Pages

Monday, August 10, 2020

mIRC, YM, Friendster


mIRC, Yahoo Messenger (YM) dan Friendster adalah tiga media sosial terawal yang saya pernah guna. Saya mula akses mIRC sewaktu sekolah menengah. Tak ingat sama ada Tingkatan 4 atau Tingkatan 5. Lama juga saya gunakan mIRC. Macam mana boleh tersangkut dengan mIRC pun tak tahulah. Pengaruh rakan sebaya agaknya.

Padahal waktu itu nak buat emel pun tak tahu. Adik yang tolong buatkan. Haha. Ingat lagi username emel tu; nad_36. Punyalah tak puas hati. Nombor 36 tu tak ada kaitan dengan diri sendiri pun tapi guna jugalah sebab tak tahu nak buat.

Katanya, nombor yang ada kaitan dengan saya (tahun kelahiran, tarikh lahir...) semua dah ada orang guna. Jadi, dia klik sahaja mana yang ada. Pasrah sahajalah. Dia buat tu pun bukan depan mata saya. Dalam tak puas hati tu lama juga saya gunakan emel tu. Dah jadi pelajar matrikulasi baru tukar.

Dari situlah saya mula melibatkan diri dengan dunia internet. Godek sana, godek sini, akhirnya jumpalah mIRC. Gigih pergi cyber cafe. Waktu tu belum ada komputer lagi di rumah. Sampai dah masuk universiti pun masih tetap layan mIRC.

Tak ingat dah nickname apa yang saya guna. Rasanya awal-awal terjebak dengan mIRC, guna nickname lain. Lepas tu tukar pula. Nickname yang kemudian tu saya ingat lagilah sebab sama dengan emel yang saya buat sewaktu di matrikulasi.

'ASL pls...'. Haha...awal-awal tu terpinga-pinga apa maksud asl tu. Setiap kali ada yang tegur, mesti tulis ASL pls. Rupanya A tu merujuk kepada umur (age), S tu untuk jantina (sex) dan L adalah location. Lepas-lepas tu pro dahlah guna mIRC 😝.

Dalam melayan mIRC, terjebak dengan Yahoo Messenger (YM) pula! Haha...lepas satu, satu. Tak ingat bila mula guna YM. Seingat saya, sejak ada YM rasanya saya dah mula kurang layan mIRC sehinggalah saya berhenti terus daripada melayari mIRC.

Friendster adalah media sosial ketiga yang saya guna. Saya mula berblog pun guna Friendster. Walaupun dah ada akaun Blogger yang kawan saya, Adyani, bantu setup, saya tetap guna blog Friendster. Zaman tu Blogger tak semudah sekarang. Kena main coding. Saya 'buta' dalam hal-hal begitu.  

Jadinya, saya abaikan sahaja Blogger. Blog Friendster lebih mudah digunakan. Sayangnya, bila Friendster tak ada, blognya sekali turut terbenam. Banyak juga yang saya dah tulis di situ. Tak terfikir nak save tempat lain sebelum tu. Kisah kelahiran Safiyyah pun saya tulis di situ...huhu...sayang sangat.

Dalam tahun 2008 kalau tak silap, baru berjinak-jinak dengan Facebook. Dan rasanya dalam tahun yang sama juga saya mula menulis blog di Blogger. Waktu tu Blogger dah mula mesra pengguna dan sehingga sekarang saya masih guna blog yang sama.


Tuesday, July 28, 2020

Majlis Perpisahan GPKPK

Beberapa minggu lepas telah diadakan satu majlis perpisahan di sekolah anak buat Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas (GPKPK) yang akan berpindah ke sekolah baru atas kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Jika diikutkan aturcara, majlis bermula pada jam 9.30 pagi tapi jam 10 baru saya dapat gerak ke sekolah. Ada sedikit urusan perlu diselesaikan sebelum itu.

Saya sampai beberapa minit sebelum GPKPK berucap. Elok beberapa minit GPKPK berucap, empangan mata tiba-tiba bocor. Sebak sangat dengar ucapan GPKPK. Bersungguh tahan air mata daripada gugur tapi airnya berlinangan juga ke pipi. Sudahlah tak bawa tisu. Aduhai. Kejap-kejap kesat air mata guna tangan. Makin lama, makin laju pula air mata yang mengalir. Memang tak mampu nak tahan dah.

Paling sayu, apabila GPKPK berulang kali sebut:

"Anak-anak kita ni semua ada potensi masing-masing. Tugas kita kena cari dan gilap bakat mereka."

"Anak-anak inilah yang bagi kami pahala setiap pagi."

Ayat ini sebenarnya ayat yang selalu GPKPK ulang hampir setiap kali ada pertemuan antara ibu bapa dan guru-guru PPKI. Setiap kali tu rasa sebak. Ayat ingatan untuk diri sendiri terutamanya. Ada masa memang rasa down fikirkan masa depan anak istimewa. Kata-kata beginilah yang menaikkan balik semangat yang pudar.

GPKPK kami ni tegas orangnya. Seorang yang outspoken. Apa yang terbuku di hati, dia terus sebut sahaja. Yang perlu ditegur, dia tegur sahaja tak kiralah ibu bapa nak berkecil hati atau tidak. GPKPK sendiri pun mengaku hal ni..hehe. Jujurnya, saya memang takut dengannya. Kecut perut nak berdepan..hihi.

TAPI, insan inilah yang banyak fight untuk anak-anak PPKI di sekolah itu. Segala kemudahan untuk anak-anak PPKI sebolehnya disediakan. Tak cukup dana untuk sesuatu projek, dicarinya sumbangan merata tempat. Selama hampir lima tahun anak sulung di sekolah itu memang boleh nampak kesungguhan GPKPK membantu anak-anak PPKI.

Pertemuan terakhir inilah sebenarnya saat pertama saya berbual dengan GPKPK. Hehe..tak patut betul. Itu pun disebabkan GPKPK duduk di sebelah saya. Sembang perihal anak istimewa saya serba sedikit. Al-maklumlah, dah beberapa bulan anak tak dapat ke sekolah asbab COVID-19. Pertemuan terakhir ini pun tak dapat bawa anak bersama sebab tak dapat keizinan daripada Guru Besar. Sebelum balik, sempat minta maaf dengan GPKPK tapi GPKPK pula beriya-iya minta maaf. Huhu...sedih pula.


Gambar kenangan terakhir bersama GPKPK (berbaju kuning)


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.


Saturday, July 25, 2020

Nilai Kecil Yang Amat Bermakna

Dah 2 minggu rupanya tak update blog. Dari sehari ke sehari nak update tapi tak kesampaian. Tak sempat. Anak-anak dah masuk sekolah balik. Agak terkejar-kejar juga sejak bertukar rutin. Ada satu post yang masih dalam draft pun belum dapat disiapkan lagi. Mengalahkan menteri sibuknya 😁.

Pagi semalam saya bawa Safiyyah (anak sulung) makan di kedai. Antara empat beradik, hanya dia sahaja yang belum kembali ke sekolah. Pihak sekolah cutikan sehingga PKPP berakhir. Kesiankan dia yang asyik terperuk di rumah, saya bawalah dia makan di kedai. Lagipun sarapan yang dimasak awal paginya dah dihabiskan adik-adiknya. 

Mulanya dia agak moody waktu sampai di kedai tu. Kuih buah Melaka kegemaran dia yang saya ambil dan letakkan di depannya pun dia buat tak endah sahaja. Air dah dapat, baru okay sikit. Barulah dia makan sebiji kuih tu. Sampai roti canai, dia makan roti canai pula. Semakin okay mood dia. Barulah nampak ceria dan gembira.

Safiyyah ni kalau dia tengah gembira, dia akan keluarkan bunyi pelik. Tak tahu nak jelaskan macam mana. Dalam keadaan ini, suaranya automatik akan jadi kuat. Satu kedai dengar 😅. Kebiasaannya banyak matalah memandang. Yalah, nampak pelik di pandangan orang.

Daripada dia tantrum, lebih baiklah begini walaupun tetap juga mengundang perhatian orang. Selesai makan dan bayar di kaunter, kami terus menuju ke motosikal. Baru nak pakai topi keledar, dengar satu suara di belakang.

"Nah, ambil ni dik."

Saya toleh. Seorang budak muda dalam lingkungan usia awal 20-an hulurkan duit pada Safiyyah.  Terkejut sebab tak sangka. Lebih terkejut sebab muda lagi orangnya. Muda tapi sangat prihatin. Sebelum adik tu berlalu pergi, sempatlah saya ucapkan terima kasih.

Rasanya adik tu pun baru sudah makan di kedai berkenaan. Tak perasan sebab tak pandang keliling.  Dia nampak agaknya Safiyyah berkelakuan pelik. Terharu sangat. Walaupun nilai yang diberi kecil sahaja tapi ia memberi makna yang cukup besar.

Terima banyak-banyak, dik. Moga sentiasa murah rezeki dan dipermudahkan urusan sehari-hari.


Sunday, July 12, 2020

Nasi Empat Tayar?

Dalam perjalanan ke rumah kakak ipar semalam, tiga daripada empat anak-anak saya bersembang. Mulanya si adik (nombor empat) suruh abang dan kakaknya teka apa yang dia makan di sekolah pagi tu. Bibit-bibit nak mulanya pertengkaran dah mula kedengaran.

Biasalah mereka bertiga tu. Sehari tak bergaduh memang tak sah. Sekecil-kecil perkara boleh jadi bahan pertengkaran. Si kakak dan si abang dah teka macam-macam tapi kesemuanya salah dan si adik pula masih tak mahu berterus-terang, mulalah panas hati mereka. Mula nak marah si adik. Saya biarkan sahaja sebab masih dalam kawalan.

Dalam pada berteka-teki tu, terdengar seorang daripada mereka sebut nasi empat tayar. Termenung sekejap ummi mereka ni. Nasi empat tayar? Apa benda pula tu? Lepas tu barulah dapat pick up. Nasi pataya rupanya!

Macam manalah pataya boleh jadi empat tayar...? Pataya ya, anak-anak. PA-TA-YA. Bukan empat tayar. Huhu. Rupanya, dia tersalah dengar orang sebut. Orang sebut pataya, dia dengar empat tayar. Tu yang jadi nasi empat tayar. Habis kami semua ketawa termasuk yang yang sebut nasi empat tayar tadi tu. Terus hilang kisah nak bertengkar tadi..hehe..