Pages

Friday, June 19, 2020

Kek Marble

Petang semalam saya buat kek marble. Projek yang tertangguh sebenarnya ni. Raya hari tu saya dah buat sebiji kek marble untuk dibawa ke rumah adik ipar. Tapi yang itu tak ingat nak ambil gambar. Disebabkan tak puas hati dengan tekstur kek tu, saya rancang nak buat sekali lagi kek marble guna resipi berlainan. Boleh juga dikongsi dengan jiran-jiran. Beberapa hari tertangguh, akhirnya jadi jugalah dibuat semalam.

Kali ni saya berpuas hati dengan tekstur keknya. Gebu dan lembap. Cuma pada saya, rasa kek ni agak manis. Mungkin disebabkan saya tak guna serbuk koko seperti yang tercatat dalam resipi berkenaan. Lain kali kena kurangkan sedikit sukatan susu pekat tu.

Menurut Puan Azie, ada dua kaedah untuk buat kek marble ni. Kaedah pertama kena asingkan telur putih dan kuning. Kaedah kedua sama caranya macam buat kek biasa. Pendek kata, lebih mudah. Pastinya saya pilih kaedah yang lebih mudah..hehe. Kalau nak tengok kaedah pertama tu, rujuk blog Puan Azie ya. Di sini saya catat kaedah kedua. Senang untuk rujukan sendiri.


Separuh kek dibahagi kepada jiran-jiran. Separuh bahagian lagi jadi habuan kami anak-beranak.


Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
8 oz/227 gm mentega
6 oz/170 gm tepung gandum
6 oz/170 gm gula kaster
5 biji telur
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
3-4 sudu besar serbuk koko -diayak (guna coklat emulco) - saya ganti dengan pewarna makanan sahaja


Cara cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan ovalette, susu pekat dan esen vanila. Pukul rata.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji ke dalam adunan dan pukul lagi hingga rata.
  4. Akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul hingga adunan sebati.
  5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan masukkan warna atau emulco pilihan anda.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci secara selang seli dimulai dengan adunan asal. Lorek dengan menggunakan chopstick.
  7. Bakar pada suhu 180C selama 45 minit atau sehingga masak. Saya guna suhu 170C selama 50 minit. 


Ini rupa bawah kek. Macam corak bola..hehe..


Selamat mencuba!



Tuesday, June 16, 2020

Tulisan Siapa Ni?

Dalam beberapa minggu ni saya dalam proses mengemas stor dan barang-barang lama. Ambil masa nak selesaikan sebab saya hanya peruntukkan selama satu ke dua jam sahaja mengemas selepas Subuh. Itu pun bukan setiap hari. Ikut tahap kerajinan juga. Satu lagi sebab, sambil mengemas sambil belek-belek, sambil mengenang memori lalu. Itu yang tak sudah-sudah lagi mengemasnya 😁.

Pagi semalam saya kemas buku-buku lama sejak zaman sekolah lagi. Jumpa buku tulis tingkatan 1. Saya buka secara rawak nak tengok isi di dalamnya. Pelik. Tulisan siapa pula ni? Tengok muka depan, memang nama saya tapi tulisan di dalamnya tak familiar pula. Saya belek-belek lagi. Dari satu muka surat ke muka surat seterusnya.

Ya ampun...tulisan sendiri rupanya! Sungguhlah tak kenal tulisan sendiri. Tak ingat pula tulisan pernah besar suatu masa dahulu. Ingatkan tulisan memang sedia kecil sejak sekolah rendah..hehe. Saya tengok pula buku tingkatan 3. Kecil sedikit saiznya berbanding tulisan tingkatan 1. Tingkatan 5, kurang lagi saiznya. Masuk matrikulasi, sehalus-halus tulisan jadinya! Macam manalah agaknya pensyarah mengadap tulisan bersaiz halus gitu? Stres gamaknya 😂.


 
Inilah tulisan yang diri sendiri tak kenal tu.
Besar dan bulat-bulat...macam tulisan budak-budak..hehe..


Tulisan sewaktu tingkatan 3.


Ini pula dari buku tingkatan 5. Nak buat tulisan sambung kononnya tapi tak jadi..haha..


Ini ketika di matrikulasi. Awatlah pi tulis halus gitu, Nadiah? Isy, isy...naya ke pensyarah je.


Macam-macam jenis dan saiz tulisan boleh jumpa. Itu yang boleh tak kenal tulisan sendiri tu..hihi..



Monday, June 15, 2020

PKP: Terkandas di Kampung

Lumrah setiap kali cuti sekolah, kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Rumah mentua saya. Itu pun bukan setiap cuti sekolah dapat pulang ke sana. Jika suami ada urusan yang tak boleh ditangguh, maka duduk di rumah sahajalah jawabnya. Anak-anak kalau dapat tahu yang kami tak dapat balik kampung, masam mencukalah muka mereka.

Alhamdulillah bulan Mac lepas sempena cuti pertengahan penggal pertama persekolahan, Allah beri ruang pada kami untuk pulang ke kampung. Pagi Sabtu 14 Mac 2020, kami mulakan perjalanan ke Kelantan. Sampai sana dalam pukul 2 petang kalau tak silap. Waktu tu yang ada di rumah hanyalah Wan (bapa mentua saya) dan seorang anak buah. Mok (mak mentua) keluar dengan adik ipar sekeluarga.

Anak-anak seperti biasalah gembira dapat jejakkan kaki di kampung. Lebar senyuman masing-masing. Kalau ada sepupu-sepapat, lagilah berganda keseronokan mereka. Ummi dengan papa pun macam tak wujud bila berada di kampung 😏. Tapi aman sikit sebenarnya. Anak-anak kurang sikit buat perangai.  Kurang jugalah sakit kepala ummi..hehe.

Pagi Isnin dah siap-siap berkemas nak pulang ke Kuala Lumpur semula. Tak dapat nak berlama-lama sebab suami ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Dapat balik sekejap pun dah satu rahmat dah. Sebelum bertolak balik, suami ke hospital. Dah dua hari pening kepalanya tak hilang. Nak bernafas pun agak kurang selesa.  Bimbang dijangkiti COVID-19 je masa tu.

Suami balik dari hospital dalam pukul 2 petang. Alhamdulillah, doktor kata bukan disebabkan COVID-19. Tak lama lepas tu pula suami dapat panggilan yang memaklumkan urusan yang patut diselesaikan segera tu terpaksa ditunda akibat penularan COVID-19. Makanya suami buat keputusan untuk bermalam di kampung untuk beberapa hari lagi. Anak-anak dapat tahu je terus bersorak.

Tak disangka pula pada 16 Mac tu Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Susulan tu suami rancang nak mohon permit di balai polis untuk pulang ke KL pada hari Khamis tapi tak jadi akhirnya sebab anak-anak belum nak balik rumah. Hmmm...kalau dah 
balik kampung, tak ingat rumah dah ya, anak-anak? Akibat menangguh-nangguh, akhirnya terkandaslah kami di sana selepas pengumuman baru larangan rentas negeri dikuatkuasa.

Saya berlapang dada je masa tu. Lagipun, waktu tu hanya tinggal kami sekeluarga je di kampung bersama mentua. Ipar-duai yang lain dah selamat balik ke rumah masing-masing.  Makna kata, tak perlulah saya tutup aurat sepanjang masa di sana. Rezeki juga tu. Hehe.

Itulah kisahnya bagaimana kami terkandas di kampung. Asalnya nak balik ke kampung 3 hari sahaja. Sudahnya, hampir 2 bulan kami berada di sana. Lebih tepat lagi, genap 55 malam di sana. Pecah satu rekod...hehe. Betullah, kita ni hanya mampu merancang, yang tentukan hanyalah Allah.

Alhamdulillah, awal Mei kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri bagi yang terkandas di kampung.  Giliran dari Kelantan adalah pada 8 Mei. Serba-salah masa tu untuk buat keputusan. Separuh hati rasa nak balik, separuh lagi kata jangan balik. Kalau balik, kesian pula mok dan wan. Hampir 2 bulan rumah tu riuh-rendah dengan suara anak-anak. Tiba-tiba jadi sunyi-sepi. Raya pun dah tak lama lagi. Tapi kalau tak balik, susah anak-anak nak buat kerja sekolah. Nak dapat kebenaran rentas negeri lagi entah bila pula. Berat hati, kami buat keputusan untuk balik juga.

Saya paling tak suka jadi yang terakhir tinggalkan kampung. Tak sanggup tengok wajah sedih mok. Air mata mok. Hari nak balik tu mujurlah keluarga kakak ipar ada di sana. Kurang sikitlah sedih mok tapi tetap juga air mata mok menitik 😭....




Friday, June 12, 2020

Selempang Tudung



Kata-kata ini membuatkan saya teringat kenangan sewaktu zaman remaja dahulu. Ayah saya cukup tak suka tengok satu-satunya anak perempuan dia ni selempangkan tudung ke bahu. Bab aurat memang tiada kompromi.

"Kenapa pakai tudung macam ni? Pakai elok-eloklah."

Itulah teguran ayah suatu ketika dahulu. Saya tahu apa yang ayah maksudkan. Ayah tak mahu saya selempang tudung ke bahu sekaligus mendedahkan bahagian yang sepatutnya ditutup. Hanya sekali teguran tapi tersimpan kemas dalam kotak memori.
 
Tapi itulah, zaman remaja...pengaruh kawan lebih kuat. Kawan-kawan ramai yang selempang tudung. Kita pun ikutlah. Depan ayah pandai pula turunkan tudung ke dada. Perangai sangat 😔.

Seingat saya, waktu di matrikulasi barulah saya berhenti sepenuhnya selempangkan tudung. Waktu tu saya suka tengok penampilan seorang kawan yang cukup menjaga auratnya. Bukan setakat bertudung labuh, berstoking juga. Bayangkan, nak ke kafe bawah sahaja pun dia pakai sarung kaki. MasyaAllah, kagum sungguh dengan dia masa tu.

Dari situlah saya mula perbaiki aurat saya. Perkara pertama yang saya betulkan adalah pemakaian tudung. Saya tidak lagi selempangkan tudung seperti kebiasaan. Tudung dilepaskan menutupi dada dan dipin di bahagian hujung tudung. Tak lama lepas tu barulah saya berjinak-jinak dengan pemakaian stoking. Mula-mula rasa kurang selesa. Lama-lama baru rasi. Bak kata, alah bisa tegal biasa.

Masuk universiti pula, saya berjinak-jinak mengenakan sarung lengan, dan diikuti dengan tudung labuh. Ada rezeki nanti insyaAllah saya buat entry baru untuk berkongsi pengalaman ni pula. Perasan tak betapa kuatnya pengaruh kawan? Dapat kawan yang sentiasa mendorong ke arah kebaikan, maka beruntunglah kita.

Buat adik-adik dan kakak-kakak yang sedang atau baru berniat untuk menutup aurat, bolehlah mula sikit-sikit. Sikit tapi konsisten. Kalau belum bertudung, belajarlah bertudung. Kalau masih pakai baju lengan pendek, biasakan pula berlengan panjang. Kalau dah terbiasa pakai pakaian ketat, biasa-biasakan pula dengan pakaian longgar. Kalau selalu bertudung singkat, labuhkan pula menutup dada. Tak mudah tapi tak mustahil untuk berubah. Semua ini untuk kebaikan dunia akhirat kita juga. 💖