Pagi semalam saya bawa Safiyyah (anak sulung) makan di kedai. Antara empat beradik, hanya dia sahaja yang belum kembali ke sekolah. Pihak sekolah cutikan sehingga PKPP berakhir. Kesiankan dia yang asyik terperuk di rumah, saya bawalah dia makan di kedai. Lagipun sarapan yang dimasak awal paginya dah dihabiskan adik-adiknya.
Mulanya dia agak moody waktu sampai di kedai tu. Kuih buah Melaka kegemaran dia yang saya ambil dan letakkan di depannya pun dia buat tak endah sahaja. Air dah dapat, baru okay sikit. Barulah dia makan sebiji kuih tu. Sampai roti canai, dia makan roti canai pula. Semakin okay mood dia. Barulah nampak ceria dan gembira.
Safiyyah ni kalau dia tengah gembira, dia akan keluarkan bunyi pelik. Tak tahu nak jelaskan macam mana. Dalam keadaan ini, suaranya automatik akan jadi kuat. Satu kedai dengar 😅. Kebiasaannya banyak matalah memandang. Yalah, nampak pelik di pandangan orang.
Daripada dia tantrum, lebih baiklah begini walaupun tetap juga mengundang perhatian orang. Selesai makan dan bayar di kaunter, kami terus menuju ke motosikal. Baru nak pakai topi keledar, dengar satu suara di belakang.
"Nah, ambil ni dik."
Saya toleh. Seorang budak muda dalam lingkungan usia awal 20-an hulurkan duit pada Safiyyah. Terkejut sebab tak sangka. Lebih terkejut sebab muda lagi orangnya. Muda tapi sangat prihatin. Sebelum adik tu berlalu pergi, sempatlah saya ucapkan terima kasih.
Rasanya adik tu pun baru sudah makan di kedai berkenaan. Tak perasan sebab tak pandang keliling. Dia nampak agaknya Safiyyah berkelakuan pelik. Terharu sangat. Walaupun nilai yang diberi kecil sahaja tapi ia memberi makna yang cukup besar.
Terima banyak-banyak, dik. Moga sentiasa murah rezeki dan dipermudahkan urusan sehari-hari.
2 comments:
semoga murah rezeki si pemberi aminnn
ameen..
Post a Comment