Isu bodoh-bodoh ni sangat hangat diperkatakan pengguna Facebook beberapa hari lepas. Malah hingga saat ini, masih ada yang mengulas isu yang sama. Di platform lain seperti Twitter ada juga dibincangkan tapi tidak serancak di FB. Ramai sangat yang ulas isu ini. Ada yang bersetuju, tidak kurang juga yang membantah isu yang diperkatakan.
Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri. Saya ambil masa untuk baca hampir setiap ulasan yang lalu di timeline FB saya. Kebanyakan yang bersetuju, memahami isu dalam konteks sebagai seorang isteri. Saya kira, bab isteri buat-buat bodoh (baca: merendah diri) di hadapan suami, semua terima dengan sebulat suara.
Isu yang ramai naik angin berkaitan hal ini, ada dua perkara (setakat fahaman saya dengan ulasan yang ditulis ramai).
Pertama, isu jodoh itu sendiri. Isu jodoh sedari dulu adalah isu yang amat sensitif bagi rakyat Malaysia khususnya yang berbangsa Melayu. Saya ada ramai kawan yang usianya hampir sebaya dengan saya yang masih belum bertemu jodoh. Nak membicarakan bab jodoh, kena fikir beribu kali. Bimbang ada hati yang terluka tanpa saya sedar.
Satu yang kita kena ingat, urusan jodoh ni bukan urusan kita. Ia adalah urusan Pencipta kita secara mutlak. Kita hanya mampu berusaha sahaja. Selebihnya adalah urusan Yang Maha Esa. Persoalan jodoh ni sangat misteri. Tak ada kaitan dengan kerjaya seseorang, tiada kaitan dengan kepandaian seseorang, tiada kaitan dengan keelokan paras rupa seseorang, juga tiada kaitan dengan kelembutan sifat seorang wanita.
Dulu-dulu, orang tua-tua ada pesan...perempuan jangan belajar tinggi-tinggi, jangan jadi doktor, nanti susah dapat jodoh. Andai ini benar, saya kira hampir semua yang berkerjaya hebat masih belum berumahtangga. Tapi cuba kita tengok sekeliling. Ramai sahaja daripada mereka yang sudah mendirikan rumahtangga dan beranak-pinak.
Nak kata hanya yang cantik persis model sahaja senang dapat jodoh pun tak juga. Berapa ramai yang miliki wajah yang cantik tapi jodohnya lambat tiba. Wanita lemah-lembut lebih senang dapat jodoh? Ini pun boleh disangkal. Ada sahaja wanita yang kasar sifatnya tapi cepat juga berkahwin. Pendek kata, jodoh tiada kaitan dengan semua perkara yang kita fikirkan.
Kedua, isu menjadikan diri sendiri bodoh-bodoh supaya senang dapat jodoh. Inilah isu yang buatkan ramai melenting. Saya juga turut tak bersetuju membodohkan diri di hadapan lelaki hanya semata-mata untuk dapat jodoh. Apa perlunya berpura-pura? Selama mana mampu kita bertahan dalam hidup kepura-puraan? Lambat-laun akan terbongkar jua.
Andai seseorang itu ikhlas, pasti dia boleh terima baik buruk kita. Pasti dia boleh terima segala kekurangan dan kelebihan diri kita. Jadi, tak perlulah merendah-rendahkan diri sendiri semata-mata untuk dapat jodoh. Jadilah diri sendiri kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.
0 comments:
Post a Comment