Pages

Monday, October 12, 2020

The Kite Runner

Buku ini sudah lama dibeli. Sewaktu di rantau orang lagi. Beli yang terpakai. Itu sebab dah tak berapa cantik kulit bukunya. Kulit belakang pun dah terkoyak sedikit. Saya ingat-ingat lupa jalan ceritanya. Jadi, saya baca sekali lagi untuk kali yang kedua.





Buku ini banyak juga bermain dengan emosi. Dalam beberapa babak, air mata saya berguguran. Kisah ini mengenai persahabatan, kasih sayang, pengkhianatan, dendam dan peperangan. 

Amir merupakan watak utama dalam The Kite Runner. Punya seorang kawan baik yang membesar bersama-sama tetapi akhirnya terpisah disebabkan satu perkara.

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada buku ini:

  1. Seorang anak sentiasa dahagakan kasih sayang ibu bapa lebih-lebih lagi yang sudah kehilangan salah seorang daripadanya. 
  2. Seorang ayah mungkin sukar untuk meluahkan rasa sayang pada si anak tetapi tidak bermakna dia tidak sayang. Cara berkasih-sayang itu sahaja yang berbeza.
  3. Perasaan bersalah jika tidak diurus dengan baik, akan menghantui diri sampai bila-bila. 
  4. Kebenaran itu mungkin pahit tetapi berterus-terang itu adakalanya mendatangkan lebih kebaikan. 
  5. Jika perlu, berhijrahlah untuk kembali bangkit dan menyembuhkan luka di hati. 
  6. Sahabat yang baik sentiasa bersedia memaafkan khilaf sahabatnya.
  7. Sikap prasangka boleh memutuskan suatu perhubungan.
  8. Sekali menipu berpotensi untuk menipu buat kali yang seterusnya.
  9. Hidup ini umpama roda. Kadang di atas, kadang di bawah.
  10. Kekayaan tidak menjamin suatu kebahagiaan.
  11. Kanak-kanak yang tidak pernah ditegur kesalahannya ketika kecil, berpotensi untuk melakukan kesalahan yang jauh lebih besar ketika dewasa.

Boleh kata, banyak mesej yang boleh diambil daripada buku ini. Saya suka jalan ceritanya. Cuma pengakhirannya sahaja yang saya kurang berpuas hati. Biasalah, seorang tipikal yang mahukan pengakhiran jalan cerita yang lebih gembira 😅.


1 comments:

Amie said...

Bagus mesej yang ingin disampaikan pengarang dalam buku ini.