Pages

Tuesday, July 7, 2020

Catatan Manis Cikgu

Di kelas dahulu, jika dapat semula buku yang dihantar kepada cikgu, inilah yang ditunggu-tunggu. Terus selak halaman terakhir yang ditanda cikgu. Berharap ada catatan manis yang cikgu titipkan. Senyum seorang diri setiap kali dapat kata-kata begini daripada cikgu. Bersemangat untuk buat yang lebih baik.



Salah seorang daripada cikgu ini adalah cikgu yang saya geruni. Berdebar setiap kali tiba waktu cikgu ini mengajar. Cikgu ini pernah campak buku anak murid di dalam kelas. Hanya kerana anak murid tidak menulis nama penuh berserta nama bapa, buku dilontarkan. Memang kepantangan cikgu jika anak murid tidak tulis nama bapa. Tak ingat pula sama ada salah seorangnya adalah saya sendiri. Nama dah sedia pendek tapi malas tulis nama penuh, memang mencari nahaslah namanya.

Cikgu yang sama juga pernah menjerit dalam kelas marahkan anak murid. Senak perut mendengar suara halilintar cikgu. Dalam keadaan angin ribut cikgu datang seperti ini, sangat berharap masa cikgu segera berakhir. Anehnya, terasa lama pula waktu bergerak. Dalam hati, usah diceritalah. Berdegup kencang macam nak tercabut jantung dibuatnya.

Peliknya, cikgu yang digeruni inilah yang paling saya sayang dan paling diingati. Sentiasa tersemat di hati. Segarang-garang cikgu, dialah yang paling rajin meninggalkan catatan manis dalam buku anak murid, sesuai dengan hasil kerja anak murid itu sendiri. Sebahagian daripada catatan manis yang disertakan itu adalah daripada cikgu yang dimaksudkan. Kemuncaknya, adalah catatan yang di tengah itu.

"Sangat memuaskan. Semoga Tuhan membalas dengan kejayaan cemerlang dalam SPM."

Bukan catatan kebiasaan yang diterima. Catatan luar biasa merangkap sebuah doa. Terharu. Terus rasa bersalah sebab tak berusaha bersungguh-sungguh untuk SPM ketika itu. Maafkan saya, cikgu.

Kini, saya faham satu perkara. Garang cikgu garang bersebab. Marah cikgu bukan kerana benci. Marah cikgu kerana sayangkan anak murid. Mahu anak murid berjaya dan jadi insan bermanfaat kepada manusia sejagat. Mungkin asbab doa guru-guru, saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dan sekali gus menggenggam segulung ijazah walaupun keputusan SPM saya tidak termasuk dalam kategori cemerlang.

Terima kasih, cikgu. Saya sayang cikgu.


Monday, July 6, 2020

Ujian Kita Berbeza-beza

Saya ini di luar tidaklah banyak bercakap. Jenis pendiam. Gelaran 'berat mulut' tu sejak kecil lagi dah terima. Mulut banyak emas, kata orang lain pula. Tak kisah pun sebab memang begitulah sifat diri. Dengan orang tertentu sahaja boleh bercakap banyak. Dalam pendiam saya, saya suka memerhati. Perhati keliling, perhati gelagat orang. Banyak perkara saya belajar melalui pemerhatian.

Makin lama makin saya sedar yang ujian setiap orang itu berbeza-beza. Sesuailah dengan tahap kemampuan setiap individu. Saat diri sendiri diuji, dirasakan itulah ujian paling berat di dunia. Hakikatnya, ujian orang lain lagi berganda beratnya. Tak terbanding pun dengan ujian sendiri.

Ada orang, diuji dengan kematian pasangan. Benar, mati itu pasti tapi pemergian dalam keadaan mengejut, yang tak disangka, pasti luluh hati. Lemah longlai tubuh dibuatnya.

Ada orang, diuji dengan ketiadaan zuriat. Berbelas tahun mencuba, berbelas tahun tak berhenti mengharap. Namun, masih belum direzekikan memiliki zuriat sendiri.

Ada orang yang masih belum bertemu jodoh sehingga usia sudah semakin menginjak sedangkan rakan-rakan sebaya sudah punya anak berderet.

Ada orang, diuji dengan penyakit. Penyakit yang bukan calang-calang. Ada yang kena kanser. Ada yang kena strok. Allah. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ada orang, diuji memiliki anak istimewa lebih daripada seorang. Lebih berat lagi, anak-anak itu tidak mampu menguruskan diri sendiri. Serba-serbi perlu dibantu.

Ada orang pula diuji dengan pemergian anak yang disayangi buat selama-lamanya. Siapa sangka, anak yang diharap doanya dan diharap mengurus jenazah ibu bapa, ditakdirkan pergi dahulu. Benarlah, mati itu tidak mengenal usia.

Luaran, kita nampak ketenangan di wajah mereka. Dalam hati, siapa yang tahu? Saat kita diuji, pandanglah sekeliling. Pasti kita akan sedar betapa ujian yang dikirim Allah buat kita tidaklah sebesar mana. Boleh jadi, ujian itu adalah sebagai penghapus dosa. Boleh jadi juga, Allah mahu menaikkan darjat kita sebagai hambaNya jika kita bersabar dan reda dengan ujian tersebut.

Moga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi segala ujian yang diterima.


Friday, July 3, 2020

Kadet Matrikulasi

Selagi tak habis mengemas, selagi itulah banyak 'harta karun' yang dijumpai. Hehe. Kali ni jumpa baju seragam kadet sewaktu menjadi pelajar matrikulasi 20 tahun dahulu. Elok lagi baju ni. Macam baru. Nak buang sayang. Itu yang tersimpan sampai sekarang.




Ketika di matrikulasi inilah buat pertama kalinya saya sarung pakaian seragam. Lengkap dengan kasutnya sekali. Kasut tu tak ingat pula ke mana perginya. Setakat ni tak jumpa. Mungkin dah dijual atau diberi pada orang agaknya. Wallahua'lam. Memang tak ingat langsung.

Dah cuba, terjatuh cintalah pula dengan pakaian seragam. Nampak segak. Setiap kali kena pakai baju kadet ni, memang suka. Benda dah suka, tentulah tiada rungutan yang kedengaran..hehe. Tambah-tambah bila pakai lengkap dengan kasutnya. Rasa lebih yakin dengan diri sendiri.

Ingat lagi dulu kena berkawad petang-petang. Awal-awal berlatih kawad, kami ada jurulatih. Lepas tu tiada seorang jurulatih pun yang bantu kami. Saya tak ingat sangat apa puncanya. Jadinya, ketua komander kamilah kena ambil alih tugas jurulatih.

Ketua kami ni tegas orangnya. Stress jugalah asyik kena marah waktu latihan kawad..hehe. Tapi kesian juga dengan dia. Dia pun stress. Jurulatih sudahlah tak ada. Bukan ada pengalaman sangat pun nak mengendalikan barisan kawad. Kami ni pula acuh tak acuh sahaja dalam latihan, lagi tertekanlah kawan tu. Macam manalah dia tak marah?

Semakin hampir dengan hari pertandingan, bertambah tegaslah ketua kami. Kecut perut jugalah dibuatnya. Pantang salah sikit, habis dijeritnya. Haha. Disebabkan ketegasannya itulah kumpulan kami berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam pertandingan kawad kaki. Sesuatu yang boleh dibaggakan jugalah dengan keadaan kami yang tiada jurulatih untuk membimbing.

Sayangnya, sewaktu pertandingan tu saya tak dapat sertai. Saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur menghadiri temujanji di hospital (atas masalah peribadi).


Antara gambar kenangan sebagai kadet matrikulasi.



Thursday, July 2, 2020

Jun 2020 Yang Sudah Berakhir

Dah masuk bulan Julai dah pun. Setakat ni alhamdulillah masih konsisten menulis walaupun bukan setiap hari. Berangan nak buat satu post setiap hari tapi tak terlaksana pula. Hehe...berangan bolehlah. Nak bahagi-bahagikan masa walaupun sekadar duduk di rumah ni, tak semudah yang disangka.
 
Ada kelapangan masa untuk menaip, idea tak kunjung tiba. Waktu idea datang mencurah-curah, ada urusan lain yang lebih penting pula untuk diuruskan. Maka, berterbanganlah segala idea tu. Aduhai. Tapi puas hati jugalah dengan pencapaian diri sendiri.

Post pertama setelah bertahun-tahun berhibernasi, bertarikh 7 Jun. Jumlah keseluruhan post untuk bulan Jun, 12 kesemuanya. Kira okeylah untuk permulaan ni. Menulis membuatkan diri ini rasa bahagia. Kurang tekanan, hati lebih lapang. Mungkin inilah yang dikatakan 'passion'.

Pernah juga berangan untuk miliki buku sendiri. Berangan itukan percuma..hehe. Nak miliki buku sendiri tu masih belum nampak bayangnya. Selama ni pun kebanyakan catatan adalah berkisar keluarga dan pengalaman diri sendiri sahaja.

Seronok tengok orang yang mampu hasilkan buku sendiri. Mana tahu, satu hari nanti direzekikan untuk hasilkan karya sendiri? (Berangan lagi). Hehe...