Pages

Monday, July 6, 2020

Ujian Kita Berbeza-beza

Saya ini di luar tidaklah banyak bercakap. Jenis pendiam. Gelaran 'berat mulut' tu sejak kecil lagi dah terima. Mulut banyak emas, kata orang lain pula. Tak kisah pun sebab memang begitulah sifat diri. Dengan orang tertentu sahaja boleh bercakap banyak. Dalam pendiam saya, saya suka memerhati. Perhati keliling, perhati gelagat orang. Banyak perkara saya belajar melalui pemerhatian.

Makin lama makin saya sedar yang ujian setiap orang itu berbeza-beza. Sesuailah dengan tahap kemampuan setiap individu. Saat diri sendiri diuji, dirasakan itulah ujian paling berat di dunia. Hakikatnya, ujian orang lain lagi berganda beratnya. Tak terbanding pun dengan ujian sendiri.

Ada orang, diuji dengan kematian pasangan. Benar, mati itu pasti tapi pemergian dalam keadaan mengejut, yang tak disangka, pasti luluh hati. Lemah longlai tubuh dibuatnya.

Ada orang, diuji dengan ketiadaan zuriat. Berbelas tahun mencuba, berbelas tahun tak berhenti mengharap. Namun, masih belum direzekikan memiliki zuriat sendiri.

Ada orang yang masih belum bertemu jodoh sehingga usia sudah semakin menginjak sedangkan rakan-rakan sebaya sudah punya anak berderet.

Ada orang, diuji dengan penyakit. Penyakit yang bukan calang-calang. Ada yang kena kanser. Ada yang kena strok. Allah. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ada orang, diuji memiliki anak istimewa lebih daripada seorang. Lebih berat lagi, anak-anak itu tidak mampu menguruskan diri sendiri. Serba-serbi perlu dibantu.

Ada orang pula diuji dengan pemergian anak yang disayangi buat selama-lamanya. Siapa sangka, anak yang diharap doanya dan diharap mengurus jenazah ibu bapa, ditakdirkan pergi dahulu. Benarlah, mati itu tidak mengenal usia.

Luaran, kita nampak ketenangan di wajah mereka. Dalam hati, siapa yang tahu? Saat kita diuji, pandanglah sekeliling. Pasti kita akan sedar betapa ujian yang dikirim Allah buat kita tidaklah sebesar mana. Boleh jadi, ujian itu adalah sebagai penghapus dosa. Boleh jadi juga, Allah mahu menaikkan darjat kita sebagai hambaNya jika kita bersabar dan reda dengan ujian tersebut.

Moga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi segala ujian yang diterima.


1 comments:

Gravity Pope said...

Thanks for this blog poost