Pages

Monday, June 22, 2020

Anak Diserang Sawan. Apa Perlu Dibuat?

Waktu scroll Twitter beberapa hari lepas, terbaca perkongsian Dr. Nimelesh tentang perkara yang perlu dibuat jika anak tiba-tiba diserang sawan. Sebut pasal sawan, fikiran automatik teringatkan anakanda ketiga dan keempat yang pernah diserang sawan. Ketar satu badan tengok anak dalam keadaan sawan. Walaupun dah banyak kali lalui, masih tetap menggigil setiap kali tengok anak kena sawan. Bezanya, diri lebih tenang dan tahu tindakan yang sewajarnya diambil jika anak diserang sawan berbanding awal-awal dulu.
 
Masih jelas di ingatan saat pertama Raihannah (anak ketiga) diserang sawan. Umurnya belum dua tahun pun masa tu. Dia demam dan tengah tidur di atas katil. Saya baring di sebelahnya. Tiba-tiba terasa ada pergerakan di sebelah. Saya tengok Raihannah. Nampak pelik. Saya panggil suami.

"Ya Allah, sawan ni!" Dalam keadaan panik dan cemas, suami terus dukung Raihannah dan berlari ke klinik berdekatan. Waktu itu kami tiada pengalaman dan ilmu mengenai sawan. Semuanya dibuat secara spontan.

Balik dari klinik, Raihannah dah sedar kembali dan suami maklumkan yang doktor suruh bawa anak ke hospital. Ditahanlah dia di wad malam itu untuk pantauan doktor. Saya tidak ikut ke hospital disebabkan saya dalam keadaan sarat mengandungkan Rania. Tak ingat pula berapa malam dia ditahan di wad tapi rasanya 2-3 malam juga sebab demamnya on off.

Itulah permulaan siri sawan Raihannah. Setiap kali dia demam, runsing hati. Sudahlah dia jenis susah makan ubat. Risau episod sawan berulang. Sekali kena sawan, memang berisiko untuk diserang sawan lagi. Dalam tempoh 3-4 tahun, ada beberapa kali dia kena sawan. Alhamdulillah lepas daripada tu tiada lagi sawan menyerang.

Rania juga pertama kali diserang sawan ketika umurnya setahun lebih. Kebetulan, dia dan Raihannah demam ketika itu. Saya berikan perhatian lebih sedikit pada Raihannah memandangkan dia ada sejarah sawan. Tak disangka, Rania pula yang diserang sawan. Allah...risaukan yang lain, lain pula yang kena. Sudahlah masa tu dia tengah menyusu. Sambil-sambil menyusu tu saya lap kepalanya dengan kain basah. Tu yang tak sangka dia akan diserang sawan. Seingat saya, dua kali dia diserang sawan dalam tempoh 5 tahun ni.




Di sini saya copy paste perkongsian Dr. Nimelesh. Moga membantu.

  1. Mak ayah jangan sesekali panik. Guna telefon bimbit untuk rakam sawan tersebut. Ini amat berguna untuk pengamal perubatan nanti untuk mengenal pasti jenis sawan dan tempoh sawan tersebut.
  2. Longgarkan baju anak. Jangan beri air atau ubat dalam mulut ketika anak sawan. Jangan masukkan apa-apa benda keras ke dalam mulut sebab anak boleh tercekik atau dapat luka dalam mulut.
  3. Sentiasa bersama anak sehingga sawan tamat.
  4. Baringkan anak mengiring ke kiri untuk mengelakkan muntah atau lendir masuk ke dalam paru paru.
  5. Sekiranya sawan berterusan selama 5 minit, jangan tunggu. Bawa ke klinik atau hospital dengan segera. Besar kemungkinan sawan tersebut tidak akan berhenti sendiri. Dan sekiranya diperlukan anak akan dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut. 
  6. Untuk sawan yang berhenti sendiri sebelum tempoh 5 minit, tolong bawa juga anak ke klinik/Hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


Tindakan pertama tu sangat penting ya. Dulu saya tak terfikir nak rakam. Jika rakam mudah sikit nak tunjuk pada doktor sebab nanti doktor akan tanya beberapa perkara.

  • Berapa minit anak kena sawan?
  • Waktu sawan, adakah kedua-dua kaki dan tangan bergerak?
  • Ada keluar buih dari mulut ke tidak? 

Tiga soalan ni antara soalan yang akan ditanya doktor terutamanya soalan pertama dan kedua tu. Sebab tu penting sangat perhatikan anak dengan teliti ketika anak diserang sawan.



0 comments: