurau, rupanya memang sungguh dia nak ke sana untuk berjumpa dan mengenali kedua-dua orang tua suami saya.

Ziarah mereka ke sana amat bermakna bagi kami. Terserlah keikhlasan mereka dalam menjalinkan ukhuwwah. Walaupun kami tiada di sana, tetap juga mereka datang berkunjung.

InsyaAllah, pulang ke Malaysia nanti giliran kami pula menziarahi Abe Jie sekeluarga. Semoga ukhuwwah yang terbina ini berkekalan sehingga ke akhirnya, bukan setakat di dunia tapi sehingga ke negeri abadi kelak. Semoga Allah himpunkan kami semua di syurgaNya..ameen..



Thursday, September 6, 2012

Kejutan di hari lahir yang ke-30

Setelah 3 tahun hari lahir saya jatuh pada bulan Ramadhan, akhirnya tahun ni 23 Ogos jatuh pada bulan Syawal. Sepanjang 3 tahun berturut-turut tu memang tiada keraian di hari lahir saya cuma pemberian hadiah daripada suami sahaja. Selama ni pun hari lahir saya hanya disambut kecil-kecilan sesama ahli keluarga. Itu pun sekadar makan di luar dan kek biasanya memang ada sekali.

Istimewanya tahun ni, bukan setakat suami yang meraikan, keluarga Irfan yang menjadi tetamu rumah kami turut sama meraikan hari lahir saya yang ke-30. Segan sungguh saya. Saya tak biasa. Nak tunjuk reaksi macam mana pun saya tak tahu. Senyuman saya pun terasa kaku. Saya suka meraikan orang tapi apabila diri sendiri diraikan, saya jadi segan teramat.

24 Ogos lepas, keluarga Irfan ajak saya sekeluarga makan malam di luar sempena malam terakhir mereka bermalam di rumah kami sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Saya macam boleh agak makan malam tu bukan makan malam biasa-biasa, bukan setakat makan malam 'perpisahan', tapi sampai kami semua habis makan, tak ada apa-apa pula yang berlaku :p.





Tak lama lepas tu tiba-tiba je 2 orang pelayan restoran datang bawa kek dan menyanyikan lagu Happy Birthday. Segan saya dibuatnya. Terasa macam budak-budak pun ada juga :p. Memang saya tak jangka kejutan begini. Tak sangka la pula mereka nak berpakat dengan pelayan restoran sampai begitu sekali. Terharu, gembira, segan, semua bercampur menjadi satu!


2 beradik tu pula yang sibuk nak potong kek ^_^. 


Oreo ice cream cake yang sedap! Terima kasih suamiku sayang (suami saya yang beria-ia cari kek ni di kedai sebelum ni lagi...kami pernah makan di majlis hari lahir anak jiran...dialah yang nak makan kek ni sebenarnya :p). 


Sudahlah dibelanja makan, dapat pula hadiah daripada keluarga Irfan. Bertambah segan jadinya. 


Bergambar kenangan sebelum balik.


Keluarga kecil kami :). 


Dah nak balik, Shakir sibuk tunjuk lobster dalam akuarium tu ^_^.



Terima kasih Abang Rahman, Kak Razmah, Irfan, dan Aliff belanja makan dan bagi hadiah!
Terima kasih Raihan yang turut serta!
Terima kasih juga suamiku sayang atas kejutan ini.
InsyaAllah memori manis ni akan tersemat dalam hati :).

Friday, August 31, 2012

Kemeriahan Aidilfitri di Omaha

Kalau pada pagi 1 Syawal kami hanya beraya di Lincoln, petangnya pula kami beraya di Omaha. Lebih tepatnya lagi, di rumah Kak Ellie. Omaha ni je destinasi yang paling dekat dengan Lincoln yang boleh jumpa keluarga Melayu lainnya. Mujur juga la ada beberapa keluarga Melayu di sana, merasa jugalah peluang beraya selain di Lincoln. Jamuan raya ni dibuat secara potluck. Jadinya, masing-masing bawa juadah masing-masing. Kami bawa satay mentah sahaja.

Majlis bermula jam 2.30 petang. Perancangan asal, kami nak bertolak awal ke sana sebab nak kena bakar satay. Merancang nak bertolak dalam pukul 12 tengahari supaya dapat sampai di rumah Kak Ellie dalam pukul 1 petang (lebih kurang sejam perjalanan) tapi akhirnya hampir pukul 1.30 petang baru kami dapat keluar rumah. Kerja-kerja menyucuk satay pagi tu lambat siap dan masih ada adik-adik undergrads yang datang beraya di rumah kami waktu tengahari tu.


Alhamdulillah, cuaca cantik sangat hari tu. Macam dalam perjalanan balik kampung je ambil gambar macam ni (padahalnya diri sendiri tak ada kampung) ^_^.


Waktu kami sampai di rumah Kak Ellie, belum ramai pun lagi. Saya yang dah siap berwudhu' dari rumah, terus solat Zohor. Dah ramai nanti leka pula bersembang.


Senarai menu yang disediakan oleh tuan rumah.



Sebahagian juadah yang ada. Ini sahaja yang sempat saya ambil gambar. Banyak sangat juadah yang ada. Tak pasti ada berapa puluh jenis. Bahagian pencuci mulut je pun dah cukup banyak. Saya tengok makanan banyak-banyak macam tu terus rasa kenyang. Orang lain sibuk beratur ambil makanan, saya sibuk ambil gambar. Sungguh rasa kenyang tiba-tiba tengok makanan terhidang sebanyak tu. Lagipun tak rajin nak beratur :p.


Satay! Kerja saya hanyalah memerap satay. Bab menyucuk dan membakar satay, saya lari siap-siap..hihi..




Yang Melayu kebanyakannya duduk dalam rumah. Tipikal Melayu yang tak suka berpanas, mungkin? :p


Ini bahagian luar rumah. Dah macam restoran pula tengok gambar ni ^_^. Ramai sangat jemputan Kak Ellie. Meriah!


Saya bersama 2 orang tetamu dari Malaysia (saya ada sebut dalam entri lepas). Di tengah itulah Kak Mashitah dan yang bertudung ungu itulah Kak Razmah; 'chef import' yang saya maksudkan ^_^.


Ada peluang bergambar, memang tak dilepaskan!


Bergambar dengan Kak Ellie sekeluarga lepas kerja mengemas selesai. Kami je yang tinggal waktu ni. Dah alang-alang hampir masuk waktu Maghrib, kami tunggu sekejap lagi untuk menunaikan solat Maghrib. Nasib baik tak kena halau dengan tuan rumah :p.
Oh ye, waktu ni jugalah kami ambil kesempatan bergambar 4 beranak :).


Nota:
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-55!