Pages

Showing posts with label PKP. Show all posts
Showing posts with label PKP. Show all posts

Monday, November 9, 2020

Bujang Lapok

 "Ummi! Ummi! Ada cerita Ali Baba Bujang Lapok!" Bukan main bersemangat lagi anak ketiga bersuara sebaik sahaja masuk ke bilik ummi malam tadi.

"A'ah ummi, dekat TV2." Sambung abangnya pula dan terus meluru ke depan kaca TV semula.

Teruja betul masing-masing beritahu ummi padahal dari dalam bilik lagi ummi dah dengar riuh mulut masing-masing sebut Ali Baba Bujang Lapok.

Kelakar pun ada.

Mana taknya. Dulu ummi ajak tengok salah satu cerita lagenda ni masing-masing buat muka. Hitam putihlah katakan. Manalah menarik perhatian anak-anak bertuah. 

Sewaktu terkandas di kampung ketika PKP bulan Mac lepas,  kebetulan satu malam tu ditayangkan cerita Pendekar Bujang Lapok.

Menggunakan kuasa veto, ummi 'paksa' anak-anak tengok Pendekar Bujang Lapok. Kelat muka masing-masing. Tapi tak boleh nak buat apa sebab remote TV di tangan ummi 😆.

"Tengok dulu. Best cerita ni walaupun warnanya tak menarik." Percubaan ummi memujuk.

"Papa pun suka cerita ni. Best. Kelakar", tambah papa mereka.

Tiada pilihan, tiga beradik terpaksa juga akur tengok cerita hitam putih tu. 

Lepas beberapa ketika, mereka pun jadi seronok sama tengok Pendekar Bujang Lapok. Mengekek masing-masing. 

Babak yang paling disukai, pastilah babak pendekar bertiga tu pergi bertapa.

"Cobaan..."

"Cobaan..."

"Cobaan..."

Berpuluh kali anak-anak bertuah ulang ayat tu 😂.

Itu yang masing-masing teruja bila ada cerita Ali Baba Bujang Lapok malam tadi. Berdekah-dekah tiga beradik tu ketawa.

Misi ummi selesai dengan jayanya 😁.


Tuesday, June 23, 2020

PKP: Terkandas di Kampung #2

Entry ni bukanlah sambungan PKP: Terkandas di Kampung sangat pun. Lebih kepada apa yang berlaku sepanjang kami terkandas selama hampir dua bulan di kampung.

Duduk di kampung selama itu, dua kali nampak babi hutan depan mata. Kali pertama, sikit je lagi haiwan tu nak masuk halaman rumah. Saya tengah main di luar rumah melayan anak dan anak-anak buah. Seorang anak buah yang berumur 7 tahun tiba-tiba bersuara, "Apa tu?"

Saya toleh ke arah yang dimaksudkan. "Babi hutan!" Semua terkejut. Masing-masing tengah ralit, memang tak sedar kehadiran 3 ekor babi hutan tu. Mujurlah lepas tu ketiga-tiga ekor tu terus lari masuk ke hutan semula.

Kali kedua, anak teruna saya yang perasan tapi waktu tu haiwan tu berada di hutan seberang jalan. Depan rumah mentua memang kawasan hutan. Selalu juga mok kata babi hutan rosakkan kebun. Ada sekali tu waktu senja terdengar riuh suara mok di luar (belakang rumah). Rupanya mok tengah halau babi hutan yang masuk kawasan kebun. Berani betul mok. Kalau menantu dia ni, mahunya lari masuk rumah..hihi.


Cari haiwan tersembunyi 😝


***

Vocab Kelate saya pun sah-sahlah bertambah. Hehe. Yang saya ingat, sayur teneh dan kacang mior. Bila mok sebut tu...alamak...sayur apa tu? Tak pernah dengar pula. Bila mok tunjuk, oooooohhhhh (baca dengan 6 harakat) tahulah saya sayur-sayur apa yang mok maksudkan. Sayur teneh tu petola. Kacang mior pula, bendi. Hehe...lain benar namanya dengan nama yang saya tahu selama ni.

***

Waktu terkandas itu jugalah saya ajar anak-anak tengok filem lama. Kebetulan satu malam tu Pendekar Bujang Lapok disiarkan. Mula-mula anak-anak tak berminat nak tengok. Yalah, filem hitam putih...manalah menarik perhatian. Ummi dengan papa tonton sambil tergelak-gelak, barulah mereka menunjukkan minat. "Cobaan...cobaan.." Bahagian inilah yang menjadi kegemaran anak-anak. Sampai sekarang pun mereka ingat bahagian tu. Kadang-kadang mereka siap lakonkan sekali babak cobaan tu 😁.

***

Anak-anak bergilir-gilir demam. Mula-mula Rania. Bangun tengah malam, dia beritahu yang dia demam. PCM tak ada, jadi saya hanya lapkan badannya dengan kain basah sahaja. Pagi esoknya nampak banyak biji-biji merah di badannya. Bawa ke klinik, dijangkiti cacar air (chicken pox) rupanya. Tak tahu berjangkit dari mana. Bukannya kami ada ke mana-mana pun. Antara adik-beradik, dia yang pertama dijangkiti cacar air. Yang lain setakat ni belum kena lagi.


Anak dara ni tak suka disapu calamine lotion. Kena pujuk berkali-kali dulu. Busuk katanya.


Kemudian, Raihannah dan Shakir pula demam. Alhamdulillah demam biasa je. Banyak berjemur tengah panas agaknya. Akhir sekali barulah Safiyyah. Safiyyah ni waktu demam tu dia beritahu yang telinganya sakit. Bawa ke klinik, doktor kata telinganya tak ada masalah. Tapi dah banyak hari demam tak kebah-kebah, papanya bawa ke klinik sekali lagi. Barulah perasan telinganya kena jangkitan. Patutlah tak kebah-kebah demamnya.  Alhamdulillah masing-masing sekali tu je la demam.

***

Dan, waktu terkandas ini jugalah Safiyyah dah pecahkan cermin kabinet..huhu. Saya di dapur ketika kejadian. Manakala suami dan mok tiada di rumah. Saya terdengar bunyi kaca berderai. Terus bergegas ke ruang tamu. Aduhai, cermin kabinet pecah rupanya. Sejak 2-3 tahun kebelakangan ni, Safiyyah memang suka tepuk cermin, meja, kabinet dan segala yang mengeluarkan bunyi. Kalau tengah marah, lagi kuatlah ditepuknya. Alhamdulillah jugalah tiada sebarang kecederaan pada Safiyyah. Mok balik, saya beritahu mok. "Dah sampai masanya tu," tenang sahaja mok jawab. Alangkah bagusnya kalau menantunya ni ada sifat reda dan kesabaran yang sama..huhu..



Monday, June 15, 2020

PKP: Terkandas di Kampung

Lumrah setiap kali cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Rumah mentua saya. Itu pun bukan setiap cuti sekolah dapat pulang ke sana. Jika suami ada urusan yang tak boleh ditangguh, maka duduk di rumah sahajalah jawabnya. Anak-anak kalau dapat tahu yang kami tak dapat balik kampung, masam mencukalah muka mereka.

Alhamdulillah bulan Mac lepas sempena cuti pertengahan penggal pertama persekolahan, Allah beri ruang pada kami untuk pulang ke kampung. Pagi Sabtu 14 Mac 2020, kami mulakan perjalanan ke Kelantan. Sampai sana dalam pukul 2 petang kalau tak silap. Waktu tu yang ada di rumah hanyalah Wan (bapa mentua saya) dan seorang anak buah. Mok (mak mentua) keluar dengan adik ipar sekeluarga.

Anak-anak seperti biasalah gembira dapat jejakkan kaki di kampung. Lebar senyuman masing-masing. Kalau ada sepupu-sepapat, lagilah berganda keseronokan mereka. Ummi dengan papa pun macam tak wujud bila berada di kampung 😏. Tapi aman sikit sebenarnya. Anak-anak kurang sikit buat perangai.  Kurang jugalah sakit kepala ummi..hehe.

Pagi Isnin dah siap-siap berkemas nak pulang ke Kuala Lumpur semula. Tak dapat nak berlama-lama sebab suami ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Dapat balik sekejap pun dah satu rahmat dah. Sebelum bertolak balik, suami ke hospital. Dah dua hari pening kepalanya tak hilang. Nak bernafas pun agak kurang selesa.  Bimbang dijangkiti COVID-19 je masa tu.

Suami balik dari hospital dalam pukul 2 petang. Alhamdulillah, doktor kata bukan disebabkan COVID-19. Tak lama lepas tu pula suami dapat panggilan yang memaklumkan urusan yang patut diselesaikan segera tu terpaksa ditunda akibat penularan COVID-19. Makanya suami buat keputusan untuk bermalam di kampung untuk beberapa hari lagi. Anak-anak dapat tahu je terus bersorak.

Tak disangka pula pada 16 Mac tu Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Susulan tu suami rancang nak mohon permit di balai polis untuk pulang ke KL pada hari Khamis tapi tak jadi akhirnya sebab anak-anak belum nak balik rumah. Hmmm...kalau dah 
balik kampung, tak ingat rumah dah ya, anak-anak? Akibat menangguh-nangguh, akhirnya terkandaslah kami di sana selepas pengumuman baru larangan rentas negeri dikuatkuasa.

Saya berlapang dada je masa tu. Lagipun, waktu tu hanya tinggal kami sekeluarga je di kampung bersama mentua. Ipar-duai yang lain dah selamat balik ke rumah masing-masing.  Makna kata, tak perlulah saya tutup aurat sepanjang masa di sana. Rezeki juga tu. Hehe.

Itulah kisahnya bagaimana kami terkandas di kampung. Asalnya nak balik ke kampung 3 hari sahaja. Sudahnya, hampir 2 bulan kami berada di sana. Lebih tepat lagi, genap 55 malam di sana. Pecah satu rekod...hehe. Betullah, kita ni hanya mampu merancang, yang tentukan hanyalah Allah.

Alhamdulillah, awal Mei kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri bagi yang terkandas di kampung.  Giliran dari Kelantan adalah pada 8 Mei. Serba-salah masa tu untuk buat keputusan. Separuh hati rasa nak balik, separuh lagi kata jangan balik. Kalau balik, kesian pula mok dan wan. Hampir 2 bulan rumah tu riuh-rendah dengan suara anak-anak. Tiba-tiba jadi sunyi-sepi. Raya pun dah tak lama lagi. Tapi kalau tak balik, susah anak-anak nak buat kerja sekolah. Nak dapat kebenaran rentas negeri lagi entah bila pula. Berat hati, kami buat keputusan untuk balik juga.

Saya paling tak suka jadi yang terakhir tinggalkan kampung. Tak sanggup tengok wajah sedih mok. Air mata mok. Hari nak balik tu mujurlah keluarga kakak ipar ada di sana. Kurang sikitlah sedih mok tapi tetap juga air mata mok menitik 😭....




Sunday, June 7, 2020

Dari PKPB ke PKPP

Semalam Perdana Menteri dah umumkan peralihan daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini kepada fasa pemulihan (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan - PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. Lebih banyak sektor akan dibuka sepanjang PKPP nanti.

Yang paling menggembirakan ramai orang pastilah kebenaran merentas negeri yang bermula Rabu ini. Bukan main seronok lagi masing-masing dengar pengumuman tersebut. Jadi terhibur baca status Facebook masing-masing 😂. Rata-rata yang saya baca, semuanya tak sabar nak balik kampung berjumpa mak ayah dan adik-beradik. Yalah, berbulan-bulan tak dapat balik ke kampung, pastilah rindu sarat di dada.

Saya pun turut tumpang gembira walaupun rentas negeri tidak memberi kesan besar buat kami sekeluarga. PKP atau tidak, memang tak ke mana-mana pun. Paling tinggi pun balik ke rumah mentua. Itu pun bukannya setiap bulan boleh balik..hehe.
 
Doa saya, yang berhajat mahu pulang ke kampung dilindungi Allah sepanjang perjalanan dan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Amalkan kebersihan diri dan patuhi segala SOP yang telah ditetapkan. Mudah-mudahan wabak COVID-19 ini segera berlalu pergi..ameen.