Pages

Showing posts with label insiden. Show all posts
Showing posts with label insiden. Show all posts

Thursday, October 8, 2020

Kemalangan: U-turn Sesuka Hati

Sewaktu scroll Twitter semalam, saya tertengok video kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta. Penunggang motosikal tu terlanggar kereta di hadapan yang sedang buat pusingan-U di tempat yang tak sesuai. 

Betul-betul mengembalikan memori saya sekeluarga kemalangan hujung tahun lepas. Lebih kurang begitulah punca kami terlibat dalam kemalangan. 

Kami dalam perjalanan pulang ke rumah masa tu daripada program anak. Saya tak perasan apa yang berlaku sebab duduk di belakang bersama 3 orang anak. Anak kedua duduk di depan, sebelah tempat duduk pemandu.

Yang saya perasan, kereta depan kami bagi signal kiri. Mungkin nak berhenti seketika di bahu jalan. Lepas tu memang saya tak tengok dah. Tahu-tahu je bunyi berdentum. Kereta kami berlanggar dengan kereta tadi tu!

Rupanya, kereta tu bukannya nak berhenti. Pemandu tu buat pusingan-U! Suami saya tak sempat nak brake sebab situ keadaannya menuruni bukit. Nak elak pun tak sempat. 

Allah. Ketar satu badan. Suami berhentikan kereta di bahu jalan. Kereta kemek bahagian sisi hampir dengan pintu penumpang di hadapan. Pintu tu pun tak boleh dibuka. Ya Allah, mujurlah anak yang di depan tu tak cedera.

Geram jugalah. Disebabkan kecuaian orang lain, kami terkena tempiasnya. Entah apalah yang pemandu tu fikir sampai buat pusingan-U sesuka hati begitu. 

Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan cuma agak trauma. Alhamdulillah juga kereta belakang kami agak jauh jaraknya. Jadi dia sempat brake dan dia pun nampak kereta depan kami tadi tu buat pusingan-U tak tentu hala.

Lepas tu suamilah yang settle dengan pemandu cuai tadi tu. Saya duduk dalam kereta sahaja dengan anak-anak. Kaki ni tak rasa macam jejak tanah. Ketar badan pun ambil masa nak hilang...huhu..


Friday, June 26, 2020

Tragedi Berdarah 1 Jun 2020

Lama dah tak ada insiden berdarah dalam keluarga kami kecuali Shakir yang selalu berdarah hidungnya. Tak disangka, 1 Jun lepas berlaku tragedi di rumah. Waktu kejadian, yang berada di rumah adalah saya dan anak-anak berempat. Saya sedang mencuci pinggan di dapur ketika itu. Tiba-tiba dengar bunyi kaca berkecai.

Saya toleh. Yang punya angkara dah berlari ke ruang tamu. Takut dimarahi barangkali. Allah. Hati mula rasa panas. Termasuk yang ini, sudah dua kali kaca pecah dikerjakannya. Sebelum ini kaca kabinet di kampung pecah waktu kami terkandas di sana (ada dicatat dalam post sebelum ni: PKP: Terkandas di Kampung #2). Kali ini, tingkap bilik pula menjadi mangsa amarah si anak.

Saya ambil penyapu dan penyodok. Sambil beristighfar, saya sapu serpihan kaca yang berterabur di atas lantai. Saya tahu kalau saya tak kawal diri, bila-bila masa sahaja saya boleh 'meletup'. Tambahan pula sejak pagi badan rasa lemau. Rasa tak bersemangat. Emosi tak menentu. Sambil-sambil menyapu tu gugur juga air mata. Letih. Terkejut. Marah. Sedih. Semuanya menjadi satu.

Menyapu sekadar laluan ke dapur bebas serpihan kaca, saya ke ruang tamu. Niat di hati mahu melampiaskan rasa marah terhadap si anak tapi terbantut akhirnya. Atas sofa, saya terpandangkan darah yang bertakung. Allahuakbar. Sungguh saya tak sangka tangan Safiyyah tercedera ketika memecahkan tingkap. Sikit pun dia tak mengaduh kesakitan. Wajahnya pun nampak tenang. Entah sakit entahkan tidak. Selalunya kalau sakit, dia mesti sebut 'hurt' tapi tidak kali ini.

Kejadian di kampung sebelum ini tiada sebarang kecederaan. Maka, saya fikir kali ini juga dia bernasib baik. Malahan, tiada setitik darah pun dikesan di atas lantai. Menguatkan lagi sangkaan saya yang dia tidak cedera sedikit pun. Terkejut tengok darah yang banyak itu. Saya cari punca pendarahan. Nampak satu luka di lengan kiri dan satu bendasing di bahagian luka tersebut. Saya fikirkan kaca. Tapi bila disentuh, lembut. Aduhai. Isi daging terkeluar sedikit rupanya. Bertambah ketar dibuatnya.

Saya bergegas ke dapur, ambil beberapa keping tisu dapur dan letak di bahagian luka agar pendarahan berhenti. Itu sahaja yang boleh difikirkan. Minta seorang lagi anak ambilkan telefon. Saya telefon suami memaklumkan keadaan Safiyyah. Waktu itu suami berada di Serendah. Kalau tunggu, makan masa. Makanya, sayalah yang terpaksa bawa Safiyyah ke klinik. Mujur jugalah ada klinik swasta yang berdekatan.

Dalam keadaan kelam-kabut dan panik, MyKid Safiyyah pula tak dijumpai. Begitu juga kad OKU-nya. Aduh. Saya hubungi suami saya sekali lagi. Seingat saya, kali terakhir, dua kad tersebut ada padanya. Tapi tiada juga. Merata saya cari. Tak jumpa. Pelik. Saya bukannya jenis letak merata kad pengenalan diri. Masih tak jumpa, saya tawakal ke klinik dengan membawa salinan MyKid Safiyyah. Alhamdulillah staf klinik tak banyak soal.

Di klinik, luka Safiyyah tak boleh dijahit di situ memandangkan ia dah bengkak. Doktor beri saya dua pilihan. Sama ada ke klinik kesihatan atau ke hospital. Waktu itu jam sudah pun pukul 4 lebih. Saya buat keputusan untuk ke hospital. Bimbang klinik dah tak terima pesakit waktu itu. Balik ke rumah semula, saya cari lagi MyKid Safiyyah. Tetap juga tak jumpa. Saya bertambah susah hati sebab polisi hospital kerajaan agak tegas. Salinan pengenalan diri tak boleh diguna. Kena bagi yang asal juga.

Akhirnya saya bawa surat beranak beserta kad kuning (temujanji) hospital milik Safiyyah. 3 orang adik-adik Safiyyah terpaksa ditinggalkan di rumah dengan beberapa pesanan. Jangan dekat dengan kawasan berdekatan tingkap yang pecah. Jangan buka pintu kalau ada orang datang. Duduk diam-diam, kejap lagi papa balik. Itu pesanan saya buat tiga beradik.

Sampai di unit kecemasan hospital, suhu badan kami diambil dan saya tunjukkan lengan Safiyyah yang cedera. Kami terus dibawa ke trauma-line dan luka Safiyyah dibalut sementara. Selepas mendaftar, kami dibawa ke zon kuning untuk prosedur seterusnya. Alhamdulillah, sewaktu mendaftar saya hanya tunjukkan kad kuning sahaja. Rekod Safiyyah memang sudah ada dalam data hospital. Jadi kad itu juga dikira sebagai pengenalan diri.

Masuk ke bilik prosedur di zon kuning, luka Safiyyah diperiksa oleh beberapa orang doktor yang bertugas. Doktor tanya macam mana boleh jadi macam tu? Saya jawab, "Dia pecahkan tingkap." Hairan doktor dengar jawapan saya. Lepas diberitahu yang Safiyyah adalah seorang autistik, barulah doktor mengangguk tanda faham.

Kami diminta buat X-ray bagi memastikan tiada serpihan kaca yang tertinggal. Usai X-ray, terus ke zon kuning semula dan menunggu giliran depan bilik prosedur untuk dijahit. Pukul 5 lebih, suami hubungi saya. Alhamdulillah dia dah sampai rumah. Hilanglah risau terhadap 3 beradik yang ditinggalkan. Saya minta suami tolong cuci sofa dan bersihkan betul-betul sekeliling kawasan berdekatan tingkap termasuk dalam kawasan bilik. 

Waktu menunggu giliran untuk dijahit agak lama. Safiyyah dah mula resah. Risau dia tantrum. Mujurlah dia sekadar menjerit sahaja, tidak lebih daripada itu. Sejam menunggu, barulah nama Safiyyah dipanggil. Mula-mula doktor bersihkan darah pada tangan Safiyyah. Dah bersihkan tu barulah perasan ada satu lagi luka tapi tak dalam dan tak perlu dijahit. Waktu ni pun Safiyyah agak marah sebab proses cuci agak lama.

Tiba masa untuk jahit, saya diminta doktor untuk pegang tangan kanan Safiyyah. Seorang doktor pegang tangan kirinya dan seorang lagi doktor ambil tugas menjahit. Baru nak mula jahit, Safiyyah meronta-ronta. Dia seram tengok peralatan menjahit yang dipegang doktor agaknya. Dengan saya sekali gerun...huhu. 5 jahitan jugalah Safiyyah kena.


Yang kena jahit satu bahagian sahaja yang bawah. Satu lagi tu tak perlu dijahit.


Tingkap tengah yang dah tak bercermin.


3 hari selepas dijahit, saya minta suami bawa Safiyyah ke klinik untuk periksa lukanya sebab saya nampak tangannya semakin bengkak dan plaster pun dipenuhi darah. Tak berani nak buka plaster sendiri. Kebetulan Raihannah perlu ke klinik untuk suntikan imunisasi darjah 1, jadi Safiyyah dibawa bersama. Doktor terus tanggalkan sahaja plaster dan sembur kawasan luka dengan cecair kalis air (spray dressing). 


Ini luka yang satu lagi.


Temujanji untuk buka jahitan.
Doktor di klinik tanya dah berapa hari dijahit? Saya jawab 14 hari.
"14 hari? Dah merah ni. Sepatutnya 7 hari dah buka dah."
Tapi doktor di hospital kata 14 hari. Hmm.


Selepas jahitan dibuka.


Gambar terkini. Hampir 2 minggu selepas jahitan dibuka.


Lepas kejadian ni, Safiyyah dah tak tepuk tingkap bilik tu lagi. Kalau tak, setiap hari ditepuknya. Memang selalu risau tingkap tu pecah sebab dia tepuk bukan acah-acah. Tepuk sekuat hati terutama waktu dia tantrum. Yang ditakuti akhirnya berlaku juga. Sekarang ni dia beralih pada kaca kabinet buku pula. Haih. Diberitahu cermin tu boleh pecah sebagaimana tingkap bilik tu, diketuk pula perlahan-lahan guna hujung jari. Maknanya dia faham tapi bila tengah tantrum, bukannya dia ingat. Alahai anak.

Harapnya ini kali terakhir berlaku kejadian macam ni. Tak sanggup nak lalui lagi. Moga Allah lindunginya setiap masa..ameen.



Tuesday, June 23, 2020

PKP: Terkandas di Kampung #2

Entry ni bukanlah sambungan PKP: Terkandas di Kampung sangat pun. Lebih kepada apa yang berlaku sepanjang kami terkandas selama hampir dua bulan di kampung.

Duduk di kampung selama itu, dua kali nampak babi hutan depan mata. Kali pertama, sikit je lagi haiwan tu nak masuk halaman rumah. Saya tengah main di luar rumah melayan anak dan anak-anak buah. Seorang anak buah yang berumur 7 tahun tiba-tiba bersuara, "Apa tu?"

Saya toleh ke arah yang dimaksudkan. "Babi hutan!" Semua terkejut. Masing-masing tengah ralit, memang tak sedar kehadiran 3 ekor babi hutan tu. Mujurlah lepas tu ketiga-tiga ekor tu terus lari masuk ke hutan semula.

Kali kedua, anak teruna saya yang perasan tapi waktu tu haiwan tu berada di hutan seberang jalan. Depan rumah mentua memang kawasan hutan. Selalu juga mok kata babi hutan rosakkan kebun. Ada sekali tu waktu senja terdengar riuh suara mok di luar (belakang rumah). Rupanya mok tengah halau babi hutan yang masuk kawasan kebun. Berani betul mok. Kalau menantu dia ni, mahunya lari masuk rumah..hihi.


Cari haiwan tersembunyi 😝


***

Vocab Kelate saya pun sah-sahlah bertambah. Hehe. Yang saya ingat, sayur teneh dan kacang mior. Bila mok sebut tu...alamak...sayur apa tu? Tak pernah dengar pula. Bila mok tunjuk, oooooohhhhh (baca dengan 6 harakat) tahulah saya sayur-sayur apa yang mok maksudkan. Sayur teneh tu petola. Kacang mior pula, bendi. Hehe...lain benar namanya dengan nama yang saya tahu selama ni.

***

Waktu terkandas itu jugalah saya ajar anak-anak tengok filem lama. Kebetulan satu malam tu Pendekar Bujang Lapok disiarkan. Mula-mula anak-anak tak berminat nak tengok. Yalah, filem hitam putih...manalah menarik perhatian. Ummi dengan papa tonton sambil tergelak-gelak, barulah mereka menunjukkan minat. "Cobaan...cobaan.." Bahagian inilah yang menjadi kegemaran anak-anak. Sampai sekarang pun mereka ingat bahagian tu. Kadang-kadang mereka siap lakonkan sekali babak cobaan tu 😁.

***

Anak-anak bergilir-gilir demam. Mula-mula Rania. Bangun tengah malam, dia beritahu yang dia demam. PCM tak ada, jadi saya hanya lapkan badannya dengan kain basah sahaja. Pagi esoknya nampak banyak biji-biji merah di badannya. Bawa ke klinik, dijangkiti cacar air (chicken pox) rupanya. Tak tahu berjangkit dari mana. Bukannya kami ada ke mana-mana pun. Antara adik-beradik, dia yang pertama dijangkiti cacar air. Yang lain setakat ni belum kena lagi.


Anak dara ni tak suka disapu calamine lotion. Kena pujuk berkali-kali dulu. Busuk katanya.


Kemudian, Raihannah dan Shakir pula demam. Alhamdulillah demam biasa je. Banyak berjemur tengah panas agaknya. Akhir sekali barulah Safiyyah. Safiyyah ni waktu demam tu dia beritahu yang telinganya sakit. Bawa ke klinik, doktor kata telinganya tak ada masalah. Tapi dah banyak hari demam tak kebah-kebah, papanya bawa ke klinik sekali lagi. Barulah perasan telinganya kena jangkitan. Patutlah tak kebah-kebah demamnya.  Alhamdulillah masing-masing sekali tu je la demam.

***

Dan, waktu terkandas ini jugalah Safiyyah dah pecahkan cermin kabinet..huhu. Saya di dapur ketika kejadian. Manakala suami dan mok tiada di rumah. Saya terdengar bunyi kaca berderai. Terus bergegas ke ruang tamu. Aduhai, cermin kabinet pecah rupanya. Sejak 2-3 tahun kebelakangan ni, Safiyyah memang suka tepuk cermin, meja, kabinet dan segala yang mengeluarkan bunyi. Kalau tengah marah, lagi kuatlah ditepuknya. Alhamdulillah jugalah tiada sebarang kecederaan pada Safiyyah. Mok balik, saya beritahu mok. "Dah sampai masanya tu," tenang sahaja mok jawab. Alangkah bagusnya kalau menantunya ni ada sifat reda dan kesabaran yang sama..huhu..



Monday, July 16, 2012

5 buah rumah pelajar Malaysia terbakar

Pagi tadi kami di US dikejutkan dengan berita kebakaran yang berlaku di Ames, Iowa. Lebih mengejutkan, kebakaran yang berlaku melibatkan blok kediaman beberapa orang pelajar Malaysia. Namun alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Saya mula tahu berita ni melalui seorang adik undergrad yang berada di Ames yang kebetulannya tinggal di blok bersebelahan dengan blok yang terbakar tu. Memang terkejut sangat. Besar ujian buat mereka di saat Ramadhan semakin menghampiri. 17 orang pelajar Malaysia hilang tempat tinggal dan harta benda. Keluarga mereka di Malaysia pasti tak senang duduk mendapat perkhabaran ni.


Gambar ni saya ambil dari Facebook adik undergrad berkenaan. Masa ni dah 6 jam kebakaran berlaku tapi api masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.


Berita selanjutnya boleh dibaca di pautan berikut:



Pada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian sama ada melalui salah satu cara berikut yang telah saya bold tulisannya:



Ahad, Julai 15 : Kebakaran telah berlaku di salah satu kawasan perumahan di Iowa State University bermula jam 5.30 pagi sehingga 1 petang. Sebanyak 5 buah rumah pelajar Malaysia terlibat dalam kebakaran itu dan menyebabkan 17 pelajar Malaysia kehilangan tempat tinggal, harta benda, dan barang-barang berharga.

Semoga kita semua dapat sama-sama membantu meringankan beban rakan rakan kita. Sumbangan kepada mereka boleh dihulurkan kepada tabung bancana MISG melalui paypal wan.khalil.ahmad@gmail.com. Sila tinggalkan nota, Tabung Bencana MISG.

Alternatif lain adalah dengan menghantar cek (payable to Wan Khalil Ahmad) ke alamat dibawah:
Tabung Bencana MISG
Attn: Wan Khalil Ahmad
184 Legion Lane,
State College, PA 16801

Kepada mereka yang berada di Malayia, wang sumbangan kepada Tabung Bencana MISG boleh disalurkan melalui akaun bank CIMB-Islamic Wan Khalil Wan Ahmad, no akaun: 12370000201201. Sila hantarkan email kepada wan.khalil.ahmad@gmail.com untuk memudahkan urusan penyimpanan rekod.

Semoga Allah mengganjari usaha kecil kita ini. Ameen. [sumber: MISG]



Nota: Doakan agar urusan kesemua pelajar yang terlibat dipermudahkan oleh Allah ye.

Thursday, June 7, 2012

Melecur: Keadaan tangan Shakir

Saya terlupa je nak update tentang keadaan tangan Shakir. Ada yang bertanya tangan Shakir dah sembuh atau belum. Terima kasih banyak atas keprihatinan kalian :). Alhamdulillah, tangan Shakir dah pun sembuh sepenuhnya lepas melecur lebih kurang sebulan yang lalu. Satu lagi perkara baik, Shakir dah tak perlu bertemu pakar lagi dah :).


16 Mei 2012
Kami bertemu pakar buat kali kedua.

Sementara menunggu giliran bertemu pakar


Lepas tengok tangan Shakir, pakar tu puji saya. "You did a good job". Dia tak tahu setiap kali nak cuci tangan Shakir tu perut saya jadi senak. Huhu. Kali ni pun pakar cuci juga tangan Shakir. Menangis lagi Shakir. Huhu. Kalau saya yang cucikan, Shakir tak pernah menangis. Mungkin pakar tu gosok kuat agaknya.

"Yes, I know, I know. I know I mean. I know you don't wanna see me again". Hihi..tergelak saya dengar ayat pakar ni. Masa tu dia tengah cuci tangan Shakir. Shakir menangis sikit tapi dalam masa yang sama dia tenung pakar tu. Tu yang pakar tu cakap macam tu dengan Shakir ^_^.

Pakar masih suruh saya ulangi rutin yang sama pada tangan Shakir cuma kali ni dia pesan supaya gosok dengan lebih kuat supaya kulit lapisan atas tertanggal sepenuhnya. Perlu berjumpa dalam tempoh seminggu lagi untuk tengok perkembangan selanjutnya.


23 Mei 2012
Bertemu pakar lagi buat kali yang ketiga. Tersenyum lebar pakar tengok keadaan tangan Shakir. Kali ni pakar tak perlu buat apa-apa dah. Dia hanya ambil gambar tangan Shakir je. Masa jumpa kali pertama pun dia ada ambil gambar tangan Shakir. Mungkin untuk rekod agaknya. Shakir tengok pakar tu terus dia takut. Mula bunyi dia macam nak menangis padahal sebelum tu dia ok je. Ingat sungguh dia muka pakar tu.

Alhamdulillah saya dah tak perlu cuci tangan Shakir dah. Lega! Sepanjang 2 minggu ni, hanya sekali je suami saya cucikan tangan Shakir. Dia tak sanggup nak buat. Ngeri katanya. Dia yang lelaki pun rasa ngeri...saya apatah lagi. Huhu. Nak tak nak kena buat juga la. Itu pun saya paksa juga dia buat supaya dia tahu macam mana saya rasa tiap kali nak cuci tangan Shakir :p.

Tangan Shakir juga dah tak perlu disapu krim aitibiotik lagi. Juga tak perlu dibalut. Pakar cuma suruh sapukan losyen di bahagian yang melecur tu dan disuruh sapu sunblock kalau nak keluar rumah. Yang paling penting, dah tak perlu jumpa pakar tu lagi. Alhamdulillah :)

Kata pakar, sekurang-kurangnya 6 bulan diperlukan untuk kulit tu menjadi seperti keadaan asal




Tuesday, May 15, 2012

Insiden tangan Shakir melecur

Masih ingat keadaan tangan Shakir yang melecur dalam entri WW: Melecur? Dalam entri tu saya tak cerita pun apa yang berlaku. Dah nama pun Wordless Wednesday ^_^. Tangan Shakir melecur terkena seterika panas. Insiden tu berlaku pada hari Sabtu (5 Mei 2012).

Saya dah selesai menggosok baju masa tu. Saya letak seterika tu di tempat biasa yang saya letak (Shakir jarang main di situ) dan terus ke bilik sebelah. Waktu tu Shakir tak ada di bilik tempat saya menggosok tu. Tak lama lepas tu tiba-tiba dengar Shakir menangis. Bunyi dia menangis tu macam sakit. Tengok-tengok tangan Shakir dah melecur :(.

Terketar-ketar saya masa tu. Dah la panik tak tahu nak buat apa. Sudahnya saya ikut je naluri saya. Saya dukung Shakir dan terus bawa Shakir ke bilik air. Saya alirkan air paip yang sejuk di tangan Shakir. Alhamdulillah, Shakir terus berhenti menangis. Dalam masa yang sama, saya risau kalau tindakan saya tu salah dan mengakibatkan tangan Shakir jadi lebih teruk. Huhu..

Lepas tu saya cari maklumat pasal kulit terbakar. Mujur cara saya tu betul. Alhamdulillah. Lega la sikit perasaan saya masa tu tapi mungkin saya alirkan air tu dalam tempoh yang sekejap, bahagian yang melecur tu jadi gelembung macam dalam gambar di entri WW: Melecur.

Suami saya bawa Shakir ke hospital melalui emergency room. Hari Sabtu hanya emergency room je yang dibuka. Saya tak ikut sekali. Balik dari hospital, tengok-tengok tangan Shakir berbalut. Doktor suruh buat appointment hari Isnin untuk jumpa pakar kulit.

Keesokan harinya gelembung di tangan Shakir tu pecah. Satu tu pecah dengan sendirinya. Satu lagi tu terpecah. Shakir terjatuh masa tengah main, terkena bahagian gelembung tu.


9 Mei 2012 (Rabu)


Kami ke hospital, jumpa pakar kulit. Doktor cuci bahagian melecur tu. Sebelum tu doktor bagitau mungkin akan berdarah dan sakit sikit bila dicuci dan Shakir mungkin menangis. Dengar macam tu terus bergenang air mata saya. Dah la tu doktor macam tahu-tahu je yang saya nak menangis. Dia cakap saya kena kuat. Tak boleh menangis dan tak boleh tunjuk rasa takut pada Shakir. Lagipun saya kena buat prosedur yang sama bila dah balik rumah nanti. Huhu. Masa tu punya la saya tahan air mata daripada mengalir. Tak nak bagi doktor perasan. Eh, ke sebenarnya dia memang perasan air mata saya dah bergenang? :p

Shakir duduk di pangkuan saya masa doktor cuci tu. Saya hanya pegang tangan Shakir tapi kalih kepala tempat lain. Saya memang tak sanggup nak tengok masa doktor cuci tangan Shakir. Ngeri. Menangis Shakir bila doktor cuci tangannya tu. Huhu...kesian Shakir. Berdarah tangan dia. Nasib baik la sekejap je dia menangis.

Setiap hari bahagian melecur tu perlu dicuci 2 kali sehari. Ya Allah...tak sanggup nak buat! Saya hanya gosok perlahan-lahan je. Tak tergamak nak gosok kuat sikit macam doktor ajar. Terasa macam daging sendiri disiat-siat tiap kali saya cuci tangan Shakir tu. Huhu. 2-3 hari lepas baru saya beranikan diri cuci tangan Shakir ikut cara doktor. Shakir tenang je...macam tak sakit pun. Saya yang terasa ngilu.

Keadaan tangan Shakir yang terkini


Esok insyaAllah akan ke hospital lagi, temujanji kali kedua dengan pakar. Tengok la apa doktor nak kata nanti. Sejak tangan Shakir melecur, hanya 2 kali je Shakir menangis kesakitan. Kali pertama; sebaik sahaja tangannya melecur dan kali kedua; sewaktu doktor pakar cuci tangannya tu. Tengok Shakir kuat, saya pun turut rasa kuat juga. Kalau tak, mahunya sama-sama menangis dengan dia...huhu..


Nota: Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik!


Wednesday, May 9, 2012

WW: Melecur

:(




Nota: Nanti saya cerita kemudian, insyaAllah

Tuesday, November 2, 2010

Insiden Safiyyah hampir hilang

Ingatnya malas nak cerita pasal insiden Safiyyah hampir hilang. Tapi disebabkan ada yang bertanya, saya cerita la kat entry ni..

Insiden berlaku 11 Oktober lepas. Masa tu kami 3 beranak keluar..ke kedai nak cari baju sejuk untuk Safiyyah. Biasanya kalau kami ke kedai tu memang kami lepaskan dia sebabnya pintu kedai tu sentiasa tertutup, kecik aje pun kedai tu...dalam 2 lot kedai dan setingkat je. Dan selalunya mata salah seorang daripada kami takkan terlepas daripada kelibat Safiyyah.

Entah macam mana hari tu lain pulak yang jadi. Sebelum tu suami saya dukung Safiyyah sebab saya tengah pilih baju yang sesuai untuk Safiyyah. Dalam pada tu saya minta suami saya ambilkan sehelai jaket toddler kat rak berdekatan dengan dia. Dia turunkan la sekejap Safiyyah. Safiyyah masa tu pun sibuk belek-belek baju kat rak rendah yang dekat dengan dia. Saya kalih sekejap mata ke tempat lain. Baru beberapa saat mata saya terlepas daripada dia, lesap dah dia! Saya ingat Safiyyah ada dengan papa dia. Rupanya takde!

Jenuh kami cari dia dalam kedai tu! Tahu je la kan...Safiyyah kenit je orangnya...kat situ pulak penuh dengan rak baju...susah la nak cari dia. Tertunduk, terjengket-jengket kami cari dia. Cari punya cari tak jumpa jugak. Aduhai...rasa nak luruh jantung masa tu! Kebetulan masa tu suami saya terperasan yang pintu kedai ternganga luas...dia cari pulak Safiyyah kat luar. Dah di luar kedai rupanya Safiyyah! Tu pun kata suami saya Safiyyah tengah ralit tengok orang potong rumput. Alhamdulillah, mujur juga la ada benda yang buat dia ralit. Kalau tak..entah ke mana-mana entah agaknya dia dah pergi.

Safiyyah memang tak takut orang kalau kat luar. Dah la laju je berjalan (lebih banyak berlari pun)...tu yang cepat je dia 'hilang' tu. Dah jumpa tu, memang suami saya tak lepaskan dah Safiyyah. Mengamuk-ngamuk dan meronta-ronta la Safiyyah sebab tak dapat lepas bebas tapi kami buat tak layan je. Orang nak kata apa masa tu pun biar je la. Risau kalau dia 'hilang' lagi.

Sebelum ni dia takut juga berada jauh daripada kami. Sekarang ni...hmm..tak heran langsung dah. Perasan dah besar sangat agaknya. Lepas tu kami decide beli harness untuk Safiyyah. Mak saya pun suruh beli cepat-cepat harness tu. Masa tu jugak la baru saya tahu cerita yang adik saya pernah hampir-hampir hilang juga masa dia kecik-kecik dulu. Lebih kurang baya Safiyyah pun masa tu dia. Kat kedai juga la berlakunya.

Mak saya cerita adik saya duk menyorok masa tu. Jenuh mak saya pusing-pusing cari dia. Rupanya ada sorang cashier tu nampak adik saya menyorok...dia gelak-gelak je, tak bagitau pun mak saya. Adeh, sabar je la. Pastu baru mak saya jumpa adik saya. Terkekek-kekek dia gelak kata mak saya. Mak saya punya la risau...dia gelak-gelak pulak :p. Budak kan...mana dia tahu. Dia tahu seronok dan nak main je la. Sejak daripada tu mak saya tak bawak dah adik saya gi kedai. Sekejap pun dia tak nak bawak.

Tu yang mak saya suruh beli dan pakaikan Safiyyah harness tu. Dia dah pernah lalui situasi yang sama dan faham sangat macam mana perasaannya bila anak tiba-tiba 'lesap' daripada pandangan mata. Zaman sekarang ni lagi la kan...jenayah berleluasa. Lagi la risau kalau anak hilang. Na'uzubillah...mudah-mudahan dijauhkan hendaknya perkara-perkara yang tak diingini berlaku..


Si kenit yang perasan diri dia dah besar sangat -_-"